I made this widget at MyFlashFetish.com.

JANGAN CEPAT MELATAH

>> Sunday, July 12, 2009

Perkongsian yang ingin dibuat ini ditulis ketika saya dalam perjalanan ke Kedah. Ketika ini saya masih berada di dalam program Kembara Dakwah Belia Malaysia. Beberapa pengalaman menarik dan baru bagi saya di dalam program ini telah diperoleh. Tetapi, perkongsian kali ini bukanlah berkisar tentang perjalanan program, tetapi sikap sebahagian ahli gerakan muda yang kadang-kadang terlalu cepat melatah dengan suasana.

Bila disebut nama pemuda (termasuk pemudi), umum sedia maklum bagaimana sikap mereka. Bak kata orang-orang tua, orang muda selalunya berdarah panas. Dan zaman keemasan bagi kehidupan individu ialah di masa mudanya. Orang muda juga mempunyai idealisme yang tinggi, berfikiran jauh, bersikap ingin mencuba dan tidak kurang juga ingin mengubah keadaan sekelilingnya. Dan setiap generasi telah meletakkan pemuda sebagai harapan untuk menggantikan mereka dalam memimpin masyarakat kelak. Pemuda juga tidak berasa gentar dan pantang dicabar. Inilah sikap yang menakjubkan. Dunia boleh berubah melalui tangan pemuda.

Rasulullah S.A.W merupakan seorang pemuda ketika Baginda diangkat menjadi Rasul. Umar al-Khattab juga seorang pemuda ketika kembali kepada fitrah (memeluk Islam). Mus’ab bin Umair juga seorang pemuda ketika menjalankan misi keamanan di Madinah sebelum kedatangan Baginda. Khalifah Umar Abdul Aziz juga seorang pemuda ketika diangkat menjadi khalifah. Salehuddin al-Ayyubi juga seorang pemuda ketika membebaskan Baitul Maqdis, Sultan Muhammad al-Fateh ketika membebaskan Kota Konstantinopel, Hassan Ulubate ketika memacak panji Islam di atas tembok Byzantin. Mereka semua pemuda yang telah mencorak dunia dengan tangan mereka. Sikap seperti ini telah pun dicontohi oleh ali gerakan muda yang mempunyai kesedaran Islam yang tinggi pada hari ini.

Ahli gerakan muda (AGM) yang ada pada hari ini mempunyai sikap yang cukup mengagumkan, hinggakan kerajaan terpaksa mewujudkan akta-akta tertentu seperti AUKU untuk ‘memperlahankan’ semangat juang mereka. Sebaliknya yang terjadi, akta-akta ini telah membakar semangat mereka untuk terus berjuang membebaskan umat dari mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah. AGM hari ini juga mempunyai kelantangan suara hingga mampu menggugat kedudukan individu penting di dalam institusi kerajaan.

Namun perlu juga untuk kita ketahui, penyakit ‘cepat melatah’ sentiasa menguasai jiwa mereka. Penyakit ini lebih berbahaya daripada Influenza A, HIV, atau penyakit-penyakit kronik yang lain kerana ia mampu membunuh jiwa-jiwa manusia daripada mendekati mereka, seterusnya merencatkan lagi perjalanan dakwah. Tidak salah untuk bersikap lantang di dalam sesuatu isu, tetapi biarlah ia terjadi setelah kita mengkaji baik buruk sesuatu perkara. Tidak salah untuk memberanikan diri di dalam sesuatu isu, tetapi biarlah mempunyai hujah dan perancangan yang teliti dalam bertindak. MELATAHLAH DENGAN PERANCANGAN.

AGM hari ini seperti beretorik di dalam kampus. Mereka meniupkan semangat jihad di dalam di dalam diri adik-adik mereka, namun mereka sendiri tewas dengan suasana. Mereka menyeru untuk turun bersama masyarakat, tetapi mereka mengalami kejutan sehingga mad’u yang dipersalahkan. Mereka ingin sekali menyedarkan masyarakat yang masih hanyut dibuai arus jahiliyyah, tetapi mereka sendiri telah mencipta jahiliyyah yang baru. Mereka berprinsip, tetapi mereka jumud. Apabila mereka bersikap terbuka, mereka hanyut.

Kehidupan umat manusia tidak lari daripada landasan sirah yang telah dilalui Rasulullah S.A.W. Sunnah Rasul itu bukanlah sekadar hadis mahupun atsar, tetapi ia juga meliputi sirah Nabi. Mengapa perlu kita mencipta manhaj hidup sendiri, sedangkan manhaj yang dibawa oleh Nabi telah sempurna. Nabi membawa Islam dalam keadaan masyarakat ketika itu masih diliputi awan jahiliyyah yang menebal, dan perkara itu akan berlaku di akhir zaman. Tetapi, pendekatan tadarruj Baginda telah menyebabkan ramai yang tertarik dengan Islam. Mereka merasakan Islam itu bukan agama yang memaksa umatnya. Bukankah Islam itu bersikap thabat pada prinsip tetapi murunah pada pendekatan?

Ya, adakala kita perlu bersikap tegas. Tetapi jika ianya berkaitan dengan prinsip dan perkara dasar. Jangan samakan situasi AGM yang memahami dengan mereka yang tidak memahami. La yastawuna bainahum! Tegaslah sesama kita, tetapi fleksibellah bila bersama mad’u. Fahamilah mad’u sebelum melaksanakan misi dakwah. Dakwah bil hikmah itu lebih berkesan. Fahamilah maksud HIKMAH, bukan bermaksud berlembut. Tetapi apa sahaja yang mampu mengembalikan mereka kepada ISLAM, itulah HIKMAH!

BERPRINSIPLAH, TETAPI JANGAN JUMUD…!

TERBUKALAH, TETAPI JANGAN SAMPAI HANYUT…!

Sekian

Ikhwan Hafiz, 6 Julai 2009
zul_hafiz_90@yahoo.com.my
http://ikhwan-alfathoni.blogspot.com

Read more...

ALMARHUM USTAZ FADZIL NOOR; DALAM KENANGAN

>> Thursday, June 25, 2009



Tujuh tahun yang lalu, umat Islam di negara ini khususnya telah kehilangan seorang mujahid yang tidak pernah jemu untuk berjihad di jalan Allah bagi meninggikan semula syi'ar Islam.

Pemergiannya sukar dicari ganti. Ketika beliau dipanggil menghadap Kekasihnya, umur saya ketika itu baru menjangkau belasan tahun. Ketika itu, saya mengenali beliau dalam gaya seorang ahli politik. Presiden PAS, itulah wasilah beliau dalam memartabatkan semula Islam yang semakin dipijak dan dihina. Namun, saya mula mengenali beliau dari sudut yang lain setelah berjaya menjejakkan kaki di bumi waqafan, bumi hijau Ma'ahad Mahmud.

Walaupun tidak pernah bersua, namun hati ini tetap merindui almarhum. Lantaran itu, saya akan cuba memastikan untuk tidak terlepas menziarahi makam almarhum yang terletak di Muassasah Darul Ulum sekiranya ke sana. Berada di kawasan itu, saya dapat merasakan ketenangan. Seolah-olah batang tubuh almarhum berada di hadapan saya.

"Ya Allah, diri ini tidak punya bekalan yang cukup untuk dibawa pulang berjumpa dengan-Mu melainkan mencintai para ulama' yang gigih berjuang untuk memartabatkan Islam dan syi'arnya. Cucurilah rahmat ke atas almarhum Ustaz Fadzil Noor, tempatkanlah beliau bersama orang-orang yang soleh dan orang-orang yang berjihad di jalan-Mu."

Jika tujuh tahun lalu kita telah kehilangan seorang Fadzil Noor, ayuh! Kita pastikan bahawa pejuang-pejuang hari ini dan yang bakal lahir kelak ialah Fadzil Noor yang seterusnya!

Read more...

USRAH; HALATUJU DAN PESEDIAAN

>> Tuesday, June 23, 2009

Muqaddimah

Usrah, satu nama yang tidak asing bagi mereka yang terlibat di dalam sesebuah gerakan Islam. Malah, kehadiran usrah ini juga turut dirasai oleh para remaja yang maih menuntut di peringkat menengah mahupun institusi pegajian tinggi sama ada dalam mahupun luar negara. Jelas menunjukan usrah ini merupakan wasilah untuk umat Islam mencapai satu matlamat yang besar.

Gagasan usrah yang mula dcetuskan oleh as-Syahid Imam Hassan al-Banna pada satu ketika dahulu merupakan satu benda yang cukup asing bagi masyarakat. Apatah lagi ketika itu khilafah Islamiyyah yang diasaskan dari zaman Rasulullah sendiri telah berjaya dihakis oleh dunia barat yang memusuhi Islam. Namun pendekatan usrah yang dibawa ini amat sarat dengan keunikan dalam membina sebuah generasi yang bakal mengangkat semula Islam berada pada tempatnya. Jika dahulu usrah dipandang sebagai satu benda yang asing, namun kini usrah bukan sahaja sudah dterima oleh masyarakat, malah ada institusi pendidikan yang menjadikan usrah itu sebagai satu perkara yang wajib sebagai tiket untuk mendapat markah dalam peperiksaan.

Halatuju Usrah

Setiap perkara yang kita lakukan di atas muka bumi ini memerlukan kepada satu matlama yang jelas. Begitu juga halnya dengan usrah. Pengalaman penulis sepanjang berada di dalam institusi usrah ini, matlamat yang dinyatakan amat jelas. Ingin membina semula Daulah Islamiyyah dan Khilafah Islamiyyah.

Apabila kita telah mensasarkan satu matlamat, maka sudah tentu akan ada agenda pengisian bagi mencapai matlamat tersebut. Maka dijadikan usrah itu sebagai medan semaian benih fikrah Islamiyyah yang wadhih (jelas) serta menjadikannya sebagai medan untuk melahirkan lebih ramai pejuang yang sanggup mengorbankan kepentingan diri bagi memastikan matlamat yan diininkan tercapai. Ya, sudah pasti!

Bermula dari peringkat bawahan hinggalah ke peringkat pimpinan, usrah memainkan peranan yang cukup besar dalam memastikan visi kita tercapai. Agenda untuk membangunkan sebuah Daulah Islamiyyah sentiasa meniti di bibir para pendokong gerakan Islam. Maka bertitik tolak dari kesedaran itulah, pelbagai pendekatan telah disusun. Melakukan aktiviti kebajikan, menjalinkan hubungan dengan non-muslim dan sebagainya. Bahkan itu sudah menjadi satu kewajipan yang mesti dilaksanakan.

Salah Faham Konsep Usrah

Institusi usrah sentiasa diperkembangkan dalam usaha mencapai visi dan misi yang telah disasarkan. Namun, terdapat SEGELINTIR daripada umat Islam yang salah faham terhadap konsep usrah itu sendiri. Jika kita katakana usrah itu sebagai medan dakwah, maka semua orang boleh masuk. Jika kita katakana usah itu medan tarbiyah, maka semua orang boleh sertainya.

Usrah bukan hanya untuk golongan tertentu. Usrah FOR ALL = ISLAM FOR ALL.
Seperti yang penulis katakan, tidak semua beranggapan begitu. Kebanyakannya jelas. Namun disebabkan yang segelintir itulah menyebabkan institusi usrah tidak boleh dijadikan medan seperti yang dinyatakan.

Itu dari sudut pemahaman berkenaan usrah. Bagaimana pula corak perlaksanaan? Penulis bukanlah orang yang terbaik untuk membicarakan soal ini, namun sedikit pengetahuan dirasakan wajar dikongsi bersama. Usrah bukan semestinya berada di dalam satu halaqah, dan mesti ada majlis yang formal. Dalam misi menyemai fikrah, tidak kira di mana sahaja kita boleh laksanakan gerak kerja tersebut. Usrah tidak semestinya menunggu naqib yang dilantik khusus untuk memberikan pengisian. Semua ahli usrah adalah naqib bagi setiap usrah.

Persediaan Mencapai Matlamat

Seperti yang telah dinyatakan, matlamat usrah itu jelas. Dan semestinya setiap ahli gerakan Islam yang mengikuti usrah sudah memahami apa yang sepatutnya dibuat bagi mencapai matlamat tersebut.

BEKERJA!

Namun cukupkah jika hanya sekadar bekerja untuk memenangkan Islam, tetapi persediaan untuk mengahadapi kemenangan sama ada sebelum mahupun selepas tidak dibuat?

Setiap orang ghairah membicarakan soal menubuhkan sebuah Negara Islam, tetapi yang menjadi kepelikan dan persoalannya, di manakah persediaannya?

Lihat sahaja system ekonomi dunia hari dikawal dan diselia oleh golongan musyrik. Mereka mengguna pakai kapitalisme sebagai manhaj. System pemerintahan pula dibangunkan atas dasar sekular.

Lalu ada yang beranggapan, kita perlu mendapatkan Negara dahulu untuk melaksanakan system Islam sepenuhnya. Ya, penulis tidak menafikan. Kita perlu bercita-cita besar. Tetapi jangan lupa, kita juga perlu berpijak di bumi yang nyata. Jangan kita asyik membincangkan soal kemenangan walhal persediaan kita belum lagi sepenuhnya.
Maksudnya, agenda mengisi ruang dan peluang di hadapan mata itu perlu dilakukan seiring dengan agenda mencapai cita-cita. Supaya kelak tidak terjadi kekosongan dan kelompangan setelah kita berjaya mendapat apa yang diimpikan.

Di dalam satu program yang pernah penulis sertai, salah seorang penceramah pernah menyatakan bahawa naqib ini berperanan sebagai coach. Mengambil contoh mudah. Lihat bagaimana kejayaan skuad bola sepak Kedah mempertahankan kejuaraan berganda untuk musim yang lepas. Jika diperhatikan dengan lebih teliti, beserta sejarah-sejarah yang lepas, jurulatih Kedah bersama pembantunya tidak dapat mempertahankan kejuaraan seperti ini ketika mereka bergelar pemain satu ketika dahulu. Namun, dek kerana kemampuan mereka mengenal pasti potensi, kelebihan serta kekurangan setiap pemain, mereka meletakkan pemain-pemain ini berada tepat pada posisinya.

Penutup

Begitulah analogi yang mudah untuk dibawa. Peranan naqib amat besar dalam memastikan
kejayaan umat Islam mencapai cita-cita dan matlamat yang telah digagaskan.

Justeru, jangan memandang enteng pada usaha ini. Jangan sampai terjadi, apabila kita telah berjaya membina sebuah Negara Islam, ketika itu baru ketika termengah-mengah mencari jalan untuk mengisi kekosongan yang tercipta.

Firman Allah, mafhumnya:
“Dan persiapkanlah dengan segala kemampuan untuk menghadapi mereka dengan kekuatan yang kamu miliki dan dari pasukan berkuda yang dapat menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; tetapi Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu infakkan di jalan Allah nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dizalimi”

(Al-Anfal 8:60)

Renungkan…

Sekian

Read more...

APAKAH BENAR ENGKAU PEJUANG???

ENGKAU INGIN BERJUANG
TAPI TIDAK MAMPU MENERIMA UJIAN
ENGKAU INGIN BERJUANG
TAPI ROSAK OLEH PUJIAN
ENGKAU INGIN BERJUANG
TAPI TIDAK SEPENUHNYA
MENERIMA PIMPINAN

ENGKAU INGIN BERJUANG
TAPI TIDAK BEGITU SETIAKAWAN
ENGKAU INGIN BERJUANG
TAPI TIDAK SANGGUP BERKORBAN
ENGKAU INGIN BERJUANG
TAPI INGIN MENAJDI PEMIMPIN
ENGKAU INGIN BERJUANG
MENJADI PENGIKUT AGAK SEGAN

ENGKAU INGIN BERJUANG
TOLAK ANSUR TIDAK ENGKAU AMALKAN
ENGKAU INGIN BERJUANG
TAPI TIDAK SANGGUP TERIMA CABARAN
ENGKAU INGIN BERJUANG
KESIHATAN DAN KEREHATAN
TIDAK SANGGUP ENGKAU KORBANKAN

ENGKAU INGIN BERJUANG
MASA TIDAK SANGGUP ENGKAU LUANGKAN
ENGKAU INGIN BERJUANG
KARENAH ISTERI TIDAK ENGKAU TAHAN
ENGKAU INGIN BERJUANG
RUMAH TANGGA LINTANG PUKANG
ENGKAU INGIN BERJUANG
DIRI ENGKAU TIDAK
ENGKAU TINGKATKAN

ENGKAU INGIN BERJUANG
DISIPLIN DIRI ENGKAU ABAIKAN
ENGKAU INGIN BERJUANG
JANJI KURANG ENGKAU TUNAIKAN
ENGKAU INGIN BERJUANG
KASIH SAYANG ENGKAU CUAIKAN
ENGKAU INGIN BERJUANG
TETAMU ENGKAU ABAIKAN

ENGKAU INGIN BERJUANG
ANAK ISTERI ENGKAU LUPAKAN
ENGKAU INGIN BERJUANG
ILMU BERJUANG ENGKAU TINGGALKAN
ENGKAU INGIN BERJUANG
KEKASARAN DAN KEKERASAN
ENGKAU AMALKAN

ENGKAU INGIN BERJUANG
PANDANGAN ENGKAU TIDAK DISELARASKAN
ENGKAU INGIN BERJUANG
RASA BERTUHAN ENGKAU ABAIKAN
ENGKAU INGIN BERJUANG
IMAN DAN TAQWA
ENGKAU LUPAKAN

YANG SEBENARNYA
APA YANG ENGKAU HENDAK
PERJUANGKAN...

(DIPETIK DARI NASYID KUMPULAN QATHRUNNADA)

Read more...

BUMIKAN CITA-CITA

>> Wednesday, June 3, 2009

Manusia semestinya mempunyai impian, matlamat dan cita-cita. Cita-cita itu pula perlu disertai dengan satu usaha yang memungkinkan kita menggapai apa yang dicita-citakan. Jika ditanya pada anak kecil tentang cita-citanya, mungkin akan dijawab ingin menjadi seorang doktor, jurutera, guru, dan tak kurang juga ingin menjadi seorang ultraman. Jika ditanya pada remaja pula, mungkin sahaja jawapan yang bakal diperoleh ingin memiliki sebuah motosikal berkuasa tinggi, ingin memiliki rumah besar, dan sebagainya. Ini menunjukkan kepada kita bahawa cita-cita itu merupakan satu fitrah yang diciptakan Allah untuk manusia.

Bila ditanya kepada manusia tentang cita-cita, ada yang bercita-cita tinggi menggunung, ada jaga cita-cita yang rendah lebih rendah dari paras bumi. Jika ingin dibandingkan golongan yang bergelar professional dan agamawan, masih belum standing di antara keduanya. Golongan professional begitu optimis dengan dirinya, sehingga mereka sanggup meletakkan satu harapan yang tinggi dan dijadikan motivasi untuk mencapainya. Sedangkan segelintir golongan agamawan merasakan cukup jika kita bergelar ustaz ataupun ustazah tanpa perlu adanya sijil yang menjadi kayu ukur bagi masyarakat sekarang. Mereka ini dididik dengan ideologi cukup makan.

Melihat kepada senario masyarakat hari ini, ada di kalangan kita yang berjaya mendapat apa yang dicita-citakan. Tak kurang juga cita-cita yang bertukar menjadi cerita-cerita kerana tiadanya usaha untuk menggapainya. Sedangkan Allah telah menjanjikan bahawa nasib seseorang itu tidak akan berubah melainkan disertakan usaha untuk mengubahnya. Namun hakikatnya terbatas dengan keizinan Allah.

Suri Teladan

Penulis berkesempatan membaca sebuah buku yang berjudul “Belajar Dari Dua Umar”. Di dalam buku tersebut terdapat satu tajuk kecil yang bertajuk ‘Membumikan Cita-Cita’. Penulis tertarik dengan tajuk tersebut dan terus membacanya.

Tajuk tersebut mengisahkan bagaimana persediaan kaum muslimin yang akan berhadapan dengan tentera Ahzab. Cadangan yang dikemukakan oleh Salman Al-Farisi supaya tentera Islam menggali parit untuk dijadikan sebagai kubu pertahanan telah diterima Rasulullah serta para sahabat yang lain. Perlaksanaan diteruskan seperti yang dirancang dan dicadangkan.

Sedang tentera Islam menggali parit, Allah telah memberi satu cabaran kepada tentera Islam dengan wujudnya sebuah batu besar di tengah-tengah kawasan penggalian. Para sahabat cuba untuk memecahkan batu tersebut dengan apa sahaja cara yang mampu dilakukan tetapi batu itu tetap tidak pecah. Lantas, Rasulullah S.A.W datang sambil membawa sebilah beliung. Setelah membaca Basmalah, Baginda menghentamkan pukulan pertama. “Allahu Akbar! Aku diberi kunci pembuka negeri Syam. Demi Allah, aku melihat istananya merah”, ujar Rasulullah s.a.w begitu melihat percikan sinar menyala akibat kuatnya pukulan Baginda.

Lalu Rasulullah s.a.w memukul buat kali kedua. “Allahu Akbar! Aku diberi negeri Parsi. Demi Allah, aku melihat istananya putih,” ujar Baginda. Lalu Rasulullah memukul buat kali ketiga. “Allahu Akbar! Aku diberi kunci negeri Yaman. Demi Allah, aku benar-benar melihat pintu-pintu Shan’a dari tempatku ini. Aku diberitahu Jibril, bahawa umatku akan menguasai semuanya. Sampaikan berita ini kepada yang lain”, ujar Rasulullah s.a.w kepada para sahabat.

Dalam siri Hadis yang lain, Rasulullah pernah bersabda bahawa Kota Konstantinopel itu akan dibuka oleh seorang lelaki yang memiliki sifat kepimpinan yang terbaik pada serta mempunyai kekuatan tentera yang terbaik. Para sahabat begitu teruja dengan apa yang disampaikan oleh Baginda S.A.W. bermula dari zaman Khalifah Umar siri pembukaan mula dijalankan. Akhirnya, kota tersebut berjaya dibuka pada zaman Sultan Muhammad al-Fath.

Berpijak Di Bumi Yang Nyata

Merujuk kisah-kisah yang dibentangkan, sudah tentu dan pasti Rasulullah S.A.W menganjurkan ummatnya memiliki cita-cita yang tinggi. Rasulullah bukan sekadar melaungkan slogan, tetapi setiap yang diungkapkan itu disertai dengan tindakan susulan. Lihat sahaja bagaiman tarbiyyah yang dilaksanakan Rasulullah telah melahirkan sebuah generasi yang hebat hinggakan tidak ada generasi yang setanding dengannya setelah berlalunya tiga kurun.

Cita-cita yang diwariskan berbekas di dalam sanubari mu’min. Bermula dari situlah berlakunya proses kaderisasi yang panjang. Zaman pembukaan mula terbentuk pada era pemerintahan Khalifah Umar. Berbekalkan keyakinan yang teguh kepada Allah, meyakini janji Rasulullah merupakan bekalan yang cukup untuk melaksanakan cita-cita tersebut.

Dalam mewujudkan cita-cita tersebut, seharusnya berpijak di bumi yang nyata. Perkara yang dicita-citakan perlulah disusuli dengan usaha. Mana mungkin Islam mampu menawan Rom dan Parsi sekiranya kerja menggali parit untuk mengahalang tentera Ahzab tidak dilaksanakan!

Untuk mencapai cita-cita, perlu berhadapan dengan rintangan. Lihat sahaja bagaimana Rasulullah dan kaum muslimin ditertawakan pihak munafik yang enggan bekerjasama. Namun, langkah konkrit mereka tetap membumi. Inilah yang perlu diteladani umat Islam di zaman ini. Bukan lagi hanya sekadar mempunyai cita-cita yang cukup makan, ataupun angan-angan mat jenin!

Read more...

Our Blogger Templates Web Design

Kepada sesiapa yang ingin mengambil bahan dari blog ini, pihak kami mengalu-alukannya. Sebarkan bahan ini dengan sebaiknya untuk faedah dan kepentingan bersama. Syukran

NASYID FM

Sila download

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP