I made this widget at MyFlashFetish.com.

AHLAN YA RAMADHAN!!!

>> Friday, August 21, 2009

Setahun yang lalu, kita pernah berjumpa dengan tetamu yang istimewa ini. Tetapi, tidak kita ketahui sejauh manakah layanan kita terhadap tetamu yang amat istimewa itu. Tahun ini, kita bakal dipertemukan sekali lagi dengan si tetamu yang cukup mulia. Mereka yang mencari bekalan taqwa sudah tentu merasakan kegirangan yang amat dengan ketibaan tetamu yang mulia ini. Dialah Ramadhan, penghulu segala bulan.

Firman Allah dalam ayat 183, Surah Al-Baqarah, mafhumnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, difardhukan ke atas kamu untuk berpuasa seperti yang telah difardhukan ke atas umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu dari kalangan orang yang bertaqwa”

Saban tahun, kita sering mendengar ayat ini. Apatah lagi di dalam khutbah Jumaat di ambang Ramadhan, kita sering diingatkan oleh khatib agar mencari bekalan taqwa di dalam bulan ini.

Umum memang mengetahui fadhilat yang terkandung di dalam bulan ini. Di dalam Sohih Ibnu Khuzaimah, juzu’ yang ketujuh, terdapat sebuah hadith yang menerangkan fadhilat Ramadhan. Ada yang mengatakan bahawa Hadith ini dikategorikan sebagai maudhu’, tetapi saya telah menyemak dengan seorang pakar rujuk. Rasulullah penah bersabda di dalam sebuah hadith, mafhumnya:

“Ramadhan pada awalnya rahmat, di pertengahannya keampunan dan di akhirnya pembebasan dari api neraka”

Umum juga mengetahui bahawasanya Al-Quran itu diturunkan di dalam bulan Ramadhan mengikut qaul yang kuat. Di dalam bulan ini juga terdapat sebuah malam yang dijanjikan lebih baik dari seribu bulan. Itulah malam al-Qadr (Lailatul Qadr). Semua orang mengimpikan untuk mendapatkan malam yang amat istimewa itu. Tidak kiralah siapa jua, semuanya membicarakan tentang fadhilat malam yang cukup mulia itu. Semuanya itu merupakan motivasi untuk kita mencari Redha dan Cinta Allah.

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah bersabda, mafhumnya:

“Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan penghayatan maka akan diampunkan segala dosanya yang lalu”

Sungguh lumayan tawaran yang diberikan oleh Allah kepada umat Baginda S.A.W. Tetapi sejauh manakah kita memanfaatkan peluang yang Allah berikan ini?

Ada yang menyambut kedatangan Ramadhan ini dengan sambutan yang amat meriah. Mereka meraikannya dengan menambahkan lagi amal ibadat di dalam bulan tersebut sebagai tanda memuliakan kedatangan tetamu yang begitu mulia ini. Ada pula yang menyambutnya dengan sambutan ala kadar. Seolah-olah masih ada kesempatan untuk bertemu dengan Ramadhan pada tahun yang akan datang. Ada juga dari kalangan manusia yang menyambut kedatangan Ramadhan ini dengan hati yang cukup berat. Kelihatan seperti tidak begitu menyenangi dengan kehadiran tetamu ini.

Persoalannya, di manakah kedudukan kita? Madrasah Ramadhan ini menjanjikan sesuatu yang tidak ada pada bulan yang lain. Ia lebih berharga daripada dunia dan segala isinya. Adakah kita bersedia untuk berhadapan dengan tetamu ini? Sebuah Hadith Rasulullah yang masyhur, di kala Rasulullah sedang menaiki tangga mimbar untuk berkhutbah, Rasulullah melafazkan amin sebanyak tiga kali. Apabila ditanya, salah satunya Rasulullah mengaminkan, celakalah bagi siapa yang melepasi bulan Ramdhan akan tetapi Allah tidak mengampuni dosanya.

Beruntunglah bagi siapa yang diampunkan Allah di dalam bulan yang penuh barakah ini. Semoga kita semua tergolong di dalam golongan yang mendapat keampunan Allah dan pembebasan dari api neraka-Nya. Amin Ya Rabb…

0 comments:

Post a Comment

Our Blogger Templates Web Design

Kepada sesiapa yang ingin mengambil bahan dari blog ini, pihak kami mengalu-alukannya. Sebarkan bahan ini dengan sebaiknya untuk faedah dan kepentingan bersama. Syukran

NASYID FM

Sila download

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP