SEDUTAN HARAKAHDAILY.COM
>> Friday, May 22, 2009
Ribuan iringi perjalanan akhir Paksu Mail
Salmah Mat Husain
Fri | May 22, 09 | 3:23:07 pm MYT
KUALA KRAI, 22 Mei (Hrkh) - Ribuan penduduk menunaikan solat jenazah ke atas Adun Manek Urai, Haji Ismail Yaakob, 60, di Masjid Kampung Manek Urai Lama sebaik sahaja selepas solat Jumaat tadi.
Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengimamkan solat tersebut yang melimpah sehingga ke luar masjid.
Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob; Speaker Dun Kelantan, Ustaz Nusuruddin Daud, anggota-anggota Exco kerajaan.
Selain itu turut hadir wakil-wakil rakyat, pemimpin PAS kawasan, KeADIlan dan pegawai kerajaan.
Sebelum itu Menteri Besar menyampaikan khutbah Jumaat dan sempat bertakzirah ringkas mengenai kematian.
Ramai melihat Tuan Guru Nik Abdul Aziz sekali sekala sebak mengenangkan Paksu Mail, seorang pemimpin yang begitu rapat dengan masyarakat.
Selain itu jenazah Paksu Mail, terdapat satu lagi jenazah iaitu wanita yang juga meninggal dunia hari ini turut disembahyangkan serentak.
Kehadiran orang ramai menyebabkan Kampung Manek Urai Lama menjadi sendat dan berlaku kesesakan luar biasa di jambatan memandangkan ia hanya boleh dilalui sehala sahaja.
Kedua-dua jenazah kemudian diusung ke tanah perkuburan yang terletak tidak jauh dari rumah Paksu Mail. Jenazahnya dibawa turun ke liang lahad kira-kira jam 2.05 petang.
Anggota parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli ketika ditemui melahirkan rasa terharu di atas kematian Paksu Mail biar pun beliau baru dikenali secara dekat hampir dua tahun lalu.
Katanya, biar pun baru kenal namun hubungan dengannya begitu mesra dan mudah diajak berunding.
"Personaliti Paksu Mail memang cukup hebat di kalangan masyarakat kampung. Semua orang yang ditemui kenal beliau. Allahyarham bersikap sederhana biar pun sudah lama menjadi wakil rakyat.
"Pemimpin sepertinya memang sukar untuk dicari ganti. Kita sama-sama doakan semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beramal soleh," katanya ketika ditemui di sini.
Adun Mengkebang, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, nama Paksu Mail sudah sinonim dengan penduduk Manek Urai kerana semua orang mengenalinya.
Menurutnya Paksu Mail merupakan penggerak utama kepada bahagian keselamatan PAS ketika berlangsung pilihan raya atau sesuatu program besar.
Kata beliau watak yang ada padanya biar pun tegas namun mudah didekati kawan dan lawan.
0 comments:
Post a Comment