I made this widget at MyFlashFetish.com.

SIASAH SYAR'IYYAH: PEMAHAMAN DARI KACA MATA AL-QURAN DAN AL-SUNNAH (BHG.2)

>> Thursday, March 24, 2011

Sumber Yang Disepakati

Ulama’ telah bersepakat menetapkan sumber perundangan Islam yang disepakati ialah al-Quran, al-Hadis, al-Ijma’ dan al-Qiyas.


Al-Quran

Al-Quran menurut bahasa Arab merupakan kata terbitan yang membawa erti membaca dan juga menghimpun. Kemudian akhirnya menjadi nama kitab yang mulia pada penggunaan syara’ dan ditakrifkan sebagai Kalam Allah yang diturunkan ke atas Nabi Muhammad s.a.w yang mempunyai mukjizat, membacanya sebagai suatu ibadah yang termaktub dalam mushaf-mushaf dan dipindahkannya kepada kita secara mutawatir, dimulakan dengan surah al-Fatihah dan disudahi dengan surah al-Nas.


Ciri-ciri Keistimewaan Al-Quran

Pertama: Lafaz al-Quran dan maknanya adalah daripada Allah. Tugas Rasulullah s.aw hanyalah menyampaikannya kepada manusia manakala lafaznya pula berbahasa Arab.

Firman Allah s.w.t dalam surah Zukhruf, ayat 3 mafhumnya:

“Sesungguhnya Kami jadikan Kitab itu sebagai Quran Yang diturunkan Dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal) memahaminya.”


Kedua: Al-Quran dipindahkan secara tawatur. Ertinya al-Quran itu dipindahkan oleh satu kaum kepada kaum yang tidak mungkin mereka bersepakat untuk melakukan pembohongan, kerana ramainya bilangan mereka itu dan berlainan tempat tinggal masing-masing. Demikianlah perpindahan itu berlaku dari satu kaum yang tersebut bersambung sampai kepada Rasulullah s.a.w.


Ketiga: Terjamin dari sebarang pindaan atau tokok tambah dan pengurangan. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Hijr, ayat 9 mafhumnya:

“Sesungguhnya Kamilah Yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah Yang memelihara dan menjaganya.”


Keempat: Al-Quran itu suatu mu’jizat, ertinya semua manusia lemah dan tidak mampu untuk mendatangkan sepertinya dan ternyata kelemahan itu ketika Al-Quran mencabar orang Arab yang menentangnya supaya mendatangkan seumpamanya, atau sepuluh surah seumpamanya dan malah satu surah pun mereka tidak mampu.

Firman Allah s.w.t surah al-Israa’, ayat 88 mafhumnya:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan Yang sebanding dengannya, Walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.”


Cara Al-Quran Menjelaskan Hukum

Terdapat tiga cara al-Quran menjelaskan hukum-hukumnya:

Bayan Kulli, ertinya dengan menyebut beberapa kaedah dan prinsip-prinsip umum yang menjadi asas kepada cabang-cabang hukum dan dibinakan hukum-hukum di atasnya.

Bayan Ijmali, ertinya disebutkan beberapa hukum dengan ringkas yang memerlukan penjelasan dan perincian.

Bayan Tafsili, ertinya disebutkan hukum-hukum itu secara terperinci seperti saham atau habuan para waris dalam pembahagian pesaka, kaifiat talaq dan bilangannya, kaifiat li’an di antara suami isteri, wanita-wanita yang diharamkan berkahwin, sebahagian dari hukum-hukum hudud dan beberapa jenis hukum lain lagi.


Al-Sunnah

Al-sunnah dari segi bahasa Arab ialah al-Tariqah al-Mu’tadah, ertinya cara atau peraturan sesuatu amalan yang dilakukan berulang kali. Sementara al-Jawahir menyebut dalam kitabnya “al-Sihah”, sunnah ertinya al-Tariqah dan juga al-Sirah. Adapun al-Sunnah dari segi istilah syara’ dimaksudkan “Sesuatu yang terbit daripada Baginda s.a.w selain dari al-Quran, sama ada perkataan, perbuatan atau perakuan”.


Dalil Kehujahan Sunnah Sebagai Sumber Perundangan Islam

Al-Sunnah sebagai sumber perundangan Islam telah dapat dibuktikan kebenarannya berdasarkan kepada beberapa ayat al-Quran, antaranya:

1. Perintah mentaati Rasulullah s.a.w oleh Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran, ayat 132 mafhumnya:

“Dan Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, supaya kamu diberi rahmat.”


2. Allah memerintahkan kepada manusia supaya mengikut apa yang didatangkan kepada kita oleh Rasul-Nya.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Hasyr, ayat 7 mafhumnya:

“dan apa jua perintah Yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka Terimalah serta amalkan, dan apa jua Yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya.”


3. Nas al-Quran menjelaskan bahawa apa yang diperkatakan oleh Rasulullah s.a.w bersumberkan wahyu dan perintah Allah. Firman Allah s.w.t melalui surah al-Najm, ayat 3 mafhumnya:

“Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu Yang berhubung Dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.”


4. Disebabkan terdapat ayat di dalam al-Quran yang bersifat mujmal (ringkas) dalam menerangkan hukum-hukumnya, maka Allah s.w.t member kuasa kepada Rasul-Nya untuk menerangkan hukum-hukum al-Quran secara terperinci supaya dapat diamalkan secara tepat. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Nahl, ayat 44 mafhumnya:

“(Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan Yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab suci (yang menjadi panduan); dan Kami pula turunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Al-Quran Yang memberi peringatan, supaya Engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa Yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.”

Berdasarkan dalil-dalil al-Quran yang telah dinyatakan sudah cukup untuk membuktikan bahawa al-Sunnah merupakan salah satu sumber perundangan Islam yang wajib diikuti selepas al-Quran.

Read more...

SIASAH SYAR'IYYAH: PEMAHAMAN DARI KACA MATA AL-QURAN DAN AL-SUNNAH (BHG.1)

>> Tuesday, March 22, 2011

Muqaddimah

Siasah merupakan elemen penting dalam sesuatu organisasi dan pentadbiran. Sistem politik adalah sebahagian daripada Islam yang syumul. Namun, sistem politik yang diamalkan pada zaman sekarang amat berbeza dengan sistem politik yang dianjurkan Islam. sistem politik yang diamalkan sekarang lebih dikenali sebagai sistem politik yang berteraskan fahaman sekular. Sedangkan sistem politik yang dianjurkan Islam tidak menolak syariat Islam dan pendedahannya merupakan suatu perkara asas kepada masyarakat ke arah memahami hakikat pemerintahan Islam.


Definisi Siasah Syar’iyyah

Siasah dalam bahasa Arab bererti menguruskan sesuatu urusan dan memperbaikinya. Apabila dikatakan Sasa al-amr, siyasat bererti ia melaksanakannya. Sementara itu, Syeikh Dr.Yusuf al-Qaradhawi memberi pengertian terhadap siasah sebagai “melaksanakan sesuatu berdasarkan kepada maslahat”.

Adapun syari’yyah pula bermaksud, semua perkara yang disandarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Menyandarkan itu, hendaklah merujuk kepada manhaj pemahaman yang diizinkan oleh Allah dan Rasulnya. Merujuk kepada pengertian yang telah dikeluarkan oleh Syeikh Dr.Yusuf al-Qaradhawi, para nabi juga menguruskan urusan-urusan mereka seperti yang dilakukan oleh para raja dan pemimpin terhadap rakyat. Dalam sebuah hadis, ada disebutkan bahawa:

“Bani Israel telah disiasahkan oleh nabi-nabi”

Secara istilahnya, siasah syar’iyyah mempunyai maksud yang pelbagai di sisi ulama’. Antaranya ialah mentadbir urusan negara. Definisi lain ialah satu ilmu atau kemahiran memerintah negara. Ustaz Haji Nakhaie Haji Ahmad (1987) memberi definisi terhadap siasah syar’iyyah sebagai cara-cara dan bentuk pengendalian urusan ummah dengan peraturan-peraturan dan undang-undang yang mengikut kehendak syara’ yang dapat memenuhi kehendak kepentingan manusia dan keperluan mereka.

Para fuqaha’ pula mentakrifkannya sebagai: “Tindakan pemerintah terhadap sesuatu perkara kerana mendapatkan suatu kemaslahatan walaupun tindakan itu tidak mempunyai dalil pada juzu’nya”. Dalam penakrifan lain mereka berkata: “Menguruskan kemaslahatan manusia dengan mengikut ketentuan syarak”.

Menurut Dr. Muhammad Abdul Qadir Abu Faris (2000), Imam Hassan al-Banna memberi pengertian terhadap perkataan siasah syar’iyyah sebagai memimpin keseluruhan manusia mengikut kehendak pandangan syara’ dan khilafah yang bertindak memelihara agama serta menguruskan dunia dengan agama.

Merujuk pandangan ulama’ terdahulu, dalam kitab ”At-Turuq Al-Hukmiyyah” karangan Ibnu Al-Qayyim. Beliau menukilkan kata-kata Ibnu ’Aqil yang menyatakan, maksud dengan Siasah Syar’iyyah adalah:

“Siasah adalah perbuatan yang membawa manusia supaya hampir kepada kebaikan dan menjauhkan manusia daripada kebinasaan, walaupun tanpa ditetapkan oleh Rasulullah SAW dan tidak diturunkan wahyu tentangnya. Sekiaranya kamu berkata, ”melainkan perkara yang bersepakat dengan wahyu”, iaitu tidak menyalahi dengan apa yang telah dituturkan oleh wahyu, maka itu adalah benar. Jika kamu mahu mengatakan, ”tiada siasah melainkan dengan apa dituturkan oleh syara’, maka itu adalah salah dan mengatakan salah terhadap perbuatan Sahabat ”

Merujuk kepada definisi yang dikeluarkan oleh Ibnu ‘Aqil, seharusnya kita meneliti perjalanan sirah para sahabat dalam melaksanakan konsep siasah syar’iyyah. Contoh mudah yang dapat diperhatikan adalah pengumpulan Al-Quran yang dilakukan oleh Khalifah Abu Bakar, lantaran ramainya golongan pengahafaz al-Quran yang gugur syahid ketika perang Yamamah menetang golongan yang murtad dari Islam. hal seperti ini tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w namun dilakukan oleh para sahabat di zaman Khalifah Abu Bakar kerana memikirkan maslahah serta kepentingan ummah.

Secara kesimpulannya, siasah syar’iyyah ialah menjaga urusan umat di dalam dan luar negara dengan cara tidak menyalahi syariat Islam. Siasah syar’iyyah tidak hanya terhad kepada apa yang disebutkan oleh syara’, tetapi disyaratkan agar ia tidak menyalahi teks al-Quran, sunnah, ijmak dan kaedah-kaedah syara’ serta dasar-dasar amnya.


Sumber Perundangan Islam

Kehidupan manusia memerlukan kepada manhaj (panduan) supaya tidak terkeluar dari batasan syara’. Seandainya manusia menolak manhaj hidup yang telah digariskan nescaya kehidupan manusia akan menjadi kacau bilau dan akan mengakibatkan kesengsaraan di akhirat kelak. Manhaj hidup manusia bukanlah sekadar penetapan untuk individu bahkan manhajnya bersifat menyeluruh. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah, ayat 208 mafhumnya:

“Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu Yang terang nyata.”

Sesungguhnya hukum-hukum Islam hanya diketahui berasaskan dalil-dalil yang ditegaskan oleh syara’. Maka dalil-dali ini disebut sebagai usul al-ahkam atau masadir al-syari’ah atau masadir al-Tasyri’ al-Islamiy. Kesemuanya membawa erti sumber-sumber hukum atau perundangan Islam yang merujuk kepada wahyu Allah, sama ada al-Quran mahupun al-Sunnah. Justeru itulah sumber-sumber itu dibahagikan kepada Masadir Asliyyah dan Masadir Tab’iyyah.

Para ulama’ telah membahagikan sumber perundangan ini kepada tiga bahagian berdasarkan pemerhatian melalui sudut ittifaq (sependapat) dan ikhtilaf (perbezaan pendapat):

1.Dalil yang disepakati oleh semua orang Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah.

2.Dalil yang disepakati oleh jumhur muslimin iaitu al-ijma’ dan al-qiyas, kecuali al-nazzam dari kalangan Mu’tazilah dan sebahagian dari golongan Khawarij yang menolak Ijma’ sebagai sumber hukum dan Syiah Imamiyyah Ja’fariyyah serta golongan Zahiriyyah yang menolak Qiyas sebagai sumber hukum.

3.Sumber yang berlaku perbezaan pendapat di kalangan para ulama’, hatta di kalangan jumhur ulama’ yang beramal dengan konsep Qiyas. Bahagian ini merangkumi al-‘Urf, al-Istishab, al-Istihsan, al-Masalih al-Mursalah, Syar’u Man Qablana dan Mazhab al-Sahabi di mana sebahagian ulama’ mengambil ia sebagai sumber hukum sedangkan sebahagian lain tidak menganggap ia sebagai sumber hukum.

Kesimpulannya, menurut jumhur ulama’ sumber perundangan Islam itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu sumber yang disepakati dan sumber yang tidak disepakati.

Read more...

Our Blogger Templates Web Design

Kepada sesiapa yang ingin mengambil bahan dari blog ini, pihak kami mengalu-alukannya. Sebarkan bahan ini dengan sebaiknya untuk faedah dan kepentingan bersama. Syukran

NASYID FM

Sila download

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP