I made this widget at MyFlashFetish.com.

JANGAN HERET GENERASI MUDA KE JALAN YANG SALAH

>> Monday, December 22, 2008

Belakangan ini negara sibuk memperkatakan tentang satu isu yang ditimbulkan oleh sebuah pertubuhan yang tidak berdaftar, Jaringan Rakyat Tertindas atau lebih dikenali dengan JERIT. Namun, bukan itu yang saya ingin perkatakan dalam tulisan saya kali ini. Tetapi ianya mungkin mempunyai sedikit hubung kait dengan isu yang berlaku.

Saya telah berkunjung ke sebuah perpustakaan di Negeri Selangor. Memandangkan pada hari tersebut saya belum lagi melihat isu-isu yang berlaku di dalam akhbar, maka saya mencapai senaskhah akhbar yang terletak di pejuru perpustakaan tersebut. Saya tertarik dengan satu tajuk yang membincangkan tentang hak asasi kanak-kanak. Namun, tulisan saya kali ini bukan untuk memberi respon tentang hak asasi kanak-kanak, ditambah lagi saya bukanlah ahli dalam bidang tersebut. Apa yang ingin saya ketengahkan kali ini adalah berkaitan tentang generasi muda.

Saya memuji sikap penduduk Malaysia yang begitu prihatin terhadap isu yang berlaku. Di dalam ruangan akhbar tersebut, penulis melahirkan rasa kesal beliau terhadap pencabulan hak asasi kanak-kanak. Kanak-kanak disuruh untuk menjual buku dengan tujuan mengutip derma. Bukan sekali, bahkan berkali-kali! Sedangkan kita sedia maklum, masa kanak-kanak merupakan masa yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk diisi dengan ilmu pengetahuan dan sebagainya. Pepatah melayu juga ada menyebut, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tahniah kepada penulis!

Namun, kita jangan terlepas pandang terhadap situasi yang berlaku di kalangan generasi muda kini. Budaya hedonisme semakin menular di kalangan mereka. Bukan itu sahaja, perundangan Islam juga telah diketepikan sebahagian dan di ambil sebahagian. Maka tercetuslah satu istilah ISLAM CAP WIN TI (Islam ketika menguCAP, berkahWIN dan ketika maTI). Mereka tidak diisi dengan pentarbiyahan. Jiwa mereka kosong dari peringatan terhadap hari akhirat. Apa yang mereka tahu, MUDA HANYA SEKALI. Maka melalui istilah inilah mereka mengisi masa muda mereka dengan perkara-perkara yang melalaikan.

Rancangan realiti TV yang semakin banyak, ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan telah menarik ramai generasi muda untuk menyertainya. Dikuatkan lagi dengan sokongan daripada ahli keluarga, terutama ibu bapa telah menyebabkan mereka lupa terhadap matlamat kewujudan mereka di atas muka bumi ini. Dan sekarang ini, rancangan berbentuk reality TV ini bukan sahaja diwujudkan untuk para pemuda, bahkan untuk anak-anak kecil juga telah diwujudkan. Kononnya mereka ingin mencungkil bakat yang terpendam. Budaya hiburan yang berlebihan telah diamalkan oleh masyarakat kita. Saya mengambil satu contoh. Ketika mana ummat Islam sedang sibuk untuk menyambut bulan Ramadhan baru-baru ini, satu konsert yang telah diluluskan oleh pihak kerajaan telah diadakan. Konsert Avril Lavigne telah menghimpunkan begitu ramai pemuda dan pemudi. Apabila pihak Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) mengadakan demonstrasi aman untuk membantah konsert tersebut, mereka dihalang dan diarahkan agar bersurai. Satu keadaan yang amat menyedihkan!

Mungkin ada yang akan berkata, Islam tidak menghalang ummatnya untuk berhibur. Ya! Saya tidak menafikan, di zaman Rasulullah juga ada hiburan. Tetapi, Islam tidak menyuruh ummatnya berlebih-lebihan di dalam perkara yang baik, apatah lagi dalam perkara yang berunsurkan hiburan. Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 190, mafhumnya:

“Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-oarang yang melampaui batas”

Dan Allah lebih menyukai para pemuda yang sanggup menghabiskan masanya untuk mengabdikan diri pada-Nya. Rasulullah S.A.W bersabda, mafhumnya:

“Sesungguhnya Allah sangat kagum pada pemuda yang tidak ada baginya masa muda (untuk bergembira dan bersuka-suka kerana masa mudanya dipenuhi dengan beribadah kepada Allah).”

Namun di zaman yang serba moden ini, bukan sahaja gejala hedonisme yang menular di kalangan generasi muda, bahkan terlalu banyak. Saya telah sebutkan di dalam artikel saya sebelum ini yang bertajuk Oh Pemuda! Soal pendidikan tidak diambil peduli, apa nak jadi, jadilah! Disebabkan itulah, proses pentarbiyahan tidak mendapat tempat. Kerana pendidikan yang ada pada zaman sekarang bukanlah satu bentuk pendidikan yang berlandaskan konsep Islam yang sebenar, akan tetapi pendidikan yang wujud pada hari ini ialah pendiddikan yang berunsurkan sekularime! Pendidikan berunsurkan agama tidak dilaksanakan di sekolah-sekolah. Pendidikan seperti ini hanya sesuai dilaksanakan di masjid-masjid dan surau-surau. Apakah cukup dengan hanya mempelajari mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah? Bagi saya TIDAK! Satu lagi ‘kejayaan’ yang telah dicapai oleh pihak kuffar Laknatullahi ‘alaihim kerana mereka telah berjaya memisahkan agama dari kehiduan manusia!

Satu situasi yang ingin saya kongsikan bersama para ikhwah pembaca budiman. Pada satu malam selepas selesainya satu majlis, saya bergegas ke sebuah lagi majlis perbincangan atau lebih senang untuk saya katakan Halaqah. Di dalam halaqah tersebut, ‘abang’ saya telah menceritakan sebuah pengalaman beliau ketika berkunjung ke Johor Bahru ketika cuti ‘aidil adha yang lepas. Beliau sempat mengamati suasana masyarakat di sana yang penuh dengan cabaran. Beliau juga sempat berkunjung ke Danga Bay pada satu malam. Beliau menceritakan bagaimana situasi yang berlaku, para pemuda dan pemudi berdua-duaan (hakikatnya mereka ditemani Syaitan Laknatullah). Seolah-olah di hadapannya itu terdapat sebuah pesta maksiat. Banyak kereta jika diperhatikan seperti tidak ada sesiapa di dalamnya. Tetapi kereta tersebut bergoncang. Masakan ada jin yang tolong menggoncangkan kereta tersebut..! Inilah situasi yang berlaku di sana. Dalam sebuah keratan akhbar Berita Harian baru-baru ini mengisahkan sebuah rumah yang didiami oleh seorang datuk dan cucunya telah dijadikan ‘port’ untuk melakukan maksiat. Sungguh menyedihkan! Siapakah yang patut disalahkan dalam hal ini?

Satu perkara yang sewajarnya diberi perhatian serius oleh semua pihak, terutama pihak pemerintah negara untuk menjalankan dasar-dasar Islam yang syumul. Jika kita beranggapan konsep Islam yang dijalankan hari ini adalah menyeluruh, maka sewajarnya amar ma’ruf nahi munkar itu seiringan. Tetapi pada hari ini yang dijalankan hanyalah konsep amar ma’ruf. Bila diajak untuk mencegah kemungkaran yang berlaku, maka alasan yang digunakan jangan menjaga tepi kain orang. Selalu saya sebutkan kepada sahabat-sahabat saya,”kalau tepi kain orang tak koyak, tak payah kita kalut dok pi jaga. Tapi sebab koyak yang kita pi jaga, takut anjing mai tokak (gigit)”. Jangan kita tertipu dengan slogan-slogan yang dibawa oleh barat, kononnya inginkan kemajuan dan kemodenan. Maka yang kita akan dapat kemodenan, tetapi hanya kemajuan dan kemodenan lahiriah yang kita dapat, sedangkan kemajuan dari sudut ruhiyah kita terabai.

Jika kita mampu memberi respon yang baik terhadap tindakan menggunakan kanak-kanak dalam operasi JERIT, mengapa kita tidak memberi respon yang lebih baik terhadap penyakit ummat yang kian parah? Kita tidak rela melihat anak-anak kecil dieksploitasi oleh pihak-pihak tertentu yang kononnya bertujuan mengaut keuntungan bagi pihaknya sahaja, akan tetapi relakah kita, redhakah kita melihat generasi muda hari ini dieksploitasi, diperalat dan digunakan oleh pihak musuh untuk menghancurkan Islam itu sendiri? TEPUKLAH DADA, TANYALAH IMAN..!

Read more...

OH, PEMUDA!

>> Friday, December 19, 2008

Pemuda, satu nama yang cukup gah dari zaman dahulu hingga kini, bahkan selamanya. Bagaimana gahnya seorang yang bergelar pemuda apabila mereka sering dijadikan sebagai harapan generasi sebelum mereka. Bahkan, di dalam pepatah arab sekalipun ada meyatakan, pemuda hari ini merupakan pemimpin hari esok. Kekuatan yang ada padanya sudah cukup membuktikan bahawa mereka adalah pemangkin kepada berjayanya sebuah kaum itu. Lantaran itu mereka sering dijadikan sasaran pihak musuh kerana musuh tahu, melalui pemuda sebuah kejayaan itu mampu dicapai.

Apabila kita melihat semula sirah Rasulullah S.A.W dan sahabat-sahabat Baginda, kita akan dapati ramainya pendokong Islam ketika itu ialah para pemuda. Rasulullah S.A.W. berwasiat kepada umat Islam supaya menjaga pemuda dan menjelaskan tentang kelebihan mereka berbanding orang-orang tua. Baginda S.A.W. bersabda, mafhumnya:

“Aku berpesan kepada kamu supaya berbuat baik kepada pemuda, sesungguhnya hati mereka paling lembut. Sesungguhnya Allah telah mengutus aku membawa agama Hanafiah lalu para pemuda bergabung denganku dan orang-orang tua menentangku.”

Rasulullah S.A.W. ketika diutuskan menjadi Rasul, Baginda berumur 40 tahun. Umur ini ialah peringkat kesempurnaan bagi seorang pemuda. Sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. juga merupakan para pemuda yang cekal hati mereka dalam memperjuangkan kalimah suci. Abu Bakar r.a lebih muda daripada Rasulullah S.A.W. dalam ingkungan tiga tahun, Umar r.a ketika memeluk Islam baru berumur dua puluh tujuh tahun, Usman r.a lebih muda daripada Rasulullah dan Ali k.w. adalah yang termuda di kalangan khulafa’ ar-rasyidin. Begitu juga Abdullah bin Mas’ud, Sa’id bin Zaid, Abdul Rahman bin Auf, Bilal bin Rabah, Mus’ab bin Umair dan berpuluh-puluh bahkan beratus-ratus sahabat Rasulullah S.A.W. merupakan pemuda yang begitu komited dan cekal hati mereka dalam memperjuangkan Al-Haq.

Mereka telah meninggalkan kepada kita satu contoh tauladan untuk diikuti. Mereka merupakan golongan pemuda yang memiliki ciri-ciri mukmin yang sejati, seperti yang diterangkan di dalam Surah Al-Maaidah, ayat 54, di mana mereka berlemah-lembut dengan orang mukmin yang lain, dan bersikap tegas terhadap orang-orang kafir, berjuang di jalan Allah tanpa mengenal erti takut sekalipun terhadap cercaan manusia.

Di zaman sekarang, di manakah tempat yang mungkin boleh kita dapatkan ‘produk-produk’ yang berkualiti seperti pemuda-pemuda yang disebutkan tadi? Di zaman yang serba mencabar ini, masih adakah lagi generasi-generasi persis generasi sebelum ini? Ya! Itulah jawapannya. Namun, jangan kita alpa, jangan kita lupa bahawa ramai di kalangan pemuda hari ini telah hanyut dek serangan yang dilancarkan oleh pihak kuffar. Mereka telah menggerakkan agen-agen yang giat menyebarkan fahaman dan doktrin mereka atas tujuan yang sama iaitu, melemahkan pemuda dan seterusnya memadam cahaya kebenaran di atas muka bumi ini.

Penyakit sekularime, pluralisme, vandalisme, nasionalisme, dan banyak lagi barah-barah yang sekarang ini telah menular di kalangan para pemuda. Namun, perancangan Allah lebih rapi. Kita tetap meyakini bahawa Allah tetap memelihara kebenaran melalui tangan-tangan hamba-Nya yang soleh. Penulis ingin mengajak para pembaca berfikir sejenak. Rasulullah S.A.W. telah menjanjikan bahawa kota Konstantinopel itu akan dibuka oleh seorang panglima yang baik dan dibelakangnya ialah tentera dan rakyat yang baik. Dan semua pemerintah Khilfah Islamiyah ketika itu mengharapkan bahawa merekalah yang dijanjinkan oleh Rasulullah S.A.W. Persoalan yang ingin penulis bawakan di sini, apabila Allah telah menjanjikan bahawa agama-Nya yang diredhai ini akan tetap terpelihara melalui tangan-tangan hamba-Nya yang soleh, siapakah mereka? Tidakkah kita mahu menjadi golongan yang dijanjikan ini? Tidakkah kita mahu menjadi persis Ashabul Kahf yang tetap membela tauhid mereka yang suci demi mendapatkan sebuah balasan yang tiada nilainya di atas muka bumi ini?

Allah telah memberi peringatan kepada umat Muhammad S.A.W. di dalam Al-Quran, di mana Allah telah menyatakan bahawa jika kita berpaling daripada agama-Nya, maka Allah akan datangkan sebuah kaum yang lebih baik daripada sekarang untuk menegakkan kalimah Allah yang suci ini. Justeru, apabila kita tidak menjadi pilihan Allah, maka siapakah lagi yang lebih berhak ke atas diri kita?

Maka di sini penulis ingin mengajak diri penulis dan pembaca sekalian agar kita terus berusaha untuk menjadi pilihan Allah. Tenaga muda kita akan disoal di akhirat kelak. Kita jadikan tenaga muda yang ada sebagai galang ganti untuk mencapai sebuah kejayaan, iaitu memastikan Al-Haq terus berada di puncak. Kita jadikan generasi sebelum ini sebagai qudwah untuk terus berada di atas jalan menegakkan kalimah Allah yang suci ini. Ingatlah janji Allah di dalam Al-Quran, bahawasanya Allah akan memebeli dari orang mukmin itu nyawa dan harta mereka dengan menjadikan syurga sebagai bayarannya. Inilah perniagaan yang disebutkan oleh Allah sebagai perniagaan yang tidak akan ada ruginya, perniagaan yang mampu membebaskan kita daripada azab yang pedih. ALLAHU AKBAR!!!

Read more...

PENGUMUMAN

>> Tuesday, December 9, 2008



PERJUMPAAN MAHASISWA KEDAH BERSAMA MENTERI BESAR KEDAH

Tarikh : 11 Disember 2008
Tempat :Dewan Sri Mentaloon, Kediaman Menteri Besar
Masa : 9 pagi

Semua Mahasiswa Dijemput Hadir...

Read more...

TAHNIAH MELAKA..!!

>> Monday, December 8, 2008

Salam Ikhwah...

Sengaja ana ingin membangkitkan semula isu yang pernah 'meletup' baru-baru ini. Datuk Shah Rukh Khan..! Melihat kepada bintang Bollywood ini, siapa yang tidak kenal. Sehinggakan anak-anak kecil juga mengenali 'hero' pujaan dunia ini. Tidak terlepas juga rakyat di Malaysia. Lakonan yang dilakonkannya mampu menarik perhatian penonton dan peminat filem Hindustan.

Dan pada tanggal 6 Disember yang lalu, bintang pujaan dunia ini telah hadir ke Melaka untuk menerima pingat kebesaran yang membawa gelaran Datuk. Kini bintang tersebut telah bergelar Datuk Shah Rukh Khan. Di dalam sebuah rancangan, Shah Rukh Khan telah melahirkan rasa gembiranya di atas pemberian ini. Terima Kasih kepada kerajaan Melaka! Tidak cukup dengan itu, bintang ini telah dibawa melawat tempat-tempat bersejarah di Melaka.

Di dalam sebuah akhbar pada Jumaat yang lepas, Ketua Menteri Melaka telah melahirkan hasrat untuk memberikan sebuah rumah mewah kepada bintang ini. Satu lagi hasrat yang dilahirkan oleh Kerajaan Melaka. Sejenak ana berfikir, apakah di Melaka itu tidak punya orang miskin? Kenapa orang luar yang perlu diraikan..? Kenapa kera di hutan yang perlu disusukan berbanding anak sendiri? Tak lain dan tak bukan, mereka telah meletakkan artis di puncak. Mereka memuja artis, mengagumi dengan sumbangan yang diberikan oleh artis ini yang telah memperkenalkan Melaka kepada dunia dalam filem one two ka four.

Persoalannya, mengapa harta tersebut tidak diberikan kepada rakyat yang miskin dan menderita di negeri tersebut? Tidakkah mereka takut dengan sebuah hadis yang pernah disabdakan Rasulullah, mafhumnya;

Apabila ummatku telah membuat lima belas perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka, iaitu: apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu, apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan, zakat dijadikan hutang, suami memperturut kehendak isteri, anak derhaka terhadap ibunya, sedangkan ia baik dengan kawannya, ia suka menjauhkan diri daripada ayahnya, suara sudah ditinggikan di dalam masjid, yang menjadi ketua satu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka, seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya, khamar (arak) sudah diminum di merata tempat, kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki), para artis disanjung, muzik banyak dimainkan, generasi akhir uammat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat).

Maka pada ketika itu hrndaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi ataupun mereka akan diubah menjadi makhluk lain.”
(H.R Tirmizi)

Hadis ini telah jelas menyatakan bahawa azab Allah yang menanti apabila para artis disanjung. Dan Allah juga telah memerintahkan agar seorang pemimpin itu berlaku adil terhadap orang yang dipimpinnya (sila rujuk Surah An-Nisaa' ayat 58). Sekarang ini kita dapat melihat, kemiskinan penduduk di Malaysia ini adalah disebabkan kurangnya bantuan dan perhatian daripada pihak yang berwajib. Inilah akibatnya jika sesuatu perkara itu tidak kembali merujuk kepada Al-Quran dan Hadis.

Jika kita menyingkap lembaran sirah, kita akan mendapati betapa adilnya Khalifah Bani Umayyah yang kelapan, Saiyiduna Umar Ibnu Abdul Aziz. Diceritakan pada zaman pemerintahan beliau, tidak ada seorang pun di kalangan rakyatnya yang layak menerima zakat, lantaran keadilan beliau terhadap rakyatnya. Mengapa pada zaman kini, figur ini tidak dijadikan ikutan oleh sebilangan pemimpin masyarakat? Dan mengapa mereka tidak menjadikan corak kehidupan Rasulullah S.A.W itu sebagai rujukan dan panduan?

Justeru, sudah pasti kita tidak mahu melihat perkara ini berterusan. Lantaran daripada kelalaian yang telah dilakukan akan menyebabkan kita semua turut merasa akibatnya. Maka sudah menjadi kewajipan bagi kita untuk menyedarkan hal ini kepada masyarakat seluruhnya, agar kembali kepada fitrah, iaitu kembali merujuk apa yang telah ditetapkan oleh Allah yang telah termaktub di dalam Al-Quran dan Hadis. Allah juga telah mengingatkan kepada kita bahawa perlunya manusia saling mengingatkan antara satu sma lain, kerana ia memberi manfaat kepada orang mukmin. Semoga usaha yang telah kita lakukan ini akan mendapat keredhaan daripada Allah.. Insya Allah

Read more...

IBADAH KORBAN HINDAR MANUSIA SIFAT TAMAK, KEDEKUT

>> Sunday, December 7, 2008

Ibadah korban hindar manusia sifat tamak, kedekut

Oleh Zabidi Hitam

KORBAN adalah ibadat yang amat besar pahalanya dan dituntut umat Islam melaksanakannya. Ibadat itu empunyai hikmah tertentu yang hukumnya adalah sunat muakkad khususnya mereka berkemampuan.

Korban bererti menyembelih binatang ternakan membabitkan kambing, biri-biri, lembu, kerbau dan unta yang cukup umur pada Aidiladha dan tiga hari Tasyrik 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Rasulullah SAW memberi penekanan supaya umatnya yang berkemampuan melakukan korban. Hadis diriwayatkan Ahmad Ibnu Majah: Daripada Abu Hurairah, katanya, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa yang mempunyai kemampuan, tetapi tidak melakukan ibadat korban maka janganlah ia menghampiri tempat sembahyang kami”.

Oleh itu, bagi mereka yang mempunyai kemampuan hendaklah melaksanakan korban pada Isnin depan dan seterusnya tiga hari Tasyrik iaitu Selasa, Rabu dan Khamis. Sebenarnya, ibadat itu akan mendekatkan diri kepada Allah dan sebaik ujian keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Korban menghindar manusia perasaan tamak, bakhil, kedekut dan takbur dengan kekayaan sekali gus menanamkan kesedaran harta dimiliki kepunyaan Allah.

Ibadat korban juga mendidik umat Islam kerjasama dan muafakat khususnya ketika melakukan kerja penyembelihan dan melapah serta penyediaan makanan kepada petugas dan pengunjung. Kesannya, dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa tolong-menolong, berkasih sayang dan harmoni.

Korban begitu mudah disebut, tetapi sedikit saja jumlah yang dapat melaksanakannya. Semua umat Islam mengetahui fadilat korban, tetapi apabila tiba masanya ramai yang tidak melakukannya.

Pelbagai alasan diberikan, antaranya; “Maaflah, bajet tidak cukup; Nak guna duit; Baru baiki kereta; Perlu beli buku sekolah, nak beli pakaian sekolah; Tahun depanlah aku buat dan pelbagai alasan lain”.

Sebenarnya, korban sebagai latihan masyarakat Islam untuk menyumbangkan sedikit daripada harta benda yang anggarannya antara RM300 dan RM400 sebahagian daripada tujuh bahagian untuk lembu atau kerbau, daripada pendapatan sepanjang tahun untuk dikorban ke jalan Allah

Alasan seperti dinyatakan itu tidak berasas sama sekali kerana umat Islam boleh merancang melakukan ibadat itu demi ketakwaan kepada Allah atau menganggapnya sebagai tuntutan agama sama ada menyimpan sebahagian pendapatan secara bulanan atau potongan bulanan kepada penganjur.

Semua boleh dilakukan, yang utama niat seseorang umat Islam kerana RM300 dan RM400 adalah jumlah yang begitu kecil sedangkan ibadat itu menjadi saham yang Allah tawarkan umat Islam untuk direbut selama empat hari bagi tempoh setahun.

Bayangkan, umat Islam sanggup berebut-rebut apabila ditawarkan saham awam, saham amanah atau sebagainya berbanding saham Allah ini. Korban adalah amalan yang amat disukai Allah pada hari akhirat nanti. Sebagaimana diriwayatkan Ibnu Majah dan Tarmizi: Sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud; “Tidak ada amalan anak Adam pada Hari Raya Korban yang sangat disukai Allah selain daripada amalan menumpahkan darah (menyembelih korban) kerana akan dibawa pada hari kiamat akan tanduknya, kuku dan bulunya dan sesungguhnya darah itu sampai kepada Allah dengan suatu tempat (timbangan) sebelum darah itu tumpah ke bumi, oleh itu, korbankanlah korban kamu”.

Sejarah korban bermula pada zaman Nabi Allah Adam dengan dua anaknya Habil dan Qabil melakukan ibadat korban bertujuan mendekatkan dengan Allah. Oleh kerana Habil melakukan ibadat korban dengan tulus ikhlas berdasarkan iman dan takwa, maka korban Habil diterima Allah.

Firman Allah Surah al-Maidah ayat 27 bermaksud; “Dan bacalah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah dua anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku ketika mereka mempersembahkan korban. Lalu diterima korban seorang daripadanya (Habil) dan ditolak korban lain (Qabil), berkatalah Qabil: sesungguhnya aku akan membunuhmu!” jawab Habil: “Hanya, Allah menerima (korban) daripada orang bertakwa”.

Selain itu, ibadat korban juga mengingatkan sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Ismail. Kedua-duanya melakukan pengorbanan yang amat berat dilaksanakan iaitu perintah Allah ke atas Nabi Allah Ibrahim melakukan korban dengan menyembelih anaknya yang dikasihi dan disayangi, Nabi Allah Ismail.

Begitu juga, bonda Nabi Ismail, Siti Hajar yang dengan rela hati menerima perintah Allah, walaupun yang dikorbankan itu anaknya. Mereka melakukannya atas dasar takwa dan mematuhi perintah.

Semua peristiwa itu dirakamkan Allah dalam al-Quran Surah as-Safat ayat 100 hingga 110 yang bermaksud: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung daripada orang yang salih! Lalu Kami berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa dia akan beroleh seorang anak yang penyabar. Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?

Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya-Allah, ayah akan mendapati aku dari orang yang sabar.

“Selepas kedua-duanya berserah (menjunjung perintah Allah itu) dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami). Serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau sudah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu.

“Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang yang datang kemudian. Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim! Demikianlah Kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.”


*dipetik dari Berita Harian Online.

Read more...

Our Blogger Templates Web Design

Kepada sesiapa yang ingin mengambil bahan dari blog ini, pihak kami mengalu-alukannya. Sebarkan bahan ini dengan sebaiknya untuk faedah dan kepentingan bersama. Syukran

NASYID FM

Sila download

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP