I made this widget at MyFlashFetish.com.

SESUATU YANG BESAR, BERMULA DARI YANG KECIL

>> Monday, September 7, 2009

30 Ogos yang lalu, saya telah diajak oleh seorang sahabat dari Pusat Asasi UIA PJ untuk menemaninya berdiskusi. Sahabat saya ini pernah menuntut di Darul Quran JAKIM dalam program persijilan. Sekarang sudah bergelar al-hafiz. Saya menerima perlawaan itu dengan senang hati memandangkan saya dalam perjalanan pulang dari PJ ke Kuala Kubu Bharu. Diskusi yang bertempat di KL Central bertajuk “Ke Arah Merealisasikan Inqilabiyah”.

Alhamdulillah, diskusi tersebut berjalan dengan lancar. Turut hadir di dalam diskusi tersebut ialah akh MarBu, akh Asyraf, akh Azam dan akh Ikram. Segan pada mulanya, memandangkan yang hadir ke diskusi merupakan orang-orang yang berfikiran luas serta mempunyai tahap pemikiran yang tinggi. Saya tidak bercadang untuk mengemukakan pandangan, tetapi setelah ‘dipaksa’ oleh sahabat (MarBu) saya menjadi malu alah.

MarBu telah menerangkan tentang dua golongan yang sedang mencuba untuk menguasai tampuk pemerintahan, iaitu golongan kapitalisme dan sosialisme. Beliau telah member gambaran tentang situasi di antara dua golongan ini bermula dari zaman Rasulullah, terus ke pasca Merdeka dan sehingga kini. Beliau juga menerangkan tentang tahalluf yang dilakukan oleh pihak Islam dengan mereka yang mempunyai perkara yang ittifaq dengan Islam. Saya tidak bercadang untuk menghurai perbahasan ini kerana mungkin saudara MarBu akan menerangkannya di dalam lamannya sendiri.

Saudara Ikram menyatakan hujah pemerkasaan ilmu yang perlu dilakukan dari peringkat akar umbi. Di samping itu beliau turut menyentuh tentang pandangan Tn Guru Syeikh Muhammad Nuruddin mengenai golongan yang perlu bersatu di Malaysia ini bagi tujuan memenangkan Islam.

Di akhir sesi, saya diminta untuk memberikan pandangan. Terasa kerdil, ditambah lagi dengan tidak bersedia kerana saya diajak teman, bukan berbincang. Bagi memenuhi hajat saudara semuslim, saya tetap memberikan pandangan yang ala kadar. Saya bercakap mengenai pemerkasaan gerakan pelajar di peringkat menengah (yang dimaksudkan gerakan Tarbiyyah). Melihat kepada situasi hari ini, saya melihat terlalu penting untuk kita memperkasakan semula gerakan pelajar bermula di peringkat menengah lagi, di samping tidak meninggalkan pemerkasaan di peringkat mahasiswa.

Merujuk kepada situasi politik negara pada hari ini cukup membimbangkan. Setelah berakhirnya PRU ke-12, kita melihat Barisan Nasional masih kekal sebagai pemerintah dan Pakatan Rakyat yang diwakili PAS, PKR dan DAP telah berjaya menawan 4 buah negeri di samping berjaya mengekalkan Kelantan yang berada di bawah naungan PAS sejak tahun 1990. Satu perubahan telah dibuat oleh para pengundi. Namun, pada Februari 2009 kita telah menyaksikan satu rampasan kuasa telah berlaku di negeri Perak. Kronologi yang membawa kepada rampasan kuasa tersebut amat menjijikkan.

Saya tidak bercadang untuk mengulas isu-isu politik yang berlaku. Tetapi apa yang saya ingin gambarkan, kemenangan yang dikecapi pada hari ini bukan kemenangan yang berasal dari persediaan yang cukup. Seorang ulama’ yang terlibat dalam gerakan untuk memartabatkan Islam telah berkata bahawa pengisian terhadap kemenangan ini perlu diperhebatkan. Saya masih ingat, ketika saya aktivis untuk gerakan pelajar di Kedah, bagaimana pembangkang ketika itu (kerajaan sekarang) giat melaksanakan usaha untuk mendapatkan kemenangan. Dan saya yakin usaha itu masih berterusan sehingga kini dalm misi mempertahankan kemenangan.

Namun, isu yang ingin saya bawakan sekarang ialah pemerkasaan pengisian dengan memperkasakan gerakan di peringkat menengah. Sudah tentu kita sering mendengar pepatah yang menyebut “sikit-sikit, lama-lama jadi bukit”. Pepatah ini selalunya sinonim dengan amalan menabung. Namun, saya ingin mengaitkannya dengan pemerkasaan di peringkat akar umbi. Saya melihat gerakan di peringkat ini seperti tidak dipedulikan oleh banyak pihak. Kita lebih banyak menumpukan bagaimana untuk memperkasakan mahasiswa. Saya tidak mengatakan itu salah. Tetapi satu usaha perlu dilakukan untuk memastikan satu bentuk pemahaman yang jelas telah ditanam di peringkat dasar.

Maksud saya di sini, sesuatu yang besar berasal dari sesuatu yang kecil. Ini teori kimia yang diterangkan oleh saudara Afifi. Gerakan mahasiswa itu luas, dan peranannya dalam melahirkan pejuang yang ingin memartabatkan Islam adalah luas. Apa yang sering berlaku, tamat sahaja alam kampus, tidak ada sumbangan yang diberikan untuk gerakan Islam. Mengapa ini berlaku? Mungkin juga boleh dikatakan pemahaman yang tidak jelas, ataupun sudah jelas tapi buat-buat tak jelas. Na’uzubillah. Satu kerugian yang telah berlaku.

Dan jika diteliti pilihan raya kecil Manek Urai, pihak BN banyak mengeksploitasi anak-anak muda sehingga menyumbang kepada merosotnya majoriti undi. Jika pemerkasaan tarbiyyah dilakukan di peringkat menengah lagi, Insya Allah mungkin peratusan golongan yang mudah dieksploitasi ini kurang. Lihat bagaimana Rasulullah menerapkan elemen iman dan taqwa ke dalam diri pemuda di zaman tersebut sehingga melahirkan kader-kader yang tidak goyah dan tidak mudah terpengaruh apabila berhadapan dengan nikmat dunia. Golongan seperti inilah yang sering kita impikan.

Kalaulah gejala ini (tidak menyumbang tenaga setelah tamat pengajian) turut berlaku bagi mereka yang mempunyai latar pendidikan yang tinggi, apatah lagi anak-anak muda yang tidak mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Usaha ini tidak boleh dipandang enteng kerana saya amat yakin ia banyak membantu untuk proses kaderisasi yang lebih efektif di peringkat yang lebih tinggi.

Sekian

Ikhwan Hafiz
12 Ramadhan 1430
Selangor

0 comments:

Post a Comment

Our Blogger Templates Web Design

Kepada sesiapa yang ingin mengambil bahan dari blog ini, pihak kami mengalu-alukannya. Sebarkan bahan ini dengan sebaiknya untuk faedah dan kepentingan bersama. Syukran

NASYID FM

Sila download

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP