I made this widget at MyFlashFetish.com.

SIASAH SYAR'IYYAH: PEMAHAMAN DARI KACA MATA AL-QURAN DAN AL-SUNNAH (BHG.3)

>> Monday, April 11, 2011

Bahagian-bahagian Sunnah

Berdasarkan kepada pemahaman melalui pengertian al-Sunnah dari segi istilah, maka ulama’ telah membahagikan al-Sunnah kepada tiga bahagian:

1. Sunnah Qawliah

Membawa maksud kata-kata dan pengucapan Rasulullah s.a.w dalam berbagai-bagai persoalan.

2. Sunnah Fi’liyyah

Membawa maksud segala perbuatan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w seperti amalan solat lima waktu dengan sempurna segala kaifiatnya.

3. Sunnah Taqririyyah

Membawa maksud sesuatu yang diperakui oleh Rasulullah s.a.w dengan mendiamkan diri tanpa membantah atau bersetuju dan melahirkan rasa senang terhadap sebahagian tindakan sahabat. Hal ini dihukumkan sebagai harus untuk melakukannya.


Jenis-jenis Hukum Dalam Sunnah

Ulama’ membahagikan jenis hukum dalam sunnah kepada empat bahagian:

1. Hukum-hukum yang selaras dan mengukuhkan hukum-hukum al-Quran

2. Hukum-hukum yang menjelaskan serta memperincikan hukum-hukum yang disebutkan di dalam al-Quran secara ringkas.

3. Hukum-hukum yang mengikat (muqaiyyidah) berdasarkan hukum al-Quran yang mutlaq, atau mengkhususkan yang umum.

4. Hukum-hukum baru yang tidak disebut oleh al-Quran, kerana sunnah boleh berasingan memperundangkan hukum-hukum, dan dalam hal ini ia seperti al-Quran.


Al-Ijma’

Ijma’ dari sudut bahasa membawa erti berazam dan bertekad melakukan sesuatu, seperti firman Allah s.w.t dalam surah Yunus, ayat 71 mafhumnya:

“Oleh itu, Tetapkanlah keazaman kamu serta sekutu-sekutu kamu untuk melakukan rancangan jahat kamu terhadap-Ku...”

Dari segi istilah fuqaha’ dan ulama’ Usul, Ijma’ bermaksud ittifaq (sependapat atau sebulat suara) para ulama’ mujtahidin dari kalangan umat Islam pada bila-bila masa selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w di atas sesuatu hukum syara’.


Rukun Ijma’

Berdasarkan definisi ijma’ yang dinyatakan, para ulama’ telah menggariskan bahawa ijma’ hanya akan berlaku dengan empat rukun yang telah ditetapkan:

1. Wujud beberapa orang mujtahidin pada ketika sesuatu persoalan itu berlaku, kerana ittifaq (bersatu pendapat) tidak mungkin berlaku melainkan dalam beberapa pandangan yang dikemukakan dan masing-masing bersetuju di atas satu pendapat sahaja. Jika hanya wujud seorang mujtahid maka tidak akan berlaku ijma’.

2. Ittifaq ke atas hukum syara’ pada sesuatu persoalan itu adalah dari seluruh para ulama’ mujtahidin pada waktu berlakunya persoalan tersebut, tanpa memandang kepada negeri atau bangsa mereka. Maka ijma’ tidak berlaku melainkan dengan ittifaq yang menyeluruh daripada ulama’ mujtahidin dalam dunia Islam ketika persoalan itu muncul.

3. Ittifaq mujtahidin hendaklah dalam bentuk masing-masing mengemukakan pendapat dengan berterus-terang tentang persoalan itu sama ada dalam bentuk perkataan atau perbuatan.

4. Ittifaq mesti dari seluruh mujtahidin. Oleh itu ittifaq sebahagian besar dari kalangan mujtahidin tidak dikira sebagai hujjah qat’iyyah yang mengikat, kerana boleh jadi kebenaran itu berada di satu pihak dan kesalahan di pihak yang lain.


Jenis-jenis Ijma’

Terdapat dua jenis ijma’ yang telah disepakati ulama’:

1. Ijma’ Sorih iaitu seluruh ulama’ mujtahidin bersependapat ke atas sesuatu hukum bagi masalah-masalah tertentu dengan cara berterus-terang yang menginginkan setiap mujtahid mengeluarkan pendapatnya dan semua pendapat itu bersatu di atas satu hukum sahaja. Ijma’ seperti ini tetap menjadi hujah tanpa khilaf.

2. Ijma’ Sukuti iaitu sebahagian ulama’ mujtahidin sahaja yang mengeluarkan pendapatnya sedangkan sebahagian yang lain mengetahui pendapat-pendapat itu tetapi mereka mendiamkan diri tanpa sebarang perakuan atau bantahan. Ijma’ ini tidak menjadi hujah menurut pandangan Imam Syafi’e dan beberapak tokoh ulama’ yang lain. Sementara sebahagian lain pula berpendapat ijma’ ini munjadi hujah juga, cuma kedudukannya rendah dari ijma’ sorih.


Al-Qiyas

Qiyas dari segi bahasa memeberi erti Taqdir atau Musawah (mengukur dan persamaan). Sementara Qiyas dari sudut pengertian ulama’ Usul ialah menyamakan sesuatu masalah yang tidak terdapat nas di atas hukumnya dengan masalah yang terdapat nas hukumnya. Persamaan itu ialah dari segi hukum yang telah dinaskan kerana wujud persamaan kedua-dua masalah itu pada I’illah hukum. Maka persamaan ini dinamakan Qiyas.


Rukun Qiyas

Qiyas mempunyai empat rukun:

1. Al-Asl atau al-Maqis ‘alaih, ertinya maslah yang telah sabit nas hukumnya yang akan diqiyaskan ke atasnya.

2. Al-Far’ atau al-Maqis, iaitu masalah yang tidak terdapat nas hukumnya, sedangkan ia perlu ditentukan hukumnya. Maka ia adalah masalah yang hendak diqiyaskan.

3. Hukum asal, iaitu hukum yang terdapat nasnya pada al-Maqis ‘alaih yang hendak disabitkan kepada al-Far’ atau al-Maqis.

4. Al-‘Illah, iaitu sifat atau sebab yang kerananya disyariatkan hukum pada al-Maqis ‘alaih.

0 comments:

Post a Comment

Our Blogger Templates Web Design

Kepada sesiapa yang ingin mengambil bahan dari blog ini, pihak kami mengalu-alukannya. Sebarkan bahan ini dengan sebaiknya untuk faedah dan kepentingan bersama. Syukran

NASYID FM

Sila download

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP