I made this widget at MyFlashFetish.com.

TAHNIAH MELAKA..!!

>> Monday, December 8, 2008

Salam Ikhwah...

Sengaja ana ingin membangkitkan semula isu yang pernah 'meletup' baru-baru ini. Datuk Shah Rukh Khan..! Melihat kepada bintang Bollywood ini, siapa yang tidak kenal. Sehinggakan anak-anak kecil juga mengenali 'hero' pujaan dunia ini. Tidak terlepas juga rakyat di Malaysia. Lakonan yang dilakonkannya mampu menarik perhatian penonton dan peminat filem Hindustan.

Dan pada tanggal 6 Disember yang lalu, bintang pujaan dunia ini telah hadir ke Melaka untuk menerima pingat kebesaran yang membawa gelaran Datuk. Kini bintang tersebut telah bergelar Datuk Shah Rukh Khan. Di dalam sebuah rancangan, Shah Rukh Khan telah melahirkan rasa gembiranya di atas pemberian ini. Terima Kasih kepada kerajaan Melaka! Tidak cukup dengan itu, bintang ini telah dibawa melawat tempat-tempat bersejarah di Melaka.

Di dalam sebuah akhbar pada Jumaat yang lepas, Ketua Menteri Melaka telah melahirkan hasrat untuk memberikan sebuah rumah mewah kepada bintang ini. Satu lagi hasrat yang dilahirkan oleh Kerajaan Melaka. Sejenak ana berfikir, apakah di Melaka itu tidak punya orang miskin? Kenapa orang luar yang perlu diraikan..? Kenapa kera di hutan yang perlu disusukan berbanding anak sendiri? Tak lain dan tak bukan, mereka telah meletakkan artis di puncak. Mereka memuja artis, mengagumi dengan sumbangan yang diberikan oleh artis ini yang telah memperkenalkan Melaka kepada dunia dalam filem one two ka four.

Persoalannya, mengapa harta tersebut tidak diberikan kepada rakyat yang miskin dan menderita di negeri tersebut? Tidakkah mereka takut dengan sebuah hadis yang pernah disabdakan Rasulullah, mafhumnya;

“Apabila ummatku telah membuat lima belas perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka, iaitu: apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu, apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan, zakat dijadikan hutang, suami memperturut kehendak isteri, anak derhaka terhadap ibunya, sedangkan ia baik dengan kawannya, ia suka menjauhkan diri daripada ayahnya, suara sudah ditinggikan di dalam masjid, yang menjadi ketua satu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka, seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya, khamar (arak) sudah diminum di merata tempat, kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki), para artis disanjung, muzik banyak dimainkan, generasi akhir uammat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat).

Maka pada ketika itu hrndaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi ataupun mereka akan diubah menjadi makhluk lain.”
(H.R Tirmizi)

Hadis ini telah jelas menyatakan bahawa azab Allah yang menanti apabila para artis disanjung. Dan Allah juga telah memerintahkan agar seorang pemimpin itu berlaku adil terhadap orang yang dipimpinnya (sila rujuk Surah An-Nisaa' ayat 58). Sekarang ini kita dapat melihat, kemiskinan penduduk di Malaysia ini adalah disebabkan kurangnya bantuan dan perhatian daripada pihak yang berwajib. Inilah akibatnya jika sesuatu perkara itu tidak kembali merujuk kepada Al-Quran dan Hadis.

Jika kita menyingkap lembaran sirah, kita akan mendapati betapa adilnya Khalifah Bani Umayyah yang kelapan, Saiyiduna Umar Ibnu Abdul Aziz. Diceritakan pada zaman pemerintahan beliau, tidak ada seorang pun di kalangan rakyatnya yang layak menerima zakat, lantaran keadilan beliau terhadap rakyatnya. Mengapa pada zaman kini, figur ini tidak dijadikan ikutan oleh sebilangan pemimpin masyarakat? Dan mengapa mereka tidak menjadikan corak kehidupan Rasulullah S.A.W itu sebagai rujukan dan panduan?

Justeru, sudah pasti kita tidak mahu melihat perkara ini berterusan. Lantaran daripada kelalaian yang telah dilakukan akan menyebabkan kita semua turut merasa akibatnya. Maka sudah menjadi kewajipan bagi kita untuk menyedarkan hal ini kepada masyarakat seluruhnya, agar kembali kepada fitrah, iaitu kembali merujuk apa yang telah ditetapkan oleh Allah yang telah termaktub di dalam Al-Quran dan Hadis. Allah juga telah mengingatkan kepada kita bahawa perlunya manusia saling mengingatkan antara satu sma lain, kerana ia memberi manfaat kepada orang mukmin. Semoga usaha yang telah kita lakukan ini akan mendapat keredhaan daripada Allah.. Insya Allah

Read more...

IBADAH KORBAN HINDAR MANUSIA SIFAT TAMAK, KEDEKUT

>> Sunday, December 7, 2008

Ibadah korban hindar manusia sifat tamak, kedekut

Oleh Zabidi Hitam

KORBAN adalah ibadat yang amat besar pahalanya dan dituntut umat Islam melaksanakannya. Ibadat itu empunyai hikmah tertentu yang hukumnya adalah sunat muakkad khususnya mereka berkemampuan.

Korban bererti menyembelih binatang ternakan membabitkan kambing, biri-biri, lembu, kerbau dan unta yang cukup umur pada Aidiladha dan tiga hari Tasyrik 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Rasulullah SAW memberi penekanan supaya umatnya yang berkemampuan melakukan korban. Hadis diriwayatkan Ahmad Ibnu Majah: Daripada Abu Hurairah, katanya, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa yang mempunyai kemampuan, tetapi tidak melakukan ibadat korban maka janganlah ia menghampiri tempat sembahyang kami”.

Oleh itu, bagi mereka yang mempunyai kemampuan hendaklah melaksanakan korban pada Isnin depan dan seterusnya tiga hari Tasyrik iaitu Selasa, Rabu dan Khamis. Sebenarnya, ibadat itu akan mendekatkan diri kepada Allah dan sebaik ujian keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Korban menghindar manusia perasaan tamak, bakhil, kedekut dan takbur dengan kekayaan sekali gus menanamkan kesedaran harta dimiliki kepunyaan Allah.

Ibadat korban juga mendidik umat Islam kerjasama dan muafakat khususnya ketika melakukan kerja penyembelihan dan melapah serta penyediaan makanan kepada petugas dan pengunjung. Kesannya, dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa tolong-menolong, berkasih sayang dan harmoni.

Korban begitu mudah disebut, tetapi sedikit saja jumlah yang dapat melaksanakannya. Semua umat Islam mengetahui fadilat korban, tetapi apabila tiba masanya ramai yang tidak melakukannya.

Pelbagai alasan diberikan, antaranya; “Maaflah, bajet tidak cukup; Nak guna duit; Baru baiki kereta; Perlu beli buku sekolah, nak beli pakaian sekolah; Tahun depanlah aku buat dan pelbagai alasan lain”.

Sebenarnya, korban sebagai latihan masyarakat Islam untuk menyumbangkan sedikit daripada harta benda yang anggarannya antara RM300 dan RM400 sebahagian daripada tujuh bahagian untuk lembu atau kerbau, daripada pendapatan sepanjang tahun untuk dikorban ke jalan Allah

Alasan seperti dinyatakan itu tidak berasas sama sekali kerana umat Islam boleh merancang melakukan ibadat itu demi ketakwaan kepada Allah atau menganggapnya sebagai tuntutan agama sama ada menyimpan sebahagian pendapatan secara bulanan atau potongan bulanan kepada penganjur.

Semua boleh dilakukan, yang utama niat seseorang umat Islam kerana RM300 dan RM400 adalah jumlah yang begitu kecil sedangkan ibadat itu menjadi saham yang Allah tawarkan umat Islam untuk direbut selama empat hari bagi tempoh setahun.

Bayangkan, umat Islam sanggup berebut-rebut apabila ditawarkan saham awam, saham amanah atau sebagainya berbanding saham Allah ini. Korban adalah amalan yang amat disukai Allah pada hari akhirat nanti. Sebagaimana diriwayatkan Ibnu Majah dan Tarmizi: Sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud; “Tidak ada amalan anak Adam pada Hari Raya Korban yang sangat disukai Allah selain daripada amalan menumpahkan darah (menyembelih korban) kerana akan dibawa pada hari kiamat akan tanduknya, kuku dan bulunya dan sesungguhnya darah itu sampai kepada Allah dengan suatu tempat (timbangan) sebelum darah itu tumpah ke bumi, oleh itu, korbankanlah korban kamu”.

Sejarah korban bermula pada zaman Nabi Allah Adam dengan dua anaknya Habil dan Qabil melakukan ibadat korban bertujuan mendekatkan dengan Allah. Oleh kerana Habil melakukan ibadat korban dengan tulus ikhlas berdasarkan iman dan takwa, maka korban Habil diterima Allah.

Firman Allah Surah al-Maidah ayat 27 bermaksud; “Dan bacalah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah dua anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku ketika mereka mempersembahkan korban. Lalu diterima korban seorang daripadanya (Habil) dan ditolak korban lain (Qabil), berkatalah Qabil: sesungguhnya aku akan membunuhmu!” jawab Habil: “Hanya, Allah menerima (korban) daripada orang bertakwa”.

Selain itu, ibadat korban juga mengingatkan sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Ismail. Kedua-duanya melakukan pengorbanan yang amat berat dilaksanakan iaitu perintah Allah ke atas Nabi Allah Ibrahim melakukan korban dengan menyembelih anaknya yang dikasihi dan disayangi, Nabi Allah Ismail.

Begitu juga, bonda Nabi Ismail, Siti Hajar yang dengan rela hati menerima perintah Allah, walaupun yang dikorbankan itu anaknya. Mereka melakukannya atas dasar takwa dan mematuhi perintah.

Semua peristiwa itu dirakamkan Allah dalam al-Quran Surah as-Safat ayat 100 hingga 110 yang bermaksud: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung daripada orang yang salih! Lalu Kami berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa dia akan beroleh seorang anak yang penyabar. Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?

Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya-Allah, ayah akan mendapati aku dari orang yang sabar.

“Selepas kedua-duanya berserah (menjunjung perintah Allah itu) dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami). Serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau sudah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu.

“Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang yang datang kemudian. Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim! Demikianlah Kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.”


*dipetik dari Berita Harian Online.

Read more...

"AQIDAH ISLAM ASAS KEMENANGAN"

>> Thursday, November 20, 2008

Salahuddin Al-Ayyubi Sebagai Teladan

Kemenangan dari sudut kacamata Islam bukanlah dengan terdapatnya suara majoriti yang menjadi penyokong di kalangan rakyat. Tidak juga dengan memiliki teknologi pembangunan yang pesat atau ekonomi yang kukuh mahupun kekuasaan yang padu di dalam jentera pentadbiran negara.

Namun pada hakikatnya kejayaan atau kemenangan di dalam Islam ialah kemenangan aqidah Islamiyyah ke atas sistem jahiliyyah. Ia merupakan proses penukaran sistem jahiliyyah kepada sistem Islam keseluruhannya dalam melaksanakan syariat Allah sehinggalah wujud daulah Islamiyyah.

Umat Islam mencapai kegemilangannya di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w. sehinggalah di zaman khulafa' Rashidin dan empayar-empayar Islam selepasnya. Umat Islam dahulu menang kerana mereka adalah merupakan terjemahan amali kepada agama suci ini yang bergerak di atas muka bumi. Apabila umat Islam mula mengenepikan agamanya dan meninggalkan ajarannya, mereka telah diserbu oleh berbagai umat lain,mereka telah bertukar menjadi seperti buih di dalam arus. Umat Islam telah ditinggikan oleh Allah dengan Islam dan tidak akan mencapai ketinggian selain dari Islam.

Tumbangnya Empayar Othmaniyyah pada tahun 1924 membuka ruang kepada Israel menakluki bandar suci Al-Quds pada bulan Jun 1967 di mana dalam masa tidak sampai enam hari umat Islam ditewaskan. Kekalahan yang amat memalukan bagi semua umat Islam. Sehingga sekarang umat Islam masih lagi gagal membebaskan bumi Palestin dari cengkaman Zionis.

Sejarah Islam membuktikan bahawa hanya pemimpin yang kuat berpegang teguh pada agama Islam dan merupakan teladan-teladan peribadi dan beramal soleh yang mampu mencipta kejayaan dan mampu menyekat kemaraan musuh yang terdiri dari Yahudi dan Nasrani, musuh utama umat Islam.Salahuddin al-Ayyubi umpamanya seorang pemimpin yang kuat berpegang pada agamanya, berperibadi mulia dan seorang yang beramal soleh telah berjaya membebaskan al-Quds pada hari Jumaat 27 rejab 583 hijrah.

Peperangan `Hutain' yang dipimpin oleh Salahuddin al-Ayubbi telah membuka ruang kepada pembebasan bandar al-Quds. Jumlah tentera Islam ialah 12 000 orang sementara tentera salib 50 000 orang. Jumlah tentera Islam dalam pembebasan Baitul Maqdis pula tidak sampai 12 000 orang sementara pihak tentera salib 60 000 orang. Kumpulan kecil telah menang ke atas kumpulan besar dengan izin Allah.

Sebab-sebab kemenangan di situ adalah banyak. Yang utama ialah kepimpinan Salahuddin al-Ayyubi sendiri kerana beliau mempersembahkan keseluruhan hidupnya untuk jihad di jalan Allah. Aqidah Islam telah memenuhi keseluruhan jiwanya, perasaannya bernyala-nyala dengan aqidah Islam dan tidak beriman dengan yang lain selain dari Allah. Beliau seorang yang amat toleransi, amat merendah diri, sederhana pakaian dan makanan, membelanjakan setiap sen yang sampai ke tangannya untuk jihad dan lain-lain kepentingan umat Islam, tidak memberi perhatian pada mata benda dunia sama ada harta, istana atau lain-lainnya sehinggalah apabila beliau wafat tidak meninggalkan sebarang harta. Tidak ada emas atau perak di dalam simpanannya kecuali satu Dinar empat puluh tujuh Dirham sahaja.

Semasa berjihad Salahuddin al-Ayyubi selalu membawa sebuah peti tertutup yang amat dijaganya. Orang terdekat menyangka terdapat berbagai batu permata dan benda berharga tersembunyi didalamnya.Tetapi selepas wafatnya apabila peti dibuka maka yang ditemui hanyalah sehelai surat wasiat dan kain kafan yang dibeli dari titik peluhnya sendiri dan sedikit tanah.

Apabila surat itu dibuka tertulis " Kafankanlah aku dengan kain kafan yang pernah dibasahi air zam-zam ini, yang pernah mengunjungi kaabah yang mulia dan makam Rasulullah s.a.w. Tanah ini ialah sisa-sisa masa
perang, buatkanlah darinya ketulan untuk alas kepalaku di dalam kubur"

Dari tanah tersebut dapat dibuat 12 ketulan tanah yang hari ini terletak di bawah kepala Salahuddin al-Ayyubi. Setiap kali Salahuddin al-Ayyubi kembali dari berperang yang dimasuki bertujuan berjihad kepada Allah, beliau akan berusaha mengumpulkan tanah-tanah yang melekat pada muka dan pakaiannya dan meletakkannya di dalam peti
rahsia itu. Beliau telah berjaya mengumpulkan tanah yang boleh dibuat 12 ketulan, kiralah berapa banyak pertempuran yang dihadapinya kerana berjihad bagi menegakkan kalimah Allah!!

Salahuddin al-Ayyubi meninggal dunia pada 7 Safar 589 hijrah, kira-kira dua tahun selepas berlakunya peperangan Hutain yang berjaya membebaskan Baitil Maqdis. Umurnya ketika itu 56 tahun.


P/s: Petikan ini ana ambil daripada emel sahabat ana. Rasanya sesuai untuk dikongsikan bersama.

Ikhwah sekalian, sama2lah kita imbas kembali sirah nabawiyyah.. .betapa tingginya semangat juang Rasulullah Sallallahualaihi Wasallam dan para sahabat demi kemenangan Islam tercinta...
Kepalkanlah tinjumu
Ayunkanlah kakimu
Pekikkan takbir ALLAHu akbar

Pasukan ALLAH berjuang
Tuk membangun peradaban
Meninggikan 'izzah islam
Menorehkan simbol kejayaan

Sinar mentari yang terang
Menambah semangat juang
Mujahid gagah perkasa
Mengguncangkan seisi dunia

Api jihad terus membara
Cita syuhada berkobar
Kesombongan kan binasa
Jayalah islam kan jaya

Kepalkanlah tinjumu..
Ayunkanlah kakimu...
Pekikkan takbir ALLAHu Akbar
Pekikkan takbir ALLAHu Akbar
ALLAHu Akbar..ALLAHu Akbar..ALLAHu Akbar!

Read more...

DI SUATU PETANG…

>> Saturday, November 15, 2008

Apabila masuk sahaja semester baru, jadualku mula berubah. Entah apa yang aku sibukkan, aku pun tak pasti. Mungkin juga aku ni buat-buat sibuk. Seperti hari Rabu yang sebelumnya, selepas sahaja aku menunaikan solat Asar, aku bergegas ke dewan baru di blok akademik untuk mengikuti kelas Ustaz Bakri.

Seperti biasa, kelas itu dihadiri oleh sahabat-sahabatku yang sudah pasti tidak mahu nama mereka tersingkir daripada mengikuti kelas tersebut. Aku mencari kelibat seseorang yang amat ku kagumi, namun tak ku temui. Aku bertekad untuk mencarinya sebaik sahaja sesi pembelajaran selesai. Kelas bermula tepat jam 5.30 petang.

“Marwan tak datang ke?” soalku kepada roomate sahabatku itu.

“Ntah, ana pun tak pasti”, ujar Amirul Ghani.

“Hmm… tak apalah, aku akan cari dia nanti”, aku bermonolog.

Sebaik sahaja kelas tamat, aku bergegas pulang ke bilik untuk menyimpan kitab. Untuk sampai ke bilikku, aku mesti melalui lorong bilik Marwan.

“Assalamu’alaikum.. aik, tak pi kelas ka?” soalku dalam loghat Kedah.

“Ana tak gi, dok di masjid tadi. Hujan lebat pulak tadi”, ujarnya.

“Enta dah makan belum?” soalku semula, sedangkan aku telah mengetahui jawapannya.

“Belum, tak rase nak makan..”

“Tak pa la, ana balik bilik simpan kitab sat”,

Aku kembali ke biliknya dengan membawa dua bungkus nasi lemak.

“Apa yang enta tulis tengah hari tadi?” soalku.

“Ana tengah siapkan satu artikel untuk dimasukkan dalam blog ana”, ujarnya

“Enta pernah dengar tentang ABC dan apa kaitannya dengan dakwah masa kini? Enta tahu tak macam mana orang dulu buat ABC dengan orang sekarang buat ABC?” soalnya.
Aku terkesima dengan soalan yang dilontarkan.

“Apa pulak mamat ni nak bagi tau dekat aku”, fikirku. Aku hanya menjadikan “tak” sebagai jawapan. Masakan tidak, aku memang tidak begitu menggemari ABC.

“Cuba enta fikir balik, orang dulu buat ABC simple je kan. Ada ais, kacang merah sikit, jagung sikit, ada gula merah dan susu. Tu la ABC dulu. ABC sekarang dah upgrade. ABC sekarang ada ais krim, ada jelly, ada nenas sikit. Cuba enta kaitkan dengan dakwah semasa.”
Allahu Akbar! Satu analogi yang cukup menarik. Aku terus mendengar tentang perkara tersebut.

“Kita masih mengekalkan manhaj yang sama. Manhaj tu kita ibaratkan seperti bahan-bahan asas untuk buat ABC. Manhaj kita tetap sama, Al-Quran dan Sunnah. Dan hadaf kita juga tetap satu, nak ajak orang kembali kepada Allah. Cumanya yang agak berlainan adalah uslub (metodologi). Seperti ABC tadi, dulu ABC hanya simple, tapi sekarang dah banyak aksesori. Macam tu juga dengan dakwah kita. Dakwah kita perlu bersifat waqi’ieyyah (semasa), perlu mempelbagaikan kaedah dakwah, barulah mesej yang nak kita sampaikan tu dapat diterima oleh semua manusia”, jelasnya.

Jauh di sudut hati, aku semakin kagum dengan figur ini. Aku pun tak mampu untuk menghasilkan sebuah analogi yang cukup menarik. Tiba-tiba aku teringatkan sebuah artikel yang pernah ditulis oleh Akh Dzulkhairi Mohd Noor, Bai’ah Nescafe.

“Ya Allah, berikanlah hidayah-Mu kepada kami, agar kami terus tegar di atas jalan-Mu yang suci ini. Ya Allah, kuatkanlah azam kami, tetapkanlah hati dan pendirian kami, agar kami tidak terpesong dari jalan-Mu yang lurus ini…” Amin

*semoga kisah benar ini mampu memberi faedah yg banyak kpd kita untuk lebih memahami hakikat dakwah.

Read more...

Gugur Di Jalan Dakwah

>> Monday, November 3, 2008


Gugur di jalan dakwah

Tidak seperti gugurnya dedaun dari pokok atau jatuhnya
sesuatu dari tempat tinggi, keguguran dijalan dakwah
adalah satu yang tidak dapat dilihat oleh pancaindara
yang lima.

Sesaorang yang gugur dijalan dakwah tidak akan merasa
sakit atau menemui kesan lebam pada mana-mana bahagian
badannya, kerana ia adalah soal maknawi atau isu
berkaitan insan dengan tuhannya.

Penggabungan diri dengan dakwah bermula dengan
kesedaran sesaorang terhadap tanggunjawab yang harus
ia pikul bagi pihak Allah dan rasulnya, ia itu
tanggungjawab menegakkan kebenaran, menentang
kebatilan dan menyambungkan risalah dengan jenerasi
seterusnya.

Ia adalah amal yang berterusan dan memerlukan keazaman
ulul azmi dari kalangan rasul. Dari keazaman yang
kuat ini usaha diteruskan untuk mengumpul seberapa
banyak kekuatan samada dari segi bilangan atau juga
peralatan. Dan siaplah dirimu dengan kekuatan untuk
berdepan dengan mereka sedaya upaya kamu.

Da'i bukan muslim biasa. Mereka ialah orang yang
meletakkan agama Allah di hadapan dan sentiasa bersiap
siaga untuk berada dimana tuhan mahu ia berada
mengikut kepentingan dakwah. Diri dan hartanya wakaf
untuk agamanya. Mereka tidak memiliki diri mereka
lagi, kerana mereka telah berbaiah dan menjaul diri
mereka kepada Allah, harganya ialah syurga.

Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang mukmin
diri mereka dan harta mereka dengan syurga…mereka
berjuang dijalan Allah lalu membunuh dan dibunuh, satu
janji yang pasti ditepati seperti tercatat dan Taurat,
Injil dan Quran.

Inilah cara bagaimana Allah menghidupkan sesaorang
dalam kehidupan yang barunya. Wahai orang-orang yang
beriman sahut seruan Allah dan rasulnya apabila ia
menyeru kamu kepada apa yang menghidupkan kamu.

Begitulah ketinggian seorang da'i waktu ia berada pada
kemuncak kesetiaan kepada Allah, Rasul dan agamanya.
Oleh itu berpuluh tempat di dalam Quran Allah
memperigatkan mereka tentang kesetiaan. Setialah
dengan baiah kamu disebut berulangkali tanpa jemu dan
puas.

Namun kesetiaan datangnya dari keimanan, keimanan
ditegakkan dengan keazaman dan keazaman datangnya dari
kesedaran. Apabila kesedaran telah lemah dan keazaman
mula luntur, maka kesetiaan juga akan terjejas. Begitu
bermula kisah keguguran.

Mungkin banyak pentafsiran-sebahagiannya
teknikal-disebalik fenomena keguguran tetapi yang
jelasnya ialah mereka telahmerungkai baiah, merombak
kesetiaan dan membatalkan jual beli yang mereka telah
meterainya dengan Allah. Kini diri mereka kembali
kepada mereka dan khidmat mereka adalah untuknya.

Akan dapat dilihat dengan jelas perbezaan atau jurang
cara hidup antara da'i yang mewakafkan hidup mereka
untuk Allah s.w.t dengan mereka yang membatalkan
jualbeli mereka dengan Allah dan memulakan hidup baru
diri mereka dan keturunan mereka dalam dunia yang
mereka sangkakan milik mereka.

Read more...

Our Blogger Templates Web Design

Kepada sesiapa yang ingin mengambil bahan dari blog ini, pihak kami mengalu-alukannya. Sebarkan bahan ini dengan sebaiknya untuk faedah dan kepentingan bersama. Syukran

NASYID FM

Sila download

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP