I made this widget at MyFlashFetish.com.

Showing posts with label Perkongsian/Kisah Benar. Show all posts
Showing posts with label Perkongsian/Kisah Benar. Show all posts

TESTIMONI ANAK TAHANAN ISA

>> Friday, July 31, 2009

Nama saya Suhaib. Saya berusia 16 tahun. Ketika bapa saya, Mat Sah Satray ditahan di bawah ISA pada 18 April tahun 2002, saya berusia 8 tahun 5 bulan. Saya masih terlalu kecil dan tidak dapat mengingati semua peristiwa. Ketika itu saya sedang tidur, tetapi terjaga apabila beberapa orang polis masuk ke bilik tidur saya dan dengan kasar menyelak cadar, mengangkat hujung tilam, menarik rak baju, membuka serta menutup almari pakaian hingga mengeluarkan bunyi kuat yang membuatkan saya terjaga.

Umi, panggilan saya pada emak, mendukung saya dan diletakkan di sebelah abah yang ketika itu duduk di sofa di ruang tamu. Aku menoleh ke arah Abah dan nampak kedua-dua tangannya bergari. Aku menangis kerana terlalu takut melihat gari itu. Gambaran gari yang melengkar di kedua-dua belah tangan Abah amat sukar untuk hilang dari minda saya......

Agak lama juga polis menggeledah rumah kami. Seorang wanita sibuk menyoal Abah dan Umi bergilir-gilir dan kemudian menulis sesuatu di atas kertas. Manakala lima orang lelaki yang lain, sibuk membuka rak buku Abah, mengeluarkan Quran dan buku-buku agama serta menyelak-nyelak setiap muka surat dengan pantas. Saya tidak tahu, apa yang mereka cari. Tidak lama selepas itu, mereka membawa Abah masuk ke dalam van putih. Umi dukung saya dan kami berdua sempat melambai tangan kepada Abah. Sebaik sahaja van putih hilang dari pandangan, aku menangis lagi sambil memanggil-manggil Abah. Saya baring di riba Umi hingga tertidur...

Saya bagaikan melalui satu mimpi buruk di mana Abah dilarikan dari rumah oleh sekumpulan lelaki. Bila terjaga dari tidur, saya mencari Abah di semua bilik termasuk bilik air tetapi tidak ditemui. Saya mendapatkan Umi yang sedang membancuh minuman untuk bertanya tentang Abah, tetapi saya nampak Umi juga sedang menangis....

Saya asyik teringatkan Abah. Dari pagi saya tunggu Abah, tengah hari, hinggalah cuaca gelap dan masuk waktu maghrib, Abah masih juga belum pulang. Saya mula menangis kerana rindukan Abah... Ketika itu telefon rumah berdering, saya dan Umi berlari ke arah telefon tetapi apabila gagang diangkat, tiada siapa yang bercakap di hujung talian....

7 tahun telah berlalu Peristiwa buruk itu telah berlalu tujuh tahun yang lalu, namun ianya sukar untuk hilang semuanya dari fikiran saya. Tujuh tahun lalu Abah saya dibawa pergi, hingga kini beliau tidak pernah balik ke rumah kami.

Pada tahun 2009 ini, maknanya hampir separuh usia saya membesar tanpa belaian kasih sayang, bimbingan dan sentuhan Abah walaupun beliau masih hidup. Saya membesar bertemankan barang-barang peribadinya seperti jam tangan, dompet, baju, seluar, kain pelikat dan buku-buku beliau. Saya sekadar mengikuti nasihat dan kata-kata beliau melalui surat-surat kirimannya. Jika rasa terlalu rindu padanya, saya akan pakai baju, seluar dan kain pelikat beliau.

Saya letak gambar Abah di dompet duit bersebelahan dengan gambar saya.

Umi akan memastikan kami melawat Abah sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Namun waktu lawatan selama 45 minit itu jauh dari mencukupi untuk Abah menghilangkan rindu, memberikan bimbingan, tunjuk ajar serta melepaskan kasih sayangnya kepada saya.

Satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah ketika lawatan pertama ke Kem pada 24 Jun 2002. Setelah hampir tiga minggu tidak melihat Abah sejak pertemuan terakhir di Bukit Aman, saya rasa terlalu rindu kepadanya. Kami berbual selama 45 minit dan di akhir pertemuan, Abah dibenarkan keluar dari bilik kurungan untuk bersalaman dengan saya dan Umi. Abah mengangkat, mendukung dan mencium saya berkali-kali. Saya terlalu rindukan Abah dan apabila warden bertugas menyuruh Abah masuk kembali ke bilik kurungan, saya menangis dan tidak mahu melepaskan pegangan pada lengan Abah...

Bagaikan binatang di zoo Sejak hari pertama penahanan Abah hinggalah di saat ini, saya tidak pernah berpeluang mengerjakan solat dan membaca quran bersama beliau. Saya tidak mengharapkan duit belanja atau keluar membeli belah kerana memahami semua itu tidak mungkin dapat dilakukan bersama. Namun, satu perkara yang lebih memedihkan bermula pada bulan April 2005, kami keluarga tahanan hanya dibenarkan bertemu menggunakan interkom di sebalik dinding kaca lutsinar. Bila sahaja melihat Abah di sebalik cermin kaca, hati saya terasa hancur... Ketika itu, saya teringat binatang di zoo yang diletakkan di dalam kotak kaca. Apakah dosa dan kesalahan Abah diperlakukan sedemikian rupa. Sejak tarikh itu, setiap kali melawat Abah, saya hanya berpeluang bercakap melalui interkom dan duduk di sebalik kaca. Saya hanya dapat melihat wajah Abah, tetapi tidak dapat menyentuhnya...hati ini memang pedih yang teramat sangat.

Tujuh tahun saya dipisahkan dari Abah, namun tiada sebarang tanda beliau akan dibebaskan. Walaupun pada tahun 2009 ini ada dua pembebasan beramai-ramai yang mendapat tempat di dada media, namun nama Abah saya tiada dalam kedua-dua senarai pembebasan tersebut....

Perpisahan dengan Abah benar-benar membuat saya rasa rendah diri dan terpinggir. Saya terlalu ingin menjalani kehidupan harian bersama Abah. Saya ingin makan, berbual, bergurau senda dan melakukan pelbagai aktiviti harian bersamanya. Saya juga punya keinginan mempunyai keluarga yang lengkap, sama seperti orang lain.

Hingga kini saya tidak faham kenapa Abah saya, seorang yang pendiam dan mudah tersenyum, masih juga belum dibebaskan. Saya tidak tahu apakah sebenarnya kesalahan beliau kerana tahanan ISA lain yang ditahan bersama Abah tujuh tahun dulu, hampir semuanya telah pun dibebaskan... namun Abah masih tetap dikurung di Kem. Saya setuju dengan pendapat Umi bahawa Abah sepatutnya dibicarakan di mahkamah. Kalau benar ada bukti menyatakan dia salah, sekurang-kurangnya hakim akan menetapkan, bilakah tarikh akhir dia menjalani kehidupan sebagai banduan. Saya amat sedih mengenangkan kehidupan Abah dalam ketidakpastian selama tujuh tahun dan terus berlarutan.

Saya akan terus berdoa pada Allah supaya Abah segera dibebaskan...

*Testimoni ini ditulis oleh Suhaib Mat Sah, anak kepada tahanan ISA Mat Sah Satray. Mat Sah Satray ditahan sejak tahun 2002, dituduh terlibat dalam aktiviti Jemaah Islamiah, namun tidak pernah dibuktikan di mahkamah. Dipetik daripada blog merdekareview.

*Dipetik dari hasanhusaini.com

Read more...

DI SUATU PETANG…

>> Saturday, November 15, 2008

Apabila masuk sahaja semester baru, jadualku mula berubah. Entah apa yang aku sibukkan, aku pun tak pasti. Mungkin juga aku ni buat-buat sibuk. Seperti hari Rabu yang sebelumnya, selepas sahaja aku menunaikan solat Asar, aku bergegas ke dewan baru di blok akademik untuk mengikuti kelas Ustaz Bakri.

Seperti biasa, kelas itu dihadiri oleh sahabat-sahabatku yang sudah pasti tidak mahu nama mereka tersingkir daripada mengikuti kelas tersebut. Aku mencari kelibat seseorang yang amat ku kagumi, namun tak ku temui. Aku bertekad untuk mencarinya sebaik sahaja sesi pembelajaran selesai. Kelas bermula tepat jam 5.30 petang.

“Marwan tak datang ke?” soalku kepada roomate sahabatku itu.

“Ntah, ana pun tak pasti”, ujar Amirul Ghani.

“Hmm… tak apalah, aku akan cari dia nanti”, aku bermonolog.

Sebaik sahaja kelas tamat, aku bergegas pulang ke bilik untuk menyimpan kitab. Untuk sampai ke bilikku, aku mesti melalui lorong bilik Marwan.

“Assalamu’alaikum.. aik, tak pi kelas ka?” soalku dalam loghat Kedah.

“Ana tak gi, dok di masjid tadi. Hujan lebat pulak tadi”, ujarnya.

“Enta dah makan belum?” soalku semula, sedangkan aku telah mengetahui jawapannya.

“Belum, tak rase nak makan..”

“Tak pa la, ana balik bilik simpan kitab sat”,

Aku kembali ke biliknya dengan membawa dua bungkus nasi lemak.

“Apa yang enta tulis tengah hari tadi?” soalku.

“Ana tengah siapkan satu artikel untuk dimasukkan dalam blog ana”, ujarnya

“Enta pernah dengar tentang ABC dan apa kaitannya dengan dakwah masa kini? Enta tahu tak macam mana orang dulu buat ABC dengan orang sekarang buat ABC?” soalnya.
Aku terkesima dengan soalan yang dilontarkan.

“Apa pulak mamat ni nak bagi tau dekat aku”, fikirku. Aku hanya menjadikan “tak” sebagai jawapan. Masakan tidak, aku memang tidak begitu menggemari ABC.

“Cuba enta fikir balik, orang dulu buat ABC simple je kan. Ada ais, kacang merah sikit, jagung sikit, ada gula merah dan susu. Tu la ABC dulu. ABC sekarang dah upgrade. ABC sekarang ada ais krim, ada jelly, ada nenas sikit. Cuba enta kaitkan dengan dakwah semasa.”
Allahu Akbar! Satu analogi yang cukup menarik. Aku terus mendengar tentang perkara tersebut.

“Kita masih mengekalkan manhaj yang sama. Manhaj tu kita ibaratkan seperti bahan-bahan asas untuk buat ABC. Manhaj kita tetap sama, Al-Quran dan Sunnah. Dan hadaf kita juga tetap satu, nak ajak orang kembali kepada Allah. Cumanya yang agak berlainan adalah uslub (metodologi). Seperti ABC tadi, dulu ABC hanya simple, tapi sekarang dah banyak aksesori. Macam tu juga dengan dakwah kita. Dakwah kita perlu bersifat waqi’ieyyah (semasa), perlu mempelbagaikan kaedah dakwah, barulah mesej yang nak kita sampaikan tu dapat diterima oleh semua manusia”, jelasnya.

Jauh di sudut hati, aku semakin kagum dengan figur ini. Aku pun tak mampu untuk menghasilkan sebuah analogi yang cukup menarik. Tiba-tiba aku teringatkan sebuah artikel yang pernah ditulis oleh Akh Dzulkhairi Mohd Noor, Bai’ah Nescafe.

“Ya Allah, berikanlah hidayah-Mu kepada kami, agar kami terus tegar di atas jalan-Mu yang suci ini. Ya Allah, kuatkanlah azam kami, tetapkanlah hati dan pendirian kami, agar kami tidak terpesong dari jalan-Mu yang lurus ini…” Amin

*semoga kisah benar ini mampu memberi faedah yg banyak kpd kita untuk lebih memahami hakikat dakwah.

Read more...

Our Blogger Templates Web Design

Kepada sesiapa yang ingin mengambil bahan dari blog ini, pihak kami mengalu-alukannya. Sebarkan bahan ini dengan sebaiknya untuk faedah dan kepentingan bersama. Syukran

NASYID FM

Sila download

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP