I made this widget at MyFlashFetish.com.

Showing posts with label Muhasabah. Show all posts
Showing posts with label Muhasabah. Show all posts

MAKLUMAN : ARHAM IRHAMI BIN SUKARNO

>> Tuesday, April 19, 2011



Petang tadi, saya sempat menziarahi adik Arham Irhami bin Sukarno di Wad Kenanga 3A, Hospital Sultanah Bahiyyah. Adik Arham terlibat di dalam kejadian langgar lari baru-baru ini. Kesan kemalangan tersebut, adik Arham diuji Allah s.w.t dengan kecacatan seumur hidup. Kaki kanan adik Arham dipotong sehingga ke paras peha, tangan kanannya pula patah.

Saya melihat ketabahan yang jelas terpancar di wajah Cikgu Sukarno dan isteri beliau. Beliau menyambut tetamu-tetamu yang hadir dengan wajah yang cukup manis, senyumannya tak lekang dari wajah. Apa yang cikgu sempat titipkan kepada saya, "teruskan perjuangan!"

Allahu Akbar! Hebat ujian yang Allah berikan kepada cikgu sekeluarga. Lidah saya kelu tanpa bicara. Adik Arham merupakan seorang ramaja yang cerdas, sentiasa mengikuti program-program tarbiyyah yang dianjurkan.

Semoga adik Arham, cikgu Sukarno dan keluarga tabah serta redha dengan ujian yang Allah berikan kepada mereka.

p/s: kepada sahabat-sahabat, cikgu Sukarno sampaikan salam dengan lafaz Assalamu'alaikum. Doakan cikgu, Arham dan mereka sekeluarga diberikan kekuatan. Sahabat-sahabat dijemput untuk menziarahi adik Arham di wad Kenanga 3A, Aras 3, Hospital Sultanah Bahiyyah Alor Setar.

Read more...

SAKIT

>> Wednesday, April 13, 2011



Ia adalah rahmat
Sebab ia adalah takdir,
Walaupun datang tidak diundang
Tapi ia adalah sesuatu ketentuan
Yang pasti diterima dengan rela
Kerana ia adalah proses
Untuk suatu kesihatan.


Sebenarnya kesakitan itu
Adalah rasul yang menyedarkan
Pembersih segala noda
Yang berselaput di muka.


Kita akan lebih sedar dan segar
Selepas melintasinya
Di celah liku-liku peristiwa
Yang sentiasa mencabar wibawa
Kematian yang menonggak hidup
Sebagai hamba yang setia.



P/s: Puisi ini adalah hasil nukilan almarhum ayahanda Ustaz Niamat bin Yusoff (1940-2003). Puisi ini dipetik dari buku “Ulama Arkitek Kemanusiaan” susunan Ismail Hashim. Tajuk buku ini merupakan gagasan almarhum Ustaz Niamat Yusoff.

Almarhum merupakan ikon murabbi dan ulama’ yang disegani di negeri Kedah. Pemergiannya amat dirasai seluruh kader-kader dakwah sehingga kini. Jasanya terlalu besar dalam usaha mengembangkan Islam dan dakwah di Kedah dan Malaysia khususnya dan seluruh dunia amnya. Beliau merupakan pengasas Badan Dakwah dan Kebajikan Maktab Mahmud, seterusnya mengasaskan sebuah institusi pengajian Islam di Derang, Maahad Tarbiah Islamiyah Derang.

Al-Fatihah…

Read more...

UJIAN : ANTARA DUA PERSIMPANGAN

>> Thursday, December 30, 2010

Situasi 1:

“Man, aku dapat mumtaz dalam exam baru ni. Kau tak tahu Man, aku memang dah lama usaha nak bagi dapat keputusan macam hari ni”, ujar Arif kepada sahabat baiknya, Azman.

Situasi 2:

“Alhamdulillah Hafiz, rezeki aku dapat dekan untuk exam kali ni”, kata Ridzwan kepada Hafiz.


Dua situasi yang berbeza.

Tiada kehidupan jika tiada ujian. Itulah sunnatullah yang telah Allah tetapkan ke atas manusia. Hal ini telah Allah nyatakan di dalam firman-Nya melalui surah al-Ankabut, ayat 2 mafhumnya:

“Apakah kamu mengira Kami akan membiarkan kamu menyatakan : Kami telah beriman, sedangkan kamu belum diuji?”

Sudah menjadi lumrah kehidupan manusia. Sudah menjadi rencah terhadap sebuah kehidupan dengan ujian yang didatangkan. Ujian itu datang dalam pelbagai bentuk, bermacam cara. Setiap minit yang kita lalui adalah ujian.

Benarkah?

Ya!

Masa lapang kita adalah ujian, sibuk kita adalah ujian sihat kita adalah ujian, sakit kita adalah ujian, muda kita adalah ujian, tua kita juga adalah ujian. Setiap detik yang kita lalui, setiap nafas yang kita perolehi, setiap perkara yang kita harungi, semuanya adalah ujian!


Sikap Manusia

Manusia terdiri dari dua golongan. Ada di kalangan manusia yang tahu rasa bersyukur, namun tidak kurang juga di kalangan manusia yang merasakan dirinya hebat sehingga dia lupa dari mana asal-usulnya. Manusia yang bersyukur akan sentiasa mendapat nikmat daripada Allah kerana itulah janji-Nya. Manusia yang ingkar mungkin juga diberikan nikmat. Dan tidak mustahil nikmat itu sebagai salah satu jalan menuju kepada azab.

Lazimnya, manusia akan bergembira dengan nikmat yang diperoleh. Apabila dilanda musibah dan kesusahan, maka keluhanlah yang menjadi tutur bicaranya. Apabila senang, manusia seringkali lupa kepada Tuhannya. Apabila susah, Allah jualah tempat mereka mengadu.

Inilah sikap manusia. Koreksi diri kita, adakah kita bersandarkan kepada kudrat yang dipinjamkan Allah ataupun kita bersandar kepada Yang Memberi kudrat?

Allah telah menyatakan di dalam firman-Nya, melalui surah Ibrahim, mafhumnya:

Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan Demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar Sesungguhnya azabKu amatlah keras".

Saya teringat pesan guru, Syeikh Zainul Asri Bin Romli. Pernah suatu ketika, saya meminta nasihat daripada al-fadhil, lalu beliau berpesan:

“Berusahalah untuk merasakan diri kita sebagai hamba. Amat berbeza bagi orang yang tahu dia hamba dengan orang yang merasakan dirinya hamba.”

Hamba yang tahu erti syukur adalah hamba yang merasakan dirinya hamba. Hamba yang tidak bersandar kepada dirinya adalah hamba yang merasakan dirinya hamba. Hamba itu sifatnya sentiasa bergantung, selalu berharap kepada tuannya.

Justeru, bagaimanakah kita?


Antara Dua Persimpangan

Kehidupan yang dilalui merupakan sebuah pilihanraya yang tidak pernah berhenti. Setiap saat kita sedang mengundi. Setiap saat kita sedang memilih. Apa yang kita undikan? Apa yang kita pilih?

Sama ada syurga,

Ataupun neraka.

Ujian itu bukanlah bertujuan menyusahkan hamba. Andai kita menggunakan kesempatan masa yang diberikan, nikmat kesihatan yang baik, akal fikiran yang cerdas, sudah pasti kita akan nampak natijah di sebalik sebuah ujian.

Ujian itu tujuannya untuk mendekatkan diri kita dengan Allah, Tuhan Yang Menciptakan.

Ujian itu tujuannya mematangkan diri, mewaraskan fikiran.

Justeru, bukan ujian yang perlu dicemuh. Sebaliknya, kita seharusnya berusaha meletakkan husnu zhon kepada Allah.

Hisablah diri. Hitunglah amal. Adakah kita telah mempersembahkan yang terbaik di hadapan Allah ataupun sebaliknya?

Hanya iman sahaja yang mampu berbicara.

Ikhwan Hafiz
Kuala Kubu Bharu

Read more...

DI MANA ALLAH DALAM HATI KITA???

>> Monday, April 12, 2010

Sekali lagi kita tanya diri sendiri “DI MANA ALLAH DALAM HATI kita?” Adakah kita rasa amat gembira bila dapat berdamping denganNya atau sebaliknya? Adakah kita telah berusaha agar Allah sentiasa bersama kita?

Kalau begitu,sejauh manakah kita rasa gembira menerusi solat yang dilaksanakan ketika mendampingi dan bermunajat padaNya?

Apakah yang kita dapat rasai ketika sujud di dalam solat dan sejauh mana kita meneruskan zikir terhadapNya bukan hanya terbatas selepas solat, ingatlah ketika Allah menyebut: “aku bersama hambaKu ketika dia mengingatiKu dan kedua-dua bibirnya bergerak kerana aku”

Adakah kita dapat meluangkan sepertiga malam untuk menyepi diri bersama Allah? Tidakkah kita teringat akan janji2 Allah pada kita yang mampu bangun di tengah2 malam- Allah menyebut: “Adakah terdapat hambaKu yang bangun di tengah malam untuk bertaubat, di mana aku menerima taubatnya, yang memohon keampunanKu, maka aku ampunkan segala dosanya dan memohon sesuatu, maka aku berikan padanya”

Tidakkah kita mahu berusaha untuk menjadikan hati2 ini penuh dengan pujian kepada Allah, berkorban keranaNYa untuk meninggikan syiar agamaNYa walaupun pelbagai rintangan dan halangan.

Berapa banyak ruang dan masa yang ada pada kita untuk memerhatikan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita, terus bersyukur padaNya tanpa sebarang perasaan prejudis. Pernahkah terlintas dalam pemikiran kita bagaimana Allah menganugerahkan nikmat hidayah, kesihatan, harta, ilmu pengetahuan, kepandaian, kemahiran, bakat, anak2, ibu bapa yang terlalu menyanyangi kita walau saat kita tersungkur, suami atau isteri yang mengasihi kita?

Atau kita sekadar menerima nikmatNya tanpa sebarang balasan untuk beramal dan mematuhi segala titah perintah Allah.

Sesungguhnya ketahuilah wahai saudara-saudari segama! Dunia dan bumi yang kita pijak ini menjanjikan pelbagai kehancuran, ia boleh berlaku pada apa yang kita ada atau kita cari, termasuk harta benda, anak2, pangkat dan jawatan..tapi apa yang paling penting..DI MANA ALLAH DALAM HATI KITA?

Jika tergerak hati untuk melakukan sesuatu kejahatan, tanyalah diri DI MANA ALLAH DALAM HATI KITA? Allahkah yang patut dicari atau maksiat yang patut ditembusi, bagaimana keadaan ana ketika hendak bertemu dengan Allah pada hari pembalasan yang mungkin esok, lusa atau hari ini atau mungkin pada saat ini..sedangkan ana melakukan maksiat kepadaNya???

petikan : azzahrah-

Ya ALLAH, jangan kau palingkan HATI ini dari terus mengingati MU.
Tetapkanlah HATI ini agar terus beramal kepada MU..semoga diri ku sentiasa di bawah keberkatan MU..Amin

p/s: dah lama x update... ni bukan hasil tulisan sendiri. tapi diambil dari bank artikel yang saya miliki. semoga dapat memberi manfaat kepada kita semua. amin...

Read more...

MU’MIN; PAKEJ 2 IN 1

>> Sunday, October 18, 2009

Belum sempat Ihtifal Ilmi melabuhkan tirainya, saya terus bergegas pulang ke Kedah. Pulang memenuhi jemputan sahabat-sahabat dari SMKAB untuk berprogram bersama adik-adik mereka. Turun atas stand Pengerusi Alumni Kepimpinan Pelajar Islam Kedah, ada misi yang perlu dilaksanakan. Memandangkan adik saya, Abu Qohafah tidak dapat turun ke program ini, maka saya ditugaskan untuk menggantikannya member pengisian kepada adik-adik SMKAB.

Perjalanan mengambil masa berjam-jam lamanya, beberapa pengalaman sempat ditimba. Pengalaman pertama dalam hidup saya apabila seorang Katolik mengajak bermunaqasyah mengenai agama. Berat hati pada mulanya, namun disebabkan persoalan terus diajukan saya cuba menjawab semampu yang mungkin.

Tiba di Alor Setar pada jam 8.00 pagi. Abdul Ghafur menjemput saya dari stesen menuju ke Darus Sofwah untuk khidmat diri. Selesai bersarapan, saya meneruskan perjalanan ke Baling bersama Asyraf dan Anas, penuntut jurusan Ilmu Wahyu di UIA Nilai. Mata terlalu berat untuk dibuka, lantaran degil untuk berjaga pada malamnya di atas tren.

Tiba di hadapan SMKAB pada jam 1.15 petang. Saya menunggu bersama dua orang sahabat di hadapan sekolah sebelum kami masuk bersama adik Abdul Muhaimin, bekas pelajar MMY. Sempat juga untuk berehat sebelum memulakan program bersama adik-adik SMKAB. Taklimat fasilitator yang sepatutnya dibuat pada tengah hari ditunda hingga ke malam, selepas Isya’.

Program berjalan lancar selama 3 hari 2 malam. Banyak yang diperolehi melalui program ini. Ditambah degan kehadiran ayahanda Cikgu Sukarno sebagai salah seorang tenaga yang memberi pengisian dirasakan amat berharga.

Koordinator dan Fasilitator

Dalam apa jua program, kedua-dua aktor tidak dapat dipisahkan. Koordinator program bertindak untuk menjadikan program sentiasa dalam keadaan yang terbaik dan berjalan lancar, tak kiralah apa jua posisi yang diletakkan.

Sementara itu, fasilitator akan berperanan sebagai pemudah cara untuk para peserta memahami objektif dan matlamat yang ingin disampaikan melalui program tersebut. Tidak kiralah apa pun caranya, yang pasti mereka ini akan berusaha sedaya yang termampu untuk memahamkan peserta tentang objektif yang ingin disampaikan. Ada fasilitator yang berperanan sabagai penceramah, ada juga sebagai kaunselor. Namun, perlu diingat. Fasilitator hanya sebagai penunjuk jalan, memberi joran kepada si pemancing, bukan sebagai tukang pancing dan member ikan kepada pemancing yang sebenar.

Apa pun yang diketengahkan, ianya mempunyai kaitan yang amat rapat dari sudut tarbiyyah. Sudah tentu kita masih ingat kisah Rasulullah S.A.W menyeru bapa saudaranya Abu Talib untuk memeluk Islam hingga di saat akhir hayat bapa saudara Baginda. Satu perkara yang wajib kita imani, bagaimanapun usaha kita untuk memprogramkan peserta program, hanya Allah jua yang memberi hidayah. Satu perkara yang kita sering terlepas pandang apabila peserta yang kita programkan itu tidak menunjukkan kesan daripada program yang dilaluinya.

Namun, bukan bermakna kita perlu tinggalkan usaha. Usaha itu perlu, tawakkal itu wajib. Kedua-dua elemen ini perlu seiring. Tidak boleh kita tinggalkan tawakkal dengan hanya menggunakan wasilah usaha, dan amat salah jika kita hanya bertawakkal tanpa adanya usaha.

Tarbiyyah dan Mentarbiyyah

Program yang dimaksudkan di sini ialah program pencerahan, program islah, program tarbiyyah dan sebagainya. Selalunya kita gemar sekali untuk mentarbiyyah, namun jarang sekali kita melihat orang yang suka untuk ditarbiyyah. Tanyalah kepada siapa pun, jika diprogramkan sudah tentu berat hati untuk melangkah pergi. Tapi jika memprogramkan, silap-silap kitalah orang yang pertama memberi nama untuk member khidmat tenaga.

Kenapa hal ini terjadi?

Saya mula aktif dalam program sejak berumur 13 tahun. Mungkin juga boleh dikatakan hobi untuk berprogram. Tapi seperti yang dinyatakan, terkadang berat juga hati untuk melangkah. Di situ memerlukan pencerahan niat supaya apa yang diniatkan selari dengan kehendak Allah. Melihat situasi setiap program yang pernah dilalui, saya mempunyai pandangan tersendiri.

Satu ketika, seorang sahabat saya pernah berdebat dengan koordinator program tentang soal taklifat. Ketika itu saya baru berusia 17 tahun. Antara taklif program yang diberikan kepada kami ialah zikir sebanyak 3000 kali sehari. Katanya, tidak perlu zikir sebanyak itu jika hati terpaksa. Coordinator program memberi jawapan balas, mana kita tahu kalau-kalau di dalam jumlah yang sebanyak itu da satu zikir yang dikira ikhlas di sisi Allah. Kami terdiam.

Apa yang ingin saya kongsikan, tarbiyyah itu bukan menurut kemahuan. Tarbiyyah ini bersifat keperluan. Sebagai manusia, tarbiyyah amat diperlukan bagi mengisi jiwa yang sering kekeringan lantaran dosa yang sering dilakukan. Namun, sebagai pentarbiyyah juga perlu kita sedar. Dalam kita mentarbiyyah, sudah tentu kita tidak mahu hasil yang sia-sia. Jadi, mulakan dengan sedikit. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, kata pepatah melayu.

Tidak jadi jika persoalan tarbiyyah hanya ditumpukan pada program-program yang khusus. Sedangkan pada hari-hari yang lain, kita membiarkan jiwa kita tanpa diisi. Kerana itu, Al-Quran telah menegaskan kepada kita untuk saling mengingatkan antara satu sama lain kerana ianya mendatangkan manfaat kepada mu’min.

Kalau di dalam sesebuah program kita meletakkan taklifat yang begitu tinggi terhadap peserta, maka sewajarnya sebagai coordinator program untuk merasai taklifat yang bersifat dua kali ganda daripada peserta. Kerana mustahil jiwa yang kotor mampu untuk membersihkan jiwa yang lain.

Ayuh,lakukan anjakan!

P/s: Perkongsian ini dicoret untuk tatapan semua. Tidak kira siapa pun kita, elemen muhasabah perlu diterapkan.

Saya menyedari hal ini, mungkin juga ada di kalangan kita juga menyadari hal ini. Sebagai pemuda, kita adalah agen perubah. Maka sewajarnya kita perlu mengubah pekara dasar di dalam diri kita seiring dengan tugas mengislah jiwa yang lain.

Read more...

AHLAN YA RAMADHAN!!!

>> Friday, August 21, 2009

Setahun yang lalu, kita pernah berjumpa dengan tetamu yang istimewa ini. Tetapi, tidak kita ketahui sejauh manakah layanan kita terhadap tetamu yang amat istimewa itu. Tahun ini, kita bakal dipertemukan sekali lagi dengan si tetamu yang cukup mulia. Mereka yang mencari bekalan taqwa sudah tentu merasakan kegirangan yang amat dengan ketibaan tetamu yang mulia ini. Dialah Ramadhan, penghulu segala bulan.

Firman Allah dalam ayat 183, Surah Al-Baqarah, mafhumnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, difardhukan ke atas kamu untuk berpuasa seperti yang telah difardhukan ke atas umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu dari kalangan orang yang bertaqwa”

Saban tahun, kita sering mendengar ayat ini. Apatah lagi di dalam khutbah Jumaat di ambang Ramadhan, kita sering diingatkan oleh khatib agar mencari bekalan taqwa di dalam bulan ini.

Umum memang mengetahui fadhilat yang terkandung di dalam bulan ini. Di dalam Sohih Ibnu Khuzaimah, juzu’ yang ketujuh, terdapat sebuah hadith yang menerangkan fadhilat Ramadhan. Ada yang mengatakan bahawa Hadith ini dikategorikan sebagai maudhu’, tetapi saya telah menyemak dengan seorang pakar rujuk. Rasulullah penah bersabda di dalam sebuah hadith, mafhumnya:

“Ramadhan pada awalnya rahmat, di pertengahannya keampunan dan di akhirnya pembebasan dari api neraka”

Umum juga mengetahui bahawasanya Al-Quran itu diturunkan di dalam bulan Ramadhan mengikut qaul yang kuat. Di dalam bulan ini juga terdapat sebuah malam yang dijanjikan lebih baik dari seribu bulan. Itulah malam al-Qadr (Lailatul Qadr). Semua orang mengimpikan untuk mendapatkan malam yang amat istimewa itu. Tidak kiralah siapa jua, semuanya membicarakan tentang fadhilat malam yang cukup mulia itu. Semuanya itu merupakan motivasi untuk kita mencari Redha dan Cinta Allah.

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah bersabda, mafhumnya:

“Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan penghayatan maka akan diampunkan segala dosanya yang lalu”

Sungguh lumayan tawaran yang diberikan oleh Allah kepada umat Baginda S.A.W. Tetapi sejauh manakah kita memanfaatkan peluang yang Allah berikan ini?

Ada yang menyambut kedatangan Ramadhan ini dengan sambutan yang amat meriah. Mereka meraikannya dengan menambahkan lagi amal ibadat di dalam bulan tersebut sebagai tanda memuliakan kedatangan tetamu yang begitu mulia ini. Ada pula yang menyambutnya dengan sambutan ala kadar. Seolah-olah masih ada kesempatan untuk bertemu dengan Ramadhan pada tahun yang akan datang. Ada juga dari kalangan manusia yang menyambut kedatangan Ramadhan ini dengan hati yang cukup berat. Kelihatan seperti tidak begitu menyenangi dengan kehadiran tetamu ini.

Persoalannya, di manakah kedudukan kita? Madrasah Ramadhan ini menjanjikan sesuatu yang tidak ada pada bulan yang lain. Ia lebih berharga daripada dunia dan segala isinya. Adakah kita bersedia untuk berhadapan dengan tetamu ini? Sebuah Hadith Rasulullah yang masyhur, di kala Rasulullah sedang menaiki tangga mimbar untuk berkhutbah, Rasulullah melafazkan amin sebanyak tiga kali. Apabila ditanya, salah satunya Rasulullah mengaminkan, celakalah bagi siapa yang melepasi bulan Ramdhan akan tetapi Allah tidak mengampuni dosanya.

Beruntunglah bagi siapa yang diampunkan Allah di dalam bulan yang penuh barakah ini. Semoga kita semua tergolong di dalam golongan yang mendapat keampunan Allah dan pembebasan dari api neraka-Nya. Amin Ya Rabb…

Read more...

SEBAIK-BAIK MANUSIA

>> Saturday, May 30, 2009

Penulis mulakan perkongsian kali ini dengan sebuah hadis. Rasulullah S.A.W pernah bersabda dalam sebuah Hadis, mafhumnya:

“Sebaik-baik manusia ialah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain”

Di dalam hadis ini terdapat mesej yang cukup jelas yang disampaikan Rasulullah kepada umat Baginda. Tidak kira kecil atau besar, tua mahupun muda, semuanya akan ‘terkena’ dengan sabdaan Baginda ini kerana Rasulullah telah dijanjikan oleh Allah membawa rahmat bagi sekalian alam. Tidak kiralah makhluk Allah itu berada di alam nyata ataupun di alam ghaib, semuanya mendapat rahmat disebabkan Baginda Rasulullah.

Setiap makhluk yang bernyawa terutamanya manusia inginkan kebaikan. Tetapi, kebaikan itu hanya mampu dicapai apabila kita berjaya memenuhi tuntutan yang telah ditetapkan Allah seperti yang termaktub di dalam kitab suci-Nya iaitu Al-Quran mahupun di atas lisan Kekasih-Nya, Rasulullah S.A.W.

Kesilapan Mentafsir

Rasulullah S.A.W adalah seorang insan yang agung. Baginda telah mengajarkan kepada umatnya agar mendahulukan persoalan akhirat dalam apa jua hal dan keadaan. Namun, musuh Islam tetap dengan rencana jahatnya. Kamal at-tartuk yang dijadikan simbol bagi negara-negara maju telah membawa satu idealisme yang asing bagi umat Islam.

MATERIALISME!

Jelas, rancangan durjana pihak musuh telah mendapat tempat di hati umat Islam yang sedang lena dibuai mimpi nan indah. Agenda menjadikan material itu sebagai matlamat telah menyebabkan umat Islam ketika ini sanggup melakukan apa sahaja demi mendapat kesenangan yang diinginkan.

Manfaat seringkali ditafsirkan dengan perkara yang boleh dirasai oleh pancaindera yang lima. Manfaat yang diinginkan hanyalah manfaat yang bersifat sementara. Sedangkan manfaat yang bersifat kekal kurang mendapat sambutan lantaran sifatnya yang tidak dapat dilihat dan dirasai.

Situasi yang lebih menyakitkan apabila KITA merasakan bahawa kita telah memberi manfaat kepada orang lain, sedangkan di dalam hati KITA penuh dengan suatu pengharapan. Imbalan daripada seorang manusia yang cukup lemah amat KITA harapkan. Di manakah manfaat yang kita canangkan?

Pandanglah Dari Pelbagai Sudut

Satu malam penulis sempat bersama dengan dua orang tokoh kepimpinan di kampus penulis satu ketika dahulu. Majlis forum yang dianjurkan PERKEMAT DQ itu dirasakan sebagia satu medan yang terbaik untuk memberi sedikit kefahaman bagi mereka yang masih lagi kabur. Penulis tertarik dengan hujah daripada Ustaz Ihsan Fadhli. Beliau membicarakan tentang hadis ini.

Statistik jenayah di kalangan remaja yang dibuat pada tahun pada tahun 2008 telah mencatatkan sejumlah 10210 jenayah yang dilakukan. Persoalan yang dilontarkan kepada para huffaz pada malam tesebut, mengapa kalian menghafaz Al-Quran? Kerana hendak menyelamatkan 10 orang ahli keluarga yang sudah dijamin mendapat tempat di Neraka (Mohon perlindungan Allah darinya)? Bagaimana pula halnya keadaan umat yang semakin tenat dengan penyakit yang dibawa oleh musuh-musuh Islam?

Maka dijelaskan pada malam tersebut tentang hadis di atas. Sekiranya kita memandang manfaat itu hanya dari sudut material, maka fikiran kita masih sempit dan jumud dengan fahaman kebendaan. Sedangkan Islam itu agama yang syumul dan mudah!

Allah telah menjelaskan di dalam Al-Quran bahawa sebaik-baik umat yang dicipta Allah ialah umat Muhammad S.A.W. Tetapi untuk menjadi umat yang terbaik mempunyai syarat-syarat yang perlu dipatuhi. Umum telah mengetahui akan hal tersebut. Persoalannya, telah terlaksanakah syarat-syarat yang disebut oleh Allah di dalam Al-Quran?

Di dalam surah Al-‘Asr, Allah telah menyatakan bahawa manusia itu berada di dalam kerugian. Tetapi di dalam surah tersebut Allah telah meletakkan pengecualian, iaitulah mereka yang saling BERPESAN dengan KEBENARAN dan KESABARAN. Di dalam sebuah Hadis, Rasulullah S.A.W mengibaratkan bahawa diri Baginda ini ibarat benteng yang menghalang binatang-binatang kecil (seperti kelkatu) daripada mengerumuni satu cahaya yang terang. Binatang-binatang itulah umat Baginda, sedangkan cahaya itu ialah Neraka Allah.

Di dalam hadis yang disebutkan, satu qudwah yang wajar dijadikan contoh oleh golongan yang bergelar da’ie ilallah ialah mengorbankan kepentingan diri untuk kepentingan Islam dan umatnya. Atas dasar itu jugalah kita telah mendengar ramai dikalangan golongan yang memperjuangkan Islam telah terkorban disebabkan mempertahankan hak kesucian Islam dan umatnya daripada terus dinodai. Inilah manfaat yang besar yang dilakukan mereka dengan imbalan yang disediakan Allah juga teramat besar iaitu REDHA ALLAH sebagai TIKET menuju SYURGA.

Muhasabah

Penulis tidak menolak manfaat dari sudut material. Jika diberi jangan ditolak. Mungkin juga itu satu bonus daripada Allah yang boleh dijadikan motivasi untuk terus maju ke hadapan. Namun, janganlah ianya dijadikan matlamat.

Jika kita merasakan manfaat kita kepada ummah telah banyak, sedarlah bahawa ia hanya secebis cuma. Mungkin juga apa yang kita lakukan itu tidak dipandang oleh Allah lantaran matlamat yang diinginkan bukanlah untuk menggapai REDHA ALLAH. Ayuh, betulkan niat! Jadikan Allah itu sebagai ghoyah agar manfaat yang ingin kita taburkan merupakan sesuatu yang amat berharga di sisi Allah.

Read more...

Our Blogger Templates Web Design

Kepada sesiapa yang ingin mengambil bahan dari blog ini, pihak kami mengalu-alukannya. Sebarkan bahan ini dengan sebaiknya untuk faedah dan kepentingan bersama. Syukran

NASYID FM

Sila download

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP