I made this widget at MyFlashFetish.com.

MAULIDUR RASUL; MIRIP SIAPAKAH SAMBUTAN KITA???

>> Monday, March 16, 2009

12 Rabi’ul Awal disambut dengan meriah oleh semua umat Islam di seluruh dunia. Tarikh yang melakarkan sejarah. Tarikh yang membawa seribu satu rahmat kepada seluruh makhluk di atas muka bumi. Pada tarikh ini menyaksikan seorang Rasul akhir zaman dilahirkan. Beliaulah yang bernama Baginda Muhammad bin Abdullah, datangnya dari keturunan Bani Hasyim, salasilah keluarga Baginda bersambung terus kepada Khalilullah, Nabi Ibrahim ‘alahaissalam.

Baginda didatangkan ke dunia untuk membawa berita gembira (Basyiran) dan memberi peringatan (Naziran) kepada seluruh makhluk di atas muka bumi ini. Datangnya Baginda ke atas muka bumi ini membawa rahmat bukan sahaj kepada manusia, bahkan seluruh makhluk di atas muka bumi ini turut merasakan kesannya. Bagindalah penghulu segala Nabi dan Rasul, tidak ada Nabi mahupun Rasul sesudah Baginda.

Beberapa peristiwa yang terjadi sebelum kelahiran Baginda merupakan petanda yang jelas tentang kelahiran seorang Nabi pembawa rahmat. Runtuhnya istana Kisra di Parsi yang menjadi kemegahan mereka yang berada di dalam keadaan Jahiliyyah, terpadamnya api agama Majusi yang tidak pernah padam selama berpuluh tahun. Pada tahun kelahiran Baginda juga, tentera Abrahah telah dikalahkan oleh Allah dalam misi mereka meruntuhkan Ka’abah al-Musyarrafah. Lahir Baginda pada 12 Rabi’ul Awal jelas memberi petanda kepada sekalian musuh Allah agar bersiap sedia dengan kedatangan Baginda yang akan memerangi segala kebatilan di atas muka bumi ini.

Berita kelahiran Baginda Nabi dengan pantas sampai ke pengetahuan penduduk Kota Mekah. Mereka begitu gembira dengan kelahiran Baginda Nabi S.A.W. Thuwaibah, hamba kepada Abu Lahab juga mengetahui hal tersebut, lantas mengkhabarkan kepada Abu Lahab tentang perkara tersebut. Gembira bukan kepalang, Abu Lahab telah mengorbankan sejumlah unta yang dimilikinya dan membebaskan hambanya, Thuwaibah.

Mirip Siapakah Sambutan Kita?

Jika kita melihat kepada sirah perjalanan hidup Baginda, kita dapati Abu Lahab begitu gembira dengan kelahiran Baginda. Hal ini turut dirasai oleh mereka-mereka yang menjadi sahabat Baginda selepas itu. Tetapi kegembiraan Abu Lahab hanyalah pada tangannya dan mulutnya. Gembira pada tangannya kerana telah ‘menumbangkan’ beberpa ekor unta sebagai meraikan kelahiran anak saudaranya yang mulia itu. Gembira pada mulutnya kerana telah membebaskan Thuwaibah, daripada menjadi seorang hamba menjadi seorang yang bebas menikmati kesenangan hidup. Namun Abu Lahab tidak meraikan kelahiran Baginda dengan hatinya, kerana dialah yang menjadi musuh kepada Rasulullah S.A.W seseudah Baginda diangkat menjadi Rasul.

Persis keadaan tersebut, seolah-olah perkara itu berulang semula. Saban tahun, Maulidur Rasul sering disambut. Seperti yang dilakukan Abu Lahab, kita juga ‘menumbangkan’ binatang ternakan. Jika Abu Lahab menumbangkan unta, kita menumbangkan lembu. Anehnya, siangnya majlis maulid tetapi pada malamnya disertakan dengan Jom Heboh. Kita mengatakan Rasulullah qudwah hasanah, tetapi sebahagian syariat yang dibawa Baginda diterima, sebahagiannya ditolak. Bagaimanakah keadaan iman kita ketika itu?

Sambutan Maulidur Rasul ini seolah-olah hanya di mulut, tetapi tidak meresap ke dalam hati. Majlis yang dibuat tidak meninggalkan bekas di hati. Sedangkan Rasulullah amat merindui umat di akhir zaman yang digelar Baginda sebagai ‘ikhwan’ sehingga mengundang rasa cemburu di hati para sahabat. Para sahabat meraikan keberadaan Rasulullah S.A.W dengan membantu Baginda dalam perjuangan Baginda menyebarkan risalah Islam kepada seluruh umat manusia. Begitu jugalah yang dilakukan ‘ikhwan’ di akhir zaman, walaupun tidak pernah bersua muka dengan Baginda.

Mirip siapakah kita? Fikirkan…

Semoga Allah menjadikan kita daripada golongan ‘ikhwan’ yang dimaksudkan Baginda Rasulullah S.A.W. Ameen…

Read more...

Kem Peningkatan Akhlak SK Sri Taman

Sudah lama sebenarnya saya tidak berkhidmat sebagai fasilitator. Seingat saya, kali terakhir saya berkhidmat sebagai fasilitator pada tahun 2007, ketika saya masih menuntut di Maktab Mahmud. Pada 12 Mac yang lepas, saya dipanggil menjadi fasilitator di sebuah sekolah rendah di Bandaraya Alor Setar. Sukar untuk menolak. Saya menerima tawaran tersebut dengan hati yang senang.

Mengingatkan zaman ketika masih menuntut di Ma'ahad, mengembalikan seribu satu memori silam. Suka duka ketika menjadi pelajar Ma'ahad sentiasa bermain di benak fikiran. Pengalaman yang lepas cuba dijadikan panduan. Saya masih ingat satu kata-kata yang pernah saya dengar dalam satu kuliah. "Kami bukan penulis kitab, tetapi tugas kami ialah mencetak manusia", lebih kurang begitulah ungkapan tersebut. Berat hati ini untuk mentarbiyyah, sedangkan hati ini masih lagi kurang tarbiyyahnya.

Niat dibetulkan. "Aku datang untuk membaiki diriku, di samping berkhidmat untuk orang lain", saya bermonolog. Peserta program dari kalangan darjah 4-6. Tumpuan kali ini lebih ke arah akhlak dan solat. Risau bertandang di hati. Mungkin juga sikap kami yang buruk berbekas di hati mereka. Mudah-mudahan Allah memaafkan kseilapan kami (fasilitator) dan menjauhkan adik-adik SK Sri Taman daripada meniru sikap buruk kami.

Tiga hari bersama adik-adik SK Sri Taman belum cukup untuk mengubah diri ini. Tetapi bekalan selama tiga hari itulah cuba dibawa pulang untuk dipraktikkan semula. Zikir, bacaan Quran, solat jemaah dan setiap nasihat cuba diingati. Mudah-mudahan Allah permudahkan urusan.

Tiga hari yang berlalu mungkin tidak memenatkan bagi mereka yang selalu berprogram. Tetapi tidak bagi saya. Setelah hampir setahun tidak menyertai mana-mana aktiviti luar, terasa kekoknya bila kali pertama berhadapan dengan adik-adik yang comel. Nasib baik ada teman-teman yang mempunyai pengalaman yang tidak kurang hebatnya. Juga bersama adik-adik Ma'ahad yang dahulunya 'diprogramkan', sekarang bersama 'memprogramkan'. Alhamdulillah, usaha yang sedikit dahulunya mempunyai kesan sekarang.

Pertemuan semula dengan ayahanda cikgu Sukarno merupakan sesuatu yang tidak dapat diungkapkan. Rindu mendengar nasihat-nasihat daripada cikgu terubat jua. Walaupun hanya sejam bersua, tetapi cukup untuk melepaskan rindu di jiwa. Kata-kata yang saya sifatkan sebagai doa mengakhiri pertemuan kami. Mudah-mudahan Allah menetapkan hati untuk terus berada di atas landasan perjuangan hingga akhir hayat. Ameen...

Read more...

TAHNIAH ADIK-ADIKKU...

>> Sunday, March 15, 2009

Debaran yang dialami telah pulih. Hari yang dinantikan telah berkunjung tiba. Calon-calon SPM '08 telah mendapat keputusan yang mereka nanti-nantikan setelah lama menunggu natijah 'perjuangan' mereka.

TAHNIAH!!!

Sempat al-faqir bertanyakan keadaan adik-adik usrah. Alhamdulillah.. Keputusan yang perolehi tidak mengecewakan. Mudah-mudahan merekalah yang akan tampil bersama di dalam satu saff untuk memprjuangkan semula Islam yang semakin dilupakan. Tahniah diucapkan kepada Sohaib, Salman, Anwar, Izzudin (bro_izzam), Aiman, Adib dan Najmi. teruskan perjuangan antum di bumi DQ.

Asyik DQ je, macam mana pula dengan adik-adik Ma'ahad Mahmud?? Bangga juga al-faqir apabila buat ke sekian kalinya Maktab Mahmud (Ma'ahad) terus melahirkan pelajar-pelajar yang berkualiti. Sekembalinya dari satu program motivasi di Alor Star, al-faqir mencapai senaskhah akhbar Metro. Tertarik dengan tajuk "Ikut Jejak 2 Kakak; Anak penjual air soya muncul cemerlang". Apabila dibaca berita tersebut, terpampang padanya nama sebuah intitusi yang terus melahirkan pelajar yang cemerlang, ahli politik yang hebat, pejuang yang agung; Maktab Mahmud, tempat didik al-faqir satu ketika dahulu. Tahniah kepada adik Nur Sabiha Zakaria!

Kejayaan yang dimiliki mereka hari ini ialah satu anugerah daripada Allah. Kita tidak berhak memiliki dan dimiliki, kerana kita hanyalah hamba. Dahuluilah kejayaan ini dengan pujian kepada-Nya, kerana siapa yang bersyukur maka akan ditambahkan lagi ikmat ke atasnya, tetapi sesiapa yang kufur kethuilah sesungguhnya azab Allah itu amat pedih.

ALFU MUBARAK 'ALAIKUM!!!

Read more...

Isu Nama Allah: Dr Asri sependapat dengan Nik Aziz

>> Wednesday, March 11, 2009

Azamin Amin

Tue | Mar 10, 09 | 1:06:25 pm MYT
KUALA LUMPUR, 10 Mac (Hrkh) - "Saya bukan jawatankuasa PAS, atau orang Kelantan, namun bagi saya sesiapa yang menempelak kenyataan Menteri Besar Kelantan Dato' Nik Aziz Nik Mat tentang isu nama Allah adalah mereka yang kurang jelas tentang akidah Islam, atau mempertahankan apa yang mereka tidak faham."

Demikian dinyatakan oleh bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang sebelum ini pernah menulis setahun lalu dalam blognya yang bertajuk:"Beza antara merebut nama Allah dan mempertahankan akidah." berhubung isu berkaitan.

"Saya telah kemukakan hujah dan alasan bahawa mereka boleh memanggil Tuhan dengan 'Allah'. Al-Quran dan Sunnah membenarkannya. Akidah bukan diukur dengan panggilan, tetapi dengan membezakan antara tauhid dan syirik," katanya dalam laman blognya itu baru-baru ini

Katanya Majlis Fatwa Perlis ketika beliau menjadi mufti membuat keputusan sebulat suara keharusan bukan muslim memanggil Tuhan dengan panggilan Allah.
"Jangan kita nak 'divert' isu politik, kita bangkit isu agama, nanti agama menjadi mangsa permainan manusia.
"Saya nasihat kepada yang bising isu ini, jika nak berjihad, biarlah kena pada tempatnya. Ini bukan isu yang patut kita bertarung kerananya.

Katanya jika ingin melarang bukan muslim guna nama Allah jangan katakan bahawa agama Islam yang melarang tetapi beritahu orang bukan Islam bahawa peraturan Kerajaan Malaysia yang melarangnya atas sebab-sebab tertentu.
"Apa yang patut JAKIM fikirkan adalah bagaimana cara agar bukan muslim dalam negara kita lebih faham dan suka dengan Islam." katanya ynag kini masih berada di Lampeter, United Kingdom.

Sumber: Klik di sini

Read more...

APABILA RAKYAT MEMBANTAH PPSMI…

>> Sunday, March 8, 2009

7 Mac 2009, Malaysia menyaksikan sejumlah rakyatnya yang berhimpun menyatakan bantahan terhadap Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Bantahan yang dianjurkan oleh GMP ini telah menghimpunkan seramai lebih kurang seratus ribu orang rakyat Malaysia. Perarakan membantah ini merupakan kemuncak kepada bantahan terhadap PPSMI yang diwujudkan Kementerian Pelajaran semenjak tahun 2002. Kemuncak kepada perarakan ini ialah dengan menyerahkan memorandum bantahan kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Perarakan ke Istana Negara ini dimulakan pada jam 2 petang, diketuai tokoh sastrewan Negara, Dato’ A.Samad Said. Perarakan ini turut disertai beberapa pemimpin PAS. Perarakan dimulakan dari tiga tempat, Masjid Negara, Pasar Seni dan Sogo. Sehari sebelum perhimpunan ini, polis telah memberikan permit kepada GMP untuk mengadakan perarakan menyerahkan memorandum kepada pihak Istana Negara. Namun, apa yang dikesali apabila pihak polis telah melepaskan gas pemedih mata kepada peserta perarakan ini. Yang menjadi persoalan ialah, sehari sebelumnya polis telah memberikan kebenaran tetapi pada hari kejadian polis telah menghalang pergerakan perarakan tersebut.

Lebih menyedihkan ialah manusia yang menjadikan masjid sebagai tempat perlindungan daripada serangan gas pemedih mata turut diserang beberapa minit selepas itu. Seorang sahabat menceritakan pengalamannya ‘merasa’ water cannon dan gas pemedih mata. “5 kali syeikh oi. Rasa macam nak syahid ja. Hehe…3 kali kena dekat masjid Negara. 2 kali jalan nak pi istana. Bukan takat perkarangan masjid. Naik sampai atas nu. Sampai pecah jam masjid kena kelongsong peluru”, ceritanya dalam dialek kedah.

Tindakan kerajaan mempertahankan PPSMI telah mendapat bantahan ramai pihak. Antaranya ialah sasterawan Negara sendiri yang turut menyertai perarakan tersebut. Beliau merupakan pejuang bahasa yang tidak pernah kenal erti penat dalam usahanya memartabatkan bahasa ibunda. Penulis agak hairan, apa relevannya PPSMI ini diteruskan? Penulis tidak membangkang seratus peratus PPSMI ini, tetapi jika dilihat dari pencapaian yang diperoleh para pelajar khususnya bangsa Melayu cukup untuk menjadi jawapan mengapa begitu ramai pihak yang membantah PPSMI ini diteruskan.

Secara praktikalnya, penulis melihat keberkesanan PPSMI ini tidak berada pada tahap yang memuaskan. Secara teorinya guru-guru dan para pelajar akan menjalankan proses P&P mereka di dalam Bahasa Inggeris, tetapi apabila dilakukan survey melalui rakan-rakan yang pernah berada dalam program PPSMI ini mendapati rata-rata menjalankan proses P&P menggunakan Bahasa Melayu. Faktor terbesar proses P&P tidak dapat dijalankan dalam Bahasa Inggeris seperti yang dirancang adalah disebabkan penguasaan bahasa yang terlalu lemah. Mungkin faktor ini tidak banyak di kalangan guru-guru yang mengajar subjek ini, tetapi tidak bagi anak didik mereka.

Jika kita melihat dari satu sudut, PPSMI ini mampu memberikan secebis kesan positif kepada masyarakat dan negara kerana masyarakat suadah mula menguasai bahasa antarabangsa ini. Tetapi bagaimana pula dengan kesan sampingan yang negative? Adakah kesan negatif ini peratusannya terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan kesan positifnya?

Di dalam Islam, kita diajar untuk melihat dua perkara asas dalam melakukan sesuatu keputusan iaitu melihat kepada kebaikan (maslahah) dan keburukan (mafsadah) yang mendatang. Di dalam isu ini, penulis melihat kebaikan yang mendatang peratusannya terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan keburukan selepas itu. Mungkin ada di kalangan rakyat Malaysia yang berjaya untuk menguasai Sains dan Matematik walaupun mereka diajar di dalam bahasa Inggeris. Dan peratusan ini sudah semestinya dikuasai oleh mereka yang menetap di Bandar-bandar besar disebabkan kemudahan yang mereka perolejh terlalu banyak. Bagi anak-anak kampung pula lain pula halnya. Sudahlah mereka ini lemah dalam penguasaan Bahasa Inggeris, ditambah pula dengan Sins dan Matematik yang diajar menggunakan Bahasa Inggeris, bertambah lagi kelemahan mereka. Secara psikologinya, hal ini secara tidak langsung telah mematikan semangat mereka untuk menimba ilmu pengetahuan.

Dalam satu majlis kenduri baru-baru ini, penulis sempat mendengar luahan seorang bapa terhadap isu PPSMI ini. “Kalau dulu saya boleh ajar anak saya Matematik, tapi sekarang saya boleh tengok ja la. Tak paham benda apa dia kata”, ujarnya. Nah! Kesannya buka hanya dirasai oleh para pelajar, malahan turut dirasai oleh ibu bapa. Jika kita melihat semula dari sudut Islam, menerima manfaat itu adalah baik. Tetapi menolak mafsadah yang besar itu lebih baik daripada menerima manfaat yang sedikit. Biarkan mudarat yang kecil berbanding mendapat mudarat yang besar. Ini terkandung dalam sumber untuk memutuskan sesuatu perkara yang dipanggil saddu az-zarai’. Misal yang lain, apabila seseorang ingin menjual sebuah kedai kepada seseorang dan duitnya itu mampu memberikan manfaat untuk dirinya dan keluarganya. Akan tetapi si pembeli itu dikenali sebagai seorang penjual arak ataupun seorang yang mempunyai premis perjudian dan jika kedai itu dijual besar kemungkinan akan dijadikan tempat maksiat, maka di sisi Islam haram bagi penjual untuk menjual kedainya itu kepada si pembeli.

Dalam isu PPSMI ini, bukan sahaja golongan sasterawan yang bersuara, bahkan pihak ulama’ juga turut membantah. Satu persidangan ulama’ di Pendang telah memutuskan beberapa resolusi, iaitu:

1. MENOLAK perlaksanaan PPSMI dalam sistem pendidikan negara,

2. MEMBANTAH penerusan perlaksanaan PPSMI kerana ia menjejaskan kedudukan bahasa Melayu yang sudah diangkat martabatnya sebagai bahasa ilmu dan sekaligus bahasa Islam,

3. MENEGASKAN bahawa dalil agama untuk mengembalikan pengajaran sains dan Matematik kepada bahasa Melayu sangat kuat kami sandarkan kepada nas-nas naqli berikut:
- Menggunakan bahasa yang dapat menerangkan dan memahamkan konsep dan falsafah kebenaran adalah matlamat utama kenapa Al-Quran menggunakan bahasa ibunda Arab sebagai penghantar untuk menjelaskan makna dan intisari ajaran Islam kepada bangsa Arab.

“Dan demikianlah Kami wahyukan Al-Quran kepadamu dalam bahasa Arab, agar engkau memberi peringatan kepada penduduk ibukota (Mekah) dan penduduk (negeri-negeri) di sekelilingnya serta memberi peringatan tentang Hari berkumpul (Qiamat) yang tidak diragukan adanya. Segolongan masuk syurga dan segolongan masuk neraka.” (Asy-Syura: 7)

- Bahawa bahasa yang tidak tercemar dengan makna dan faham yang terlepas dari konsep ketauhidan Allah dan membolehkan mesej asas Islam mengenai Ketuhanan disampaikan adalah punca kenapa Al Quran memilih bahasa Arab sebagai bahasa penghantar. Lantaran itu Bahasa Melayu yang telah sarat melalui proses Islamisasi adalah bahasa yang paling wajar dijadikan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara untuk menjayakan proses pembinaan tamadun Islam dalam masyarakat Malaysia.

“Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa Al-Quran berbahasa Arab, agar kamu mengerti.” (Yusuf: 2)

“Dan demikian Kami menurunkan Al Quran dalam bahasa Arab dan Kami telah menjelaskan berulang-ulang di dalamnya sebahagian dari ancaman agar mereka bertaqwa atau agar (Al-Quran) itu memberi pengajaran bagi mereka”(Toha: 113)

“Dan sungguh te;lah Kami buatkan dalam Al-Quran ini segala macam perumpamaan bagi manusia agar mereka dapat pengajaran, iaitu Al-Quran dalam bahasa Arab, tiada ada kebengkokan (di dalamnya) agar mereka bertaqwa” (Az-Zumar: 27- 28)

“(Al-Quran ini) diturunkan dari Tuhan Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Kitab yang ayat-ayatnya dijelaskan bacaan dalam bahasa Arab untuk kaum yang mengetahui.” (Fussilat: 2-3)

“Demi kitab (Al-quran) yang jelas. Kami jadikan Al-Quran dalam bahasa arab agar kamu mengerti.” (Al Zukhruf: 3)

Semua ayat-ayat ini menjelaskan betapa bahasa ada kaitan dengan mesej risalah Islam yang disampaikan kepada manusia.

Manakala bahasa Melayu yang sarat dengan konsep Islam dari Al-Quran diketepikan penggunaannya dalam pengembangan ilmu, maka kesan sekularisasi bahasa yang telah berlaku dalam sejarah pengembangan bahasa inggeris yang sangat dipengaruhi oleh sejarah sekularisasi agama Kristian akan mempunyai impak kepada masyarakat Melayu Islam di negara ini.

4. MENDESAK supaya perlaksanaan PPSMI hendaklah diberhentikan dan penggunaan bahasa Melayu kembali digunakan sebagai bahasa pengantar dalam semua matapelajaran kecuali dalam pengajaran bahasa yang lain, di seluruh institusi pendidikan di semua peringkat.

5. MENUNTUT agar kerajaan mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu untuk membentuk tamadun tinggi dalam masyarakat, sementara memberi ruang untuk pelajar mempelajari pelbagai bahasa lain untuk meningkatkan keupayaan menguasai pelbagai ilmu dari sumber bahasa yang lain,

6. MENDESAK agar tulisan jawi kembali diperkasakan dalam sistem pendidikan negara termasuk mengalakkan urusan rasmi menggunakan tulisan jawi sebagai identiti negara,

7. MENEGASKAN bahawa pengajaran bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan kaedah dan pendekatannya, namun bukan dengan cara mengetepikan bahasa Melayu sebagai penghantar mata pelajaran seperti yang dilaksanakan dalam PPSMI masakini,

8. MENGGESA supaya penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar hendaklah diperundangkan dan dikuatkuasakan dalam semua sektor Negara semada awam mahupun swasta,

9. MENEGASKAN bahawa pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran tidak boleh berdalih dengan alasan pencapaiaan UPSR, PMR mahupun SPM untuk menjadi asas untuk meneruskan atau memberhentikan perlaksanaan PPSMI,

10. MENDESAK supaya pihak kerajaan tidak menggunakan dalil mencapai kemajuan bertaraf dunia sebagai alasan untuk meneruskan PPSMI kerana hujah ini sudah muktamad ditolak oleh perbandingan dan bukti dengan pelbagai negara lain yang tidak mengutamakan bahasa Inggeris untuk mencapai kemajuan sesuata bangsa dan Negara,

11. MENGGESA agar seluruh warga pendidik dan waris pelajar-pelajar disemua institusi pendidikan negara agar bersama bersatu untuk membantah perlaksanaan PPSMI.

Seperti yang kita fahami, ulama’ ialah pewaris para Nabi. Justeru, apabila ulama’ juga turut membantah berdasarkan ijtihad mereka, apa lagi yang boleh kita katakan? Ingin membantah, setakat mana ilmu yang kita ada.

Konklusinya setelah kita melihat kesan baik dan buruk PPSMI, ternyata masyarakat yang membantah PPSMI ini bukan membantah secara membabi buta, tetapi bantahan mereka ini bantahan yang bersandarkan dengan bukti-bukti yang kuat serta berasaskan dalil-dalil yang kukuh. Justeru, amat wajar bagi Kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran mengambil perhatian dengan serius tentang isu ini, kerana bantahan ini bukan bermotifkan politik seperti yang dipertkatakan oleh Menteri Pelajaran tetapi ianya dilakukan demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

Read more...

Our Blogger Templates Web Design

Kepada sesiapa yang ingin mengambil bahan dari blog ini, pihak kami mengalu-alukannya. Sebarkan bahan ini dengan sebaiknya untuk faedah dan kepentingan bersama. Syukran

NASYID FM

Sila download

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP