I made this widget at MyFlashFetish.com.

UJIAN : ANTARA DUA PERSIMPANGAN

>> Thursday, December 30, 2010

Situasi 1:

“Man, aku dapat mumtaz dalam exam baru ni. Kau tak tahu Man, aku memang dah lama usaha nak bagi dapat keputusan macam hari ni”, ujar Arif kepada sahabat baiknya, Azman.

Situasi 2:

“Alhamdulillah Hafiz, rezeki aku dapat dekan untuk exam kali ni”, kata Ridzwan kepada Hafiz.


Dua situasi yang berbeza.

Tiada kehidupan jika tiada ujian. Itulah sunnatullah yang telah Allah tetapkan ke atas manusia. Hal ini telah Allah nyatakan di dalam firman-Nya melalui surah al-Ankabut, ayat 2 mafhumnya:

“Apakah kamu mengira Kami akan membiarkan kamu menyatakan : Kami telah beriman, sedangkan kamu belum diuji?”

Sudah menjadi lumrah kehidupan manusia. Sudah menjadi rencah terhadap sebuah kehidupan dengan ujian yang didatangkan. Ujian itu datang dalam pelbagai bentuk, bermacam cara. Setiap minit yang kita lalui adalah ujian.

Benarkah?

Ya!

Masa lapang kita adalah ujian, sibuk kita adalah ujian sihat kita adalah ujian, sakit kita adalah ujian, muda kita adalah ujian, tua kita juga adalah ujian. Setiap detik yang kita lalui, setiap nafas yang kita perolehi, setiap perkara yang kita harungi, semuanya adalah ujian!


Sikap Manusia

Manusia terdiri dari dua golongan. Ada di kalangan manusia yang tahu rasa bersyukur, namun tidak kurang juga di kalangan manusia yang merasakan dirinya hebat sehingga dia lupa dari mana asal-usulnya. Manusia yang bersyukur akan sentiasa mendapat nikmat daripada Allah kerana itulah janji-Nya. Manusia yang ingkar mungkin juga diberikan nikmat. Dan tidak mustahil nikmat itu sebagai salah satu jalan menuju kepada azab.

Lazimnya, manusia akan bergembira dengan nikmat yang diperoleh. Apabila dilanda musibah dan kesusahan, maka keluhanlah yang menjadi tutur bicaranya. Apabila senang, manusia seringkali lupa kepada Tuhannya. Apabila susah, Allah jualah tempat mereka mengadu.

Inilah sikap manusia. Koreksi diri kita, adakah kita bersandarkan kepada kudrat yang dipinjamkan Allah ataupun kita bersandar kepada Yang Memberi kudrat?

Allah telah menyatakan di dalam firman-Nya, melalui surah Ibrahim, mafhumnya:

Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan Demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar Sesungguhnya azabKu amatlah keras".

Saya teringat pesan guru, Syeikh Zainul Asri Bin Romli. Pernah suatu ketika, saya meminta nasihat daripada al-fadhil, lalu beliau berpesan:

“Berusahalah untuk merasakan diri kita sebagai hamba. Amat berbeza bagi orang yang tahu dia hamba dengan orang yang merasakan dirinya hamba.”

Hamba yang tahu erti syukur adalah hamba yang merasakan dirinya hamba. Hamba yang tidak bersandar kepada dirinya adalah hamba yang merasakan dirinya hamba. Hamba itu sifatnya sentiasa bergantung, selalu berharap kepada tuannya.

Justeru, bagaimanakah kita?


Antara Dua Persimpangan

Kehidupan yang dilalui merupakan sebuah pilihanraya yang tidak pernah berhenti. Setiap saat kita sedang mengundi. Setiap saat kita sedang memilih. Apa yang kita undikan? Apa yang kita pilih?

Sama ada syurga,

Ataupun neraka.

Ujian itu bukanlah bertujuan menyusahkan hamba. Andai kita menggunakan kesempatan masa yang diberikan, nikmat kesihatan yang baik, akal fikiran yang cerdas, sudah pasti kita akan nampak natijah di sebalik sebuah ujian.

Ujian itu tujuannya untuk mendekatkan diri kita dengan Allah, Tuhan Yang Menciptakan.

Ujian itu tujuannya mematangkan diri, mewaraskan fikiran.

Justeru, bukan ujian yang perlu dicemuh. Sebaliknya, kita seharusnya berusaha meletakkan husnu zhon kepada Allah.

Hisablah diri. Hitunglah amal. Adakah kita telah mempersembahkan yang terbaik di hadapan Allah ataupun sebaliknya?

Hanya iman sahaja yang mampu berbicara.

Ikhwan Hafiz
Kuala Kubu Bharu

Read more...

SALAM MA'AL HIJRAH

>> Thursday, December 9, 2010

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

1431 hijriah melabuhkan tirainya, digantikan pula dengan 1432 hijriah. Saban hari umur manusia semakin tua dan semakin menghampiri penghujungnya. Ada di kalangan kita yang dijemput menemui Rabbnya di kala usia yang masih muda, ada pula ketika usianya mencecah waktu senja. Namun itu bukanlah persoalan yang utama. Sebaliknya, sejauh mana pula persediaan kita untuk menghadapi kematian.

Merenung sejenak sirah perjuangan hidup Baginda Rasulullah s.a.w. Hijrah merupakan episod baru dalam sejarah hidup umat Islam. Penghijrahan Rasulullah s.a.w bersama Saiyidina Abu Bakr as-Siddiq ke Madinah telah member impak yang positif terhadap perkembangan umat Islam. Pengorbanan yang dilakukan Baginda dengan meninggalkan tanah air semata-mata demi kepentingan Islam tiada nilai bandingan. Bayangkanlah di saat kehidupan umat Islam yang penuh dengan liku dan cabaran, mereka dengan sifat amanah dan taqwa kepada Allah menyahut seruan hijrah dengan terpaksa meninggalkan harta, ternakan, anak dan isteri. Rasulullah s.a.w sendiri diburu pada malam penghijrahan Baginda, namun kuasa Allah mengatasi segalanya. Saiyiduna Ali menjalankan tugas dengan cemerlang tanpa timbul rasa gentar walaupun usianya ketika itu hanya belasan tahun. Asma’ binti Abu Bakr dan saudara kandungnya Abdullah, dengan jiwa yang penuh cekal dan tabah telah menyumbang khidmat dalam menjayakan misi hijrah Nabi s.a.w.

Beberapa istifadah yang boleh dihayati hasil daripada peristiwa hijrah.

1. Ulama’ telah menggariskan bahawa hijrah yang berlaku selepas pembukaan kota Mekah hanya hijrah dari satu keadaan yang buruk kepada sesuatu yang lebih baik. Untuk melakukan penghijrahan, bukanlah satu perkara yang mudah. Kita merenung kembali falsafah pengorbanan. Untuk berkorban memerlukan satu nilai kesabaran yang tinggi supaya hijrah yang dilakukan itu bertepatan dengan kehendak Allah s.w.t.

2. Allah s.w.t berfirman di dalam surah Al-Maidah ayat 2, mafhumnya;

“…dan bantulah sesama kamu di dalam perkara yang menjurus kepada kebaikan dan ketaqwaan, janganlah kamu saling bertolongan di dalam perkara yang boleh menambahkan dosa dan permusuhan…”

Satu pengajaran daripada kisah hijrah dan ayat ini. Manusia tidak akan mampu sama sekali melaksanakan segala tugas yang telah diamanahkan dengan seorang diri. Kerana itulah manusia diibaratkan seperti sebuah bangunan yang saling melengkapi. Secara logiknya dari sudut akal manusia biasa, misi hijrah tidak akan berjaya tanpa adanya watak-watak yang membantu dalam usaha menjayakan misi hijrah.

3. Asas di dalam melakukan setiap perkara dengan meletakkan diri kita di posisi hamba kepada Pencipta. Seorang hamba tidak akan berpaling dari berharap kepada Tuhannya sehingga pengharapan itu dibalas dengan satu ganjaran yang lumayan. Sikap raja’ dan tawakkal kepada Allah perlu diimplemantasikan dalam kehidupan supaya setiap perlakuan kita itu dikira sebagai ibadah di sisi Allah.

Umat Islam amat dituntut untuk menghayati falsafah yang terkandung di dalam peristiwa hijrah, apatah lagi kondisi sebagai seorang huffaz. Seorang huffaz perlu memiliki semangat juang yang tinggi untuk melangkah melakukan perubahan kerana huffaz hari ini merupakan nadi kepada masyrakat. Seandainya sebelum ini akhlak kita tidak bertepatan dengan akhlak al-Quran, maka berhijrahlah ke arah yang lebih baik. Berhijrahlah ke arah kesempurnaan dengan kita kuburkan segala keburukan yang lalu tanpa perlu menoleh semula dengan rasa belas dan ihsan kerana ia hanyalah hampas yang tidak pernah memberikan sebarang faedah dan kebaikan.

Saiyiduna Ali pernah merintih di hadapan Tuhannya, di saat manusia sedang enak dibuai mimpi pada malam hari. Beliau berkata, “Ah, sedikitnya bekalanku sedangkan perjalananku masih jauh”. Seorang khalifah yang tergolong dalam kelompok kibarus-sohabah, seluruh dunia Islam mahupun bukan Islam mengenali siapa Saiyiduna Ali dan beliau juga sahabat yang dijamin syurga tanpa hisab melahirkan rasa kekerdilan dan kekurangan kita di hadapan Maha Pencipta, bagaimana pula nilaian tahap keimanan kita? Sudah pasti tidak terbanding!

Salam Ma’al Hijrah

*Tulisan ini merupakan Kalam YDP PERKEMAT 09/10 sempena sambutan Ma'al Hijrah pada tahun lalu. Saya telah mengolah sedikit dan dipaparkan untuk perkongsian bersama pembaca.

Read more...

CORETAN DI AWAL 1432 H

>> Tuesday, December 7, 2010

Salam Ma'al Hijrah

1431 hijri telah melabuhkan tirainya, muncul pula 1432. Bermakna umur kita semakin bertambah, usia kita semakin tua, perjalanan kita menuju kematian semakin hampir. Bagaimana dengan bekalan yang akan kita bawa untuk pulang ke ‘kampung halaman’ kelak?

Teringat kata-kata Saiyiduna Ali, yang diungkapkan oleh S.S Dato’ Mufti Kedah. “Ah, sedikitnya bekalanku sedang perjalananku masih jauh.”

Sesuatu yang ingin dikongsikan bersama kalian.

Perjalanan yang telah ditempuhi selama setahun (tahun hijri) atau satu sesi cukup memberikan kesan. Pengalaman mengemudi sebuah badan pelajar bukanlah satu perkara yang boleh dipandang mudah. Hanya air mata yang mampu mengungkap makna kelelahan dan kekerdilan yang ada pada diri seorang hamba. Bermula 21 November 2009, saya ditaklifkan sebagai khadam huffaz a.k.a Yang Dipertua PERKEMAT DQ, saya mula belajar untuk memberi.

Masih segar di minda, belum sampai saya menjadi YDP saya telah disabotaj oleh individu yang tidak dikenali. Ceritanya, pada malam tersebut saya bersama mantan Exco Lajnah Dakwah dan Tarbiyyah tidur di bilik Setiausaha Agong. Kebetulan, S/U Agong pulang ke rumah pada hari tersebut. Seingat saya sebelum melelapkan mata, lampu tidak ditutup. Sebaik sedar untuk solat subuh, keadaan bilik menjadi gelap.

“Mungkin Marwan yang tutup lampu,” saya cuba menyedapkan hati. Namun ada satu perkara yang menjadi kemusykilan. “Kenapa bau rokok dalam bilik ni?”

Saya cuba mencari arah bau rokok. Selesai solat subuh, saya mendapati ada sepuntung rokok di tepi tingkap. Cuba mencari telefon. Tak jumpa!

Pengalaman disabotaj. Alhamdulillah semangat tidak lentur. Saya hanya berharap Allah melindungi saya dari sebarang kejahatan.

Melewati usia mentadbir PERKEMAT DQ, saya merasakan tidak banyak perkara baru yang berjaya dibuat. Hanya satu perkara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini berjaya dilakukan pada sesi 2009/2010.

Demonstrasi Aman Palestin.

Tahniah kepada Us.Marwan Bukhari yang bertindak sebagai mando untuk demo tersebut. Terasa sedikit terkilan kerana tidak dapat bersama sahabat-sahabat dalam demo tersebut kerana terlantar 2 minggu di hospital. Demam panas akibat jangkitan kuman.







Tetapi agak lucu apabila mendengar cerita sahabat-sahabat yang berdemo. Namanya demonstrasi aman, namanya demonstrasi Palestin. Modus operandinya hanya berkumpul di hadapan Masjid Darul Quran untuk menyatakan bantahan. Bukan sampai berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat untuk menyerahkan memorandum. Itu pun dikhabarkan ada 4 cawangan polis yang memantau. Subhanallah! Hebat kuasa demo.

Saya tidak berhajat untuk bercerita panjang tentang pengalaman saya mentadbir PERKEMAT DQ bersama sahabat-sahabat yang lain. Kerana kami bukanlah generasi yang terbaik untuk dibanggakan. Apa yang baik pada kami, ambillah.

Cuma, secebis pesanan. Pesanan yang selalu diingatkan oleh mereka yang amat saya segani. Belajarlah untuk menjadi seorang yang berjiwa besar. Itulah keperluan bagi seorang pemimpin. Selalu saya ungkapkan, hanya orang yang berjiwa besar mampu untuk menyerap segala tekanan.




Tanggal 28 November 2010, saya telah menyerahkan mandat sebagai Yang Dipertua kepada Us.Che Faizul Azhar Bin Che Mat. Pada saya, beliau seorang yang lebih layak berbanding saya untuk meneruskan perjuangan yang suci ini. Kekuatan yang ada pada beliau diyakini oleh seluruh masyarakat PERKEMAT DQ untuk menggerakkan PERKEMAT DQ lebih maju ke hadapan.

Seeru ‘ala barakatillah!

Read more...

Our Blogger Templates Web Design

Kepada sesiapa yang ingin mengambil bahan dari blog ini, pihak kami mengalu-alukannya. Sebarkan bahan ini dengan sebaiknya untuk faedah dan kepentingan bersama. Syukran

NASYID FM

Sila download

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP