I made this widget at MyFlashFetish.com.

SEKOLAH HARAPAN; PANDANGAN SAYA

>> Sunday, October 10, 2010

Pelbagai reaksi yang timbul dari kalangan masyarakat berhubung penubuhan Sekolah Harapan. Sebelumnya sibuk diperkatakan mengenai Baby Hatch. Ada yang mengeluarkan reaksi positif, tidak kurang juga yang hebat mengkritik. Semuanya mempunyai hujah yang tersendiri mengapa mereka berpandangan sedemikian. Bermula dari kalangan mereka yang melepak di warung-warung kopi di hujung kampung hinggalah mereka yang bertali leher dan menguruskan sesebuah syarikat atau organisasi. Sama ada pengikut mahupun pemimpin parti politik, semuanya mempunyai pandangan tersendiri.

Saya juga seperti rakyat Malaysia yang lain, mempunyai pandangan tersendiri. Isu ini terus dimainkan sama ada di media cetak mahupun media elektronik. Pada hemat saya, kita perlu meneliti permasalahan sebenar. Respon positif mungkin mengatakan sekolah ini mampu memberikan sinar harapan kepada anak gadis yang telah terlanjur. Selain itu ia juga memberikan perlindungan kepada si ibu dan si anak dari menerima kata-kata nista daripada masyarakat. Jika dilihat respon negatif daripada masyarakat, ada yang berpandangan dengan wujudnya sekolah ini akan menjadikan kadar gejala sosial serta pergaulan bebas yang membawa kepada seks ini akan meningkat. Justeru ada yang mencadangkan bahawa mereka yang membuang bayi ini dikenakan hukuman mati. Manakala yang melakukan seks bebas ini dikenakan hukuman yang setimpal. Daripada respon positif dan negatif, saya menyifatkan bahawa rakyat Malaysia masih lagi cakna dengan masalah yang berlaku pada hari ini.

Sedutan Dari Sinar Harian

Saya meniliti ruangan Laporan Khas, N14 Sinar Harian bertarikh 10 Oktober 2010. Antara yang dipaparkan dalam laporan ini membuatkan saya terfikir. Saya hanyalah insan kerdil yang ingin memberikan sumbangan dalam membangunkan institusi masyarakat yang sakinah, walaupun dengan hanya pandangan yang biasa.

Menurut Ketua Menteri Melaka, cadangan tersebut mendapat sokongan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menerusi mesyuarat jawatankuasanya, selain beberapa badan politik dan badan bukan kerajaan (NGO) di negeri tersebut.

“Saya mencadangkan perkara ini bukan secara suka-suka tetapi berdasarkan pandangan banyak pihak menerusi rumusan setiap seminar menangani gejala sosial sebelum ini.”

“Tiada jalan penyelesaian yang boleh dibuat, sekali gus menyelesaikan masalah ini sehinggalah Kerajaan Negeri mencadangkan perkara ini.”

“Jika dilaksanakan kelak, sekolah ini dapat membantu golongan gadis terbabit sepanjang tempoh mereka mengandung, selain mengelakkan timbul prasangka negative masyarakat terhadap mereka,” katanya.

Statistik

Mengikut statistik, kes rogol yang berlaku di negeri Melaka sepanjang tahun lalu adalah 112 kes, sementara tempoh antara Januari hingga Jun 2010 mencatatkan sebanyak 40 kes. Menurut Ketua Menteri Melaka lagi, jumlah kes pembuangan bayi di negeri tersebut direkodkan satu kes sepanjang tahun lalu dan tiga kes sehingga Jun tahun ini.

Di Melaka sahaja, seramai 3119 anak tidak sah taraf direkodkan sejak 2007 hingga 2009 dengan 1753 daripadanya adalah dari kalangan bangsa Melayu. Sementara bangsa Cina sebanyak 385 kes, India 501 kes dan lain-lain bangsa sebanyak 480 kes.

Melalui penjelasan Kerajaan Negeri melalui perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara, seramai 214033 kelahiran anak tidak sah taraf dicatatkan bermula 2005 hingga 2009 di seluruh negara. Amat membimbagkan apabila 74723 kes daripada jumlah itu membabitkan bangsa Melayu dan pada 2009, jumlah kelahiran anak luar nikah dicatatkan seramai 17303, juga membabitkan bangsa Melayu.

Ini yang direkodkan. Bagaiman yang tidak direkodkan?

Pandangan Saya

Secara jujurnya saya tidak menolak secara total usaha untuk member perlindungan kepada anak gadis yang melahirkan anak yang tidak sah taraf ini. Tetapi pada hemat saya, hal ini tidak mampu mendatangkan penyelesaian secara holistik apatah lagi mengurangkan jenayah seks bebas di negara ini.

Umumnya mengetahui cadangan daripada Ketua Pemuda PAS yang mengusulkan supaya remaja ini dibenarkan berkahwin dalam konsep nikah khitbah. Pada saya ini salah satu cara yang terbaik untuk membendung gejala seks bebas dan buang bayi dari terus berleluasa. Akan tetapi masyarakat kita pada hari ini belum terdedah dengan jelas mengenai konsep nikah khitbah yang dicadangkan itu. Saya amat bersetuju sekiranya Kerajaan Malaysia di bawah kepemimpinan YAB Perdana Menteri menyambut baik cadangan yang dilontarkan oleh Ketua Pemuda Pas Pusat itu. Ini menunjukkan dasar keterbukaan Kerajaan Malaysia menerima pandangan daripada pelbagai pihak dalam usaha mengurangkan kadar gejala buang bayi dan seks bebas yang semakin berleluasa.

Selain itu, saya merasakan bahawa tidak cukup dengan hanya menubuhkan Sekolah Harapan sebagai alternatif untuk menyelesaikan masalah ini. Sebabnya adalah, perkara ini hanya mendatangkan keinsafan kepada mereka yang telah terlanjur. Tetapi ramai lagi remaja yang berada di luar tidak mengendahkan akan bahaya yang menanti melalui pergaulan bebas. Usaha membanteras perkara yang tidak bermoral ini sepatutnya dimainkan oleh semua pihak tanpa mengira sentiment politik mahupun bangsa, lebih-lebih lagi pihak kerajaan.

Saya mengira seandainya pihak Kerajaan Pusat hari ini ingin menangani gejala ini secara serius, satu usaha yang holistik perlu dilaksanakan, bukan hanya sekadar melepaskan batok di tangga. Usaha isteri Perdana Menteri untuk terus memajukan Sekolah Harapan ini sebenarnya belum memadai. Ia bukan mengurangkan masalah tetapi menambahkan lagi masalah yang sedia ada.

Jalan penyelesaian yang terbaik adalah menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan pentadbiran. Al-Quran bukan hanya sekadar di baca di majlis-majlis tertentu, bukan juga untuk digantung di dinding sebagai perhiasan, akan tetapi sebagai sumber rujukan utama. Seandainya kerajaan yang wujud pada hari ini mengambil langkah seperti ini, saya mengira Malaysia akan menjadi sebuah negara yang lebih maju daripada hari ini.

Selain itu, dasar pendidikan negara juga perlu digubal supaya proses pendidikan yang berlaku saban hari benar-benar mendidik manusia serta memanusiakan manusia. Bukan hanya mengejar segulung sijil yang apabila dibakar atau dibasahkan sudah tidak laku. Dasar pendidikan yang wujud pada hari ini belum cukup untuk melahirkan modal insan.
Ada yang berpandangan bahawa ibu bapa perlu memainkan peranan dalam mendidik anak-anak. Soalnya, anak-anak apabila melangkah keluar dari rumah akan mengalami kejutan budaya disebabkan cabaran yang menanti mereka di luar. Maka tidak cukup dengan penguat kuasaan undang-undang di rumah, negara juga perlu mewujudkan satu bentuk undang-undang yang bertujuan mengahalang gejala sosial terus berlaku. Mencegah adalah lebih baik dari mengubati. Saya amat percaya seandainya rang undang-undang yang bertujuan mencegah gejala sosial terus berleluasa ini dikuat kuasakan, suasana kehidupan di negara ini akan lebih kondusif. Undang-undang yang saya maksudkan adalah menutup aurat, menjaga batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan, dan sebagainya seperti yang digariskan Islam seperti yang wujud pada era Negara Islam Madinah.

Masjid-masjid semestinya menghidupkan kuliah serta pengajian Islam setiap hari. Saya mengakui bahawa ia sememangnya wujud, tetapi jika yang dikupas hanya mengenai persoalan fiqh solat, puasa, zakat dan haji, bagaimana kita hendak melihat gejala sosial ini boleh dibanteras? Seharusnya Jabatan Agama Islam ataupun Majlis Agama Islam setiap negeri mewajibkan agar setiap masjid membincangkan serta mengupas tentang muamalah Islam, fiqh jinayah supaya apabila undang-undang Islam ingin dilaksanakan tidak menjadi satu masalah dalam kehidupan masyarakat.

Bukan sekadar masjid-masjid, stesen-stesen penyiaran juga perlu melakukan perkara yang sama. Rancangan “Tanyalah Ustaz”, “Al-Kuliyyah”, “Forum Perdana Hal Ehwal Islam”, “Halaqah” sepatutnya membincangkan perkara yang lebih bersifat semasa dan perlu. Masyarakat hari ini belum lagi memahami apa itu undang-undang Islam, apa kelebihannya sekiranya ia dilaksanakan, apa keburukan yang menimpa jika ia diabaikan. Maka seharusnya perkara seperti ini perlu didedahkan untuk mengurangkan gejala sosial ini. bukan sekadar itu, pihak kerajaan melalui Menteri Penerangan juga perlu menyekat semua rancanga yang mendorong gejala seperti ini terus berlaku, menyiarkan rancangan-rancanga yang lebih mendatangkan faedah dan bukan rancangan sia-sia.

Saya merasakan dengan mengambil jalan Islam sebagai langkah penyelesaian dapat membantu menagani gejala ini dari terus berleluasa. Seandainya kerajaan hari ini tidak meyakini dan tidak bersedia untuk melaksanakan apa yang dianjurkan Islam, rakyat Malaysia seharusnya memberi peluang kepada pihak yang ingin membuktikan bahawa Islam adalah penyelamat ummah, Islam adalah penyelesai kepada semua masalah yang berlaku.

Yakinlah, mulianya manusia hanya dengan Islam!

Sekian

Ikhwan Hafiz
KL Central

2 comments:

MUAZHAMOZA October 11, 2010 at 4:24 AM  

mantap! that's the solution. moga benar2 jadi kenyataan. apa pun sykran atas perkongsian...(up-date pun, banyak sgt mesyuarat kot...)

MUAZHAMOZA October 11, 2010 at 4:28 AM  

satu lagi...ana dah tukar nama blog (pemuda-mu.blogspot.com) edit2! jemput ziarah na

Post a Comment

Our Blogger Templates Web Design

Kepada sesiapa yang ingin mengambil bahan dari blog ini, pihak kami mengalu-alukannya. Sebarkan bahan ini dengan sebaiknya untuk faedah dan kepentingan bersama. Syukran

NASYID FM

Sila download

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP