I made this widget at MyFlashFetish.com.

SEBAIK-BAIK MANUSIA

>> Saturday, May 30, 2009

Penulis mulakan perkongsian kali ini dengan sebuah hadis. Rasulullah S.A.W pernah bersabda dalam sebuah Hadis, mafhumnya:

“Sebaik-baik manusia ialah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain”

Di dalam hadis ini terdapat mesej yang cukup jelas yang disampaikan Rasulullah kepada umat Baginda. Tidak kira kecil atau besar, tua mahupun muda, semuanya akan ‘terkena’ dengan sabdaan Baginda ini kerana Rasulullah telah dijanjikan oleh Allah membawa rahmat bagi sekalian alam. Tidak kiralah makhluk Allah itu berada di alam nyata ataupun di alam ghaib, semuanya mendapat rahmat disebabkan Baginda Rasulullah.

Setiap makhluk yang bernyawa terutamanya manusia inginkan kebaikan. Tetapi, kebaikan itu hanya mampu dicapai apabila kita berjaya memenuhi tuntutan yang telah ditetapkan Allah seperti yang termaktub di dalam kitab suci-Nya iaitu Al-Quran mahupun di atas lisan Kekasih-Nya, Rasulullah S.A.W.

Kesilapan Mentafsir

Rasulullah S.A.W adalah seorang insan yang agung. Baginda telah mengajarkan kepada umatnya agar mendahulukan persoalan akhirat dalam apa jua hal dan keadaan. Namun, musuh Islam tetap dengan rencana jahatnya. Kamal at-tartuk yang dijadikan simbol bagi negara-negara maju telah membawa satu idealisme yang asing bagi umat Islam.

MATERIALISME!

Jelas, rancangan durjana pihak musuh telah mendapat tempat di hati umat Islam yang sedang lena dibuai mimpi nan indah. Agenda menjadikan material itu sebagai matlamat telah menyebabkan umat Islam ketika ini sanggup melakukan apa sahaja demi mendapat kesenangan yang diinginkan.

Manfaat seringkali ditafsirkan dengan perkara yang boleh dirasai oleh pancaindera yang lima. Manfaat yang diinginkan hanyalah manfaat yang bersifat sementara. Sedangkan manfaat yang bersifat kekal kurang mendapat sambutan lantaran sifatnya yang tidak dapat dilihat dan dirasai.

Situasi yang lebih menyakitkan apabila KITA merasakan bahawa kita telah memberi manfaat kepada orang lain, sedangkan di dalam hati KITA penuh dengan suatu pengharapan. Imbalan daripada seorang manusia yang cukup lemah amat KITA harapkan. Di manakah manfaat yang kita canangkan?

Pandanglah Dari Pelbagai Sudut

Satu malam penulis sempat bersama dengan dua orang tokoh kepimpinan di kampus penulis satu ketika dahulu. Majlis forum yang dianjurkan PERKEMAT DQ itu dirasakan sebagia satu medan yang terbaik untuk memberi sedikit kefahaman bagi mereka yang masih lagi kabur. Penulis tertarik dengan hujah daripada Ustaz Ihsan Fadhli. Beliau membicarakan tentang hadis ini.

Statistik jenayah di kalangan remaja yang dibuat pada tahun pada tahun 2008 telah mencatatkan sejumlah 10210 jenayah yang dilakukan. Persoalan yang dilontarkan kepada para huffaz pada malam tesebut, mengapa kalian menghafaz Al-Quran? Kerana hendak menyelamatkan 10 orang ahli keluarga yang sudah dijamin mendapat tempat di Neraka (Mohon perlindungan Allah darinya)? Bagaimana pula halnya keadaan umat yang semakin tenat dengan penyakit yang dibawa oleh musuh-musuh Islam?

Maka dijelaskan pada malam tersebut tentang hadis di atas. Sekiranya kita memandang manfaat itu hanya dari sudut material, maka fikiran kita masih sempit dan jumud dengan fahaman kebendaan. Sedangkan Islam itu agama yang syumul dan mudah!

Allah telah menjelaskan di dalam Al-Quran bahawa sebaik-baik umat yang dicipta Allah ialah umat Muhammad S.A.W. Tetapi untuk menjadi umat yang terbaik mempunyai syarat-syarat yang perlu dipatuhi. Umum telah mengetahui akan hal tersebut. Persoalannya, telah terlaksanakah syarat-syarat yang disebut oleh Allah di dalam Al-Quran?

Di dalam surah Al-‘Asr, Allah telah menyatakan bahawa manusia itu berada di dalam kerugian. Tetapi di dalam surah tersebut Allah telah meletakkan pengecualian, iaitulah mereka yang saling BERPESAN dengan KEBENARAN dan KESABARAN. Di dalam sebuah Hadis, Rasulullah S.A.W mengibaratkan bahawa diri Baginda ini ibarat benteng yang menghalang binatang-binatang kecil (seperti kelkatu) daripada mengerumuni satu cahaya yang terang. Binatang-binatang itulah umat Baginda, sedangkan cahaya itu ialah Neraka Allah.

Di dalam hadis yang disebutkan, satu qudwah yang wajar dijadikan contoh oleh golongan yang bergelar da’ie ilallah ialah mengorbankan kepentingan diri untuk kepentingan Islam dan umatnya. Atas dasar itu jugalah kita telah mendengar ramai dikalangan golongan yang memperjuangkan Islam telah terkorban disebabkan mempertahankan hak kesucian Islam dan umatnya daripada terus dinodai. Inilah manfaat yang besar yang dilakukan mereka dengan imbalan yang disediakan Allah juga teramat besar iaitu REDHA ALLAH sebagai TIKET menuju SYURGA.

Muhasabah

Penulis tidak menolak manfaat dari sudut material. Jika diberi jangan ditolak. Mungkin juga itu satu bonus daripada Allah yang boleh dijadikan motivasi untuk terus maju ke hadapan. Namun, janganlah ianya dijadikan matlamat.

Jika kita merasakan manfaat kita kepada ummah telah banyak, sedarlah bahawa ia hanya secebis cuma. Mungkin juga apa yang kita lakukan itu tidak dipandang oleh Allah lantaran matlamat yang diinginkan bukanlah untuk menggapai REDHA ALLAH. Ayuh, betulkan niat! Jadikan Allah itu sebagai ghoyah agar manfaat yang ingin kita taburkan merupakan sesuatu yang amat berharga di sisi Allah.

0 comments:

Post a Comment

Our Blogger Templates Web Design

Kepada sesiapa yang ingin mengambil bahan dari blog ini, pihak kami mengalu-alukannya. Sebarkan bahan ini dengan sebaiknya untuk faedah dan kepentingan bersama. Syukran

NASYID FM

Sila download

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP