JANGAN HERET GENERASI MUDA KE JALAN YANG SALAH
>> Monday, December 22, 2008
Belakangan ini negara sibuk memperkatakan tentang satu isu yang ditimbulkan oleh sebuah pertubuhan yang tidak berdaftar, Jaringan Rakyat Tertindas atau lebih dikenali dengan JERIT. Namun, bukan itu yang saya ingin perkatakan dalam tulisan saya kali ini. Tetapi ianya mungkin mempunyai sedikit hubung kait dengan isu yang berlaku.
Saya telah berkunjung ke sebuah perpustakaan di Negeri Selangor. Memandangkan pada hari tersebut saya belum lagi melihat isu-isu yang berlaku di dalam akhbar, maka saya mencapai senaskhah akhbar yang terletak di pejuru perpustakaan tersebut. Saya tertarik dengan satu tajuk yang membincangkan tentang hak asasi kanak-kanak. Namun, tulisan saya kali ini bukan untuk memberi respon tentang hak asasi kanak-kanak, ditambah lagi saya bukanlah ahli dalam bidang tersebut. Apa yang ingin saya ketengahkan kali ini adalah berkaitan tentang generasi muda.
Saya memuji sikap penduduk Malaysia yang begitu prihatin terhadap isu yang berlaku. Di dalam ruangan akhbar tersebut, penulis melahirkan rasa kesal beliau terhadap pencabulan hak asasi kanak-kanak. Kanak-kanak disuruh untuk menjual buku dengan tujuan mengutip derma. Bukan sekali, bahkan berkali-kali! Sedangkan kita sedia maklum, masa kanak-kanak merupakan masa yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk diisi dengan ilmu pengetahuan dan sebagainya. Pepatah melayu juga ada menyebut, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tahniah kepada penulis!
Namun, kita jangan terlepas pandang terhadap situasi yang berlaku di kalangan generasi muda kini. Budaya hedonisme semakin menular di kalangan mereka. Bukan itu sahaja, perundangan Islam juga telah diketepikan sebahagian dan di ambil sebahagian. Maka tercetuslah satu istilah ISLAM CAP WIN TI (Islam ketika menguCAP, berkahWIN dan ketika maTI). Mereka tidak diisi dengan pentarbiyahan. Jiwa mereka kosong dari peringatan terhadap hari akhirat. Apa yang mereka tahu, MUDA HANYA SEKALI. Maka melalui istilah inilah mereka mengisi masa muda mereka dengan perkara-perkara yang melalaikan.
Rancangan realiti TV yang semakin banyak, ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan telah menarik ramai generasi muda untuk menyertainya. Dikuatkan lagi dengan sokongan daripada ahli keluarga, terutama ibu bapa telah menyebabkan mereka lupa terhadap matlamat kewujudan mereka di atas muka bumi ini. Dan sekarang ini, rancangan berbentuk reality TV ini bukan sahaja diwujudkan untuk para pemuda, bahkan untuk anak-anak kecil juga telah diwujudkan. Kononnya mereka ingin mencungkil bakat yang terpendam. Budaya hiburan yang berlebihan telah diamalkan oleh masyarakat kita. Saya mengambil satu contoh. Ketika mana ummat Islam sedang sibuk untuk menyambut bulan Ramadhan baru-baru ini, satu konsert yang telah diluluskan oleh pihak kerajaan telah diadakan. Konsert Avril Lavigne telah menghimpunkan begitu ramai pemuda dan pemudi. Apabila pihak Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) mengadakan demonstrasi aman untuk membantah konsert tersebut, mereka dihalang dan diarahkan agar bersurai. Satu keadaan yang amat menyedihkan!
Mungkin ada yang akan berkata, Islam tidak menghalang ummatnya untuk berhibur. Ya! Saya tidak menafikan, di zaman Rasulullah juga ada hiburan. Tetapi, Islam tidak menyuruh ummatnya berlebih-lebihan di dalam perkara yang baik, apatah lagi dalam perkara yang berunsurkan hiburan. Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 190, mafhumnya:
“Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-oarang yang melampaui batas”
Dan Allah lebih menyukai para pemuda yang sanggup menghabiskan masanya untuk mengabdikan diri pada-Nya. Rasulullah S.A.W bersabda, mafhumnya:
“Sesungguhnya Allah sangat kagum pada pemuda yang tidak ada baginya masa muda (untuk bergembira dan bersuka-suka kerana masa mudanya dipenuhi dengan beribadah kepada Allah).”
Namun di zaman yang serba moden ini, bukan sahaja gejala hedonisme yang menular di kalangan generasi muda, bahkan terlalu banyak. Saya telah sebutkan di dalam artikel saya sebelum ini yang bertajuk Oh Pemuda! Soal pendidikan tidak diambil peduli, apa nak jadi, jadilah! Disebabkan itulah, proses pentarbiyahan tidak mendapat tempat. Kerana pendidikan yang ada pada zaman sekarang bukanlah satu bentuk pendidikan yang berlandaskan konsep Islam yang sebenar, akan tetapi pendidikan yang wujud pada hari ini ialah pendiddikan yang berunsurkan sekularime! Pendidikan berunsurkan agama tidak dilaksanakan di sekolah-sekolah. Pendidikan seperti ini hanya sesuai dilaksanakan di masjid-masjid dan surau-surau. Apakah cukup dengan hanya mempelajari mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah? Bagi saya TIDAK! Satu lagi ‘kejayaan’ yang telah dicapai oleh pihak kuffar Laknatullahi ‘alaihim kerana mereka telah berjaya memisahkan agama dari kehiduan manusia!
Satu situasi yang ingin saya kongsikan bersama para ikhwah pembaca budiman. Pada satu malam selepas selesainya satu majlis, saya bergegas ke sebuah lagi majlis perbincangan atau lebih senang untuk saya katakan Halaqah. Di dalam halaqah tersebut, ‘abang’ saya telah menceritakan sebuah pengalaman beliau ketika berkunjung ke Johor Bahru ketika cuti ‘aidil adha yang lepas. Beliau sempat mengamati suasana masyarakat di sana yang penuh dengan cabaran. Beliau juga sempat berkunjung ke Danga Bay pada satu malam. Beliau menceritakan bagaimana situasi yang berlaku, para pemuda dan pemudi berdua-duaan (hakikatnya mereka ditemani Syaitan Laknatullah). Seolah-olah di hadapannya itu terdapat sebuah pesta maksiat. Banyak kereta jika diperhatikan seperti tidak ada sesiapa di dalamnya. Tetapi kereta tersebut bergoncang. Masakan ada jin yang tolong menggoncangkan kereta tersebut..! Inilah situasi yang berlaku di sana. Dalam sebuah keratan akhbar Berita Harian baru-baru ini mengisahkan sebuah rumah yang didiami oleh seorang datuk dan cucunya telah dijadikan ‘port’ untuk melakukan maksiat. Sungguh menyedihkan! Siapakah yang patut disalahkan dalam hal ini?
Satu perkara yang sewajarnya diberi perhatian serius oleh semua pihak, terutama pihak pemerintah negara untuk menjalankan dasar-dasar Islam yang syumul. Jika kita beranggapan konsep Islam yang dijalankan hari ini adalah menyeluruh, maka sewajarnya amar ma’ruf nahi munkar itu seiringan. Tetapi pada hari ini yang dijalankan hanyalah konsep amar ma’ruf. Bila diajak untuk mencegah kemungkaran yang berlaku, maka alasan yang digunakan jangan menjaga tepi kain orang. Selalu saya sebutkan kepada sahabat-sahabat saya,”kalau tepi kain orang tak koyak, tak payah kita kalut dok pi jaga. Tapi sebab koyak yang kita pi jaga, takut anjing mai tokak (gigit)”. Jangan kita tertipu dengan slogan-slogan yang dibawa oleh barat, kononnya inginkan kemajuan dan kemodenan. Maka yang kita akan dapat kemodenan, tetapi hanya kemajuan dan kemodenan lahiriah yang kita dapat, sedangkan kemajuan dari sudut ruhiyah kita terabai.
Jika kita mampu memberi respon yang baik terhadap tindakan menggunakan kanak-kanak dalam operasi JERIT, mengapa kita tidak memberi respon yang lebih baik terhadap penyakit ummat yang kian parah? Kita tidak rela melihat anak-anak kecil dieksploitasi oleh pihak-pihak tertentu yang kononnya bertujuan mengaut keuntungan bagi pihaknya sahaja, akan tetapi relakah kita, redhakah kita melihat generasi muda hari ini dieksploitasi, diperalat dan digunakan oleh pihak musuh untuk menghancurkan Islam itu sendiri? TEPUKLAH DADA, TANYALAH IMAN..!
1 comments:
salam, kurangnya pertarbiahan ataupun kurangnya pendekatan...??
itu satu benda perlu kita fikirkan...uslub utk org yg mmg dah sebati dengan usrah or aktiviti tarbiah secara formal perlu lain dengan org yg baru nak berjinak dan kadang2 mendapati mereka tak sebati dengan aktiviti2 tue...
so, pelbagaikan aktiviti... fikir jgn meminggir...(fikir2kan)
teringat rancangan PILDACIL... itu salah satu usaha mcm mana nk mengusai/ menjalankan pertarbiahan or penyedaran dalam menggunakan medium media... wallahu'alam...
Post a Comment