HASAD ATAU ‘GHIBTHOH’...?
>> Sunday, February 1, 2009
Jam menunjukkan dua pagi. Al-faqir masih belum dapat melelapkan mata. Entah apa yang mengganggu ‘konsentrasi’ al-faqir untuk melelapkan mata. Mungkin masih melayani perasaan cemburu kepada ‘mereka’. Siapa? Mudah-mudahan coretan dan pandangan daripada al-faqir kali ini mampu memberi manfaat kepada para ikhwah walau tidak seberapa. Sekadar yang termampu untuk al-faqir kongsikan dikala jari sedang rancak menari di atas papan kekunci dan telinga fokus mendengar dan meneliti seni kata alunan nasyid daripad kumpulan Diwani.
31 Januari 2009 merupakan tarikh keramat bagi abang-abangku dan sahabat-sahabatku di Darul Quran. Tarikh yang penting dan bersejarah dalam hidup mereka. Majlis Khatam Al-quran yang saban tahun diadakan telah menjadi bukti, bahawa mereka ialah insan biasa yang luar biasa! Jika 1 ketika dahulu negara berbangga dengan pencapaian anak muda dari selatan tanah air, Nur Amalina Che Bakri yang memperoleh 17A di dalam keputusan SPM beliau, al-faqir langsung tidak terkesan. Kerana al-faqir lebih berbangga dengan manusia biasa yang luar biasa. Merekalah para HUFFAZUL QURAN.!
Bukan mudah untuk seseorang itu mengahafaz keseluruhan isi kandungan kitab suci ummat Islam ini. Hanya hati yang dipilih Allah sahaja yang berupaya menghabiskan hafalannya. Ketika kali pertama al-faqir melafazkan perkataan ‘al-hafiz’, al-faqir masih terlalu kecil untuk memahami apa itu al-hafiz. Mudah-mudahan Allah memasukkan alfaqir ke dalam golongan yang dipilih untuk memelihara Kalam-Nya. Berbalik kepada cerita tadi. Pada hari tersebut, al-faqir melihat semuanya bergembira kerana berjaya menghabiskan hafalan mereka. Kebetulan al-faqir berada di blok pentadbiran, menjalankan amanah yang telah diberi. Pada jam 10.30 pagi, para huffazul Quran ini mula berarak dari blok pentadbiran menuju Dewan Muktamar, mengiringi TKPO JAKIM.
Agama Islam yang diwahyukan kepada Rasulullah merupakan agama yang menganjurkan kasih sayang. Umum mengetahui, Islam tidak membenarkan ummatnya menyimpan perasaan yang buruk terhadap saudaranya yang lain, apatah lagi menuju kea rah perpecahan. Dalam situasi di atas, selalunya dikaitkan dengan satu perkataan. HASAD (Dengki). Hasad merupakan perkara yang amat dilarang Islam. Sebenarnya, situasi tersebut lebih cenderung ke arah GHIBTHOH. Apakah ghibthoh? Ghibthoh ini jika kita hendak gambarkan seperti cemburu dan dengki juga, tetapi kea rah kebaikan. Tetapi tafsiran dengki terhadap perkataan ghibthoh ini kurang tepat. Hanya untuk memudahkan kita bagi memahami apa itu ghibthoh, mudah-mudahan tidak salah.
Satu kisah di zaman Rasulullah S.A.W. yang menceritakan tentang sikap para sahabat yang sering berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan.
Islam membenarkan kita memiliki sifat ghibthoh kerana ia akan membawa kepada natijah yang baik. Tetapi reality hari ini sebaliknya. Masyarakat sekarang tidak begitu senang dengan kejayaan yang telah digapai oleh ummat Islam yang lain, bahkan ada di kalangan masyrakat sekarang yang menyimpan hasad sesama ahli keluarga. Lantas berlakulah perpecahan di kalangan ummat Islam. Kitalah yang merana dan menanggung akibatnya, sedangkan pihak musuh tersenyum lebar dan terus menyalakan api permusuhan di kalangan ummat Islam. Maka, amat perlu untuk kita kembali kepada dua sumber yang utama, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah agar hidup kita selamat di dunia dan akhirat.
Kesimpulannya, ummat Islam seharusnya memahami sedalam-dalamnya bagaimanakah ‘dengki’ yang dibenarkan syara’. Ianya bertujuan untuk mengelakkan ummat Islam daripada berpecah. Dan kembalilah kita kepada sumber utama Islam, Al-Quran dan As-Sunnah agar keharmonian dan kesejahteraan yang diinginkan dapat dicapai.
“Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada perasaan hasad dengki yang mampu memecah-belahkan ummat ini.. Campakkanlah ke dalam hati-hati ummat ini perasaan kasih sayang kerana-Mu, Ya Allah…” –SELAMAT BERAMAL-
0 comments:
Post a Comment