I made this widget at MyFlashFetish.com.

SALAM AIDUL ADHA

>> Friday, November 27, 2009

ALLAHU AKBAR
ALLAHU AKBAR
ALLAHU AKBAR
WA LILLAHIL HAMD

Firman Allah s.w.t:

“Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu?” Anaknya menjawab: “ Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya Allah ayah akan mendapati daku dari kalangan orang yang bersabar” as-Saffat; 102

Aidul adha kembali menjengah, membawa seribu satu kisah pengorbanan yang sewajarnya kita hayati. Kisah pengorbanan pertama yang berlaku, pembunuhan Habil yang dibunuh saudara kandungnya Qabil, ditambah dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ‘alaihimassalam merupakan pengajaran yang amat berharga yang perlu untuk dihayati.

Seperti ‘aidul Fitri, ‘aidul adha juga bukan merupakan satu perayaan adat. Menjelang 10 Zulhijjah maka bergema semula takbir di angkasa, memecah segala kesunyian. Pada hari ini juga, disyariatkan ibadah haji kepada umat Islam.Namun, ia bukanlah satu adat akan tetapi ianya mempunyai makna yang cukup tersirat. Hikmah Allah menjadikan hari ini sesuai dengan keperluan semasa.

Jihad dan pengorbanan merupakan dua elemen yang berkait rapat. Kedua-duanya memerlukan satu elemen tambahan yang akan menghasilkan natijah yang sempurna. Itulah elemen kesabaran. Apa-apa perkara yang mampu menguntungkan Islam, yang mampu mengangkat semula martabat Islam dipanggil jihad. Dan jihad memerlukan kepada pengorbanan yang sangat tinggi. Mana mungkin jihad mampu terhasil jika tidak disertakan dengan pengorbanan. Pengorbanan pula perlulah disertakan dengan kesabaran kerana tujuan jihad itu sendiri adalah untuk menggapai redha Allah.

Kembali berpijak di bumi yang nyata. Manusia yang hidup pada hari ini semakin hari semakin jauh dari undang-undang Allah s.w.t. Jangan kita menyangka undang-undang Allah itu hanya berkisar undang-undang pemerintahan negara, akan tetapi undang-undang terhadap individu juga termasuk dalam erti kata undang-undang Allah s.w.t. Kita sering kali membicarakan perihal masyarakat luar yang semakin parah dan kronik dengan gejala sosial yang melanda. Propaganda yang dibawa oleh musuh Islam telah menjadikan umat Islam hari ini semakin lemah dan jauh tersasar dari hala tuju yang sebenar. Namun, perlu juga untuk kita sedari bahawa propaganda ini juga yang telah meresap masuk ke dalam diri dan pemikiran masyrakat huffaz hari ini.

Mungkin tidak keterlaluan untuk saya katakan, masyarakat huffaz merupakan nadi penggerak kepada masyarakat di luar. Masyarkat huffaz ibarat hati di dalam satu badan. Jika rosak hati tersebut maka akan rosak jugalah seluruh tubuh badan. Namun jika baik hati tersebut maka sejahteralah seluruh tubuh badan. Merenung kembali apa yang pernah diperkatakan oleh Syeikhuna Abul A’ala al-Maududi di dalam makalahnya, Manhaj Hidup Muslim. Sememangnya Al-Quran itu tinggi tempatnya, tetapi kita yang merendahkannya. Melakukan kezaliman terhadap Al-Quran bukan hanya bererti meletakkan Al-Quran itu di tempat yang kotor, tetapi jika mengabaikan segala yang termaktub di dalamnya juga merupakan satu kezaliman yang besar.

Kita mengetahui, Allah telah menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai qudwah hasanah. Ketika ditanya kepada saiyidatuna ‘Aishah radhiyallahu ‘anha tentang akhlak Baginda, maka Ummul mu’minin ‘Aisyah mengatakan bahawa akhlak Baginda itu adalah Al-Quran. Muhasabahlah semula, di mana tingkatan akhlak kita. Bagaimana akhlak kita dengan diri kita, bagaimana akhlak kita dengan masyarakat, dan yang paling penting bagaimana pula akhlak kita dengan Allah s.w.t.

Pernah satu ketika, saat pulangnya Ibrahim bin Ablah dari satu peperangan. Ibrahim bin Ablah berkata kepada tenteranya bahawasanya mereka pulang dari jihad yang kecil (peperangan) kepada jihad yang besar (melawan hawa nafsu). Seperti yang dinyatakan, jihad memerlukan kepada pengorbanan dan kesabaran. Untuk mencontohi model yang ditunjukkan Baginda bukanlah mudah kerana ianya amat bertentangan dengan nafsu yang sentiasa mengajak ke arah kejahatan. Justeru hanya hati yang sentiasa berpaut pada Allah sahaja yang bakal melepasi ujian ini. Perkara asas yang perlu diambil kira ialah nilaian ketaqwaan kita kepada Allah. Hanya pengorbanan orang yang bertaqwa sahaja yang bakal diterima oleh Allah seperti yang dirakamkan di dalam Surah Al-Maidah ayat 27.

Wallahu a’alam..

Sekian

MUHAMMAD FAKHRUR RIDZWAN BIN OTHMAN
Yang Di-Pertua
Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran
Sesi 2009/2010

Read more...

APA NAK JADI NI???

>> Thursday, November 12, 2009

Belakangan ini, rakyat Malaysia dijamu dengan cerita penangkapan Dr. Asri Zainal Abidin, matan Mufti Perlis. Penangkapan dibuat atas alasan Dr. Asri tidak mempunyai tauliah unuk menyampaikan kuliah di Selangor. Akhbar hari ini pula memaparkan tindakan Adun Gombak Setia yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Dr. Hassan Ali yang mempertahankan tindakan JAIS untuk membawa kes ini ke mahkamah. Perkara ini dipertahankan beliau apabila sidang DUN mebangkitkan isu penahanan Dr. Asri dan meminta ianya digugurkan.

Hassan Ali dan JAIS

Saya secara peribadi kurang senang dengan isu seperti ini. Ianya seolah-olah menampakkan sikap kebudak-budakan pihak yang dimaksudkan. Sepatutnya, JAIS dan Dr. Hassan Ali perlu lebih bersikap matang dan profesional dalam mengendalikan isu seperti ini. Saya bukanlah pengikut Dr. MAZA tetapi disebabkan hanya kerana isu tauliah perkara ini diperbesarkan.

Umum mengenali siapa yang dikatakan “DR. ASRI ZAINAL ABIDIN”. Ramai yang menyifatkan beliau sebagai seorang wahabi. Sedangkan kita perlu kenal terlebih dahulu susur galur wahabi jika ingin melabel seseorang itu sebagai wahabi. Adakah disebabkan segulung tauliah perkara ini harus dibicarakan di mahkamah? Sedangkan beliau mempunyai Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau juga merupakan seorang bekas mufti yang dipilih olrh Raja Perlis satu ketika dahulu.

Seperti yang saya tegaskan, saya bukanlah pengikut Dr. MAZA. JAIS sendiri perlu ingat, betapa banyaknya tanggung jawab yang lebih besar untuk dilaksanakan. Bukan hanya mengambil kira perkara yang bersifat furu’iyah seperti ini. Nak dikatakan sesat? Masakan boleh menjadi mufti. Sedangkan ramai ilmuan Islam, golongan fuqaha’ di negara ini mengiktiraf beliau. Tindakan memperbesarkan isu ini akan dilihat sebagai satu kerugian kepada umat Islam itu sendiri.

Kenapa?

Saya yakin sudah ramai di kalangan non-muslim yang Nampak akan keindahan dan kemurnian ajaran Islam. Namun, jika perkara kecil seperti ini diperbahaskan dengan hebat akan mendatangkan satu perspektif yang negatif di dalam minda mereka dan akan menyebabkan mereka menjauhi Islam. Bukankah itu satu kerugian? Dalam aspek yang lain, golongan yang memperjuangkan Isam Liberal seperti SIS tidak pula mendapat tempat di hati JAIS ataupun Hassan Ali. Sedangkan mereka itu lebih besar bahayanya berbanding fikrah dan fahaman Dr. MAZA ini. Masih panas di telinga saya apabila Saudara MarBu menceritakan tentang pelawaan SIS kepada siapa yang berminat untuk berjidal ( baca : debat) dengan mereka. Ketika itu, tidak ada seorang pun yang berani tampil menyahut cabaran tersebut.

Seharusnya kini JAIS khususnya dan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri yang lain amnya perlu menumpukan terhadap proses kaderisasi yang akan berperanan melawan pihak yang memperjuangkan ideologi jahiliyyah yang sesat dan menyesatkan, bukan menumpukan perkara furu’iyah seperti ini.

Lihat Pada Yang Utama

Saya mengajak semua untuk merenung sepotong ayat Al-Quran dari Surah Al-Baqarah, ayat 159-160, mafhumnya:

“Sungguh, orang-orang yang telah menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan dan petunjuk, setelah Kami jelaskan kepada manusia dalam Kitab (Al-Quran), mereka itulah yang dilaknat Allah dan dilaknat pula oleh mereka yang melaknat. Kecuali mereka yang telah bertaubat, mengadakan perbaikan dan menjelaskannya (yakni melakukan pekerjaan yang baik untuk menghilangkan akibat-akibat yang jelek dari kesalahan yang telah dilakukan, dan menjelaskan kebenaran yang disembunyikan), mereka itulah yang Aku terima taubatnya dan Akulah yang Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang”

Penulisan saya ini bukanlah hanya merujuk kepada isu Dr. MAZA sahaja, akan tetapi bersifat menyeluruh. Di dalam akhbar hari ini juga menyiarkan berita terhadap tindakan yang dikenakan terhadap pegawai Masjid di Subang Jaya kerana sering memanggil khatib luar yang berkhutbah tidak mengikut teks yang dikeluarkan, bahkan dijadikan pentas politik.

Saya tidak menafikan arahan daripada istana. Akan tetapi, kebenaran tetap kebenaran. Merujuk kepada ayat di atas, sudah cukup untuk menjelaskan balasan bagi orang yang menyembunyikan kebenaran.

Kita sendiri menyaksikan peranan yang pernah dimainkan oleh Dr. MAZA satu ketika dahulu. Beliau dilihat telah menghidupkan institusi mufti yang dilihat kian lesu. Beliau juga banyak memberikan pandangan serta kritikan terhadap perjalanan perti politik PAS mahupun UMNO. Tidak dinafikan, beliau juga mempunyai pandangan yang tersangat kontra dengan ‘uruf masyarakat di Malaysia. Namun, itu adalah khilaf. Bukan perkara usul yang dibangkitkan. Saya mengajak semua untuk melihat kepada sumbangan teradap Islam dan itu jugalah yang sering dinasihatkan oleh rakan-rakan seperjuangan.

Sepatutnya kita cuba berlapang dada, bukan bertindak menghukum. Seperti yang saya nyatakan, tindakan akan menyebabkan golongan juhala’ dan non-muslim semakin lari daripada Islam lantaran kerasnya pendirian yang digunakan. Bahkan,musuh akan sentiasa mentertawakan umat Isam kerana sering tetipu dengan agenda kecil yang Nampak seperti sebuah gunung yang bakal menghempap.

Kesimpulannya, jangan kita bertindak seperti kanak-kanak yang sedang bertelingkah kerana berebut untuk mendapatkan sebiji gula-gula. Akan tetapi jadilah kita seperti seorang yang sentiasa melihat ruang dan peluang untuk mengembangkan kemurnian dan kesucian Islam.


Ikhwan Hafiz

12 November 2009

Read more...

Our Blogger Templates Web Design

Kepada sesiapa yang ingin mengambil bahan dari blog ini, pihak kami mengalu-alukannya. Sebarkan bahan ini dengan sebaiknya untuk faedah dan kepentingan bersama. Syukran

NASYID FM

Sila download

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP