I made this widget at MyFlashFetish.com.

MERDEKA; MISI YANG BELUM TERCAPAI

>> Sunday, August 30, 2009

Setiap tahun pada tarikh 31 Ogos, seluruh rakyat Malaysia akan merayakan ulang tahun sambutan hari kemerdekaan Malaysia yang dicapai pada tahun 1957. Di dalam teks sejarah di peringkat sekolah menengah ada menceritakan bagaimana kemerdekaan ini dicapai. Ianya merupakan hasil usaha yang gigih daripada para pejuang Tanah Melayu satu ketika dahulu untuk membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah.

Perjuangan ini dimulakan pada awal siri penjajahan. Rakyat Melaka yang ketika itu meminta bantuan luar untuk mempertahankan kotanya daripada diserang Portugis terus berjuang namun akhirnya menemui kekalahan. Dan misi membebaskan Tanah Melayu ini diteruskan sehingga pada tahun 1957 munculnya seorang wira yang telah berjaya mendapatkan kemerdekaan Malaysia dengan cara aman daripada pihak British. Dan laungan Merdeka bergema pada pagi 31 Ogos 1957 merupakan petanda kepada seluruh rakyat Malaysia, kita sudah bebas dari cengkaman penjajahan.

Dalam teks khutbah Jumaat, 28 Ogos 2009 di sebuah masjid, khatib menyeru sidang jemaah untuk memanjatkan rasa syukur kerana kita telah bebas dari cengkaman penjajahan. Satu persoalan terus timbul. Apakah benar kita sudah merdeka? Merdeka dari sudut apakah kita?

Saban tahun, kita sering diperingatkan tentang kemajuan yang dicapai pada hari ini merupakan hasil perjuangan pejuang terdahulu membebaskan negara daripada cengkaman penjajah. Ya, saya tidak menafikan. Itu dari segi material. Infrastruktur yang ada di dalam negara kita sudah cukup menggambarkan bahawa kita sedang bersaing dengan negara- negara maju yang lain. Namun, apakah cukup hanya sekadar mewah dari sudut material? Sekali lagi ingin saya lontarkan, apakah benar kita sudah merdeka?

Melihat kepada kadar jenayah yang semakin membimbangkan, segala usaha yang dilakukan selama ini seolah-olah tidak memberi kesan kepada si pelaku jenayah. Ramai di kalangan mereka yang keluar masuk penjara tetapi akhirnya kembali terjebak dengan jenayah. Melihat kepada budaya yang tidak sihat di kalangan pemuda dan pemudi, seolah-olah mereka akan hidup selamanya dan tidak akan mati. Kalau mati pun bila dah mencapai usia tua. Muda hanya sekali, bila tua bertaubatlah. Enjoy dulu! Inilah ayat yang sering meniti di bibir para remaja dewasa ini. Melihat kepada keadaan ekonomi negara yang terus mengamalkan sistem yang diperkenalkan oleh masyarakat barat merupakan satu jaminan untuk mendapat kerugian. Kalau untung sekalipun, bukan dari cara yang halal. Justeru merdekakah kita?

Merdeka yang sebenarnya bukan sahaja kita bebas daripada cengkaman pihak penjajah secara zahir seperti yang kita lihat sekarang. Kita juga wajib memerdekakan corak pemikiran daripada anasir luar yang ternyata sekali tidak sihat. Kemerdekaan yang sebenar ialah kemerdekaan jiwa yang mengeluarkan seseorang itu daripada terus menghambakan diri kepada hamba kepada menghambakan diri kepada Pencipta hamba!

Hakikat yang sebenarnya, kita terus dikuasai oleh pihak orientalis yang menghidupkan sistem penjajahan. Melihat kepada fakta sejarah, kedatangan penjajah Portugis ke Melaka membawa agenda yang telah diatur dengan sebaik mungkin. Ketika itu Melaka terkenal sebagai serambi Mekah, sebagai pusat penyebaran agama Islam di rantau ini selain Acheh. Pihak orientalis dan konco-konconya yang menyimpan dendam sejak kekalahan mereka dalam Perang Salib telah melancarkan satu bentuk serangan yang halus untuk mematikan segala usaha mempertahankan kesucian Islam. Salah satunya bentuk penjajahan.

Portugis terus mara ke Melaka dengan membawa tiga slogan yang masyhur iaitu Glory, Gold, Gospel. Di dalam satu siri bacaan yang pernah saya rujuk, pihak orientalis ingin mengagung-agungkan tamadun yang diasaskan oleh barat. Maka dengan tujuan itu mereka membawa slogan Glory sebagai “bahan kempen” untuk mendapatkan tanah jajahan. Mereka juga telah mengenal pasti kekayaan yang dimiliki oleh orang Islam ketika itu. Secara geografinya, negara yang dikuasai oleh penduduk yang majoritinya orang Islam mempunyai kekayaan hasil bumi yang cukup banyak. Tidak kurang juga kawasan yang didiami oleh masyrakat Muslim yang telah terbukti sejak dahulu hingga kini merupakan kawasan strategik yang membolehkan keuntungan dikaut. Nah, atas dasar ini jugalah orientalis melaksanakan misi penjajahan. Slogan Gold yang membawa maksud emas merujuk kepada kekayaan.

Orientalis juga sedar, selagi mana umat Islam ini terus berpegang dengan ajaran Islam maka selagi itulah mereka tidak dapat dikalahkan. Lihat sahaja kisah di dalam Badar al-Kubra, seramai 313 orang tentera Muslimin menghadapi 1000 orang tentera musyrikin Mekah telah Berjaya mendapat kemenangan. Ini kerana hasil mereka berpegang dengan Tali Allah serta yakin dengan segala janji Allah dan Rasul-Nya. Sejarah juga telah membuktikan perjuangan Sultan Muhammad membebaskan Kostantinopel dengan berbekalkan iman dan taqwa serta menaruh sepenuh pengharapan kepada Allah merupakan kunci kemenangan tentera Islam. Hasil daripada pengkajian tersebut, orientalis melancarkan slogan Gospel yang merujuk kepada salah satu unsur di dalam agama Kristian dalam usaha merobek iman dan akidah masyarakat Muslim. Bermula dari situlah penjajahan terus berlaku.

Saya tidak menafikan bahawasanya kita bebas bergerak dan melakukan apa sahaja tanpa halangan daripada pihak luar. Namun, perlu kita teliti semula. Sekiranya kita benar-benar telah mencapai kemerdekaan, mengapa perlembagaan di negara ini perlu dirujuk di bawah suruhanjaya Reid? Bukankah kita berhak mengatur langkah sendiri kerana kita telah merdeka dan Malaysia ini hak milik kita? Dan sebenarnya ini juga merupakan salah satu usaha untuk terus menjajah. Allah telah mengutuskan Rasul untuk membawa syariat yang selari dan tepat dengan kehidupan manusia. Tetapi, kerana bongkaknya pemimpin negara dan terus ingin berada di dalam keadaan yang jahil maka diambilnya undang-undang sivil ciptaan manusia untuk digunakan!

Budaya hedonisme yang dibawa masuk dari barat sudah cukup menggambarkan bahawasanya kita tidak merdeka. Jiwa kita masih dikuasai, fikiran kita masih dikongkong. Hati yang lalai akan menyebabkan manusia tidak takut kepada Pencipta. Maka sasaran mereka ialah pemuda. Rasulullah sendiri pernah menegaskan, golongan pemuda ini perlu dijaga sebaik mungkin. Golongan inilah yang banyak membantu perjuangan Rasulullah dalam usaha menyebarkan dakwah Islamiyyah. Maka golongan orientalis melihat ini merupakan satu ancaman kepada mereka. Justeru mereka terus menguasai pemuda melalui jalan hiburan yang berlebihan. Seperti yang kita sedia maklum, setiap tahun akan ada konsert-konsert yang mengisi kekosongan pada malam ambang merdeka setelah solat hajat dan bacaan Yasin dibuat. Inilah Islam Had-hari yang dibawa oleh pemerintah. Mereka terus membiarkan golongan muda-mudi ini hanyut dalam suasana yang dirasakan kondusif (dunia sahaja, akhirat tak).

Melihat pula dari sudut pendidikan yang bercorakkan dualisme dengan memisahkan dunia dan akhirat. Sistem yang dilaksanakan sekarang tidak membawa kepada kemajuan akal dan yang paling utama kemajuan akidah. Pendidikan sekarang berorientasikan peperiksaan tidak layak untuk digelar pendidikan tetapi yang paling tepat sistem pensijilan. Para pelajar dimomokkan dengan pelbagai perkara yang terbukti menyekat golongan ini untuk membangunkan minda sekaligus menerapkan di dalam diri mereka ini amalan 3K (kolej, kelas, kafe). Mereka tidak mempedulikan apa yang berlaku di luar sana. Lihat sahaja sistem awal pendidikan. Usaha untuk menerapkan akidah yang salimah tidak berlaku dan apabila mereka ini meningkat dewasa, melanjutkan pelajaran ke luar negara, mereka akan mudah terpengaruh dengan bentuk pemahaman liberal. Maka sudah tentu sistem ini tidak memanusiakan manusia!

Justeru, sewajarnya kita meneruskan misi untuk memerdekakan diri kita daripada belenggu penjajahan musyrikin orientalis. Melihat kepada realiti yang berlaku, satu bentuk perubahan harus dibuat untuk mencapai satu natijah yang bermakna bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat. Bebaskan diri, masyarakat dan negara daripada belenggu penjajahan ini. Ayuh, kita laksanakan misi yang belum tercapai!

Sekian

p/s: Hasil nukilan bertarikh 30 Ogos 2009. Diterbitkan semula untuk tatapan dan peringatan semua.

Read more...

PERKONGSIAN FIQH: ARAK MENURUT ISLAM

>> Saturday, August 29, 2009

Belakangan ini banyak pihak yang member pandangan berhubung isu seorang model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno yang mengaku bersalah kerana meminum arak di sebuah kelab di Cherating. Kartika telah dijatuhkan hukuman sebat sebanyak enam sebatan beserta denda sebanyak RM 5000. Namun, hukuman itu telah ditangguhkan sehingga berakhirnya bulan Ramadhan.

Dalam akhbar yang sempat saya baca, Utusan Melayu dan Berita Harian edisi 26 Ogos 2009, ramai yang telah memberikan pandangan. Tidak kurang juga pemimpin kerajaan. Saya secara peribadi member pujian kepada Mahkamah Tinggi Syariah Pahang yang telah menjatuhkan hukuman sebat ke atas individu terbabit. Cuma, jika pujian itu dalam bentuk bintang saya tidak akan memberi lima bintang. Bahkan mungkin sahaja satu atau dua bintang. Satu pujian kepada pihak berwajib kerana masih mempunyai usaha untuk menjalankan undang-undang Islam di negara sekular ini.

Dalam hal ini, ada di kalangan pemimpin Barisan Nasional cuba bertukar wajah menjadi ustaz ataupun ustazah. Saya berasa sedikit hairan dengan kenyataan yang dikeluarkan. Dari manakah sumber yang mereka perolehi untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian?

Sejarah Pengharaman Arak

Bagi penuntut di bidang Syariah, Usuluddin dan seangkatan dengannya, mereka mengetahui (Insya Allah) bagaimanakah arak itu diharamkan. Menurut Imam Ibnu Hajar al-Asqolani di dalam kitabnya, Fathul Bari syarah Sohih Bukhari, arak diharamkan secara mutlak pada tahun kelapan hijrah. Pengahramannya tidak dilakukan secra sekali gus, bahkan berperingkat.

Pada mulanya Allah telah menyatakan bahawa arak itu mempunyai banyak mudarat dan sedikit sahaja manfaat yang diperoleh daripadanya. Allah menjelaskan hal ini di dalam Surah Al-Baqarah ayat 219. Umum mengetahui akan keburukan yang bakal diperoleh daripada arak. Namun dalam ayat tersebut Allah menyatakan terdapat sedikit manfaat yang mungkin boleh diperoleh daripadanya. Menurut pendapat ulama’ manfaat yang dimaksudkan dalam ayat tersebut ialah manfaat dari sudut maddiyyah (kebendaan). Iaitu hasil jualan arak itu sendiri. Ini kerana pada era jahiliyyah, arak boleh diperoleh hanya dari Syam. Jadi hasil jualan yang berlipat ganda itulah yang disebut manfaat dalam ayat ini.

Pada peringkat seterusnya, Allah telah melarang para sahabat daripada menunaikan solat dalam keadaan hilang akal (mabuk). Perkara ini dijelaskan oleh Allah di dalam Surah An-Nisa’ ayat 43. Pernah terjadi di zaman Rasulullah S.A.W seorang sahabat yang baru sahaja meminum arak lalu mengerjakan solat. Di dalam solatnya itu, sahabat tersebut telah tersilap membaca ayat Al-Quran dari surah Al-Kafirun. Maka atas sebab inilah ayat ini diturunkan.

Memasuki fasa terakhir pengharaman arak, Allah telah menyatakan arak itu sebagai najis. Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah di dalam Surah Al-Maidah, ayat 90-91, mafhumnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya minuman keras, berjudi, (berkorban untuk) berhala, dan mengundi nasib dengan anak panah, adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah (perbuatan-perbuatan) itu agar kamu beruntung. Dengan minuman keras dan judi itu, syaitan hanyalah bermaksud menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu, dan menghalang kamu dari mengingati Allah dab melaksanakan solat. Maka tidakkah kamu mahu berhenti?”

Ulama’ menjelaskan, kalimah rijsun dalam ayat tersebut adalah najis. Menurut Imam Hanafi, arak termasuk dalam kategori najis yang berat (mughallazah). Maka, menurut pendapat beliau pakaian yang terkena arak sebesar satu dirham tidak boleh dibawa di dalam solat. Adapun menurut pendapat ulama’ yang lain, arak itu najis. Bekas-bekas yang digunakan untuk mengisi arak tidak boleh digunakan untuk tujuan lain. Tetapi jika tiada bekas yang lain untuk digunakan untuk makan dan minum maka bekas tersebut boleh digunakan dengan sayarat mesti dibasuh terlebih dahulu. Perkara ini disabitkan dengan sebuah Hadith Rasulullah yang melarang para sahabat menggunakan bekas yang pernah digunakan untuk tujuan arak dan daging babi.

Syafaat Dalam Hudud

Dalam isu ini, Islam memandang serius kerana ia merupakan perkara dasar. Hukuman yang dikenakan ke atas peminum arak ialah hukuman had (hudud).

Saya terbaca kenyataan yang dikeluarkan oleh mantan PM Malaysia, Tun Dr Mahathir. Memang di dalam Islam, sesuatu hukuman yang dijatuhkan perlulah diadili dengan seadil-adilnya. Beliau menyatakan bahawa terdapat ayat yang menjelaskan perlu berhukum dengan adil. Beliau mempersoalkan, apakah dengan hanya tulisan daripada ulama’ tanpa ada satu perbahasan dalam sidang mengenai enakmen undang-undang syariah di negara ini ataupun fatwa daripada Majlis Fatwa boleh diikut?

Satu persoalan yang saya rasakan tidak sewajarnya ditanya. Apakah nilai keilmuan yang ada pada ulama’ mujtahid terdahulu lebih rendah berbanding ulama’ yang ada di dalam Majlis Fatwa yang kadang-kadang fatwanya tidak menjurus ke arah penyelesaian masalah lantaran dipengaruhi oleh satu pihak yang tidak tahu-menahu tentang perihal Islam? Memang di dalam Islam kita perlu berhukum dengan adil. Islam tidak pernha berkompromi di dalam hal yang berkaitan perkara dasar, yang mempunyai nas rajih daripada Al-Quran mahupun Hadith. Tidak kiralah walaupun sekali kesalahan yang dilakukan, jika sudah dibuktikan kesalahannya, cukup syarat dan sifatnya maka hukuman perlu dijatuhkan. Bukan bermaksud Islam itu zalim, tetapi pendirian yang tegas untuk mempertahankan kesuciannya.

Dalam isu yang saya ketengahkan ini, seolah-olah meminta pihak berwajib ‘memberi syafaat’ kepada si pesalah atas alasan ini kesalahan yang pertama kali dilakukannya.

Rasulullah pernah menegur seorang sahabat yang dilihat Baginda seperti memohon syafaat untuk kesalahan yang dilakukan oleh seorang wanita Ansar. Perkara ini dijelaskan Baginda di dalam Hadith Baginda yang memberi makna tidak ada syafaat (pertolongan) untuk mereka yang melakukan jenayah yang berkaitan dengan hudud.

Islam juga memang mementingkan soal tarbiyyah seperti yang dinyatakan oleh Dato’ Seri Najib. Tetapi seperti yang saya kemukakan, Islam tidak pernah berkompromi dalam perkara dasar. Jika halal, maka halal adalah jawapannya. Jika haram, maka haramlah yang perlu kita kat. Jika benar, benarlah, tetapi jika salah maka salahlah ia. Jelas di dalam Islam, tidak ada pertengahan di antaranya!

Bilangan Sebatan Menurut Syara’

Jika kita merujuk Sohih Muslim, bab hudud dalam hadith 3218, hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a, mafhumnya:

“Sesungguhnya Nabi telah dihadapkan dengan seorang lelaki yang minum arak lalu ia dihukum sebatan dengan dua pelepah tamar sebanyak empat puluh kali”

Di dalam Sohih Bukhari, bab hudud dalam hadith 6281, juga diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a mafhumnya:

“Sesungguhnya Nabi telah dihadapkan dengan seorang lelaki yang meminum arak lalu ia dihukum sebatan dengan dua pelepah sebanyak empat puluh kali. Kata Anas: Abu Bakar telah melaksanakan sebagaimana yang dilaksanakan Rasulullah. Apabila Saiyiduna Umar menjadi khalifah, beliau telah bermesyuarat dengan para sahabat (disebabkan ramai orang yang meminum arak dan tidak takut dengan empat puluh sebatan), berkatalah Abdur Rahman bin ‘Auf, seringan-ringan hukuman hudud (peminum arak) ialah lapan puluh sebatan. Lantaran itu Umar menyuruh melaksanakannya”

Jika kita perhatikan dua nas hadith di atas, Rasulullah dan Abu Bakar telah melaksanakan hukuman 40 kali sebatan ke atas peminum arak, sedangkan Umar 80 kali sebatan. Bukanlah bermaksud Umar melaksanakan bid’ah dholalah. Ini merupakan ijtihad di zaman beliau. Hal ini berikutan terdapat seorang lelaki yang meminum arak di zaman Rasulullah telah dijatuhkan hukuman sebat, di zaman Abu Bakar juga lelaki ini telah disebat, tetapi teap mengulangi perbuatan yang sama di zaman Umar al-Khattab. Dan pada waktu tersebut terlalu ramai yang meminum arak seolah-oleh mereka tidak gerun dengan hukum 40 kali sebatan. Maka atasa alasan inilah ijtihad di zaman Umar al-Khattab telah melaksanakan hukuman sebanyak 80 kali sebatan.

Jika kita merujuk kitab Fiqh Perundangan Islam, Dr Wahbah Zuhaili, beliau menerangkan bahawa hukuman 80 kali sebatan diguna pakai oleh jumhur ulama’, termasuklah pendapat daripada ulama’ Syafieah. Tetapi bagi mazhab Syafie yang lebih tepat ialah 40 kali sebatan berdasarkan nas hadith daripada Rasulullah S.A.W. Perkara ini juga dijelaskan di dalam kitab hadith Nailul Author.

Hukuman yang diperintahkan ini adalah bertujuan untuk mendidik, bukanlah membawa maksud Islam itu zalim. Namun, perkara ini disalah ertikan oleh seorang menteri yang lagaknya melebihi ustazah di dalam hal ini. Dato’ Seri Shahrizat nampak kurang setuju dengan hukuman yang dijatuhkan ke atas Kartika. Beliau menyifatkan undang-undang syariah Negara ini seperti menindas golongan wanita. Ya, ini kerana pihak pemerintah sendiri tidak mahu menerima Islam yang sebenar. Islam itu diturunkan untuk menyelamatkan golongan wanita yang tertindas di zaman jahiliyyah. Tetapi pemimpin Negara hari ini memilih jalan untuk mencipta neo-jahilyyah. Maka sudah tentu undang-undang yang dicipta oleh mereka juga tampak seperti menindas golongan wanita. Mereka ingin sekali masuk syurga, tetapi tidak mahu mengamalkan system Islam yang sebenar. Maka itu adalah jalan ke neraka!

Wajib Menjalankan Undang-undang Islam

Tidak ada yang perlu dipersoalkan lagi. Nampak seperti menggelabah. Apabila undang-undang bercorak keislaman hendak dijalankan, ia terpaksa ditangguh. Alasan yang diberikan, tidak ada orang yang professional untuk menjalankan hukuman yang dijatuhkan.

Perkara ini sudah menjadi Fardhu ‘Ain kepada kita semua terutama sekali pihak kerajaan untuk menyediakan orang yang dapat melaksanakan hukuman bercorak Islam. Kita tidak mahu ianya dijadikan sebagai satu alasan kenapa undang-undang Islam tidak dapat dijalankan. Kalaulah benar pihak yang memerintah mengamalkan dasar Islam yang betul maka sudah tentu perkara seperti ini tidak akan berlaku. Jelas, hanya omong-omongan kosong yang diungkapkan oleh mereka, sedangkan mereka sendiri yang menolak perlaksanaan Islam yang sebenar di dalam Negara ini.

Saya amat khuatir dengan situasi ini. Terlalu ramai pemimpin kita yang tidak faham Islam, mengaku faham tentang Islam lantas mengeluarkan ‘fatwa-fatwa’ yang boleh menyebabkan orang ramai terikut dengan mereka. Jika ini berlaku, mungkin inilah yang dimaksdukan Rasulullah di dalam hadith Baginda tentang golongan ruusan juhhalan (pemimpin yang jahil). Apabila mereka berfatwa orang mengikut mereka. Mereka sesat bahkan menyesatkan.

Tidak sewajarnya mereka mengeluarkan pandangan dalam isu seperti ini kerana mereka perlu tahu siapa mereka. Kalau ingin ke syurga, pilihlah jalan ke syurga (Islam keseluruhan), bukan memilih jalan ke neraka (Islam had-hari; pagi Islam petangnya kufur)!

Sekian

Ikhwan Hafiz
26 Ogos 2009
Selangor Darul Ehsan

P/s: pembaca boleh merujuk di laman Ustaz Yusaini, Ustaz Zaharuddin, Ustaz Hasrizal, Ustaz Wan Ji

Read more...

KENANGAN RAMADHAN

>> Saturday, August 22, 2009

Ramadhan datang lagi. Namun kali ini kehadirannya tidak sama seperti Ramadhan yang sebelumnya. Ramadhan yang lalu telah meninggalkan banyak kenangan yang tak mungkin dapat dilupakan. Sengaja saya coretkan sebagai satu kenangan dan perkongsian bersama, mengimbau nostalgia silam ketika masih di alam persekolahan.

Sejak kecil, kehadiran Ramadhan sememangnya amat dinantikan. Menjelang Ramadhan, maka sebulan itulah saya menghabiskan masa di kampung bersama arwah nenek (orang Kedah panggil tok). Setiap kali Ramadhan menjelma, bazar Ramadhan di Serdang merupakan 'tempat lepak' bersama sepupu. Menolong maklong menjual kuih-muih merupakan kenangan yang indah. Masih segar kenakalan lalu, cubaan memonteng puasa, turun ke tali air untuk memancing. Hinggalah tahun 2002. Itulah kali terakhir saya menghabiskan masa di kampung. Tahun itu jugalah arwah nenek dipanggil menghadap Kekasihnya.

Kenangan berpuasa di Ma'ahad bersama sahabat-sahabat seperjuangan. Di kala itulah saya mula berjinak-jinak dengan dunia hafalan Al-Quran. Alhamdulillah, berkat didikan guru di sana saya sempat menghabiskan 7 juzu' sepanjang di Ma'ahad. Lebih manis apabila mengenangkan nostalgia menyambut Ramadhan ketika kali pertama bergelar ahli rumah sewa Darul Sofwah Wal Mukhtarah. Terasa indahnya hidup di dalam keadaan Tarbiyyah. Ketika itulah saya dilatih dengan pelbagai bentuk latihan. Menuntut ilmu hadith di Ma'ahad Darul Hadis, bergurukan al-fadhil Tuan Guru Ustaz Zainol Asri merupakan nostalgia yang amat indah. Masih segar di ingatan, al-fadhil Ustaz mengajak kami agar memperbanyakkan ibadah di dalam bulan Ramdhan; bertadarus 3 juzu' sehari, tarawih 20 rakaat setiap malam, witir 11 rakaat, bertahajjud, berselawat. Berbuka bersama, bertarawih di sana yang kadang-kadang berimamkan Ustaz Khairullah dari Indonesia (kadang-kadang saya sendiri menjadi imamnya).

Semua ini sudah menjadi kenangan, kenangan yang amat bermakna. Saya amat merindui suasana tersebut. Entah bilakah lagi saya boleh mendapat suasana seperti itu. Terasa manis hidup di dalam tarbiyyah dan berukhuwwah.

Kini, telah genap setahun saya melangkah ke alam mahasiswa. Dan dalam tempoh itulah hampir dua kali saya menempuh imtihan di dalam bulan Ramadhan. Terasa rindu untuk kembali mengecapi suasana yang pernah dilalui satu ketika dahulu. Mudah-mudahan diizinkan Allah, mungkin juga di dalam siri dan versi yang berlainan...

Sekian.

Read more...

AHLAN YA RAMADHAN!!!

>> Friday, August 21, 2009

Setahun yang lalu, kita pernah berjumpa dengan tetamu yang istimewa ini. Tetapi, tidak kita ketahui sejauh manakah layanan kita terhadap tetamu yang amat istimewa itu. Tahun ini, kita bakal dipertemukan sekali lagi dengan si tetamu yang cukup mulia. Mereka yang mencari bekalan taqwa sudah tentu merasakan kegirangan yang amat dengan ketibaan tetamu yang mulia ini. Dialah Ramadhan, penghulu segala bulan.

Firman Allah dalam ayat 183, Surah Al-Baqarah, mafhumnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, difardhukan ke atas kamu untuk berpuasa seperti yang telah difardhukan ke atas umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu dari kalangan orang yang bertaqwa”

Saban tahun, kita sering mendengar ayat ini. Apatah lagi di dalam khutbah Jumaat di ambang Ramadhan, kita sering diingatkan oleh khatib agar mencari bekalan taqwa di dalam bulan ini.

Umum memang mengetahui fadhilat yang terkandung di dalam bulan ini. Di dalam Sohih Ibnu Khuzaimah, juzu’ yang ketujuh, terdapat sebuah hadith yang menerangkan fadhilat Ramadhan. Ada yang mengatakan bahawa Hadith ini dikategorikan sebagai maudhu’, tetapi saya telah menyemak dengan seorang pakar rujuk. Rasulullah penah bersabda di dalam sebuah hadith, mafhumnya:

“Ramadhan pada awalnya rahmat, di pertengahannya keampunan dan di akhirnya pembebasan dari api neraka”

Umum juga mengetahui bahawasanya Al-Quran itu diturunkan di dalam bulan Ramadhan mengikut qaul yang kuat. Di dalam bulan ini juga terdapat sebuah malam yang dijanjikan lebih baik dari seribu bulan. Itulah malam al-Qadr (Lailatul Qadr). Semua orang mengimpikan untuk mendapatkan malam yang amat istimewa itu. Tidak kiralah siapa jua, semuanya membicarakan tentang fadhilat malam yang cukup mulia itu. Semuanya itu merupakan motivasi untuk kita mencari Redha dan Cinta Allah.

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah bersabda, mafhumnya:

“Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan penghayatan maka akan diampunkan segala dosanya yang lalu”

Sungguh lumayan tawaran yang diberikan oleh Allah kepada umat Baginda S.A.W. Tetapi sejauh manakah kita memanfaatkan peluang yang Allah berikan ini?

Ada yang menyambut kedatangan Ramadhan ini dengan sambutan yang amat meriah. Mereka meraikannya dengan menambahkan lagi amal ibadat di dalam bulan tersebut sebagai tanda memuliakan kedatangan tetamu yang begitu mulia ini. Ada pula yang menyambutnya dengan sambutan ala kadar. Seolah-olah masih ada kesempatan untuk bertemu dengan Ramadhan pada tahun yang akan datang. Ada juga dari kalangan manusia yang menyambut kedatangan Ramadhan ini dengan hati yang cukup berat. Kelihatan seperti tidak begitu menyenangi dengan kehadiran tetamu ini.

Persoalannya, di manakah kedudukan kita? Madrasah Ramadhan ini menjanjikan sesuatu yang tidak ada pada bulan yang lain. Ia lebih berharga daripada dunia dan segala isinya. Adakah kita bersedia untuk berhadapan dengan tetamu ini? Sebuah Hadith Rasulullah yang masyhur, di kala Rasulullah sedang menaiki tangga mimbar untuk berkhutbah, Rasulullah melafazkan amin sebanyak tiga kali. Apabila ditanya, salah satunya Rasulullah mengaminkan, celakalah bagi siapa yang melepasi bulan Ramdhan akan tetapi Allah tidak mengampuni dosanya.

Beruntunglah bagi siapa yang diampunkan Allah di dalam bulan yang penuh barakah ini. Semoga kita semua tergolong di dalam golongan yang mendapat keampunan Allah dan pembebasan dari api neraka-Nya. Amin Ya Rabb…

Read more...

KEMBALI MENULIS

>> Wednesday, August 19, 2009

Setelah 2 minggu, akhirnya saya berpeluang juga untuk melepaskan geram, rindu pada papan kekunci komputer. Setelah berlalunya majlis Konvokesyen DQ, saya terus bergegas ke Bangi untuk mengikuti program JAKIM (Bas Belia MABIMS) bersama dengan belia-belia dari Indonesia, Singapura dan Brunei.

Kusangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Belum pun sempat program tersebut berakhir, badan saya mula berasa sakit dan sengal. Saya dapat mengagak, ini mesti nak demam. Bermula pada malam majlis penutup Tilawah peringkat antarabagsa yang lalu saya diserang demam panas. Suhu awalnya 39.6 darjah celcius. Demam berlanjutan sehingga saya pulang ke rumah.

Hampir seminggu 'ditamrinkan' mengajar saya erti sebuah kesabaran. Sakit itu kaffarah daripada Allah. Alhamdulillah, saya mampu laluinya dengan mudah. Demam beserta simptom H1N1 memang sesuatu yang tidak diduga. Terima kasih kepada akhi Syurahbil yang membawa saya ke klinik ketika di dalam program tersebut. Di dalam keadaan terlantar dan tak bermaya untuk bangun dari pembaringan, saya dikejutkan dengan berita pemergian Ustaz Asri Ibrahim. Mudah-mudahan rohnya bersama hamba-Nya yang soleh.

Dikala itu, saya terfikir. Mati tidak mengenal usia. Apakah selepas ini kita pula yang akan dipanggil menghadap-Nya? Hanya Allah sahaja yang Tahu...

*Tahiniah kpd Abang Duwe yang selamat tiba di Indonesia. Jumpa lagi nanti Insya Allah. Minta maaf sebab tak sempat nak jumpa. Ana cari selepas konvo lepas, tapi tak jumpa.

Read more...

Our Blogger Templates Web Design

Kepada sesiapa yang ingin mengambil bahan dari blog ini, pihak kami mengalu-alukannya. Sebarkan bahan ini dengan sebaiknya untuk faedah dan kepentingan bersama. Syukran

NASYID FM

Sila download

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP