I made this widget at MyFlashFetish.com.

HARAMKAH BERDEMONSTRASI MEMBANTAH KEZALIMAN?

>> Thursday, July 30, 2009

Akhbar Berita Harian edisi 30 Julai 2009 melaporkan satu kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Timbalan Menteri JPM menyatakan haram menganjur dan menyertai demonstrasi jalanan. Keputusan ini dikeluarkan berikutan tindakan yang bakal diambil oleh GMI dan pihak yang lain termasuk mahasiswa untuk mengadakan demonstrasi aman mendesak Kerajaan Malaysia memansuhkan Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA). Media menyatakan keputusan ini dikeluarkan hasil daripada kata sepakat sebahagian mufti dan ulama’ yang tidak bersetuju dengan tindakan berdemonstrasi. Media juga memaklumkan bahawa pihak Kerajaan sedang menimbang keputusan mengenai akta tersebut.

RESPON

Hati ini berasa kurang selesa apabila kenyataan ini dikeluarkan atas nama ulama’. Institusi ulama’ merupakan institusi yang amat dihormati oleh segenap lapisan masyarakat. Tidak kira tua atau muda, miskin atau kaya, kecil mahupun besar semuanya menghormati institusi yang dilihat sebagai pembela kepada umat Islam. Secara peribadi saya begitu kurang bersetuju jika kita terus meletakkan hukum HARAM berdemonstrasi.

Jika berdemonstrasi hukumnya haram, menjadi satu persoalan dalam benak fikiran. Adakah akta ISA (Ikut Suka Aku) yang diwujudkan hari ini HALAL hukumnya? Apakah terdapat nas daripada Al-Quran mahupun Hadis yang membenarkan akta ini? Sepanjang saya hidup di atas muka bumi ini, belum pernah saya mendengar satu nas yang menyokong akta ini. Saya bukanlah seorang yang faqih seperti Dato’ Timbalan Menteri mahupun seperti para ulama’ yang lain, tetapi pada hemat saya sebagai seorang penuntut ilmu dan masih berada di atas landasan ilmu, saya mengira bahawa tindakan mengharamkan rakyat menyuarakan bantahan adalah kurang tepat dan sama sekali TIDAK TEPAT.

Walaupun banyak pihak telah menyatakan ISA ini sudah tidak tidak relevan dan perlu dimansuhkan, namun pihak kerajaan masih enggan memansuhkannya dan mengambil keputusan untuk mengkaji lagi tentang akta yang disifatkan sebagai menzalimi hak asasi manusia. Sedari saya mula mengenali siapa itu UMNO dan siapa itu PAS, saya telah pun didedahkan tentang akta ISA yang menindas. Dan sehingga tika dan saat ini, belum pernah saya mendengar para ilmuan Islam, golongan cerdik pandai yang menyokong perjuangan UMNO mengeluarkan satu pendapat ataupun fatwa mengatakan bahawasanya ISA itu haram. Sebaliknya, yang ditimbulkan ialah soal yang terdapat khilaf di dalamnya seperti isu Dato’ Seri Nizar memegang lilin. Saya bukanlah ahli politik dan suka untuk saya ingatkan bahawa saya aadalah seorang penuntut. Saya menyuarakan pandangan ini di atas dasar ilmu dan keadilan yang diinginkan oleh setiap manusia.

Saya tidak terpengaruh dengan mana-mana ideologi, tetapi saya menilai dari sudut kebenaran. Melihat pada akta yang telah sekian lama diwujudkan. Pada mulanya akta ini digunakan untuk menyekat kemaraan pihak komunis yang semakin. Tetapi, kini akta ini telah digunakan sebaliknya. Akta ini secara jelas telah digunakan oleh sang penguasa untuk MENZALIMI rakyatnya. Akta ini seolah-olah ditetapkan tugasnya seperti “Malakul Maut @ ‘Izrail”. Sejenak teringat akan kisah ketika Rasulullah S.A.W hampir dipanggil menghadap Kekasih Baginda. Datang seorang lelaki ke rumah Baginda. Fatimah yang melihat lelaki itu berasa seram kesejukan. Dikhabarkan oleh Fatimah kepada Baginda Rasulullah akan kehadiran lelaki asing tersebut. Rasulullah mengkhabarkan itulah Malakul Maut yang akan memisahkan nikmat kehidupan dunia, memisahkan dua manusia yang saling mengasihi. Maka, seperti itulah akta ISA yang ingin ‘mematikan’ manusia yang tidak dapat dibuktikan kesalahannya. Cuma yang membezakannya ialah, ‘kematian’ yang dicipta ISA ini merupakan ‘kematian’ yang diputuskan oleh seorang menteri terhadap rakyatnya.

Amat memeritkan apabila akta ini digunakan untuk memisahkan kasih sayang seorang suami terhadap isterinya, seorang bapa terhadap anaknya, seorang anak terhadap bapanya. Contoh mudah yang dapat kita ambil ialah Mat Sah Satray. Setelah sekian lama meringkuk dalam tahanan tanpa bicara, beliau masih juga belum dibebaskan. Berbahaya sangatkah Mat Sah Satray terhadap negara sehingga beliau dihukum sebegitu rupa? Begitu juga nasib yang menimpa syuhada’ agung Memali, almarhum Ustaz Ibrahim Libya. Walaupun beliau tidak berjaya ditahan (hasrat kerajaan ingin meng-ISA-kan almarhum), tetapi mereka berjaya membunuh almarhum. Pada hakikatnya, beliau terus hidup di sisi Allah Tuhannya. Saya pernah berkesempatan mengunjungi isteri almarhum. Dikisahkan kepada kami, mana-mana mufti atau ulama’ yang mengeluarkan fatwa Ustaz Ibrahim Libya sebagai syahid dan tidak mengisytiharkan beliau sebagai bughah (penderhaka) maka akan dikenakan tindakan. Dan antara yang bertegas dengan keputusan mengatakan Ustaz Ibrahim Libya bukan seorang penderhaka ialah almarhum Tuan Guru Hj Omar Zuhdi yang ketika itu menjadi ahli majlis fatwa negeri Kedah. Dikhabarkan juga kepada kami Tn Guru juga disingkirkan daripada menjadi ahli majlis fatwa negeri. Hanya kerana tidak mengikut kata-kata pemerintah yang zalim, maka hukuman dikenakan. Bukankah ini disebut sebagai ZALIM DAN MENINDAS?

Saya tetap mengatakan bahawa ISA itu HARAM hukumnya. Akta ini bersifat draconian. Tentu sekali kita semua pernah melihat ataupun mendengar kisah pontianak berbangsa Inggeris yang ditakuti oleh penduduk barat yang dipanggil DRACULA. Maka, ini jugalah ISA. Akta yang bertindak ‘menghisap darah’ rakyat yang tidak berdosa. Apabila dirasakan nafsu mendarahnya tiba, maka ia tidak lagi kenal siapa pun mangsa yang bakal diterkamnya. Bukankah ini disebut sebagai zalim? Meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya, ZALIM. Dan ZALIM bagi pihak pemerintah apabila MENINDAS rakyat yang lemah. Mereka ini sengaja mencampakkan diri mereka ke dalam kebinasaan. Saya masih ingat kata-kata seorang pemimpin negara kita. Beliau mengatakan bahawa Al-Quran dan Sunnah sentiasa dijadikan panduan dalm pemerintahan. Mulut manusia hanya pandai berkata-kata, tetapi akal manusia amat lemah sekali untuk memahami apa yang diperkatakan. Bukankah Allah telah memberi ancaman di dalam Al-Quran, barangsiapa yang tidak menghukum dengan ketetapan yang telah diturunkan oleh Allah maka kaum tersebut disifatkan sebagai kaum yang zalim? Dan Allah juga TIDAK MENYUKAI orang yang ZALIM!

Firman Allah di dalam Surah An-Nisa’, juzu’ kelima, ayat 58-59, mafhumnya:

“Sungguh, Allah menyuruhmu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia hendaknya kamu menetapkannya dengan adil. Sungguh, Allah sebaik-beik yang memberi pengajaran kepadamu. Sungguh, Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Muhammad), dan ulil amri (pemegang kekuasaan; selagi mana dia berpegang dengan Kitab Allah dan Sunnah Rasul) di antara kamu. Kemudian, jika kamu berbeza pendapat tentang seusatu, maka kembalikanlah kepada Allah dan Rasul, jika kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Yang demikian itu, lebih utama bagimu dan lebih baik akibatnya.”

Firman Allah di dalam Surah An-Nahl, juzu’ empat belas, ayat 90, mafhumnya:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi bantuan kepada kerabat, dan Dia melarang (melakukan) perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.”

Persoalannya, terlaksanakah ia? Jika membantah kezaliman itu dikatakan HARAM kerana menggunakan hujah Islam melarang ataupun demonstrasi bukan budaya yang direstui, maka adakah ISA (Ikut Suka Aku) juga tidak HARAM? Jika ditanya kepada mereka yang mendapat pangkat “D” dalam subjek Pandidikan Islam, adakah kezaliman itu haram, nescaya mereka juga akan mengatakan ya!
Saya melihat, para pencinta keadilan ini bukanlah berniat untuk menimbulkan kekecohan. Demonstrasi yang ingin dibuat hanyalah semata-mata menyahut seruan Rasulullah yang menyuruh kita mencegah kemungkaran. Dan mencegah dengan hati itu adalah selemah-lemah iman. Maka berdemonstrasi ini adalah salah satu wasilah mencegah dengan hati, kerana rakyat tak punya kuasa untuk mengubah selain dari menyatakan suara hati membantah kezaliman. Dan pencinta keadilan juga bersemangat menyahut seruan Baginda, melaksanakan jihad yang afdhal iaitu BERKATA BENAR DI HADAPAN PENGAUASA YANG ZALIM!

Maka, dimanakah relevannya hukum HARAM diletakkan pada situasi ini?

Sekitar Sirah

Umum mengetahui, Rasulullah adalah qudwah hasanah (bahasa moden role-model) untuk setiap lapisan masyrakat. Terlalu banyak kisah teladan yang Rasulullah bawakan kepada ummat Baginda. Tetapi cukup saya rasakan jika kita memetik Rasulullah sebagai seorang pemimpin.

Beberapa siri peperangan yang disertai Rasulullah. Ada di kalangan pemimpin musyrikin ini yang terbunuh. Ada juga yang ditawan. Apa yang menarik, Rasulullah tidaklah sampai meng-ISA-kan pemimpin musyrikin ini. Jika dilihat perlu untuk dihukum, maka hukuman dijatuhkan. Jika dilihat perlu dibebaskan, maka dibebaskan. Tidak pernah disebut di dalam mana-mana manhaj Sirah Nabawiyyah Rasulullah menawan pihak musyrikin sehingga bertahun-tahun.

Rasulullah juga tidak bertindak memusuhi Abu Sufian, bahkan Baginda memuliakan ketika peristiwa Futuh Makkah. Sedangkan Abu Sufyan sebelum itu merupakan penentang Islam yang tegar, bahkan beliau merupakan salah seorang pemuka musyrikin di era jahiliyyah sebelum menerima Islam. Rasulullah tidak pula menawan sesiapa ketika peristiwa Futuh Makkah. Disebabkan hal inilah, ramai di kalangan musyrikin Mekah tertarik dengan seruan Islam.

Guatanamo Malaysia

Dalam kenyataan akhbar hari ini, Dato’ Timbalan Menteri meminta agar rakyat memberi masa kepada kerajaan untuk mengkaji semula akta ISA. Sewajarnya tidak ada pertimbangan yang harus dilakukan melainkan memansuhkan serta-merta akta yang zalim dan menindas itu. Ketika Barrack Obama dinobatkan sebagai Presiden Amerika Syarikat yang baru, semua pihak mendesak agar beliau menutup penjara Guatanamo yang dilihat menzalimi penghuninya. Mungkin tidak keterlaluan jika saya mengatakan bahawa akta ISA ini persis Guatanamo. Cumanya ia tidaklah sekejam Guatanamo dari segi penderaan fizikal. Mungkin!

Saya sempat membaca sisipan akhbar Harakah sebelum menulis isu ini. Diceritakan bagaimana penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh Dr.Burhanuddin al-Helmy ketiak berada di bawah tahanan ISA. Pernah hingga satu ketika beliau dihalang daripada membuang air kecil sehinggalah urusannya bersama orang yang ingin melawatnya selesai. Hal ini telah mengakibatkan beliau mengalami kesulitan membuang air kecil, dan penyakit ini telah menjadi asbab kepada kematian beliau.

Isu Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika dipecat daripada jawatan TPM pada tahun 1998 mungkin masih segar di ingatan. Beliau ditahan di bawah akta ISA. Disabitkan dengan pelbagai tuduhan. Namun akhirnya pada tahun 2006, tidak ada satu pun yang dibuktikan dengan benar lagi sahih. Sedangkan beliau telah disiksa dengan sebegitu kejam. Bayangkan kudrat seorang yang semakin meningkat usianya, mana mungkin beliau memiliki sejumlah tenaga yang kuat untuk mempertahankan dirinya (kalau ada pun belum tentu).

Itu baru penderaan fizikal. Belum lagi dikira penderaan mental. Bayangkan sahaja anak Tuan Guru Nik Abdul Aziz ditahan sekian lama di KEMTA. Beliau ditahan kerana dituduh cuba mewujudkan budaya keganasan. Dan penangkapan beliau dibuat ketika beliau masih lagi menuntut di luat negara. Beliau hanya ingin membantu mempertahankan maruah saudara seagamanya di Afghanistan, itu pun dikira sebagai pengganas! Sehingga ada yang bertindak biadab melabel beliau sebagai tokoh keganasan di bumi Malaysia. Sungguh tidak bertanggungjawab! Bayangkan sahaja perasaan anak-anak Ustaz Nik Adli ketika melihat saudara-saudara mereka, sahaba-sahabat sepermainan mereka mampu mengecapi nikmat kasih sayang seorang ayah. Sedangkan mereka? Itu belum lagi dikira perasaan isteri beliau, bonda beliau serta ayahanda beliau!

Maka tidaklah keterlaluan jika saya sifatkan akta ini persis Guatanamo. Ataupun mudah untuk dikatakan Guatanamo Malaysia!

Penutup

Saya ingin menegaskan, saya bukanlah seorang ahli politik yang mempunyai kepentingan karier politik tersendiri. Dan saya bukanlah seorang ‘alim yang mampu mengeluarkan hukum berdasarkan ijtihad. Tetapi saya hanyalah tidak lebih daripada seorang penuntut! Saya menulis berdasarkan penilaian, yang manakah benar dan yang manakah salah. Jika ingin diletakkan fakta, rasanya sudah cukup YB Saari Sungip sahaja mengeluarkan fakta mengapa ISA mesti bahkan wajib dimansuhkan.

Jangan sampai di akhirat nanti, para penyokong ISA ini berkata di hadapan Allah, “Ya Allah, mereka inilah yang memimpin ke arah jalan yang Engkau murkai, maka gandakanlah azab ke atas mereka.” Maka ketika itu tidak ada penyesalan lagi, kerana Allah telah memberi akal dan hati untuk memahami ayat-Nya, telinga untuk mendengar peringatan-Nya dan mata untuk melihat kesan daripada azab Allah ke atas hamba-Nya yang ingkar. Jangan sampai kita menjadi al-an’am bahkan lebih teruk daripada itu!

Berpandukan hadis Baginda Nabi, seafdhal-afdhal jihad adalah bercakap tentang sesuatu yang benar di hadapan penguasa yang zalim. Inilah pegangan saya. Dan saya amat berharap, suara rakyat didengari oleh pucuk pimpinan negara, berdasarkan konsep yang sering dilaungkan kerajaan iaitu 1 MALAYSIA; RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN!

0 comments:

Post a Comment

Our Blogger Templates Web Design

Kepada sesiapa yang ingin mengambil bahan dari blog ini, pihak kami mengalu-alukannya. Sebarkan bahan ini dengan sebaiknya untuk faedah dan kepentingan bersama. Syukran

NASYID FM

Sila download

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP