I made this widget at MyFlashFetish.com.

ADIL TETAPI ZALIM

>> Wednesday, February 18, 2009

Assalamu'alaikum...

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Alhamdulillah, 2 ujian getir telah berjaya dilalui. Hati ini amat gelisah, mungkin sahaja Al-Quran yang dihafal sebelum ini dan ilmu Qiraat yang dipelajari selama ini Allah hilangkan. Doa terus dipanjatkan agar Allah memberikan ketenangan. Alhamdulillah, lepas!

Seperkara yang ingin dikongsikan bersama.

Hati kecil ini terus meronta-ronta untuk menyatakan ketidak setujuan (kalau salah betulkan) kepada 'keadilan' yang pernah dan masih disuarakan oleh sekumpulan manusia.

Petang hari Ahad, al-faqir mencapai sebuah akhbar tempatan. Sambil asyik membaca dengan mengahayati angin sepoi-sepoi bahasa, salah seorang dari kalangan 'adik beradik' al-faqir telah menunjukkan satu berita. Al-faqir tidak begitu mengingati tajuk berita tersebut, tetapi satu perkataan yang terpahat di dalam ingatan, "MUSAWAH".

APA ITU MUSAWAH?

MUSAWAH ialah sebuah program yang membincangkan satu jalan penyelesaian untuk mencapai sebuah resolusi, menuntut keadilan bagi pihak wanita. Program ini berlangsung selama 4 hari, jika al-faqir tidak silap.

SIAPA PENGANJUR MUSAWAH

Jika beberapa tahun sebelum ini, negara pernah digemparkan dengan berita Azlina Jailani atau lebih dikenali sebagai Lina Joy. Tuntutannya di mahkamah bagi meluluskannya menukar status agama yang dianutinya terus menjadi ingatan masyarakat Malaysia, khususnya Umat Islam. Dan amat memeritkan lagi apabila terdapat beberapa pihak yang menyokong dan berusaha membantunya dalam usaha mencemarkan kesucian Islam itu sendiri. Antaranya Sisters In Islam (SIS). Mereka jugalah yang menganjurkan program musawah ini.

APA TUNTUTAN MEREKA?

Jika kita meneliti semula apa yang terpampang di dada akhbar, kita akan mendapat jawapan yang cukup jelas. Apa yang diinginkan oleh pihak ini ialah 'keadilan' bagi pihak wanita. Al-faqir begitu marah dan sedih dengan kenyataan yang dikeluarkan. Mereka menyatakan di dalam Islam terdapat diskriminasi terhadap golongan wanita. Mereka menambah, jika golongan wanita bercakap mengenai hal berkaitan ekonomi, politik atau hal-hal lain, tidak ada tegahan di situ. Tetapi jika mereka bercakap mengenai tuntutan keadilan wanita di dalam Islam, mereka akan dibidas. Mereka akan dikatakan tidak mematuhi undang-undang Islam, anti-Islam dan sebagainya.

Al-faqir teringat kata-kata seorang bekas pensyarah Darul Quran di dalam sebuah program. Kebetulan di dalam ceramahnya, ada seorang sahabat menyampuk. Lantas ustaz pun bersuara menegur sahabat tersebut.

Kalau tak cakap pun, dah nampak jahilnya, kalau bercakap lagi jelas jahilnya

Itulah yang al-faqir rasakan sesuai untuk dilabelkan kepada golongan ini. Mereka bercakap seolah-olah mereka mengetahui segala hukum-hakam Islam. Seorang teman berkata, "...bercakap tu macam pandai lebih daripada Tuhan..."

Apa yang tidak adilnya pada Islam? Mereka menuntut hak persamaan di dalam setiap perkara. Sehingga mereka pernah mengeluarkan kenyataan bahawa tudung/jilbab itu TIDAK WAJIB.

GILA!!

Sungguh biadab dan mereka sememangnya biadab. Mereka tidak pernah mengambil iktibar daripada kisah-kisah di dalam Al-Quran. Mereka sememangnya sengaja ingin mencabar undang-undang Allah. Keadilan yang mereka maksudjan merupakan sebuah kezaliman. Meraka takrifkan keadilan sebagai kesaksamaan antara lelaki dan peremuan, sedangkan takrifan adil yang sebenarnya ialah MELETAKKAN SESUATU PADA TEMPATNYA.

Al-faqir berpndapat, idologi yang mereka bawa ini ialah idologi yang menyesatkan dan mereka wajib bertaubat. Jangan bercakap mengenai Islam jika diri tidak memahami Islam. Ingatlah, Allah pernah berfirman di dalam Al-Quran, di dalam Surah Yunus;

"Sesungguhnya Allah tidak pernah menzalimi manusia, tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri"

Bagi mereka yang menyokong dan terlibat secara tidak langsung, wajib juga untuk bertaubat daripada dosa ini.

"Redha kepada kufur, kufur. Redha kepada Maksiat, maksiat"

Renungkan...

Read more...

Assalamu'alaikum...

>> Friday, February 13, 2009

Bulan Februari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Nampaknya al-faqir akan memasuki medan peperangan buat kesekian kalinya. Mudah-mudahan apa yang dipelajari sepanjang semester ini mampu menjadi jawapan kepada soalan-soalan yang bakal dijawab kelak.

Mohon doa daripada kalian...

Bagi sesiapa yang tercari-cari artikel tentang hari valentine, al-faqir syorkan kepada para pembaca untuk melawat blog ustaz nazmi. Diharapkan artikel tersebut dapat membantu ikhwah sekalian mencari jawapan kepada persoalan hari valentine ini...

*12 Februari tarikh syahidnya Imam Hassan al-Banna, 14 Februari hari Valentine.. Mana yg lebih kita ingat??? Tepuk dada, tanyalah iman.

Read more...

POLITIK DUNIA; ISLAM VS SEKULAR

>> Monday, February 9, 2009

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Melihat situasi dunia hari ini begitu menakutkan dan menyedihkan. Menakutkan apabila manusia pada zaman ini telah melupakan tugas mereka di atas muka bumi. Bukan sekadar itu bahkan mereka merosakkan muka bumi ini dengan kudrat yang telah Allah kurniakan kepada mereka. Dan situasi dunia hari ini seolah-olah mencari satu sinar yang boleh membawa rahmat kepada manusia sejagat. Dan sinar yang mereka dambakan itu telah sekian lama wujud di atas muka bumi ini. Itulah Islam!

Menyingkap sirah tamadun umat Islam yang lalu, telah membuktikan kepada kita Islam pernah diterima dunia, bahkan pernah menakluki 2/3 dunia. Bermula dari zaman Rasulullah S.A.W. Islam mula berkembang di seluruh jazirah arab, diperluaskan sehingga ke Palestin oleh Khalifah Umar al-Khattab, diteruskan sehingga ke zaman Abbasiyyah sehingga salah seorang dari khalifah bani Abbasiyyah, Khalifah Harun ar-Rasyid pernah berkata kepada langit mendung tetapi tidak menurunkan hujan, “turunlah kamu ke mana sahaja yang kamu mahu, nescaya hasilnya akan sampai ke tangan kami.” Ini membuktikan bahawa Islam pada waktu itu berkembang luas sehingga tidak ada tempat yang tidak menerima seruan Islam.

Ketika Islam sampai ke Andalusia dan telah memasuki sempada Perancis, pihak musuh ‘terjaga’ dari lenanya dengan keadaan terkejut. Mereka bertanya sesama mereka agama apakah yang sedang tersebar ini sehingga sampai ke tempat kita. Lalu pihak musuh mengatur beberapa siri serangan ke atas Islam tetapimereka menemui kekalahan dan Baitul Maqdis ketika itu dikuasai Yahudi Berjaya dibuka semula oleh Panglima Islam Salehuddin Al-Ayubi tanpa menumpahkan walaupun setitik darah! Kota Konstantinopel juga telah berjaya dibuka oleh seorang panglima muda iaitu Sultan Muhammad Al-Fatih. Subhanallah! Betapa indahnya Islam sehingga manusia terpesona dengan cara hidupnya.

Namun, semakin rancak penerimaan masyarakat dunia kepada Islam, maka semakin rancak jugalah pihak musuh untuk menggagalkan Islam daripada memerintah. Dendam Salibiah yang tercetus sejak berzaman lamanya tidak pernah pudar di dalam hati para musuh. Pihak yang menyokong fahaman sekularisme terus berusaha meninggikan slogan mereka untuk menjadikan pemerintahan sesebuah Negara itu tidak terikat dengan Islam, tetapi digerakkan berpandukan hawa nafsu mereka yang tidak pernah kenyang dan jiwa mereka yang sentiasa iri hati dengan Islam. Penulis ingin mengajak para pembaca menyingkap semula sejarah kejatuhan Khilafah Islamiyyah yang terakhir yang berpusat di Turki.

Dua orang pengkhianat Islam, nama mereka akan sentiasa tercatat dalam sejarah hitam kerana merekalah yang membantu Yahudi menghidupkan slogan sekularisme di dalam setiap Negara Islam dengan biadabnya. Merekalah Kamal Atartuk dan Ismat Inono. RAMPASAN KUASA secara biadab dan tidak terhormat yang dilakukan oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab ini tidak akan sekali-kali dimaafkan ummat Islam sehingga hari Kiamat. Mereka telah mengkucar-kacirkan pelbagai institusi ketika itu, meresahkan hati para PEJUANG ISLAM. Sehinggalah kita menyaksikan penggulingan Sultan Abdul Hamid yang begitu dahsyat sebagai khalifah terakhir.

Di abad ini, kita dapat melihat sendiri di Palestin misalnya, pihak Fatah pimpinan Mahmoud Abbas telah memerangi para pejuang Islam daripada parti HAMAS dalam merebut kuasa pemerintahan. Lebih menyedihkan apabila mereka tidak memeberikan sebarang pertolongan kepada HAMAS dalam usaha HAMAS mempertahankan hak rakyat Palestin khususnya penduduk Gaza dan memerangi pihak Yahudi yang terus rakus membunuh jiwa-jiwa yang tidak berdosa. Inilah hakikat yang terjadi. Ramai di kalangan pemimpin dunia hanya berdiam diri menyaksikan peristiwa ini bahkan menyokong pula tindakan Yahudi membunuh rakyat Palestin khususnya penduduk Gaza. Sesuatu yang memalukan! Lebih menyedihkan apabila terdapat segelintir pemimpin dunia hari ini menampakkan kebencian mereka kepada Yahudi tetapi dalam masa yang sama mengiktiraf Yahudi sebagai sebuah KERAJAAN HARAM ISRAEL.

Namun, jika kita melihat senario politik dunia pada hari ini, manusia umumnya telah membuka mata untuk menerima Islam semula selepas kejatuhan zaman Khilafah Islamiyyah yang terakhir yang berpusat di Turki. Dalam tempoh sedekad telah memperlihatkan kepada kita semua penerimaan Islam di setiap tempat. Misalnya, ketika berlakunya pilihan raya di Palestin, rakyat Palestin telah melakukan satu tindakan yang bijak apabila memilih HAMAS sebagi parti pilihan dan menolak Fatah dan relitinya HAMAS masih lagi menjadi pilihan rakyat Palestin. Dan beberapa ahli parlimen di Belanda telah dipilih dari kalangan mereka yang beragama Islam. Bahkan Turki ketika zaman kejatuhan Islam telah dilihat sebagai sebuah Negara yang mengasaskan pemerintahan sekular juga telah menerima semula Islam sebagai cara hidup dengan kemenangan parti AKP dalam pilihan raya beberapa tahun yang lalu. Hal ini bersesuaian dengan Islam yang bersifat Syumul (menyeluruh) dan ‘Alamiyyah (universal).

Alhamdulillah serta syabas kepada para pejuang Islam yang tidak pernah berhenti memperjuangkan Islam untuk terus memerintah. Penulis merasakan mereka bukanlah GILA KUASA seperti yang pernah disifatkan oleh sebahagian pemimpin dunia yang tidak bertanggungjawab, TETAPI MEREKA MENGAMBIL SEMULA KUASA DARIPADA ORANG GILA..!

Allah juga telah menjanjikan bahawa yang Haq itu akan terus megah, berada di persada dunia dan yang batil itu akan dihina. Firman Allah di dalam Surah At-Taubah ayat 40:

...dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah Dengan sehina-hinanya), dan kalimah Allah (Islam) ialah Yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Islam tetap akan menang. Dan bibit-bibitnya telah kelihatan. Hal ini akan dirasai oleh setiap manusia, seluruh Negara yang ada di atas muka bumi ini termasuklah MALAYSIA.!

Wallahu a’alam...

Read more...

PERBAIKI KELEMAHAN



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Syabas!

Sengaja al-faqir memulakan tulisan kali ini dengan kalimah tersebut. Baru-baru ini di kampus al-faqir telah diadakan satu program untuk mahasiswa mahasiswi semester 1. Program ini secara ringkasnya bergerak melalui halaqah usrah yang telah dibentuk pada bulan lepas. Mudah-mudahan halaqah usrah ini mampu melahirkan rijal-rijal dan nisa’-nisa’ yang komited memperjuangkan Islam suatu hari kelak, Insya Allah.

Tetapi, bukan itu yang al-faqir ingin ceritakan. Apa yang al-faqir ingin kongsikan ialah beberapa kelemahan di dalam usrah yang harus kita perbaiki. Bukanlah bererti al-faqir seorang naqib atau fasilitator yang hebat. Tetapi sedikit pengetahuan yang dirasakan wajar untuk dikongsikan bersama.

Al-faqir pernah mendapat satu panggilan daripada seorang sahabat. Beliau menceritakan perihal usrah di tempatnya. Sahabat al-faqir juga seorang naqib, dan jika ingin dibandingkan dengan al-faqir sudah tentu beliau jauh lebih hebat. Beliau menyatakan masalah yang dihadapi dlam mengendalikan usrah. Al-faqir berjanji untuk menolongnya. Al-faqir menemukan satu bahan yang pernah al-faqir ambil dari blog akh Dzulkhairi. Maka di sini al-faqir mengemukakan beberapa point yang harus diambil perhatian:

1- Nuqaba' hanya memilih orang yang baik sahaja untuk dikaderkan.

2- Nuqaba' tidak mencari ahli usrah sebaliknya menantikan ahli usrah datang bertemu dengan mereka. Lalu mereka berdalih: Saya sudah mesej adik-adik supaya datang tetapi mereka tidak datang.

3- Nuqaba' hanya berbaik dengan ahli usrah dalam perbincangan sahaja. Apabila di luar perbincangan. mesej pun tidak, tegur pun tidak, malah melemparkan senyuman semasa berselisih pun tidak. Nuqaba' sebegini dinamakan "Nuqaba' Bulat-bulat".

4- Nuqaba' hanya memegang adik-adik dalam masa satu sem sahaja. Setelah adik-adik itu tidak berjaya dikaderkan, mereka terus meninggalkan adik-adik itu terkapai-kapai dahagakan pengisian.

5- Nuqaba' hanya menumpukan silibus buku sebagai bahan perbincangan tanpa meluaskan lagi skop perbincangan mereka kepada isu-isu semasa. Nuqaba' sebegini dinamakan "Nuqaba' Silibus".

6- Nuqaba' hanya memberikan arahan kepada ketua usrah untuk mengumpulkan ahli usrah sedangkan mereka hanya bergoyang kaki. Nuqaba' ini dinamakan "Nuqaba' Pemalas".

7- Nuqaba' yang asyik berasa rendah diri kerana kekontangan ilmu sedangkan mereka tidak sedar bahawa usrah umum adalah lebih kepada pembinaan ukhuwah manakala ilmu boleh didapati sekiranya nuqaba' membawa ahlinya mendengar kuliah-kuliah dsbg.

8- Nuqaba' yang sibuk memaksa ahli usrah untuk ke program Pmi tetapi mereka sendiri tidak pernah ke tempat program yang dianjurkan oleh adik-adik usrah mereka sama ada dalam kolej, fakulti dan anak negeri.

Mudah-mudahan perkongsian ini memberi faedah kepada kita semua dalam melaksanakan tugas sebagai seorang da’ie, Insya Allah.

Read more...

HASAD ATAU ‘GHIBTHOH’...?

>> Sunday, February 1, 2009


Jam menunjukkan dua pagi. Al-faqir masih belum dapat melelapkan mata. Entah apa yang mengganggu ‘konsentrasi’ al-faqir untuk melelapkan mata. Mungkin masih melayani perasaan cemburu kepada ‘mereka’. Siapa? Mudah-mudahan coretan dan pandangan daripada al-faqir kali ini mampu memberi manfaat kepada para ikhwah walau tidak seberapa. Sekadar yang termampu untuk al-faqir kongsikan dikala jari sedang rancak menari di atas papan kekunci dan telinga fokus mendengar dan meneliti seni kata alunan nasyid daripad kumpulan Diwani.

31 Januari 2009 merupakan tarikh keramat bagi abang-abangku dan sahabat-sahabatku di Darul Quran. Tarikh yang penting dan bersejarah dalam hidup mereka. Majlis Khatam Al-quran yang saban tahun diadakan telah menjadi bukti, bahawa mereka ialah insan biasa yang luar biasa! Jika 1 ketika dahulu negara berbangga dengan pencapaian anak muda dari selatan tanah air, Nur Amalina Che Bakri yang memperoleh 17A di dalam keputusan SPM beliau, al-faqir langsung tidak terkesan. Kerana al-faqir lebih berbangga dengan manusia biasa yang luar biasa. Merekalah para HUFFAZUL QURAN.!

Bukan mudah untuk seseorang itu mengahafaz keseluruhan isi kandungan kitab suci ummat Islam ini. Hanya hati yang dipilih Allah sahaja yang berupaya menghabiskan hafalannya. Ketika kali pertama al-faqir melafazkan perkataan ‘al-hafiz’, al-faqir masih terlalu kecil untuk memahami apa itu al-hafiz. Mudah-mudahan Allah memasukkan alfaqir ke dalam golongan yang dipilih untuk memelihara Kalam-Nya. Berbalik kepada cerita tadi. Pada hari tersebut, al-faqir melihat semuanya bergembira kerana berjaya menghabiskan hafalan mereka. Kebetulan al-faqir berada di blok pentadbiran, menjalankan amanah yang telah diberi. Pada jam 10.30 pagi, para huffazul Quran ini mula berarak dari blok pentadbiran menuju Dewan Muktamar, mengiringi TKPO JAKIM. Para mahasiswa dan mahasiswi segak bergaya dengan jubah khatam mereka. Pada akhir majlis tersebut, al-faqir menghantar satu mesej melalui sistem khidmat pesanan ringkas kepada beberapa sahabat seperjuangan. “Mabruk ‘alaikum jami’an. Jangan pikiaq nak ngulang ja, pikiaq nak amal sama. Doa-doa la sama dekat ana yang teramat-amat dha’if ni.” Ketika timbul satu perasaan dalam diri al-faqir, CEMBURU.

Agama Islam yang diwahyukan kepada Rasulullah merupakan agama yang menganjurkan kasih sayang. Umum mengetahui, Islam tidak membenarkan ummatnya menyimpan perasaan yang buruk terhadap saudaranya yang lain, apatah lagi menuju kea rah perpecahan. Dalam situasi di atas, selalunya dikaitkan dengan satu perkataan. HASAD (Dengki). Hasad merupakan perkara yang amat dilarang Islam. Sebenarnya, situasi tersebut lebih cenderung ke arah GHIBTHOH. Apakah ghibthoh? Ghibthoh ini jika kita hendak gambarkan seperti cemburu dan dengki juga, tetapi kea rah kebaikan. Tetapi tafsiran dengki terhadap perkataan ghibthoh ini kurang tepat. Hanya untuk memudahkan kita bagi memahami apa itu ghibthoh, mudah-mudahan tidak salah.

Satu kisah di zaman Rasulullah S.A.W. yang menceritakan tentang sikap para sahabat yang sering berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan. Para sahabat menyambut baik dan menyahut seruan kempen daripada Allah, agar ummat Islam berlumba-lumba dlam mengerjakan amal kebaikan. Dalam suasana ketika melakukan persiapan menghadapi peperangan, ramai sahabat yang menginfakkan harta mereka. Sehingga pada sutau hari, Saiyiduna Umar yang terlalu cemburu dengan Siyiduna Abu Bakr telah menginfakkan setengah daripada harta yang beliau miliki. Namun Saiyiduna Abu Bakr telah menginfakkan keseluruhan hartanya.

Islam membenarkan kita memiliki sifat ghibthoh kerana ia akan membawa kepada natijah yang baik. Tetapi reality hari ini sebaliknya. Masyarakat sekarang tidak begitu senang dengan kejayaan yang telah digapai oleh ummat Islam yang lain, bahkan ada di kalangan masyrakat sekarang yang menyimpan hasad sesama ahli keluarga. Lantas berlakulah perpecahan di kalangan ummat Islam. Kitalah yang merana dan menanggung akibatnya, sedangkan pihak musuh tersenyum lebar dan terus menyalakan api permusuhan di kalangan ummat Islam. Maka, amat perlu untuk kita kembali kepada dua sumber yang utama, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah agar hidup kita selamat di dunia dan akhirat.

Kesimpulannya, ummat Islam seharusnya memahami sedalam-dalamnya bagaimanakah ‘dengki’ yang dibenarkan syara’. Ianya bertujuan untuk mengelakkan ummat Islam daripada berpecah. Dan kembalilah kita kepada sumber utama Islam, Al-Quran dan As-Sunnah agar keharmonian dan kesejahteraan yang diinginkan dapat dicapai.

“Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada perasaan hasad dengki yang mampu memecah-belahkan ummat ini.. Campakkanlah ke dalam hati-hati ummat ini perasaan kasih sayang kerana-Mu, Ya Allah…” –SELAMAT BERAMAL-

Read more...

Our Blogger Templates Web Design

Kepada sesiapa yang ingin mengambil bahan dari blog ini, pihak kami mengalu-alukannya. Sebarkan bahan ini dengan sebaiknya untuk faedah dan kepentingan bersama. Syukran

NASYID FM

Sila download

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP