I made this widget at MyFlashFetish.com.

MERDEKA; MISI YANG BELUM TERCAPAI

>> Monday, August 30, 2010

Setiap tahun pada tarikh 31 Ogos, seluruh rakyat Malaysia akan merayakan ulang tahun sambutan hari kemerdekaan Malaysia yang dicapai pada tahun 1957. Di dalam teks sejarah di peringkat sekolah menengah ada menceritakan bagaimana kemerdekaan ini dicapai. Ianya merupakan hasil usaha yang gigih daripada para pejuang Tanah Melayu satu ketika dahulu untuk membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah.

Perjuangan ini dimulakan pada awal siri penjajahan. Rakyat Melaka yang ketika itu meminta bantuan luar untuk mempertahankan kotanya daripada diserang Portugis terus berjuang namun akhirnya menemui kekalahan. Dan misi membebaskan Tanah Melayu ini diteruskan sehingga pada tahun 1957 munculnya seorang wira yang telah berjaya mendapatkan kemerdekaan Malaysia dengan cara aman daripada pihak British. Dan laungan Merdeka bergema pada pagi 31 Ogos 1957 merupakan petanda kepada seluruh rakyat Malaysia, kita sudah bebas dari cengkaman penjajahan.

Dalam teks khutbah Jumaat, 28 Ogos 2009 di sebuah masjid, khatib menyeru sidang jemaah untuk memanjatkan rasa syukur kerana kita telah bebas dari cengkaman penjajahan. Satu persoalan terus timbul. Apakah benar kita sudah merdeka? Merdeka dari sudut apakah kita?

Saban tahun, kita sering diperingatkan tentang kemajuan yang dicapai pada hari ini merupakan hasil perjuangan pejuang terdahulu membebaskan negara daripada cengkaman penjajah. Ya, saya tidak menafikan. Itu dari segi material. Infrastruktur yang ada di dalam negara kita sudah cukup menggambarkan bahawa kita sedang bersaing dengan negara- negara maju yang lain. Namun, apakah cukup hanya sekadar mewah dari sudut material? Sekali lagi ingin saya lontarkan, apakah benar kita sudah merdeka?

Melihat kepada kadar jenayah yang semakin membimbangkan, segala usaha yang dilakukan selama ini seolah-olah tidak memberi kesan kepada si pelaku jenayah. Ramai di kalangan mereka yang keluar masuk penjara tetapi akhirnya kembali terjebak dengan jenayah. Melihat kepada budaya yang tidak sihat di kalangan pemuda dan pemudi, seolah-olah mereka akan hidup selamanya dan tidak akan mati. Kalau mati pun bila dah mencapai usia tua. Muda hanya sekali, bila tua bertaubatlah. Enjoy dulu! Inilah ayat yang sering meniti di bibir para remaja dewasa ini. Melihat kepada keadaan ekonomi negara yang terus mengamalkan sistem yang diperkenalkan oleh masyarakat barat merupakan satu jaminan untuk mendapat kerugian. Kalau untung sekalipun, bukan dari cara yang halal. Justeru merdekakah kita?

Merdeka yang sebenarnya bukan sahaja kita bebas daripada cengkaman pihak penjajah secara zahir seperti yang kita lihat sekarang. Kita juga wajib memerdekakan corak pemikiran daripada anasir luar yang ternyata sekali tidak sihat. Kemerdekaan yang sebenar ialah kemerdekaan jiwa yang mengeluarkan seseorang itu daripada terus menghambakan diri kepada hamba kepada menghambakan diri kepada Pencipta hamba!

Hakikat yang sebenarnya, kita terus dikuasai oleh pihak orientalis yang menghidupkan sistem penjajahan. Melihat kepada fakta sejarah, kedatangan penjajah Portugis ke Melaka membawa agenda yang telah diatur dengan sebaik mungkin. Ketika itu Melaka terkenal sebagai serambi Mekah, sebagai pusat penyebaran agama Islam di rantau ini selain Acheh. Pihak orientalis dan konco-konconya yang menyimpan dendam sejak kekalahan mereka dalam Perang Salib telah melancarkan satu bentuk serangan yang halus untuk mematikan segala usaha mempertahankan kesucian Islam. Salah satunya bentuk penjajahan.

Portugis terus mara ke Melaka dengan membawa tiga slogan yang masyhur iaitu Glory, Gold, Gospel. Di dalam satu siri bacaan yang pernah saya rujuk, pihak orientalis ingin mengagung-agungkan tamadun yang diasaskan oleh barat. Maka dengan tujuan itu mereka membawa slogan Glory sebagai “bahan kempen” untuk mendapatkan tanah jajahan. Mereka juga telah mengenal pasti kekayaan yang dimiliki oleh orang Islam ketika itu. Secara geografinya, negara yang dikuasai oleh penduduk yang majoritinya orang Islam mempunyai kekayaan hasil bumi yang cukup banyak. Tidak kurang juga kawasan yang didiami oleh masyrakat Muslim yang telah terbukti sejak dahulu hingga kini merupakan kawasan strategik yang membolehkan keuntungan dikaut. Nah, atas dasar ini jugalah orientalis melaksanakan misi penjajahan. Slogan Gold yang membawa maksud emas merujuk kepada kekayaan.

Orientalis juga sedar, selagi mana umat Islam ini terus berpegang dengan ajaran Islam maka selagi itulah mereka tidak dapat dikalahkan. Lihat sahaja kisah di dalam Badar al-Kubra, seramai 313 orang tentera Muslimin menghadapi 1000 orang tentera musyrikin Mekah telah Berjaya mendapat kemenangan. Ini kerana hasil mereka berpegang dengan Tali Allah serta yakin dengan segala janji Allah dan Rasul-Nya. Sejarah juga telah membuktikan perjuangan Sultan Muhammad membebaskan Kostantinopel dengan berbekalkan iman dan taqwa serta menaruh sepenuh pengharapan kepada Allah merupakan kunci kemenangan tentera Islam. Hasil daripada pengkajian tersebut, orientalis melancarkan slogan Gospel yang merujuk kepada salah satu unsur di dalam agama Kristian dalam usaha merobek iman dan akidah masyarakat Muslim. Bermula dari situlah penjajahan terus berlaku.

Saya tidak menafikan bahawasanya kita bebas bergerak dan melakukan apa sahaja tanpa halangan daripada pihak luar. Namun, perlu kita teliti semula. Sekiranya kita benar-benar telah mencapai kemerdekaan, mengapa perlembagaan di negara ini perlu dirujuk di bawah suruhanjaya Reid? Bukankah kita berhak mengatur langkah sendiri kerana kita telah merdeka dan Malaysia ini hak milik kita? Dan sebenarnya ini juga merupakan salah satu usaha untuk terus menjajah. Allah telah mengutuskan Rasul untuk membawa syariat yang selari dan tepat dengan kehidupan manusia. Tetapi, kerana bongkaknya pemimpin negara dan terus ingin berada di dalam keadaan yang jahil maka diambilnya undang-undang sivil ciptaan manusia untuk digunakan!

Budaya hedonisme yang dibawa masuk dari barat sudah cukup menggambarkan bahawasanya kita tidak merdeka. Jiwa kita masih dikuasai, fikiran kita masih dikongkong. Hati yang lalai akan menyebabkan manusia tidak takut kepada Pencipta. Maka sasaran mereka ialah pemuda. Rasulullah sendiri pernah menegaskan, golongan pemuda ini perlu dijaga sebaik mungkin. Golongan inilah yang banyak membantu perjuangan Rasulullah dalam usaha menyebarkan dakwah Islamiyyah. Maka golongan orientalis melihat ini merupakan satu ancaman kepada mereka. Justeru mereka terus menguasai pemuda melalui jalan hiburan yang berlebihan. Seperti yang kita sedia maklum, setiap tahun akan ada konsert-konsert yang mengisi kekosongan pada malam ambang merdeka setelah solat hajat dan bacaan Yasin dibuat. Inilah Islam Had-hari yang dibawa oleh pemerintah. Mereka terus membiarkan golongan muda-mudi ini hanyut dalam suasana yang dirasakan kondusif (dunia sahaja, akhirat tak).

Melihat pula dari sudut pendidikan yang bercorakkan dualisme dengan memisahkan dunia dan akhirat. Sistem yang dilaksanakan sekarang tidak membawa kepada kemajuan akal dan yang paling utama kemajuan akidah. Pendidikan sekarang berorientasikan peperiksaan tidak layak untuk digelar pendidikan tetapi yang paling tepat sistem pensijilan. Para pelajar dimomokkan dengan pelbagai perkara yang terbukti menyekat golongan ini untuk membangunkan minda sekaligus menerapkan di dalam diri mereka ini amalan 3K (kolej, kelas, kafe). Mereka tidak mempedulikan apa yang berlaku di luar sana. Lihat sahaja sistem awal pendidikan. Usaha untuk menerapkan akidah yang salimah tidak berlaku dan apabila mereka ini meningkat dewasa, melanjutkan pelajaran ke luar negara, mereka akan mudah terpengaruh dengan bentuk pemahaman liberal. Maka sudah tentu sistem ini tidak memanusiakan manusia!

Justeru, sewajarnya kita meneruskan misi untuk memerdekakan diri kita daripada belenggu penjajahan musyrikin orientalis. Melihat kepada realiti yang berlaku, satu bentuk perubahan harus dibuat untuk mencapai satu natijah yang bermakna bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat. Bebaskan diri, masyarakat dan negara daripada belenggu penjajahan ini. Ayuh, kita laksanakan misi yang belum tercapai!

Sekian

p/s: Hasil nukilan bertarikh 30 Ogos 2009. Diterbitkan semula untuk tatapan dan peringatan semua.

0 comments:

Post a Comment

Our Blogger Templates Web Design

Kepada sesiapa yang ingin mengambil bahan dari blog ini, pihak kami mengalu-alukannya. Sebarkan bahan ini dengan sebaiknya untuk faedah dan kepentingan bersama. Syukran

NASYID FM

Sila download

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP