I made this widget at MyFlashFetish.com.

BUMIKAN CITA-CITA

>> Wednesday, June 3, 2009

Manusia semestinya mempunyai impian, matlamat dan cita-cita. Cita-cita itu pula perlu disertai dengan satu usaha yang memungkinkan kita menggapai apa yang dicita-citakan. Jika ditanya pada anak kecil tentang cita-citanya, mungkin akan dijawab ingin menjadi seorang doktor, jurutera, guru, dan tak kurang juga ingin menjadi seorang ultraman. Jika ditanya pada remaja pula, mungkin sahaja jawapan yang bakal diperoleh ingin memiliki sebuah motosikal berkuasa tinggi, ingin memiliki rumah besar, dan sebagainya. Ini menunjukkan kepada kita bahawa cita-cita itu merupakan satu fitrah yang diciptakan Allah untuk manusia.

Bila ditanya kepada manusia tentang cita-cita, ada yang bercita-cita tinggi menggunung, ada jaga cita-cita yang rendah lebih rendah dari paras bumi. Jika ingin dibandingkan golongan yang bergelar professional dan agamawan, masih belum standing di antara keduanya. Golongan professional begitu optimis dengan dirinya, sehingga mereka sanggup meletakkan satu harapan yang tinggi dan dijadikan motivasi untuk mencapainya. Sedangkan segelintir golongan agamawan merasakan cukup jika kita bergelar ustaz ataupun ustazah tanpa perlu adanya sijil yang menjadi kayu ukur bagi masyarakat sekarang. Mereka ini dididik dengan ideologi cukup makan.

Melihat kepada senario masyarakat hari ini, ada di kalangan kita yang berjaya mendapat apa yang dicita-citakan. Tak kurang juga cita-cita yang bertukar menjadi cerita-cerita kerana tiadanya usaha untuk menggapainya. Sedangkan Allah telah menjanjikan bahawa nasib seseorang itu tidak akan berubah melainkan disertakan usaha untuk mengubahnya. Namun hakikatnya terbatas dengan keizinan Allah.

Suri Teladan

Penulis berkesempatan membaca sebuah buku yang berjudul “Belajar Dari Dua Umar”. Di dalam buku tersebut terdapat satu tajuk kecil yang bertajuk ‘Membumikan Cita-Cita’. Penulis tertarik dengan tajuk tersebut dan terus membacanya.

Tajuk tersebut mengisahkan bagaimana persediaan kaum muslimin yang akan berhadapan dengan tentera Ahzab. Cadangan yang dikemukakan oleh Salman Al-Farisi supaya tentera Islam menggali parit untuk dijadikan sebagai kubu pertahanan telah diterima Rasulullah serta para sahabat yang lain. Perlaksanaan diteruskan seperti yang dirancang dan dicadangkan.

Sedang tentera Islam menggali parit, Allah telah memberi satu cabaran kepada tentera Islam dengan wujudnya sebuah batu besar di tengah-tengah kawasan penggalian. Para sahabat cuba untuk memecahkan batu tersebut dengan apa sahaja cara yang mampu dilakukan tetapi batu itu tetap tidak pecah. Lantas, Rasulullah S.A.W datang sambil membawa sebilah beliung. Setelah membaca Basmalah, Baginda menghentamkan pukulan pertama. “Allahu Akbar! Aku diberi kunci pembuka negeri Syam. Demi Allah, aku melihat istananya merah”, ujar Rasulullah s.a.w begitu melihat percikan sinar menyala akibat kuatnya pukulan Baginda.

Lalu Rasulullah s.a.w memukul buat kali kedua. “Allahu Akbar! Aku diberi negeri Parsi. Demi Allah, aku melihat istananya putih,” ujar Baginda. Lalu Rasulullah memukul buat kali ketiga. “Allahu Akbar! Aku diberi kunci negeri Yaman. Demi Allah, aku benar-benar melihat pintu-pintu Shan’a dari tempatku ini. Aku diberitahu Jibril, bahawa umatku akan menguasai semuanya. Sampaikan berita ini kepada yang lain”, ujar Rasulullah s.a.w kepada para sahabat.

Dalam siri Hadis yang lain, Rasulullah pernah bersabda bahawa Kota Konstantinopel itu akan dibuka oleh seorang lelaki yang memiliki sifat kepimpinan yang terbaik pada serta mempunyai kekuatan tentera yang terbaik. Para sahabat begitu teruja dengan apa yang disampaikan oleh Baginda S.A.W. bermula dari zaman Khalifah Umar siri pembukaan mula dijalankan. Akhirnya, kota tersebut berjaya dibuka pada zaman Sultan Muhammad al-Fath.

Berpijak Di Bumi Yang Nyata

Merujuk kisah-kisah yang dibentangkan, sudah tentu dan pasti Rasulullah S.A.W menganjurkan ummatnya memiliki cita-cita yang tinggi. Rasulullah bukan sekadar melaungkan slogan, tetapi setiap yang diungkapkan itu disertai dengan tindakan susulan. Lihat sahaja bagaiman tarbiyyah yang dilaksanakan Rasulullah telah melahirkan sebuah generasi yang hebat hinggakan tidak ada generasi yang setanding dengannya setelah berlalunya tiga kurun.

Cita-cita yang diwariskan berbekas di dalam sanubari mu’min. Bermula dari situlah berlakunya proses kaderisasi yang panjang. Zaman pembukaan mula terbentuk pada era pemerintahan Khalifah Umar. Berbekalkan keyakinan yang teguh kepada Allah, meyakini janji Rasulullah merupakan bekalan yang cukup untuk melaksanakan cita-cita tersebut.

Dalam mewujudkan cita-cita tersebut, seharusnya berpijak di bumi yang nyata. Perkara yang dicita-citakan perlulah disusuli dengan usaha. Mana mungkin Islam mampu menawan Rom dan Parsi sekiranya kerja menggali parit untuk mengahalang tentera Ahzab tidak dilaksanakan!

Untuk mencapai cita-cita, perlu berhadapan dengan rintangan. Lihat sahaja bagaimana Rasulullah dan kaum muslimin ditertawakan pihak munafik yang enggan bekerjasama. Namun, langkah konkrit mereka tetap membumi. Inilah yang perlu diteladani umat Islam di zaman ini. Bukan lagi hanya sekadar mempunyai cita-cita yang cukup makan, ataupun angan-angan mat jenin!

0 comments:

Post a Comment

Our Blogger Templates Web Design

Kepada sesiapa yang ingin mengambil bahan dari blog ini, pihak kami mengalu-alukannya. Sebarkan bahan ini dengan sebaiknya untuk faedah dan kepentingan bersama. Syukran

NASYID FM

Sila download

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP