I made this widget at MyFlashFetish.com.

SALAM JUANG BUAT SAHABAT-SAHABATKU!!!

>> Friday, September 25, 2009

Malam siang berlalu,
Gerhana kesayuan tiada berkesudahan,
Detik masa berlalu,
Tiada berteman,
Oh syahdunya...

Sejenak ku terkenang,
Hakikat perjuangan,
Penuh onak dan cabaran,
Bersama teman-teman,
Harungi kehidupan,
Oh indahnya...


24 September, jam menunjukkan jam 4.00 petang. Aku menunggu sahabat sepermainanku sejak kecil, Farhan untuk sama-sama ke airport. Sahabat-sahabatku bakal bermusafir jauh. Perpisahan yang sementara bakal terjadi.

Tiba di Alor Setar. Perutku semakin rancak mengalunkan 'nasyidnya'. Singgah makan di RFC sebelum meneruskan perjalanan ke airport.

Tiba di airport pada jam 8.15 malam. Mukaku nampak tenang, namun hakikatnya hatiku terlalu risau jika tak dapat berjumpa. Manalah tahu diri ini bakal dijemput menghadap Allah terlebih dahulu.

Alhamdulillah... Sempat juga. Aku bergegas mendapatkan sahabat-sahabat seperjuangan di dalam Badan Dakwah dan Kebajikan serta PPIK. Wajah mereka berseri-seri. Terkenang ketika mula-mula melangkah masuk menjadi penuntut di Ma'ahad Mahmud. Mengikut perancangan asal tahun ini jugalah aku berangkat bermusafir ke "ardhil kinanah". Perancangan Allah itu adalah yang terbaik.

Kepada Akhi Naimul Firdaus, Fathuddin, Zulkifli, Farhan Nadhil, Hanif Che Harun serta sahabat-sahabat yang lain teruskan usaha kalian untuk berjihad di bumi Anbiya'. Masyarakat amat dahagakan khidmat kalian yang bakal memacu revolusi serta transformasi ummah.

Tidak lupa juga kepada Ukhti Shidatul Isma, Ukhti Fasihah serta sahabat-sahabat muslimat yang lain. Kalian adalah srikandi yang akan memimpin perubahan dan menjadi sayap kepada perjuangan memartabatkan Islam. Teruskan usaha kalian mencari permata di sana.


Selamat berjuang sahabatku,
Semoga Allah berkatimu,
Kenangan indah bersamamu,
Akan ku ingat ia selalu

Berjuanglah hingga ke akhirnya,
Dan INGATLAH SEMUA IKRAR KITA...


Sekian,

Warkah dari sahabat
Ikhwan Hafiz
25 September 2009 (6 Syawal 1430)
Kulim, Kedah

Read more...

PERUTUSAN HARI RAYA MURSYIDUL AM PAS

>> Sunday, September 20, 2009

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Sun | Sep 20, 09 | 4:42:45 am MYT
Assalamu'alaikum wa Rahmatullah,

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada Bulan Ramadhan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) kerana Allah berikan hidayah kepada kamu." (Surah Al Baqarah : 185) Iklan



Setelah kita berpuasa, bertarawikh, berqiyamullail, bertadarus, bersedekah, berzikir dan sebagainya sepanjang Ramadhan, Allah S.W.T menyuruh kita bertakbir dalam berhari raya.

Takbir ialah sebutan Allahu Akbar yang bermaksud "Allah Adalah Yang Terbesar". Manakala yang lainnya adalah yang paling kecil dan mesti dipinggirkan apabila bertembung dengan Kehendak Allah S.W.T.

Malangnya ramai orang yang menyebut Allahu Akbar sebagai satu tradisi sahaja. Inilah masalah besar yang berlaku di kalangan umat Islam sejak kebelakangan ini.

Hari Raya bukanlah tradisi ciptaan orang Arab, bukan juga tradisi ciptaan orang Melayu. Bahkan ia merupakan kehendak agama.

Antara nikmat berhari raya ialah kita boleh makan dan minum setelah sebulan penuh tak boleh makan harta sendiri. Nikmat ini tak dapat dirasai oleh orang yang tidak berpuasa. Orang yang perutnya kenyang sepanjang tahun, tak terasa sedikit pun kemanisan nikmat ini.

Apabila disebut hari raya, buka saja anak kecil bahkan orang tua dan orang sakit pun turut berseronok sama. Islam minta kita bersukaria dengan amalan ziarah dan bermaafan antara satu sama lain.

Pada hari raya kita tak dibenarkan berpuasa sekalipun puasa itu sendiri adalah ibadat. Tapi dalam persoalan ibadat, maka kita perlu mengerjakannya, kita tak boleh buat pandai-pandai.

Apabila Allah Ta'ala minta kita mengerjakan ibadat, maka kita perlu mengerjakannya mengikut cara dan masa yang telah ditentukan.

Begitu juga dalam kita berhari raya, tak boleh kita buat ikut pandai sendiri. Kita berseronok dalam lingkungan yang dikehendaki oleh Allah. Sebab itu kita tak boleh berhari raya dengan pakaian, pergaulan, makan minum dan hiburan yang terlarang dan berunsur maksiat.

Berapa ramai anak-anak mengalami putus jari tangan, buta mata, muka melecur dan sebagainya akibat bermain mercun tanpa kawalan pada setiap tahun.

Berapa ramai pula yang terlibat dengan kemalangan maut pada setiap musim perayaan akibat kelalaian dan tidak memperdulikan peraturan jalanraya sehingga mengorbankan ramai orang yang tidak bersalah.

Apabila hari raya, memang menjadi fitrah manusia suka berseronok. Tapi Islam mengajar kita mengikut peraturan tertentu supaya sambutan hari raya menjadi ibadat yang mendatangkan pahala. Antara jadual berhari raya, kita disunatkan mandi sebelum pergi ke masjid.

Kalau kita mandi biasa, tubuh kita saja yang bersih. Tapi apabila kita niat bahawa mandi sunat hari raya, bukan tubuh kita saja yang bersih dan berbau sedap bahkan kita dapat pahala.

Sesetengah orang tak berapa minat sangat nak cari pahala. Apa yang dia minat ialah cari duit dan harta saja. Kepada orang-orang sebegini, dia kena faham bahawa pahala adalah mata wang (currency) yang sangat berguna apabila kita masuk kubur. Apabila kita masuk kubur, kita tidak mati seratus peratus.

Yang mati dan hancur menjadi debu hanyalah jasad kita. Roh dan jasad kita akhirnya akan dibangkitkan kembali di akhirat nanti.

Sebagaimana jasad manusia di dunia ini berkehendak kepada makan minum. Untuk memenuhi keperluan fizikal di dunia ini, kita terpaksa gunakan wang untuk membeli makanan, minuman dan pelbagai keperluan lain.

Tapi apabila saja kita masuk ke dalam kubur, semua jenis mata wang dunia ini tidak laku lagi. Duit Amerika tak laku. Mas jongkong pun tak laku. Yang lakunya ialah pahala.

Pahala adalah aset dan mata wang yang kita sangat perlukan semasa berada di dalam kubur dan di Padang Mahsyar. Salah satu cara untuk kita mendapat pahala selain daripada berpuasa, bertadarus, bertarawikh ialah dengan kita berhari raya menurut cara yang telah ditunjukkan oleh Islam.

Kita diminta membayar zakat fitrah untuk membantu golongan fakir miskin. Tentunya oarng yang tidak berkemampuan tidak ramai.

Jadi, apabila semua orang yang berkemampuan membayar zakat fitrah, kita boleh fikir sendiri betapa banyaknya harta yang diberikan kepada fakir miskin yang membolehkan mereka tumpang berseronok sama.

Pada hari raya kita diminta memakai pakaian cantik, seboleh-bolehnya pakaian yang belum dipakai lagi. Kalau pakaian sudah dipakai pun tak apa, asalkan halal dan bersih. Kita tetap juga akan mendapat pahala.

Kita juga diminta membawa anak-anak ke masjid, ke surau, ke musalla untuk bertakbir mengagungkan Allah S.W.T dan seterusnya untuk mengerjakan sembahyang sunat hari raya demi untuk bersyukur di atas hidayah kurniaan Allah kepada kita dan juga untuk bertaqarrub kepada Allah 'Azza Wa Jalla.

Sembahyang sunat Aidilfitri ada bacaannya sepertimana yang dibacakan oleh Rasulullah S.A.W. Dalam sembahyang sunat Aidilfitri, Rasulullah S.A.W membaca Surah Qaaf dalam raka'at yang pertama dan Surah Al Qamar pada raka'at kedua. Kedua-dua Surah ini menyentuh tentang Kiamat.

Ketika umat Islam sedang berseronok, tiba-tiba Nabi kita membacakan Surah yang menceritakan tentang kedahsyatan huru-hara yang pasti akan berlaku pada Hari Kiamat nanti. Sekaligus ia bermaksud bahawa segala nikmat hidup di dunia ini pasti akan disoal dan akan dikenakan pembalasan.

Siapa pun yang hidupnya di dunia ini, apabila selaras dengan kehendak Al Quran akan dimasukkan ke dalam syurga. Apabila tak selaras dengan kehendak Al Quran, baik dalam masalah politik, ekonomi, kebudayaan, pendidikan, rumah tangga dan sebagainya dia akan masuk neraka. Wallahua'alam._

*Dipetik dari Harakahdaily.net

Read more...

SALAM AIDUL FITIRI



Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
La ilaha illaLlahu Wallahu Akbar
Allahu Akbaru WaliLlahil Hamd

Salam Aidul Fitri,

Kepada semua pengunjung laman Pemuda Berkarisma Pemacu Kebangkitan Ummah, saya dengan rendah hati mengucapkan Selamat Menyambut Hari Lebaran, Kullu 'amin wa antum bikhairin. Semoga segala amalan yang telah kita lakukan sepanjang berada di dalam Universiti Ramadhan membuahkan natijah Taqwa kepada kita sebagai bekalan untuk di bawa pulang kelak.

Aidul Fitri merupakan hari kemenangan bagi mereka yang berjaya mendidik nafsu mereka selari dengan tuntutan taqwa. Maka besarkanlah hari tersebut dengan bertakbir, bertasbih, bertahmid, bertaqdis dan beristighfar.

Mudah-mudahan Ramadhan yang baru sahaja meninggalkan kita merupakan wasilah untuk kita mendapat pengampunan Allah dan mendapat rahmat serta redha-Nya.

Sekian,
Ikhwan Hafiz
Kulim, Kedah
1 Syawal 1430/20 September 2009

Read more...

CORETAN 1

>> Wednesday, September 16, 2009

Alhamdulillah..! Tamat satu ujian. Ujian yang bersifat sementara.

Dua malam yang khusus untuk Al-Quran, sebagai persediaan untuk menghadapi ujian syafawi semalam @ kelmarin (orang Kedah). Cemburu melihat ‘kemasyian’ rakan-rakan yang lain. Masa yang masih berbaki tidak boleh disia-siakan.

Menunggu ketibaan mumtahin (pengemuka soalan syafawi) merupakan satu saat yang mendebarkan. Sangkaan awalku meleset. Kusangkakan Ustazah Hayati, tetapi rupanya Ustaz Bakri (Amboala).

Dada berdegup kencang.

Segala provokasi nakal bermain di minda.

“Syadid jugak ustaz Bakri. Jangan buat main”

“Tak bawak pen, pump-in”

Begitulah lebih kurang usikan-usikan nakal. Segala yang telah di’iadah’ pada dua malam sebelumnya cuba ku ingati semula. Tambahan pula aku merupakan orang kedua yang akan berpencak di dalam gelanggang.

Namaku dipanggil. Aku cuba kumpulkan segala ketenangan. Kini aku pasrahkan segala-Nya. Tawakkal merupakan senjata yang paling ampuh buat para mu’min.

Aku cuba menjawab soalan dengan penuh tenang. Juzu’ 11 lepas, 12 lepas, 13 lepas. 14 dan 15 agak ‘sangkut’. Tetapi masih boleh dijawab.

Keluar dari gelanggang. Alhamdulillah. Terasa pertolongan Allah hampir. Dikala itu, terkenang beberapa peristiwa semasa masih menuntut di Ma’ahad. Pertolongan Allah sentiasa datang. Pesan guruku, Tn Guru Ustaz Zainol Asri, “ALLAH LEBIH MENGETAHUI APA YANG TERBAIK BUAT HAMBA DIA”.

Peperiksaan ditangguh kerana cuti ‘aidilfitri yang bakal menjelang dan disambung semula pada 28 September ini. Pantang berundur sebelum melangkah!

Sekian

p/s: tak ada yang nak dicoretkan. Ini hanyalah coretan membuang segala kekusutan dan tekanan. =) sedang membaca dan cuba mengkaji beberapa buku sempena musim cuti ini. Semoga ada perkongsian kelak sama ada di laman ini atau Fityah’s blog.

Read more...

MAKLUMAN

>> Monday, September 7, 2009



Assalamu'alaikum... Kepada pengunjung laman ini yang menjadi rakyat Kedah, adalah dimaklumkan, Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA) dengan kerjasama Exco Belia & Sukan Negeri Kedah buat julung kalinya akan mengadakan Himpunan Aidilfitri Mahasiswa Kedah yang bakal dirasmikan oleh Y.A.B Datuk Seri Azizan Bin Abdul Razak, Menteri Besar Kedah.

Di bawah ini merupakan maklumat Himpunan:

Tempat : Dewan Sri Mentaloon, Kediaman Menteri Besar Kedah
Masa : 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari
Tarikh : 3 Syawal 1430 Hijrah

Semua dijemput hadir. Sebarang pertanyaan, boleh menghubungi Sdr Zulhamdi (014-8404954)

Read more...

SESUATU YANG BESAR, BERMULA DARI YANG KECIL

30 Ogos yang lalu, saya telah diajak oleh seorang sahabat dari Pusat Asasi UIA PJ untuk menemaninya berdiskusi. Sahabat saya ini pernah menuntut di Darul Quran JAKIM dalam program persijilan. Sekarang sudah bergelar al-hafiz. Saya menerima perlawaan itu dengan senang hati memandangkan saya dalam perjalanan pulang dari PJ ke Kuala Kubu Bharu. Diskusi yang bertempat di KL Central bertajuk “Ke Arah Merealisasikan Inqilabiyah”.

Alhamdulillah, diskusi tersebut berjalan dengan lancar. Turut hadir di dalam diskusi tersebut ialah akh MarBu, akh Asyraf, akh Azam dan akh Ikram. Segan pada mulanya, memandangkan yang hadir ke diskusi merupakan orang-orang yang berfikiran luas serta mempunyai tahap pemikiran yang tinggi. Saya tidak bercadang untuk mengemukakan pandangan, tetapi setelah ‘dipaksa’ oleh sahabat (MarBu) saya menjadi malu alah.

MarBu telah menerangkan tentang dua golongan yang sedang mencuba untuk menguasai tampuk pemerintahan, iaitu golongan kapitalisme dan sosialisme. Beliau telah member gambaran tentang situasi di antara dua golongan ini bermula dari zaman Rasulullah, terus ke pasca Merdeka dan sehingga kini. Beliau juga menerangkan tentang tahalluf yang dilakukan oleh pihak Islam dengan mereka yang mempunyai perkara yang ittifaq dengan Islam. Saya tidak bercadang untuk menghurai perbahasan ini kerana mungkin saudara MarBu akan menerangkannya di dalam lamannya sendiri.

Saudara Ikram menyatakan hujah pemerkasaan ilmu yang perlu dilakukan dari peringkat akar umbi. Di samping itu beliau turut menyentuh tentang pandangan Tn Guru Syeikh Muhammad Nuruddin mengenai golongan yang perlu bersatu di Malaysia ini bagi tujuan memenangkan Islam.

Di akhir sesi, saya diminta untuk memberikan pandangan. Terasa kerdil, ditambah lagi dengan tidak bersedia kerana saya diajak teman, bukan berbincang. Bagi memenuhi hajat saudara semuslim, saya tetap memberikan pandangan yang ala kadar. Saya bercakap mengenai pemerkasaan gerakan pelajar di peringkat menengah (yang dimaksudkan gerakan Tarbiyyah). Melihat kepada situasi hari ini, saya melihat terlalu penting untuk kita memperkasakan semula gerakan pelajar bermula di peringkat menengah lagi, di samping tidak meninggalkan pemerkasaan di peringkat mahasiswa.

Merujuk kepada situasi politik negara pada hari ini cukup membimbangkan. Setelah berakhirnya PRU ke-12, kita melihat Barisan Nasional masih kekal sebagai pemerintah dan Pakatan Rakyat yang diwakili PAS, PKR dan DAP telah berjaya menawan 4 buah negeri di samping berjaya mengekalkan Kelantan yang berada di bawah naungan PAS sejak tahun 1990. Satu perubahan telah dibuat oleh para pengundi. Namun, pada Februari 2009 kita telah menyaksikan satu rampasan kuasa telah berlaku di negeri Perak. Kronologi yang membawa kepada rampasan kuasa tersebut amat menjijikkan.

Saya tidak bercadang untuk mengulas isu-isu politik yang berlaku. Tetapi apa yang saya ingin gambarkan, kemenangan yang dikecapi pada hari ini bukan kemenangan yang berasal dari persediaan yang cukup. Seorang ulama’ yang terlibat dalam gerakan untuk memartabatkan Islam telah berkata bahawa pengisian terhadap kemenangan ini perlu diperhebatkan. Saya masih ingat, ketika saya aktivis untuk gerakan pelajar di Kedah, bagaimana pembangkang ketika itu (kerajaan sekarang) giat melaksanakan usaha untuk mendapatkan kemenangan. Dan saya yakin usaha itu masih berterusan sehingga kini dalm misi mempertahankan kemenangan.

Namun, isu yang ingin saya bawakan sekarang ialah pemerkasaan pengisian dengan memperkasakan gerakan di peringkat menengah. Sudah tentu kita sering mendengar pepatah yang menyebut “sikit-sikit, lama-lama jadi bukit”. Pepatah ini selalunya sinonim dengan amalan menabung. Namun, saya ingin mengaitkannya dengan pemerkasaan di peringkat akar umbi. Saya melihat gerakan di peringkat ini seperti tidak dipedulikan oleh banyak pihak. Kita lebih banyak menumpukan bagaimana untuk memperkasakan mahasiswa. Saya tidak mengatakan itu salah. Tetapi satu usaha perlu dilakukan untuk memastikan satu bentuk pemahaman yang jelas telah ditanam di peringkat dasar.

Maksud saya di sini, sesuatu yang besar berasal dari sesuatu yang kecil. Ini teori kimia yang diterangkan oleh saudara Afifi. Gerakan mahasiswa itu luas, dan peranannya dalam melahirkan pejuang yang ingin memartabatkan Islam adalah luas. Apa yang sering berlaku, tamat sahaja alam kampus, tidak ada sumbangan yang diberikan untuk gerakan Islam. Mengapa ini berlaku? Mungkin juga boleh dikatakan pemahaman yang tidak jelas, ataupun sudah jelas tapi buat-buat tak jelas. Na’uzubillah. Satu kerugian yang telah berlaku.

Dan jika diteliti pilihan raya kecil Manek Urai, pihak BN banyak mengeksploitasi anak-anak muda sehingga menyumbang kepada merosotnya majoriti undi. Jika pemerkasaan tarbiyyah dilakukan di peringkat menengah lagi, Insya Allah mungkin peratusan golongan yang mudah dieksploitasi ini kurang. Lihat bagaimana Rasulullah menerapkan elemen iman dan taqwa ke dalam diri pemuda di zaman tersebut sehingga melahirkan kader-kader yang tidak goyah dan tidak mudah terpengaruh apabila berhadapan dengan nikmat dunia. Golongan seperti inilah yang sering kita impikan.

Kalaulah gejala ini (tidak menyumbang tenaga setelah tamat pengajian) turut berlaku bagi mereka yang mempunyai latar pendidikan yang tinggi, apatah lagi anak-anak muda yang tidak mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Usaha ini tidak boleh dipandang enteng kerana saya amat yakin ia banyak membantu untuk proses kaderisasi yang lebih efektif di peringkat yang lebih tinggi.

Sekian

Ikhwan Hafiz
12 Ramadhan 1430
Selangor

Read more...

Our Blogger Templates Web Design

Kepada sesiapa yang ingin mengambil bahan dari blog ini, pihak kami mengalu-alukannya. Sebarkan bahan ini dengan sebaiknya untuk faedah dan kepentingan bersama. Syukran

NASYID FM

Sila download

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP