I made this widget at MyFlashFetish.com.

YANG HARAM TETAP HARAM

>> Saturday, May 8, 2010

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Allah S.W.T berfirman dalam surah Al-Maidah:

90. “Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya minuman keras, berjudi (berkorban untuk) berhala, dan mengubah nasib dengan anak panah, adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah (perbuatan-perbuatan) itu agar kamu beruntung.”

91. “Dengan minuman keras dan judi itu, syaitan hanyalah bermaksud menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu, dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan melaksanakan solat. Maka tidakkah kamu mahu berhenti?”

92. “Dan taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul serta berhati-hatilah. Jika kamu berpaling, maka ketahuilah bahawa kewajiban Rasul Kami, hanyalah menyampaikan amanat dengan jelas.”


Allah telah jelas menyatakan bagi mereka yang hanya mahu beriman dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w bahawasanya Al-Quran ini tidak ada syak padanya dan merupakan petunjuk bagi mereka yang bertaqwa. Dalam surah Al-Maidah ayat 90-92, Allah secara jelas telah mengharamkan arak, perjudian, korban buat berhala dan menilik nasib. Allah menjelaskan bahawasanya perkara ini keji di sisi Islam.

Kecoh seketika isu judi. Ada menteri yang pernah disebut-sebut sebagai calon MB di sebuah negeri ketika PRU ke-12 yang lalu telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa kerajaan sedang menimbang untuk mengeluarkan lesen pertaruhan (baca: lesen judi) sukan untuk kejohanan bola sepak Piala Dunia awal Jun ini. Katanya sudah ada syarikat yang mengemukakan permohonan itu.

Merujuk laman detikdaily.net, alasan yang diberikan ada dua. Pertama, untuk mengelakkan judi haram. Kedua, kerajaan akan mendapat hasil yang boleh digunakan termasuk untuk pembangunan sukan di negara ini.

Kenyataan yang ini dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Dr Awang Adek Hussein. Hairan dengan kenyataan seperti ini. Di dalam satu SIRI LAWATAN (baca : kempen) Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran ke kampus Darul Quran yang terletak di Hulu Selangor, beliau telah menyatakan kepada sidang pendengar bahawasanya barisan kabinet yang diterajui oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak adalah barisan kabinet contoh yang berteraskan modal insan. Persoalannya, bagaimana kabinet contoh ini mampu bersikap biadab dengan hukum Allah s.w.t? Para menteri bukanlah ma’sum (baca : terpelihara daripada dosa) sehingga boleh mengubah apa yang telah digariskan oleh Allah Ta’ala di dalam kitab-Nya.

Merujuk kepada apa yang telah diperkatakan oleh TPM dalam siri lawatan beliau ke kampus Darul Quran ketika musim Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor yang lalu, kerajaan begitu serius dalam memartabatkan soal dan nilai-nilai agama Islam. Kerajaan juga begitu menitik beratkan soal pendidikan agama Islam di negara ini. Bagaimanakah sebuah kerajaan yang mendakwa terlalu menitik beratkan soal dan nilai-nilai keislaman di negara ini mampu mempertimbang lesen perjudian? Bukankah dalam terjemahan ayat di atas jelas menyatakan hukum sebenar judi?

Mari kita merenung semula apa yang telah disebut di dalam Al-Quran. Di dalam ayat 90, Allah telah jelas menyatakan bahawasanya judi itu antara perbuatan yang dikeji dan perbutan syaitan. Allah juga telah menegaskan sekiranya ingin kejayaan, maka jauhilah perbuatan mungkar tersebut.

Di dalam ayat 91, Allah telah menyatakan bahawasanya judi dan arak itu tidak lain hanyalah pencetus kepada permusuhan dan perpecahan di kalangan umat manusia. Dan di dalam ayat 92, Allah telah menyatakan bahawa tugas Rasul itu hanya menyampaikan dengan jelas.

Apa yang ingin diperhatikan secara serius, pada ayat 92, Allah telah menyatakan bahawasanya tugas rasul itu hanyalah penyampai amanat secara jelas daripada Allah. Di dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w telah menyatakan bahawasanya ulama’ itu peawris anbiya’. Apa yang perlu kita perhatikan secra serius, Al-Quran dan Hadith telah pun menyatakan secara jelas hukum serta peranan yang perlu dimainkan. Akibat yang bakal diperoleh sekiranya kita tidak mengambil berat apa yang telah disebut oleh Allah dan Rasul-Nya, maka azab Allah akan menimpa manusia. Bukan sahaja mereka yang memberikan lesen, bahkan rakyat yang tidak setuju juga turut terkena tempiasnya. Semoga kita dijauhkan Allah daripada azab.

Saya agak tertarik dengan isu-isu yang dimainkan oleh Kerajaan Umno-BN ini ketika proses kempen PRK Hulu Selangor berlangsung. Mereka mengatakan bahawa calon PKR mempunyai seekor kuda lumba. Apa yang dapat dikaitkan dengan kuda lumba sekiranya bukan judi? Namun, apa yang berlaku sekarang adalah seperti di dalam ibarat, meludah ke langit jatuh ke muka sendiri! Orang yang berjudi tetap berdosa, tetapi yang member lesen lebih berdosa. Orang yang minum arak itu berdosa, tetapi yang member lesen itu lebih berdosa. Di manakah kabinet contoh yang diperkatakan TPM dalam siri lawatan beliau itu?

Melihat kepada alasan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Kewangan itu jelas menunjukkan tidak matangnya kerajaan dalam menangani soal jenayah. Judi wajib dibanteras, bukan diberi lesen untuk dihalalkan oleh UMNO-BN. Judi wajib disingkirkan dari muka bumi, bukan diberi tempat. Tidak ada satu agama pun yang membenarkan perjudian kerana ia jelas memberi kerosakan yang dahsyat kepada masyarakat. Melalui perjudian, bidang sukan di negara ini akan terus berada di tahap yang paling rendah. Ini kerana sumber yang diperoleh untuk membangunkan sukan di negara ini bukan melalui cara yang halal. Bahkan ianya dikeji!

Dalam hal ini, saharusnya kita menyatakan bantahan. Terutama mereka yang bergelar ulama’. Bukan mendiamkan diri dan memberi respon isu berpolitik di masjid. Sememangnya berpolitik di masjid itu tidak dibenarkan di negara ini, dan pada hemat saya, kita harus menghormati apa yang telah digariskan ini. Namun, ia bukanlah bertentangan dengan syariat Islam seperti yang diperkatakan pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa’amah. Bukan isu itu yang harus diperkatakan pada waktu ini. Apa yang harus dilihat, kemungkaran yang lebih besar wajib ditentang sehingga ke akar umbi.

Justeru, saya berpandangan bahawasanya rakyat Malaysia mesti menolak mereka yang menganjurkan maksiat yang jelas bertentangan dengan syara’. Meluluskan perkara yang haram itu adalah haram, menghalalkan apa yang haram itu adalah haram, menyokong mereka yang menghalalkan apa yang haram itu juga adalah haram.

Bertaubatlah selagi ada kesempatan. Bertaubatlah sebelum terlambat. Pesan guru, Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya, bahkan kitalah yang seringkali menzalimi diri sendiri.

Ikhwan Hafiz

Hulu Selangor
8 Mei 2010/23 Jamadil Awal 1431

Read more...

Our Blogger Templates Web Design

Kepada sesiapa yang ingin mengambil bahan dari blog ini, pihak kami mengalu-alukannya. Sebarkan bahan ini dengan sebaiknya untuk faedah dan kepentingan bersama. Syukran

NASYID FM

Sila download

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP