SIASAH SYAR'IYYAH: PEMAHAMAN DARI KACA MATA AL-QURAN DAN AL-SUNNAH (BHG.2)
>> Thursday, March 24, 2011
Sumber Yang Disepakati
Ulama’ telah bersepakat menetapkan sumber perundangan Islam yang disepakati ialah al-Quran, al-Hadis, al-Ijma’ dan al-Qiyas.
Al-Quran
Al-Quran menurut bahasa Arab merupakan kata terbitan yang membawa erti membaca dan juga menghimpun. Kemudian akhirnya menjadi nama kitab yang mulia pada penggunaan syara’ dan ditakrifkan sebagai Kalam Allah yang diturunkan ke atas Nabi Muhammad s.a.w yang mempunyai mukjizat, membacanya sebagai suatu ibadah yang termaktub dalam mushaf-mushaf dan dipindahkannya kepada kita secara mutawatir, dimulakan dengan surah al-Fatihah dan disudahi dengan surah al-Nas.
Ciri-ciri Keistimewaan Al-Quran
Pertama: Lafaz al-Quran dan maknanya adalah daripada Allah. Tugas Rasulullah s.aw hanyalah menyampaikannya kepada manusia manakala lafaznya pula berbahasa Arab.
Firman Allah s.w.t dalam surah Zukhruf, ayat 3 mafhumnya:
“Sesungguhnya Kami jadikan Kitab itu sebagai Quran Yang diturunkan Dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal) memahaminya.”
Kedua: Al-Quran dipindahkan secara tawatur. Ertinya al-Quran itu dipindahkan oleh satu kaum kepada kaum yang tidak mungkin mereka bersepakat untuk melakukan pembohongan, kerana ramainya bilangan mereka itu dan berlainan tempat tinggal masing-masing. Demikianlah perpindahan itu berlaku dari satu kaum yang tersebut bersambung sampai kepada Rasulullah s.a.w.
Ketiga: Terjamin dari sebarang pindaan atau tokok tambah dan pengurangan. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Hijr, ayat 9 mafhumnya:
“Sesungguhnya Kamilah Yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah Yang memelihara dan menjaganya.”
Keempat: Al-Quran itu suatu mu’jizat, ertinya semua manusia lemah dan tidak mampu untuk mendatangkan sepertinya dan ternyata kelemahan itu ketika Al-Quran mencabar orang Arab yang menentangnya supaya mendatangkan seumpamanya, atau sepuluh surah seumpamanya dan malah satu surah pun mereka tidak mampu.
Firman Allah s.w.t surah al-Israa’, ayat 88 mafhumnya:
“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan Yang sebanding dengannya, Walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.”
Cara Al-Quran Menjelaskan Hukum
Terdapat tiga cara al-Quran menjelaskan hukum-hukumnya:
Bayan Kulli, ertinya dengan menyebut beberapa kaedah dan prinsip-prinsip umum yang menjadi asas kepada cabang-cabang hukum dan dibinakan hukum-hukum di atasnya.
Bayan Ijmali, ertinya disebutkan beberapa hukum dengan ringkas yang memerlukan penjelasan dan perincian.
Bayan Tafsili, ertinya disebutkan hukum-hukum itu secara terperinci seperti saham atau habuan para waris dalam pembahagian pesaka, kaifiat talaq dan bilangannya, kaifiat li’an di antara suami isteri, wanita-wanita yang diharamkan berkahwin, sebahagian dari hukum-hukum hudud dan beberapa jenis hukum lain lagi.
Al-Sunnah
Al-sunnah dari segi bahasa Arab ialah al-Tariqah al-Mu’tadah, ertinya cara atau peraturan sesuatu amalan yang dilakukan berulang kali. Sementara al-Jawahir menyebut dalam kitabnya “al-Sihah”, sunnah ertinya al-Tariqah dan juga al-Sirah. Adapun al-Sunnah dari segi istilah syara’ dimaksudkan “Sesuatu yang terbit daripada Baginda s.a.w selain dari al-Quran, sama ada perkataan, perbuatan atau perakuan”.
Dalil Kehujahan Sunnah Sebagai Sumber Perundangan Islam
Al-Sunnah sebagai sumber perundangan Islam telah dapat dibuktikan kebenarannya berdasarkan kepada beberapa ayat al-Quran, antaranya:
1. Perintah mentaati Rasulullah s.a.w oleh Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran, ayat 132 mafhumnya:
“Dan Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, supaya kamu diberi rahmat.”
2. Allah memerintahkan kepada manusia supaya mengikut apa yang didatangkan kepada kita oleh Rasul-Nya.
Firman Allah s.w.t dalam surah al-Hasyr, ayat 7 mafhumnya:
“dan apa jua perintah Yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka Terimalah serta amalkan, dan apa jua Yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya.”
3. Nas al-Quran menjelaskan bahawa apa yang diperkatakan oleh Rasulullah s.a.w bersumberkan wahyu dan perintah Allah. Firman Allah s.w.t melalui surah al-Najm, ayat 3 mafhumnya:
“Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu Yang berhubung Dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.”
4. Disebabkan terdapat ayat di dalam al-Quran yang bersifat mujmal (ringkas) dalam menerangkan hukum-hukumnya, maka Allah s.w.t member kuasa kepada Rasul-Nya untuk menerangkan hukum-hukum al-Quran secara terperinci supaya dapat diamalkan secara tepat. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Nahl, ayat 44 mafhumnya:
“(Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan Yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab suci (yang menjadi panduan); dan Kami pula turunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Al-Quran Yang memberi peringatan, supaya Engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa Yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.”
Berdasarkan dalil-dalil al-Quran yang telah dinyatakan sudah cukup untuk membuktikan bahawa al-Sunnah merupakan salah satu sumber perundangan Islam yang wajib diikuti selepas al-Quran.
0 comments:
Post a Comment