I made this widget at MyFlashFetish.com.

CERITA DISKUSI

>> Tuesday, October 20, 2009

Cerita 1:

Saya menghadiri satu usrah bersama sahabat-sahabat di kampus. Antara yang hadir ialah saudara MarBu. Usrah yang dimulakan dengan tazkirah daripada saudara Irfan, diteruskan dengan perkongsian pengalaman yang pernah saya alami baru-baru ini. Selesai berkongsi, saya melontarkan beberapa pandangan megenai persoalan yang sering menghantui ahli gerakan sehingga menyebabkan kelesuan dalam bergerak.

Saudara MarBu merancakkan lagi usrah pada hari tersebut dengan membuka satu slot mencabar persepsi. Antara yang dilontarkan dalam sesi tersebut ialah:

1) Hadis umat Islam kembali dagang
2) Hadis mencegah kemungkaran
3) Perihal ahli gerakan yang banyak melihat kepada tokoh-tokoh perjuangan masa kini tanpa mengambil kira peranan generasi terdahulu

Satu perkongsian yag menarik. Saya bersetuju dua daripadanya. Tetapi mengenai hadis umat Islam kembali dagang, saya mempunyai pandangan tersendiri.


Cerita 2:

Selesai sesi tasmi’, saya bergerak ke kafeteria. Di sana, saya sempat berkongsi buah fikiran bersama naqib saya sendiri, akh Syazrin. Apa yang dilontarkan itu bertepatan dengan apa yang saya fikirkan. Kami membincangkan tentang kelesuan yang terjadi di kalangan pemuda hari ini, khususnya mereka yang bergelar huffazul Quran.

Akh Syazrin memberi gambaran kepada saya dan beberapa orang sahabat yang turut bersama mendengar perbincangan kami tentang kepentingan menguasai ilmu dan membentuk semula tamadun.


Umat Islam Kembali Dagang

Saudara MarBu tidak bersetuju jika kita mengatakan bahawa umat Islam pada hari ini kembali dagang kerana mengambil kira faktor kebangkitan umat Islam pada hari ini. Beliau mengatakan bahawa zaman dagang yang dimaksudkan ialah zaman ketika pasca kebangkitan umat Islam yang pernah dipelopori oleh Jamaluddin al-Afghani.

Saya tetap mengatakan bahawa umat Islam pada hari ini merupakan generasi ghuraba’. Ittifaq ulama’ mengatakan zaman kedatangan Islam itu adalah zaman pencerahan aqidah dan tamadun daripada kegelapan jahiliyyah. Tetapi zaman tersebut menampakkan Islam dipandang asing oleh masyarakat yang hidup pada waktu itu sehinggalah tersebarnya Islam di serata dunia. Dan saya mengatakan bahawa umat Islam tetap akan kembali menguasai dunia seperti yang dijanjikan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Kalau dilihat pada situasi yang melanda umat Islam sekarang, sudah tentu kita akan mengatakan bahawa umat Islam mempunyai kekuatan yang cukup ramai. Namun apa yang terjadi pada hari ini, umat Islam kebanyakan lebih membawa haluan hidupnya sendiri tanpa memikirkan kerosakan yang menimpa. Jika dikira dari segi kuantiti, sememangnya kita umat Islam memiliki jumlah yang cukup ramai. Tapi proses islamisasi itu tidak berlaku di setiap tempat, bahkan kita juga perlu melihat ke arah diri sendiri apakah proses islamisasi itu telah berlaku di dalam diri kita?

Jamaluddin al-Afghani pernah berkata, “aku melihat islam di eropah tetapi aku tidak melihat ramainya umat islam di sini. Tetapi aku melihat ramainya umat islam di tanah arab tetapi aku tidak melihat islam di sini”. Lantaran itu, terbukti bahawasanya amat sedikit golongan yang benar-benar memperjuangkan Islam di atas dasar meninggikan syariat Islam itu sendiri.

Namun, awas bagi hati-hati yang merasakan bahawa mereka merupakan pendokong panji Islam. Syeikhuna Ustaz Fathi Yakan menyebut di dalam kitabnya yang diterjemahkan di dalam Bahasa Melayu, Apa Erti Aku Menganut Islam bahawa manusia ini mempunyai tiga golongan. Salah satu golongan yang disebutkan ialah golongan yang tertipu di dunia dan di akhirat, Na’uzubillah.


Pengaplikasian Gagasan Iqra’

Melihat fenomena yang melanda umat hari ini sudah tentu mendatangkan seribu satu persoalan. Kita telah dijanjikan jika berpegang dengan Al-Quran dan Sunnah maka seluruh kehidupan kita akan Berjaya, bahkan seisi dunia turut merasai tempiasnya. Bagaimana umat terdahulu telah membuktikan dengan kejayaan yang gemilang apabila Islam Berjaya membentuk tamadun yang cukup disegani sehingga masyarakat barat turut ‘mencedok’ mutiara yang ada pada Islam.

Lihat sahaja kegemilangan yang pernah dirasai oleh umat Islam ketika zaman pemerintahan Bani ‘Abbasiyyah. Penyebaran ilmu terus dilakukan secara meluas sehingga pada waktu itu tertubuhnya sebuah perpustakaan yang dipanggil Baitul Hikmah. Kegemilangan itu terhasil kerana gagasan Iqra’ yang pernah diwahyukan kepada Rasulullah difahami dan diaplikasikan secara meluas.

Dalam satu siri ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Zamri, beliau menerangkan maksud Iqra’ itu sendiri bukan hanya bertumpu pada “bacalah”. Bahkan iqra’ itu amat luas pengertiannya. Antaranya ialah penilitian, pengkajian, analisis dan segala yang berkaitan dengannya. Fenomena yang melanda ahli gerakan pada hari ini, mereka terlalu bersemangat untuk membentuk sebuah Negara yang adil berasaskan ciri-ciri Islam. Namun yang menjadi persoalannya kini, bagaimanakah dengan persediaan?

Akh Syazrin sempat melontarkan satu soalan, seandainya pada hari ini negara yang diimpikan selama ini berjaya didirikan, apakah kita mampu menghapuskan sistem barat yang amat jelas bertentangan dengan prinsip Islam? Apakah mampu kita menghapuskan sistem dualisme dalam pendidikan atau sekularisme dalam pemerintahan? Ini kerana kita terlalu ghairah untuk mengejar sesuatu tanpa memiliki persediaan yang cukup.

Saya tidak bermaksud kita tidak boleh ghairah dalam mengejar sesuatu yang kita inginkan, apatah lagi perkara yang kita impikan itu adalah perkara yang bertepatan dengan syara’. Tetapi perlu juga kita memiliki persediaan yang rapi kerana zaman ini adalah zaman perang saraf, bukan zaman mengangkat senjata!


Mentamadunkan Politik

Saya sekali-kali tidak menafikan, untuk mendapatkan kuasa pemerintahan perlulah melalui politik. Tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawasanya politik itu merupakan salah satu rukun yang perlu dipandang serius oleh setiap lapisan masyarakat.

Melihat keadaan politik negara-negara di dunia ini menampakkan satu bentuk politik yang tidak bertamadun. Keadaannya sama seperti keadaan jahiliyyah. Menurut Ustaz Ridhwan Mohd Noor jahiliyyah yang melanda umat hari ini adalah neo-jahiliyyah (jahiliyyah versi alaf 21). Adalah menjadi tanggungjawab ahli gerakan untuk memastikan politik hari ini ditamadunkan semula seperti yang pernah berlaku ketika era pemerintahan Islam.

Hanya tamadun yang berasaskan pengetahuan sahaja yang berupaya membentuk suasana politik yang kondusif. Jika kita tidak berusaha memahami tamadun neo-jahiliyyah ini, maka apabila kuasa pemerintahan itu berjaya dimiliki akan terciptalah sebuah jahiliyyah yang baru. Memahami Islam itu adalah wajib, dan memahami sepak terajang jahiliyyah itu juga wajib.

Ayuh, koreksi diri! Optimumkan usaha untuk mencapai sebuah tamadun yang gemilang. Dari situ akan lahirlah generasi yang terbilang, Insya-Allah.

Read more...

MU’MIN; PAKEJ 2 IN 1

>> Sunday, October 18, 2009

Belum sempat Ihtifal Ilmi melabuhkan tirainya, saya terus bergegas pulang ke Kedah. Pulang memenuhi jemputan sahabat-sahabat dari SMKAB untuk berprogram bersama adik-adik mereka. Turun atas stand Pengerusi Alumni Kepimpinan Pelajar Islam Kedah, ada misi yang perlu dilaksanakan. Memandangkan adik saya, Abu Qohafah tidak dapat turun ke program ini, maka saya ditugaskan untuk menggantikannya member pengisian kepada adik-adik SMKAB.

Perjalanan mengambil masa berjam-jam lamanya, beberapa pengalaman sempat ditimba. Pengalaman pertama dalam hidup saya apabila seorang Katolik mengajak bermunaqasyah mengenai agama. Berat hati pada mulanya, namun disebabkan persoalan terus diajukan saya cuba menjawab semampu yang mungkin.

Tiba di Alor Setar pada jam 8.00 pagi. Abdul Ghafur menjemput saya dari stesen menuju ke Darus Sofwah untuk khidmat diri. Selesai bersarapan, saya meneruskan perjalanan ke Baling bersama Asyraf dan Anas, penuntut jurusan Ilmu Wahyu di UIA Nilai. Mata terlalu berat untuk dibuka, lantaran degil untuk berjaga pada malamnya di atas tren.

Tiba di hadapan SMKAB pada jam 1.15 petang. Saya menunggu bersama dua orang sahabat di hadapan sekolah sebelum kami masuk bersama adik Abdul Muhaimin, bekas pelajar MMY. Sempat juga untuk berehat sebelum memulakan program bersama adik-adik SMKAB. Taklimat fasilitator yang sepatutnya dibuat pada tengah hari ditunda hingga ke malam, selepas Isya’.

Program berjalan lancar selama 3 hari 2 malam. Banyak yang diperolehi melalui program ini. Ditambah degan kehadiran ayahanda Cikgu Sukarno sebagai salah seorang tenaga yang memberi pengisian dirasakan amat berharga.

Koordinator dan Fasilitator

Dalam apa jua program, kedua-dua aktor tidak dapat dipisahkan. Koordinator program bertindak untuk menjadikan program sentiasa dalam keadaan yang terbaik dan berjalan lancar, tak kiralah apa jua posisi yang diletakkan.

Sementara itu, fasilitator akan berperanan sebagai pemudah cara untuk para peserta memahami objektif dan matlamat yang ingin disampaikan melalui program tersebut. Tidak kiralah apa pun caranya, yang pasti mereka ini akan berusaha sedaya yang termampu untuk memahamkan peserta tentang objektif yang ingin disampaikan. Ada fasilitator yang berperanan sabagai penceramah, ada juga sebagai kaunselor. Namun, perlu diingat. Fasilitator hanya sebagai penunjuk jalan, memberi joran kepada si pemancing, bukan sebagai tukang pancing dan member ikan kepada pemancing yang sebenar.

Apa pun yang diketengahkan, ianya mempunyai kaitan yang amat rapat dari sudut tarbiyyah. Sudah tentu kita masih ingat kisah Rasulullah S.A.W menyeru bapa saudaranya Abu Talib untuk memeluk Islam hingga di saat akhir hayat bapa saudara Baginda. Satu perkara yang wajib kita imani, bagaimanapun usaha kita untuk memprogramkan peserta program, hanya Allah jua yang memberi hidayah. Satu perkara yang kita sering terlepas pandang apabila peserta yang kita programkan itu tidak menunjukkan kesan daripada program yang dilaluinya.

Namun, bukan bermakna kita perlu tinggalkan usaha. Usaha itu perlu, tawakkal itu wajib. Kedua-dua elemen ini perlu seiring. Tidak boleh kita tinggalkan tawakkal dengan hanya menggunakan wasilah usaha, dan amat salah jika kita hanya bertawakkal tanpa adanya usaha.

Tarbiyyah dan Mentarbiyyah

Program yang dimaksudkan di sini ialah program pencerahan, program islah, program tarbiyyah dan sebagainya. Selalunya kita gemar sekali untuk mentarbiyyah, namun jarang sekali kita melihat orang yang suka untuk ditarbiyyah. Tanyalah kepada siapa pun, jika diprogramkan sudah tentu berat hati untuk melangkah pergi. Tapi jika memprogramkan, silap-silap kitalah orang yang pertama memberi nama untuk member khidmat tenaga.

Kenapa hal ini terjadi?

Saya mula aktif dalam program sejak berumur 13 tahun. Mungkin juga boleh dikatakan hobi untuk berprogram. Tapi seperti yang dinyatakan, terkadang berat juga hati untuk melangkah. Di situ memerlukan pencerahan niat supaya apa yang diniatkan selari dengan kehendak Allah. Melihat situasi setiap program yang pernah dilalui, saya mempunyai pandangan tersendiri.

Satu ketika, seorang sahabat saya pernah berdebat dengan koordinator program tentang soal taklifat. Ketika itu saya baru berusia 17 tahun. Antara taklif program yang diberikan kepada kami ialah zikir sebanyak 3000 kali sehari. Katanya, tidak perlu zikir sebanyak itu jika hati terpaksa. Coordinator program memberi jawapan balas, mana kita tahu kalau-kalau di dalam jumlah yang sebanyak itu da satu zikir yang dikira ikhlas di sisi Allah. Kami terdiam.

Apa yang ingin saya kongsikan, tarbiyyah itu bukan menurut kemahuan. Tarbiyyah ini bersifat keperluan. Sebagai manusia, tarbiyyah amat diperlukan bagi mengisi jiwa yang sering kekeringan lantaran dosa yang sering dilakukan. Namun, sebagai pentarbiyyah juga perlu kita sedar. Dalam kita mentarbiyyah, sudah tentu kita tidak mahu hasil yang sia-sia. Jadi, mulakan dengan sedikit. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, kata pepatah melayu.

Tidak jadi jika persoalan tarbiyyah hanya ditumpukan pada program-program yang khusus. Sedangkan pada hari-hari yang lain, kita membiarkan jiwa kita tanpa diisi. Kerana itu, Al-Quran telah menegaskan kepada kita untuk saling mengingatkan antara satu sama lain kerana ianya mendatangkan manfaat kepada mu’min.

Kalau di dalam sesebuah program kita meletakkan taklifat yang begitu tinggi terhadap peserta, maka sewajarnya sebagai coordinator program untuk merasai taklifat yang bersifat dua kali ganda daripada peserta. Kerana mustahil jiwa yang kotor mampu untuk membersihkan jiwa yang lain.

Ayuh,lakukan anjakan!

P/s: Perkongsian ini dicoret untuk tatapan semua. Tidak kira siapa pun kita, elemen muhasabah perlu diterapkan.

Saya menyedari hal ini, mungkin juga ada di kalangan kita juga menyadari hal ini. Sebagai pemuda, kita adalah agen perubah. Maka sewajarnya kita perlu mengubah pekara dasar di dalam diri kita seiring dengan tugas mengislah jiwa yang lain.

Read more...

HADIS TANDA-TANDA QIAMAH

>> Monday, October 12, 2009

Matahari Terbit Dari Barat



Petikan Hadis Dari Sunan At-Tarmizi
Huraian Oleh : Al-Fadhil Ustaz Muhd Asri Hj. Ramli



عن أبي ذَرٍّ قَالَ : دَخَلْتُ المَسْجِدَ حِيْنَ غَابَتِ الشَّمْسُ وَالنَّبِيُّ صَلىَّ اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ جَالِسٌ، فَقَالَ : "يَا أبَا ذَرٍّ أَتَدْرِي أَيْنَ تَذهَبُ هَذِهِ؟ قَالَ : قُلْتُ اللهُ وَرَسُوْلُهُ أعْلَمُ. قَالَ : فَإِنَّهَا تَذْهَبُ تَسْتَأذِنُ فىِ السُّجُودِ فَيُؤْذَنُ لهاَ وَكَأنّهَا قَدْ قِيْلَ لَهَا اطْلِعِى مِنْ حَيثُ جِئْتِ، فَتَطْلَع مِن مَغْرِبِهَا. قَالَ: "ثُمَّ قَرَأَ وَذَلِكَ مُستَقَرٌّ لهَاَ. قَالَ : وَذَلِكَ قِرَأَةُ عَبْدِ الله بنْ مَسْعُود.
حسن صحيح



Terjemahan: Dari Abi Dzar katanya: Aku telah masuk ke masjid ketika waktu tenggelam matahari (senja) dan ketika itu Nabi SallalLahu’Alaihiwasallam sedang duduk, maka baginda pun bersabda: “Wahai Abi Dzar, tahukah kamu kemana perginya (matahari) ini?” Katanya : Allah dan rasulNya lebih mengetahui. Maka Sabda Nabi SallalLahu’Alaihiwasallam : “Sesungguhnya ia pergi meminta izin kepada tuhannya untuk bersujud, maka Allah mengizinkannya. Dan sesungguhnya seolah-olahnya dikatakan kepadanya “Terbitlah kamu dari arah mana kamu datang”. Maka ia pun ia terbit dari sebelah baratnya. Ia berkata: Kemudian Nabi SallalLahu’Alaihiwasallam membacakan (sepotong ayat) : وَذَلِكَ مُسْتَقَرٌّ لَهَا
Dan demikianlah tempat tetap baginya. Ia berkata demikianlah bacaan Abdullah Ibnu Mas’uud.


Keterangan.



1. Setiap hari matahari memohon kepada Allah agar dapat bersujud kepadaNya, dan Allah mengarahkan agar matahari tersebut pulang kembali ke timur hingga sampai kembali kepada baratnya. Lalu matahari memohon agar dapat bersujud lagi. Maka Allah mengizinkannya dan mengarahkan agar beredar ke timur. Demikianlah setiap hari sehingga kelihatan di bumi ini dipenuhi dengan kemaksiatan, serta mereka tidak mempedulikan ajaran dan nasihat. Atau sudah tiada lagi yang memberikan peringatan dan nasihat serta manusia sudah tidak mengambil berat lagi hukum-hukum Allah dan RasulNya lagi, Maka matahari memohon kepada Allah agar ia terus bersujud dan tidak kembali lagi ke dunia ini, maka Allah mengizinkan ia bersujud di bawah ‘Arasy selama beberapa malam.

.
2. Kata ‘Ulama: setelah matahari tetap bersujud kepada Allah selama 3 hari di bawah ‘Arasy, maka malam menjadi sangat panjang. Dan keadaan itu tidak disedari melainkan mereka yang bangun bertahajud di tengah malam serta mengamalkan zikir dan aurad (amalan-amalan zikir), serta mereka melaziminya setiap malam. Sehingga pada malam tersebut, mereka yang telah selesai menjalani ibadah malam mendapati bahawa fajar tetap tidak terbit. Lantas mereka kembali menyambung ibadah mereka dan setelah selesai seperti biasa mereka keluar melihat keadaan langit dan bintang dan keadaannya tetap sama. Lantas mereka yakin bahawa ini adalah alamat kiamat, maka mereka saling mengkhabarkan kepada sesama mereka sehingga semua manusia berkumpul di masjid menangis dan memohon pertolongan Allah.
.
3. Setelah cukup 3 hari itu maka matahari pun terbit, namun Allah mengarahkan agar ia terbit dari arah barat. Maka semua manusia mengetahui bahawa itu adalah alamat kiamat. Lantas menangislah semua ahli langit dan bumi. Dan ketika itu berseru suara dari langit “bukankah matahari itu terbit dari barat?” maka manusia seluruhnya menangis serta dengan rendah diri memandang ke langit. Mereka melihat cahaya matahari dan bulan sangat berbeza, tidak seperti biasa. Sesungguhnya tidak berguna lagi menangis pada hari tersebut.

*Dipetik dari laman tarbiyyahdppnk

Read more...

ISU SEBAT: JANGAN JADI BODOH SOMBONG!

>> Monday, October 5, 2009

Isu sebatan terhadap Kartika Dewi Shukarno kembali menjadi perhatian. Isu ini telah menarik perhatian ramai pihak sama ada pihak kerajaan, badan bukan kerajaan, institusi agama mahupun individu persendirian. Banyak pihak yang menyokong keputusan mahkamah syariah Pahang namun tidak kurang juga yang mempertikaikan.

Hukuman yang telah diputuskan oleh mahkamah syariah ini sepatutnya dijalankan pada bulan Ramadhan yang lalu namun ditangguhkan atas alasan yang digembar-gemburkan media kerana menghormati bulan suci tersebut. Dengan kesempatan yang ada, ramai pihak termasuklah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat meminta supaya hukuman sebat ke atas Kartika dinilai semula oleh pihak mahkamah syariah. Mereka juga meminta agar Kartika membuat rayuan di atas hukuman yang telah dijatuhkan oleh pihak mahkamah.

Kartika yang berasa seperti dimalukan telah meminta kepada pihak yang berkenaan agar menghormati pendirian beliau agar hukuman sebat tetap dijalankan. Dato’ Seri Shahrizat juga telah meminta kepada semua pihak untuk mengormati keputusan yang dibuat oleh individu yang terlibat.

Berakhir sahaja bulan Ramadhan, mahkamah syariah memutuskan agar hukuman syariah tetap dijalankan ke atas Kartika. Namun, isu ini terus menjadi buah mulut serta pertikaian bagi sesetengah pihak yang tidak dapat menerima hukuman syariah (sebat) ini dijalankan ke atas seorang pesalah perempuan. Mereka terus mendesak agar mahkamah meneliti semula hukuman yang akan dijalankan terhadap seorang perempuan. Kumpulan ini diterajui oleh Sisters In Islam (SIS) serta beberapa badan bukan kerajaan yang lain.

Mereka menggunakan alasan hukuman ini telah melanggar hak asasi manusia kerana belum pernah seorang wanita di Malaysia disebat. Pada hemat saya, mungkin mereka menganggap hukuman yang bakal dilalui persis hukuman sebat sivil yang boleh mengakibatkan kecederaan. Saya berasa sedikit hairan, adakah pihak seperti SIS ataupun SUHAKAM tidak membaca mahupun mendengar penerangan yang telah dibuat oleh individu yang mempunyai kepakaran di dalam bab ini? Mufti Perak juga turut mengeluarkan pandangan di dalam hal ini. Namun, akibat perasaan sikap BODOH dan SOMBONG yang menyebabkan pihak ini enggan membaca mahupun mendengar.

Jika SUHAKAM menggunakan alasan hukuman seperti ini mencabar hak asasi manusia, mengapa SUHAKAM tidak membantah hukuman sebatan sivil yang dilihat lebih jelas melanggar hak asasi manusia? Saya melihat isu ini sengaja digembar-gemburkan oleh pihak-pihak ini kerana mereka telah diracuni dengan virus ISLAMOPHOBIA. Perlu diingat, agama Islam tidak pernah menganjurkan keganasan, apatah lagi menindas kaum yang lemah. Hukuman syariah amat adil jika hendak dibandingkan dengan hukuman lain kerana ianya memberi pengajaran kepada pihak lain.

SIS melalui lamannya telah cuba untuk menyamakan hukum yang terdapat di dalam agama Hindu dengan undang-undang syariah. Jika satu ketika dahulu terdapat pihak yang cuba mengadakan perkongsian hari raya, lantas keluarlah fatwa yang mengharamkan perkongsian hari raya. Maka, adakah relevan untuk menyamakan undang-undang yang terdapat dalam agama lain dengan hukum syariah yang terkandung di dalam agama Islam? Jika ingin dibincangkan hak asasi manusia, mengapa hanya membiarkan ahli keluarga tahanan ISA menderita sepeninggalan orang yang disayangi?

Pernah satu ketika, Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan bahawasanya pihak kerajaan yang sedang diterajui oleh UMNO dan Barisan Nasional sentiasa peka dan serius dalam menjaga urusan yang berkaitan hal ehwal agama Islam serta bangsa Melayu dan rakyat jelata. Maka, saya rasakan sudah sampai masanya pihak kerajaan yang diterajui oleh UMNO dan BN untuk menunjukkan sikap serius mereka dalam menangani isu bantahan terhadap hukuman syariah. Buktikan apa yang telah diungkapkan sebelum ini! Saya mengajak sekalian pencinta keadilan untuk MENGUTUK serta MENDESAK pihak terbabit menarik semula kenyataan yang dibuat. Saya juga menyeru sekalian pencinta kebenaran agar menyokong usaha mendesak pihak kerajaan supaya membubarkan pertubuhan yang cuba mencabul undang-undang syariah serta-merta demi menjaga kesucian Islam itu sendiri!

Read more...

Our Blogger Templates Web Design

Kepada sesiapa yang ingin mengambil bahan dari blog ini, pihak kami mengalu-alukannya. Sebarkan bahan ini dengan sebaiknya untuk faedah dan kepentingan bersama. Syukran

NASYID FM

Sila download

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP