MENUNTUT SEBELUM MEMIMPIN
>> Thursday, April 23, 2009
Generasi hari ini, pemimpin masa hadapan. Begitulah yang selalu diungkapkan oleh sebilangan masyarakat. Bahkan dalam pepatah arab juga turut menyatakan sedemikian. Generasi pemimpin masa hadapan yang diharapkan bukanlah pemimpin yang hanya mahir dalam satu sudut, bahkan pemimpin yang diharapkan pada masa akan datang ialah pemimpin yang sebenarnya yang mampu memimpin dari segenap aspek. Namun, sebelum melangkah ke alam memimpin, persediaan untuk menjadi pemimpin mestilah mencukupi. Penulis teringat kata-kata yang pernah diucapkan oleh Amirul Mukminin, Khalifah Umar Al-Khattab;
تفقهوا قبل أن تسودوا
Maksudnya: Menuntutlah sebelum memimpin
Bagi penulis, kata-kata ini memberi makna yang cukup mengingatkan. Persediaan yang secukupnya yang harus dilakukan mestilah melibatkan semua aspek. Dan yang paling penting ialah persediaan dari sudut ilmu.
Melihat kepada situasi masyarakat hari ini yang cetek ilmu pengetahuan serta culas dalam menuntut ilmu mungkin menjadi faktor mengapa pemimpin yang ingin ‘dilahirkan’ tidak menepati ciri-ciri yang diinginkan sesebuah masyarakat. Ilmu bukan juga sekadar melalui sijil yang kita miliki. Belum cukup untuk kita katakan bahawa seseorang itu berilmu jika dia memiliki segulung diploma atau ijazah atau mungkin juga Ijazah doktor falsafah yang lebih dikenali sebagai PhD. Hanya orang yang berilmu mampu mengukur keilmuan yang dimiliki oleh seseorang.
Kita toleh semula ke belakang, untuk mengambil iktibar dan pengajaran daripada saudara-saudara yang mendahului kita. Mereka telah menjadi pemimpin yang dihormati lantaran kematangan ilmu yang mereka miliki. Mereka melakukan persediaan awal sebelum memimpin menyebabkan mereka sentiasa bertindak waras mengikut kematangan ilmu yang dimiliki. Lihat sahaja bagaimana Khalifah Umar Abd Azizi memerintah dahulu, Sultan Mehmed Al-Fatih, Sultan Salehuddin Al-Ayubi dan lain-lain lagi. Tidak kurang juga tokoh pemimpin pada abad ini seperti As-Syahid Imam Hassan al-Banna, As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin, Al-Marhum Dato’ Fadzil Noor, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat serta ramai lagi tokoh yang memiliki kematangan ilmu sebelum memimpin. Kempen yang diasaskan oleh Amirul Mukminin Khalifah kedua Umat Islam ini mampu menjadikan seseorang itu hebat dalam era kepimpinannya.
Manfaatkan masa lapang kita sebelum datangnya masa sibuk, begitulah nasihat Saiyiduna Abu Bakr kepada Salman al-Farisi. Jika kita meneliti ungkapan daripada Saiyiduna Umar ini, hikmah yang terkandung di dalamnya merupakan peringatan kepada bakal-bakal pemimpin. Tidak perlu mengambil posisi yang sukar untuk dijadikan contoh, cukup sekadar menjadi ketua keluarga. Apabila seseorang itu berkahwin, sudah tentu akan memilki seorang isteri. Daripada seorang isteri akan lahirlah zuriat-zuriat yang dipinjamkan Allah kepada manusia. Lantaran itu tanggungjawab yang pernah dipikul sebagai seorang manusia yang hanya menguruskan drinya sendiri satu ketika dahulu akan bertambah. Amanah ini perlu ditanggung dan dijawab di hadapan Allah kelak. Maka, terlalu jelas bagi kita. Apabila seseorang itu memikul amanah maka akan kuranglah masa untuk dirinya melakukan hal-hal yang pernah dilakukan sebelum memikul amanah termasuklah menuntut ilmu.
Jika menjadi ketua keluarga telah menjadikan diri kita sibuk dan kekurangan masa untuk menuntut ilmu, bagaimana pula dengan halnya ketika kita diamanahkan untuk memimpin sesebuah komuniti atau masyarakat kelak? Sudah tentu semakin tidak punya masa!
Habiskanlah masa muda dengan ilmu, kerana mungkin sahaja selepas ini kita akan dibebankan dengan tanggungjawab yang akan menghalang kita dari menuntut ilmu. Bukankah orang yang berilmu itu dihormati dan dipandang tinggi? Bukankah pemimpin harapan merupakan pemimpin yang disegani? Untuk menuju ke arah tersebut, mestilah dengan ilmu!
0 comments:
Post a Comment