I made this widget at MyFlashFetish.com.

SALAM MA'AL HIJRAH

>> Thursday, December 9, 2010

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

1431 hijriah melabuhkan tirainya, digantikan pula dengan 1432 hijriah. Saban hari umur manusia semakin tua dan semakin menghampiri penghujungnya. Ada di kalangan kita yang dijemput menemui Rabbnya di kala usia yang masih muda, ada pula ketika usianya mencecah waktu senja. Namun itu bukanlah persoalan yang utama. Sebaliknya, sejauh mana pula persediaan kita untuk menghadapi kematian.

Merenung sejenak sirah perjuangan hidup Baginda Rasulullah s.a.w. Hijrah merupakan episod baru dalam sejarah hidup umat Islam. Penghijrahan Rasulullah s.a.w bersama Saiyidina Abu Bakr as-Siddiq ke Madinah telah member impak yang positif terhadap perkembangan umat Islam. Pengorbanan yang dilakukan Baginda dengan meninggalkan tanah air semata-mata demi kepentingan Islam tiada nilai bandingan. Bayangkanlah di saat kehidupan umat Islam yang penuh dengan liku dan cabaran, mereka dengan sifat amanah dan taqwa kepada Allah menyahut seruan hijrah dengan terpaksa meninggalkan harta, ternakan, anak dan isteri. Rasulullah s.a.w sendiri diburu pada malam penghijrahan Baginda, namun kuasa Allah mengatasi segalanya. Saiyiduna Ali menjalankan tugas dengan cemerlang tanpa timbul rasa gentar walaupun usianya ketika itu hanya belasan tahun. Asma’ binti Abu Bakr dan saudara kandungnya Abdullah, dengan jiwa yang penuh cekal dan tabah telah menyumbang khidmat dalam menjayakan misi hijrah Nabi s.a.w.

Beberapa istifadah yang boleh dihayati hasil daripada peristiwa hijrah.

1. Ulama’ telah menggariskan bahawa hijrah yang berlaku selepas pembukaan kota Mekah hanya hijrah dari satu keadaan yang buruk kepada sesuatu yang lebih baik. Untuk melakukan penghijrahan, bukanlah satu perkara yang mudah. Kita merenung kembali falsafah pengorbanan. Untuk berkorban memerlukan satu nilai kesabaran yang tinggi supaya hijrah yang dilakukan itu bertepatan dengan kehendak Allah s.w.t.

2. Allah s.w.t berfirman di dalam surah Al-Maidah ayat 2, mafhumnya;

“…dan bantulah sesama kamu di dalam perkara yang menjurus kepada kebaikan dan ketaqwaan, janganlah kamu saling bertolongan di dalam perkara yang boleh menambahkan dosa dan permusuhan…”

Satu pengajaran daripada kisah hijrah dan ayat ini. Manusia tidak akan mampu sama sekali melaksanakan segala tugas yang telah diamanahkan dengan seorang diri. Kerana itulah manusia diibaratkan seperti sebuah bangunan yang saling melengkapi. Secara logiknya dari sudut akal manusia biasa, misi hijrah tidak akan berjaya tanpa adanya watak-watak yang membantu dalam usaha menjayakan misi hijrah.

3. Asas di dalam melakukan setiap perkara dengan meletakkan diri kita di posisi hamba kepada Pencipta. Seorang hamba tidak akan berpaling dari berharap kepada Tuhannya sehingga pengharapan itu dibalas dengan satu ganjaran yang lumayan. Sikap raja’ dan tawakkal kepada Allah perlu diimplemantasikan dalam kehidupan supaya setiap perlakuan kita itu dikira sebagai ibadah di sisi Allah.

Umat Islam amat dituntut untuk menghayati falsafah yang terkandung di dalam peristiwa hijrah, apatah lagi kondisi sebagai seorang huffaz. Seorang huffaz perlu memiliki semangat juang yang tinggi untuk melangkah melakukan perubahan kerana huffaz hari ini merupakan nadi kepada masyrakat. Seandainya sebelum ini akhlak kita tidak bertepatan dengan akhlak al-Quran, maka berhijrahlah ke arah yang lebih baik. Berhijrahlah ke arah kesempurnaan dengan kita kuburkan segala keburukan yang lalu tanpa perlu menoleh semula dengan rasa belas dan ihsan kerana ia hanyalah hampas yang tidak pernah memberikan sebarang faedah dan kebaikan.

Saiyiduna Ali pernah merintih di hadapan Tuhannya, di saat manusia sedang enak dibuai mimpi pada malam hari. Beliau berkata, “Ah, sedikitnya bekalanku sedangkan perjalananku masih jauh”. Seorang khalifah yang tergolong dalam kelompok kibarus-sohabah, seluruh dunia Islam mahupun bukan Islam mengenali siapa Saiyiduna Ali dan beliau juga sahabat yang dijamin syurga tanpa hisab melahirkan rasa kekerdilan dan kekurangan kita di hadapan Maha Pencipta, bagaimana pula nilaian tahap keimanan kita? Sudah pasti tidak terbanding!

Salam Ma’al Hijrah

*Tulisan ini merupakan Kalam YDP PERKEMAT 09/10 sempena sambutan Ma'al Hijrah pada tahun lalu. Saya telah mengolah sedikit dan dipaparkan untuk perkongsian bersama pembaca.

0 comments:

Post a Comment

Our Blogger Templates Web Design

Kepada sesiapa yang ingin mengambil bahan dari blog ini, pihak kami mengalu-alukannya. Sebarkan bahan ini dengan sebaiknya untuk faedah dan kepentingan bersama. Syukran

NASYID FM

Sila download

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP