KISAH RINDU (1)
>> Saturday, January 9, 2010
Hampir sebulan aku dilanda rasa rindu yang amat sangat. Entahlah, tiba-tiba sahaja perasaan itu singgah kala diri ini sedang disibukkan oleh bebanan yang akan dijawab di hadapan Allah kelak. Aku mula mengenalinya sejak tahun 1998, umurku ketika itu baru 8 tahun. Pertemuan yang terancang itu belum mendatangkan apa-apa perasaan. Cuma azamku ketika itu untuk bertemunya lagi, tapi entah bila.
Tahun 2003 menjelma. Rasa syukur aku panjatkan kepada Allah. Akhirnya kami bertemu jua setelah berpisah sekian lama. Namun aku tidak pasti, berapa lamakah masa untuk kami bersama. Namun aku cuba untuk menggunakan kesempatan yang terhidang ini sebaik mungkin. Walaupun umurku ketika itu baru mencecah belasan tahun. Seawal usia ini telah pun ku ketahui pepatah “tak kenal maka tak cinta”. Aku menyimpan azam untuk mengenalnya sedalam yang mungkin.
Memori Itu…
Aku lalui hari pertamaku dengan penuh rasa gembira. Program usbu’ at-taakhi wa ath-thaqafi (minggu suai kenal) ku tempuhi dengan mudah deminya. Azamku tidak pernah pudar untuk mengenalinya dari masa ke semasa. Maka setiap pagi kami akan mendendangkan nasyid “Ya Maahadan”.
Tahun 2003 aku cuba tempuhi dengan hati yang tabah, beserta iringan doa agar jodoh kami berkekalan. Kelas 1 Ikhlas telah menemukanku dengan sahabat-sahabat seperjuangan yang kini berada saru saff bersamaku.
Aku melihat sahabat-sahabatku semuanya mahir dalam bahasa arab. Namun aku ketika itu hanya tahu wahid (satu), ithnani (dua), thalatha (tiga, ra’sun (kepala), sya’run (rambut), hajibun (bulu kening) hasil dari pembelajaranku semasa di PASTI seawall usia enam tahun.
“Ya Allah, malunya aku,” aku bermonolog sendirian.
Aku gagahi jua, demi menyahut seruan jihad ilmu (tak tau lagi waktu tu). Ustazah Zuriati, Ustaz Husin Jusoh, Ustaz Khairul Asyraf antara guru yang membimbingku. Paling tidak ku lupa Cikgu Akmal Putri Fauzaman yang akhirnya menjadi pemangkin semangat untuk kami terus berjuang. Semuanya demi ilmu.
Pernah aku dilontar satu soalan. “Nak jadi apa besaq nanti?” soal emak saudaraku.
“Abang cik nak jadi al-hafiz,” jawabku. Padahal aku sendiri tak tahu apa itu al-hafiz.
Hafaz Quran
Aku diperkenalkan dengan satu system pendidikan berbentuk hafalan. Setiap dari kalangan kami perlu habiskan muqarrar (silibus) yang telah ditetapkan. Untuk tingkatan satu ketika itu perlu habiskan Juzu’ ‘Amma. Kini adik-adikku hanya perlu habiskan surah An-Naba’ dan An-Nazi’at.
Terasa benar kerugian bagi pihak mereka.
Aku berasa terhibur. Ditambah pula di asrama juga dijalankan kelas hafazan. Sempat juga aku menjadi johan selama dua tahun berturut-turut. (sekadar kenangan naa…)
Sebaik sahaja tamat juzu’ ‘Amma, aku meneruskan hafalanku dengan juzu’ satu dan seterusnya. Alhamdulillah, sempat juga aku habiskan 7 juzu’ sepanjang di Maahad. Pernah juga satu ketika aku berkeras untuk keluar dari Ma’ahad Mahmud, meninggalkan kekasihku itu kerana ingin menyambung perjuanganku ke bidang tahfiz. Namun pecaturan Allah itu adalah yang terbaik.
Allah hilangkan matahari dari pandangan, berikan kita hujan. Kita bersedih, di mana matahari. Rupanya Allah ingin kurniakan kita pelangi yang indah. Mungkin begitulah tamsilan mudah untuk situasi itu.
Usrah
Mengimbau segala kenangan dan memori di Maahad, takkan terlepas satu perkara yang masih aku ikuti hingga hari ini.
Usrah.
Aku dikenalkan dengan usrah seawal usia 13 tahun. Aku hanya tahu ikut, tapi aku belum tahu apa itu “usrah”. Maza Ya’ni menjadi santapan kami setiap minggu. Abang Nazril dan Abang Arif Idzuan sebagai pemudah cara untuk kami memahami kitab tersebut.
Sehingga akhirnya aku terus ikuti sistem usrah ini. Apa hikmah dalam percaturan Allah masihku cari tanpa putus asa. Seawal usia 15 tahun, aku dipilih untuk berada di dalam organisasi Tanzim Jabatan Nuqaba’ Badan Dakwah dan Kebajikan. Aduh, waktu tu aku sendiri tak tau apa yang nak kena buat. Ditambah pula dengan perlantikan sebagai ahli Lembaga Pengawas dan Tatatertib Maktab Mahmud, ia seperti satu bebanan yang tak mampu untuk dipikul.
Memberontak
Abang-abang pernah memberi pesanan ketika aku berada di puncak, adik-adik akan mengalami zaman perubahan ketika mereka berusia 15 tahun. Aku mengimbau kembali peristiwa yang pernah aku lalui dan alami.
Zaman aku memberontak lebih awal berbanding sahabat-sahabatku yang lain. Aku masih ingat ide untuk menubuhkan GARUDA (Gerakan Pelajar Tingkatan Dua). Ide tercetus untuk menentang pelajar-pelajar senior ketika itu. Bagi kami, hak harus dipertahankan. Isunya, kami dihalau dari padang besar ketika bermain bola.
Aku dipanggil bersama sahabat-sahabatku pada satu malam. Maka bermulalah operasi ‘penjernihan’. Aku tidak berpuas hati. Ruang demokrasi aku gunakan sebaik mungkin sehingga akhirnya hampir semua senior-senior diberi amaran keras oleh pihak pentadbiran. Bukan mencucuh ( baca : mengadu) tetapi ‘strategi politik’.
Bila difikirkan semula, terasa lucu. Tetapi itulah hakikat yang sebenar.
Hanya setahun usia pemberontakanku. Ketika aku melangkah masuk ke tingkatan tiga aku sudah pun berubah.
0 comments:
Post a Comment