I made this widget at MyFlashFetish.com.

SIASAH SYAR'IYYAH: PEMAHAMAN DARI KACA MATA AL-QURAN DAN AL-SUNNAH (BHG.4)

>> Tuesday, May 17, 2011

Sumber Yang Tidak Disepakati

Seterusnya, penulis akan menerangkan secara ringkas beberapa sumber hukum yang mempunyai sudut pandangan berbeza di sisi ulama’.


a. Al-Istihsan

Istihsan dalam bahasa Arab membawa erti membilang atau menganggap sesuatu itu lebih baik. Sedangkan dari segi istilah ulama’, istihsan membawa maksud:

1. Berpaling seorang mujtahid dari mengamalkan kehendak qiyas jaliy (yang nyata) kepada mengamalkan qiyas khafiy (yang tersembunyi).

2. Berpaling dari mengamalkan hukum kullliy kepada hukum istithnaiy (pengecualian).

3. Mengecualikan masalah juziyyah daripada asal kulliy atau prinsip umum kerana terdapat dalil yang menuntut supaya dipalingkan.


Dari takrif ini, istihsan disimpulkan terbahagi kepada dua:

1. Mentarjih qiyas khafiy ke atas qiyas jaliy.

2. Mengecualikan masalah juziyyah dari prinsip yang kulliy atau kaedah umum.



Kedudukan Istihsan Dalam Perundangan Islam

Ulama’ berselisih pendapat dalam mengamalkan konsep istihsan. Kebanyakan ulama’ Mazhab Hanafi beramal dengan konsep istihsan dan berhujah dengannya. Ada sebahagian ulama’ mujtahid yang lain menolak konsep istihsan dan menganggapnya sebagai mengambil hukum syara’ berasaskan hawa nafsu dan bersuka-suka.

Imam Syafi’e menyebut dalam penulisannya, sesiapa yang mengamalkan istihsan maka dia mencipta hukum syara’ sendiri.

Syeikh Abdul Wahhab Khallaf menerangkan di dalam bukunya berjudul Ilmu Usul Fiqh, kedua-dua golongan ulama’ ini berselisih disebabkan tidak bersepakat dalam memberi maksud istihsan kerana bagi mereka yang berhujah dengan istihsan menghendaki sesuatu yang lain dari apa yang tidak dikehendaki oleh mereka yang tidak berhujah dengannya. Menurut Syeikh Abdul Wahhab Khallaf mengatakan, sekiranya mereka bersepakat dalam membataskan konsep atau takrif istihsan sudah pasti mereka tidak berbeza pendapat tentang berhujah dengannya, kerana sekiranya diteliti maksud istihsan itu, ia hanya bermaksud memalingkan dari berpegang dengan dalil yang zahir atau dari hukum kulliy kerana terdapat dalil yang menuntut supaya dipalingkan, dan bukan sama sekali membuat hukum dengan hawa nafsu.



b. Al-Masalih Al-Mursalah

Sebelum meneliti makna al-masalih al-mursalah, sewajarnya kita melihat pembahagian al-masalih yang telah digariskan oleh para ulama’ dalam membahaskan al-masalih dari sudut kaca mata syara’.

Pada pandangan syara’, al-masalih terbahagi kepada tiga, iaitu:

1. Maslahah Mu’tabarah, iaitu maslahah yang diambil kira oleh syara’ dan dibinakan hukum bagi mendapatkan maslahah itu (kebaikan kepada manusia). Contohnya dalam masalah memelihara jiwa maka disyariatkan hukum qisas dan haram mencerobohinya.

2. Maslahah Mulghah, iaitu yang dibatalkan syara’ dan tidak diberi perhitungan kerana ia menghilangkan maslahah yang lebih besar seperti menyerah kalah kepada musuh, maka ia tidak diperhitung oleh syara’ walaupun ada maslahah memelihara jiwa mereka yang berperang, kerana kalau maslahah ini hendak dijaga sudah tentu ia merugikan maslahah yang lebih besar iaitu memelihara negara dari dijajah oleh musuh dan menggadai maruah kehormatan serta maruah anak watannya. Justeru, Islam mewajibkan berperang menentang musuh.

3. Maslahah Mursalah, iaitu maslahah yang tidak ada dalil syara’ yang mengambil kira atau membatalkannya.



Takrif al-Masalih al-Mursalah

Al-masalih al-mursalah itu ialah maslahah yang tidak dibina hukum oleh syara’ bagi memperolehinya dan tidak ada dalil tertentu yang menunjukkan ia diambil kira atau dibatalkan. Jumhur ulama’ mengatakan boleh mewujudkan hukum bagi setiap persoalan yang tidak ada Nas, Ijma’, Qiyas dan Istihsan tetapi padanya terdapat kebaikan kepada manusia. Contoh dari kalangan sahabat yang telah membina hukum berdasarkan maslahah ialah mengumpulkan al-Quran di dalam satu mashaf yang telah dilakukan pada zaman Khalifah Abu Bakar.



Kehujahan al-Masalih al-Mursalah

Sikap ulama’ tentang al-masalih al-mursalah sebagai sumber hukum terbahagi kepada tiga mazhab:

1. Pendapat jumhur al-Syafi’iyyah, al-Hanafiyyah, ahli Zahiri dan sebahagian ulama’ mazhab Maliki mengatakan al-masalih al-mursalah tidak menjadi hujah samal sekali.

2. Imam al-Ghazali dan al-Baidhawi dari kalangan al-Syafi’iyyah berpendapat al-masalih al-mursalah diambil kira pada syara’ apabila memenuhi tiga syarat:

a. Hendaklah maslahah itu di tahap darurat, bukan sekadar hajat sahaja.

b. Qat’iyyah bukan zanniyyah

c. Kulliyyah bukan juziyyah


3. Imam Malik dan satu riwayat daripada Imam Syafi’e berpendapat al-masalih al-mursalah itu diambil kira apabila memenuhi syarat berikut:

a. Maslahah itu dipastikan wujudnya bukan waham (sangkaan) sahaja.

b. Tidak ada dalil yang membatalkannya, kerana tidak boleh berijtihad pada masalah yang ada nas walaupun tidak ternyata hikmahnya.

c. Maslahah hendaklah umum bukan khusus kepada satu kelompok sahaja.

d. Mengamalkan maslahah itu boleh mengangkat kesulitan dan kesukaran yang pasti.



c. Al-‘Urf

‘Urf dalam bahasa Arab bererti ma’rifah (mengetahui atau pengetahuan). Kemudian digunakan dengan pengertian sesutau yang ma’ruf dan kebiasaan yang dianggap baik serta dapat diterima akal.

‘Urf menurut istilah ialah adat majoriti sesuatu kaum dari segi perkataan, pengucapan dan amalan. Dinamakan juga sebagai ‘adat menurut kebanyakan ulama’.



Kehujahan ‘Urf

‘Urf mempunyai sandaran yang kuat dari nas kerana Baginda s.a.w telah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibn Mas’ud:
Apa-apa yang dipandang oleh orang Islam itu baik maka ia di sisi Allah juga baik.



d. Mazhab Sahabi

Ulama’ Usul al-Fiqh dan Muhaddithin berbeza pendapat dalam mentakrifkan makna sahabi. Namun, yang maksud yang akan kita gunakan merujuk kepada takrifan yang telah diberikan oleh ulama’ Usul al-Fiqh kerana sahabat seperti meraka inilah yang meriwayatkan fatwa-fatwa dan mazhab-mazhab ilmiyyah.

Sahabi ialah mereka yang bertemu dengan Nabi s.a.w dan beriman dengannya, bersahabat dengannya dalam tempoh masa yang agak panjang dan mengambil ilmu daripadanya sehingga wajar dikatakan dia sebagai sahabat atau teman rapat dari segi ‘urfnya.

Mazhab Sahabi ialah perkataan yang dinukilkan kepada kita dan sabit di sisi kita dari seorang sahabat dalam bentuk fatwa atau keputusan penghakiman dalam apa jua masalah syara’ yang tidak terdapat nas dan tidak berlaku ijma’.



e. Al-Istishab

Al-Istishab dari segi bahasa bererti saling bersahabat (al-musahabah) atau mengekalkan persahabatan. Adapun al-istishab dari sudut istilah ulama’ Usuliyyin ialah menghukum dengan kekalnya sesuatu di atas keadaannya yang dahulu sehingga tertegak dalil yang menunjukkan di atas perubahannya.



Kaedah-kaedah Yang Dibina Atas Istishab


الأصل بقاء ما كان على ما كان

1. Sesuatu yang asal itu hendaklah dikekalkan di atas keadaan yang dahulu sehingga sabitlah dalil yang merubahnya.


الأصل فى الأشياء الإباحة

2. Asal hukum pada sesuatu itu adalah harus.


الأصل براءة الذمة

3. Asalnya seseorang manusia itu bebas dari tanggungan.


ما ثبت باليقين لا يزول بالشك

4. Sesuatu yang sabit dengan yakin tidak akan hilang dengan syak atau keraguan.

Read more...

Our Blogger Templates Web Design

Kepada sesiapa yang ingin mengambil bahan dari blog ini, pihak kami mengalu-alukannya. Sebarkan bahan ini dengan sebaiknya untuk faedah dan kepentingan bersama. Syukran

NASYID FM

Sila download

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP