SUBJEK SEJARAH DI DALAM UPSR
>> Wednesday, July 22, 2009
Harian Metro edisi Isnin bertarikh 20 Julai 2009 melaporkan, Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri telah mencadangkan untuk memasukkan subjek Sejarah sebagai subjek tambahan di dalam UPSR. Cadangan ini dikemukakan setelah mendapat cadangan untuk memansuhkan UPSR kerana dinampak tidak lagi relevan dalam sistem pembelajaran sekarang. Cadangan ini dikemukakan oleh Dato’ Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang merasakan system UPSR sekrang seperti platform bagi pelajar sekolah rendah bersaing untuk mendapatkan sekolah berasrama penuh. Selain itu, TPM juga menyatakan hal ini bertujuan mengelakkan system pendidikan sekarang nampak seperti berorientasikan peperiksaan.
Respon
Cadangan yang menarik tetapi bagi saya ada keutamaan yang perlu diutamakan. Sejarah perlu diselarikan dengan system Pendidikan Islam yang sempurna. Dan melalui beberapa bancian yang saya lakukan, ternyata kebanyakan respon lebih bersetuju jika Pendidikan Islam di”upsr”kan. Malah, pada hemat saya sejarah hari ini tidak mampu melahirkan pemuda-pemuda berjiwa kental melawan musuh yang semakin mengganas. Sejarah hari ini hanya sekadar di atas kertas tetapi tidak ada penghayatan. Bagi saya, adalah lebih perlu untuk mengutamakan Pendidikan Islam walaupun pada hakikatnya kesemua yang diajar hari ini hanyalah berorientasikan peperiksaan, bukannya ke arah membina sebuah masyarakat yang mampu memiliki semangat juang yang tinggi.
Apa alasan saya untuk kenyataan ini?
Pertama, melihat kepada masalah kebejatan akhlak serta gejala sosial yang sedang melanda anak muda sekarang. Saya pernah melakukan bancian di beberapa tempat. Soalan saya berkisarkan tentang masalah gejala sosial yang melanda masyarakat muda khususnya di negara ini. Kebanyakan respon yang saya perolehi mengatakan punca berlakunya masalah ini kerana tidak ada penerapan nilai-nilai agama yang kukuh. Seharusnya di peringkat inilah nilai-nilai Islam perlu diterapkan. Subjek Pendidikan Islam di negara ini bukan hanya dijadikan subjek pilihan, bahkan ianya hanya dipandang sebelah mata oleh kebanyakan manusia. Sedangkan, kalaupun tidak menjadi seperti tuan-tuan guru sekurang-kurangnya mereka tahu batasan halal dan haram. Ini kerana subjek ini berkisarkan nas dari Al-Quran dan Hadith.
Melihat kepada statistik jenayah negara, populasi yang mendahului ialah para remaja. Kes seperti rogol, ragut, pecah rumah dan dadah merupakan kes yang didominasi oleh golongan belia remaja. Puncanya, tidak ada penerapan nilai-nilai Islam secara serius menyebabkan mereka tidak tahu untuk apa mereka dihidupkan dan ke mana arah tuju mereka selepas ini. Perkara ini dibentangkan di dalam sebuah kongres yang dianjur oleh pihak GAMIS. Dan saya juga mendapat respon daripada sahabat saya yang pernah menadi tenaga pengajar di kelas pengajian fardhu ‘ain (KAFA) yang menyatakan kebanyakan pelajar sekolah hari ini tidak meminati subjek Pendidikan Islam. Ini kerana tidak ada penekanan khususnya daripada pihak kerajaan. Jika keadaan ini berlanjutan, nescaya gejala sosial di negara kita tidak dapat dibasmi.
Alasan kedua saya, adakah subjek sejarah hari ini benar-benar sejarah yang ditinggalkan dahulu? Subjek sejarah yang sedia ada hari ini bukanlah sejarah yang tulen. Tetapi, sejarah yang ada pada hari ini telah diputar belitkan oleh pihak tertentu. Sejarah hari ini telah mengangkat satu golongan dan dalam masa yang sama juga telah melupakan satu lagi golongan. Peranan ulama’ dalam membebaskan negara daripada pihak penjajah yang bersekongkol dengan gerakan orientalis tidak disebut dalam pembelajaran. Hal ini akan menyebabkan para pelajar menjadi ‘buta sejarah’ dan hanya belajar sejarah secara membuta tuli. Sedangkan konsep pendidikan yang sebenarnya ialah memanusiakan manusia.
Memang benar ungkapan yang dinukilkan daripada seorang cendekiawan barat, bahawa mereka yang tidak mempelajari sejarah bakal mengulangi kesilapan yang lalu. Namun, harus kita ambil perhatian. Sekiranya penerapan agama tidak didahulukan, bagaimana kita akan bertindak di atas lunas-lunas Islam seperti yang telah ditetapkan?
Alasan saya yang ketiga, subjek sejarah yang ada pada hari ini merupakan doktrinisasi awal pihak orientalis bagi tujuan menyesatkan lebih ramai pemuda. Berbetulan dalam hal ini, saya baru sahaja menamatkan bacaan tentang gerakan orientalisme. Secara faktanya, orientalis telah pun melakukan kajian terhadap dasar ilmu yang dimiliki oleh umat Islam. Lantaran itu, mereka telah menggunakan pendekatan mengolah system pendidikan yang meminggirkan peranan Islam dan ulama’ dalam mencorak kehidupan manusia.
Mereka menanamkan rasa benci terhadap jihad menegakkan Islam atas alasan Islam menganjurkan keganasan. Selain itu, mereka juga berhasrat untuk memecah-belahkan kesatuan umat Islam. Dan jika dilihat silibus sejarah yang ada pada hari ini, para ulama’ yang bertungkus-lumus berusaha membebaskan negara daripada penjajah orientalis tidak dimasukkan di dalam silibus. Pihak orientalis yang membawa slogan mengeluarkan manusia daripada kegelapan (Islam) kepada cahaya (jahiliyyah) terus diagung-agungkan oleh semua pihak.
Selain itu, jika dilihat kepada subjek sejarah yang dipelajari hari ini, pelajar-pelajar lebih banyak diterapkan konsep nasionalisme yang merupakan jarum halus yang telah digunakan oleh pihak orientalis untuk meruntuhkan system Khilafah Islamiyyah yang pernah wujud suatu ketika dahulu. Buktinya, beberapa orang orientalis telah meniupkan slogan kebangsaan untuk rakyat Mesir bertujuan menunjukkan pemberontakan terhadap Khalifah ketika itu. Mesir hanya untuk orang Mesir. Itulah slogan yang menjadi api pencetus pemberontakan terhadap Khalifah Umat Islam ketika itu.
Berdasarkan hasil perbincangan yang sempat dilakukan, bukanlah bermakna subjek ini tidak relevan untuk dimasukkan ke dalam system UPSR, namun adalah lebih penting untuk mengutamakan subjek Pendidikan Islam terlebih dahulu. Subjek sejarah boleh diterapkan supaya masyarakat terutamanya golongan belia tidak mengulangi kesilapan yang sama dengan syarat perlulah dilakukan transformasi iaitu mengembalikan sejarah yang asal, bukannya memperkenalkan sejarah yang telah diputar belitkan. Dengan ini, generasi yang bakal dilahirkan bukanlah generasi yang buta sejarah dan hanya mempelajari sejarah dengan membuta tuli.
0 comments:
Post a Comment