AIDILFITRI ; HARI KEMENANGAN ATAU HARI BERPESTA??
>> Wednesday, October 8, 2008
Salam Aidilfitri…
Ummat Islam baru sahaja menyambut hari lebaran atau hari kemenangan. Setelah sebulan ummat Islam di seluruh dunia menjalani ibadah puasa, maka apabila tibanya 1 Syawal semua ummat Islam menyambutnya dengan penuh gembira. Semua lapisan masyarakat tidak kira tua atau muda menyambut hari ini dengan penuh gembira. Ucapan tahniah dan bermaafan telah menjadi satu adat dan tradisi malahan ia merupakan satu perkara yang amat dituntut di dalam Islam.
Kemeriahan aidilfitri amat dirasai oleh semua lapisan masyarakat. Namun yang menjadi persoalan di sini, adakah aidilfitri yang kita sambut selama ini bertepatan dengan kehendak syarak ataupun hanya sekadar melampiaskan nafsu semata-mata setelah sebulan kita menjalani ibadah puasa? Apa yang dimaksudkan di sini, adakah hari raya atau aidilfitri ini dijadikan sebagai hari kemenangan atau hari melakukan pesta secara besar-besaran?
Contoh yang paling mudah untuk kita teliti, apabila semua siaran televisyen menayangkan hiburan-hiburan yang tidak membawa kita mendekatkan diri dengan Allah.
Pada 1 Syawal dihidangkan dengan konsert. Pada 2 Syawal juga dengan konsert dan nyanyian. Hal ini berlanjutan sehingga beberapa hari yang berikutnya. Kita lebih senang menjadikan hari raya ini sebagai hari untuk melakukan semula dosa setelah kita merasakan cukup dengan sebulan berpuasa. Apakah ibadah ini hanya khusus untuk bulan Ramadhan?
Di dalam Al-Quran, Allah berfirman mafhumnya;
…hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, agar kamu bersyukur.
(Al-Baqarah;185)
Allah telah menjelaskan kepada ummat manusia agar menyambut hari kemenangan ini dengan membesarkan Allah, agar kita tergolong dalam golongan yang bersyukur. Tetapi sebaliknya yang terjadi. Nyanyian dan artis lebih mendapat tempat. Adakah ini wasilah untuk kita menyatakan rasa syukur kita kepada Allah, Rabbul Jalil? Ini adalah bid’ah yang besar lagi menyesatkan.
Allah berfirman dalam Surah Ibrahim ayat 7, mafhumnya;
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat”
Ingatlah wahai ikhwah, Allah tidak pernah menzalimi hamba-hamba-Nya, tetapi kitalah yang menzalimi diri kita sendiri. Madrasah Ramadhan sepatutnya menjadikan kita lebih bertaqwa kepada Allah. Maka sewajarnya kita menyambut ‘hari konvokesyen’ kita dengan melafazkan lafaz-lafaz yang agung lagi suci, bukan menyambut kemenangan ini dengan bid’ah dholalah. Sebuah pepatah arab menyatakan;
Janganlah kamu menjadi Ramadhaniyyin, tetapi jadilah kamu Rabbaniyyin…
Marilah kita bermuhasabah semula, adakah kita menjalani ibadah di dalam bulan Ramadhan ini hanya sekadar untuk menjadi Ramadhaniyyin atau menjadi Rabbaniyyin? Tepuk dada, tanya iman…! Semoga madrasah Ramadhan yang baru kita lalui ini mampu menjadikan diri kita sebagai graduan yang bertaqwa, Insya Allah…
Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin…
Kullu ‘amin wa antum bikhairin…
Taqabbalallahu minna wa minkum solihul ‘amal..
0 comments:
Post a Comment