I made this widget at MyFlashFetish.com.

PERKONGSIAN FIQH: ARAK MENURUT ISLAM

>> Saturday, August 29, 2009

Belakangan ini banyak pihak yang member pandangan berhubung isu seorang model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno yang mengaku bersalah kerana meminum arak di sebuah kelab di Cherating. Kartika telah dijatuhkan hukuman sebat sebanyak enam sebatan beserta denda sebanyak RM 5000. Namun, hukuman itu telah ditangguhkan sehingga berakhirnya bulan Ramadhan.

Dalam akhbar yang sempat saya baca, Utusan Melayu dan Berita Harian edisi 26 Ogos 2009, ramai yang telah memberikan pandangan. Tidak kurang juga pemimpin kerajaan. Saya secara peribadi member pujian kepada Mahkamah Tinggi Syariah Pahang yang telah menjatuhkan hukuman sebat ke atas individu terbabit. Cuma, jika pujian itu dalam bentuk bintang saya tidak akan memberi lima bintang. Bahkan mungkin sahaja satu atau dua bintang. Satu pujian kepada pihak berwajib kerana masih mempunyai usaha untuk menjalankan undang-undang Islam di negara sekular ini.

Dalam hal ini, ada di kalangan pemimpin Barisan Nasional cuba bertukar wajah menjadi ustaz ataupun ustazah. Saya berasa sedikit hairan dengan kenyataan yang dikeluarkan. Dari manakah sumber yang mereka perolehi untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian?

Sejarah Pengharaman Arak

Bagi penuntut di bidang Syariah, Usuluddin dan seangkatan dengannya, mereka mengetahui (Insya Allah) bagaimanakah arak itu diharamkan. Menurut Imam Ibnu Hajar al-Asqolani di dalam kitabnya, Fathul Bari syarah Sohih Bukhari, arak diharamkan secara mutlak pada tahun kelapan hijrah. Pengahramannya tidak dilakukan secra sekali gus, bahkan berperingkat.

Pada mulanya Allah telah menyatakan bahawa arak itu mempunyai banyak mudarat dan sedikit sahaja manfaat yang diperoleh daripadanya. Allah menjelaskan hal ini di dalam Surah Al-Baqarah ayat 219. Umum mengetahui akan keburukan yang bakal diperoleh daripada arak. Namun dalam ayat tersebut Allah menyatakan terdapat sedikit manfaat yang mungkin boleh diperoleh daripadanya. Menurut pendapat ulama’ manfaat yang dimaksudkan dalam ayat tersebut ialah manfaat dari sudut maddiyyah (kebendaan). Iaitu hasil jualan arak itu sendiri. Ini kerana pada era jahiliyyah, arak boleh diperoleh hanya dari Syam. Jadi hasil jualan yang berlipat ganda itulah yang disebut manfaat dalam ayat ini.

Pada peringkat seterusnya, Allah telah melarang para sahabat daripada menunaikan solat dalam keadaan hilang akal (mabuk). Perkara ini dijelaskan oleh Allah di dalam Surah An-Nisa’ ayat 43. Pernah terjadi di zaman Rasulullah S.A.W seorang sahabat yang baru sahaja meminum arak lalu mengerjakan solat. Di dalam solatnya itu, sahabat tersebut telah tersilap membaca ayat Al-Quran dari surah Al-Kafirun. Maka atas sebab inilah ayat ini diturunkan.

Memasuki fasa terakhir pengharaman arak, Allah telah menyatakan arak itu sebagai najis. Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah di dalam Surah Al-Maidah, ayat 90-91, mafhumnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya minuman keras, berjudi, (berkorban untuk) berhala, dan mengundi nasib dengan anak panah, adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah (perbuatan-perbuatan) itu agar kamu beruntung. Dengan minuman keras dan judi itu, syaitan hanyalah bermaksud menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu, dan menghalang kamu dari mengingati Allah dab melaksanakan solat. Maka tidakkah kamu mahu berhenti?”

Ulama’ menjelaskan, kalimah rijsun dalam ayat tersebut adalah najis. Menurut Imam Hanafi, arak termasuk dalam kategori najis yang berat (mughallazah). Maka, menurut pendapat beliau pakaian yang terkena arak sebesar satu dirham tidak boleh dibawa di dalam solat. Adapun menurut pendapat ulama’ yang lain, arak itu najis. Bekas-bekas yang digunakan untuk mengisi arak tidak boleh digunakan untuk tujuan lain. Tetapi jika tiada bekas yang lain untuk digunakan untuk makan dan minum maka bekas tersebut boleh digunakan dengan sayarat mesti dibasuh terlebih dahulu. Perkara ini disabitkan dengan sebuah Hadith Rasulullah yang melarang para sahabat menggunakan bekas yang pernah digunakan untuk tujuan arak dan daging babi.

Syafaat Dalam Hudud

Dalam isu ini, Islam memandang serius kerana ia merupakan perkara dasar. Hukuman yang dikenakan ke atas peminum arak ialah hukuman had (hudud).

Saya terbaca kenyataan yang dikeluarkan oleh mantan PM Malaysia, Tun Dr Mahathir. Memang di dalam Islam, sesuatu hukuman yang dijatuhkan perlulah diadili dengan seadil-adilnya. Beliau menyatakan bahawa terdapat ayat yang menjelaskan perlu berhukum dengan adil. Beliau mempersoalkan, apakah dengan hanya tulisan daripada ulama’ tanpa ada satu perbahasan dalam sidang mengenai enakmen undang-undang syariah di negara ini ataupun fatwa daripada Majlis Fatwa boleh diikut?

Satu persoalan yang saya rasakan tidak sewajarnya ditanya. Apakah nilai keilmuan yang ada pada ulama’ mujtahid terdahulu lebih rendah berbanding ulama’ yang ada di dalam Majlis Fatwa yang kadang-kadang fatwanya tidak menjurus ke arah penyelesaian masalah lantaran dipengaruhi oleh satu pihak yang tidak tahu-menahu tentang perihal Islam? Memang di dalam Islam kita perlu berhukum dengan adil. Islam tidak pernha berkompromi di dalam hal yang berkaitan perkara dasar, yang mempunyai nas rajih daripada Al-Quran mahupun Hadith. Tidak kiralah walaupun sekali kesalahan yang dilakukan, jika sudah dibuktikan kesalahannya, cukup syarat dan sifatnya maka hukuman perlu dijatuhkan. Bukan bermaksud Islam itu zalim, tetapi pendirian yang tegas untuk mempertahankan kesuciannya.

Dalam isu yang saya ketengahkan ini, seolah-olah meminta pihak berwajib ‘memberi syafaat’ kepada si pesalah atas alasan ini kesalahan yang pertama kali dilakukannya.

Rasulullah pernah menegur seorang sahabat yang dilihat Baginda seperti memohon syafaat untuk kesalahan yang dilakukan oleh seorang wanita Ansar. Perkara ini dijelaskan Baginda di dalam Hadith Baginda yang memberi makna tidak ada syafaat (pertolongan) untuk mereka yang melakukan jenayah yang berkaitan dengan hudud.

Islam juga memang mementingkan soal tarbiyyah seperti yang dinyatakan oleh Dato’ Seri Najib. Tetapi seperti yang saya kemukakan, Islam tidak pernah berkompromi dalam perkara dasar. Jika halal, maka halal adalah jawapannya. Jika haram, maka haramlah yang perlu kita kat. Jika benar, benarlah, tetapi jika salah maka salahlah ia. Jelas di dalam Islam, tidak ada pertengahan di antaranya!

Bilangan Sebatan Menurut Syara’

Jika kita merujuk Sohih Muslim, bab hudud dalam hadith 3218, hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a, mafhumnya:

“Sesungguhnya Nabi telah dihadapkan dengan seorang lelaki yang minum arak lalu ia dihukum sebatan dengan dua pelepah tamar sebanyak empat puluh kali”

Di dalam Sohih Bukhari, bab hudud dalam hadith 6281, juga diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a mafhumnya:

“Sesungguhnya Nabi telah dihadapkan dengan seorang lelaki yang meminum arak lalu ia dihukum sebatan dengan dua pelepah sebanyak empat puluh kali. Kata Anas: Abu Bakar telah melaksanakan sebagaimana yang dilaksanakan Rasulullah. Apabila Saiyiduna Umar menjadi khalifah, beliau telah bermesyuarat dengan para sahabat (disebabkan ramai orang yang meminum arak dan tidak takut dengan empat puluh sebatan), berkatalah Abdur Rahman bin ‘Auf, seringan-ringan hukuman hudud (peminum arak) ialah lapan puluh sebatan. Lantaran itu Umar menyuruh melaksanakannya”

Jika kita perhatikan dua nas hadith di atas, Rasulullah dan Abu Bakar telah melaksanakan hukuman 40 kali sebatan ke atas peminum arak, sedangkan Umar 80 kali sebatan. Bukanlah bermaksud Umar melaksanakan bid’ah dholalah. Ini merupakan ijtihad di zaman beliau. Hal ini berikutan terdapat seorang lelaki yang meminum arak di zaman Rasulullah telah dijatuhkan hukuman sebat, di zaman Abu Bakar juga lelaki ini telah disebat, tetapi teap mengulangi perbuatan yang sama di zaman Umar al-Khattab. Dan pada waktu tersebut terlalu ramai yang meminum arak seolah-oleh mereka tidak gerun dengan hukum 40 kali sebatan. Maka atasa alasan inilah ijtihad di zaman Umar al-Khattab telah melaksanakan hukuman sebanyak 80 kali sebatan.

Jika kita merujuk kitab Fiqh Perundangan Islam, Dr Wahbah Zuhaili, beliau menerangkan bahawa hukuman 80 kali sebatan diguna pakai oleh jumhur ulama’, termasuklah pendapat daripada ulama’ Syafieah. Tetapi bagi mazhab Syafie yang lebih tepat ialah 40 kali sebatan berdasarkan nas hadith daripada Rasulullah S.A.W. Perkara ini juga dijelaskan di dalam kitab hadith Nailul Author.

Hukuman yang diperintahkan ini adalah bertujuan untuk mendidik, bukanlah membawa maksud Islam itu zalim. Namun, perkara ini disalah ertikan oleh seorang menteri yang lagaknya melebihi ustazah di dalam hal ini. Dato’ Seri Shahrizat nampak kurang setuju dengan hukuman yang dijatuhkan ke atas Kartika. Beliau menyifatkan undang-undang syariah Negara ini seperti menindas golongan wanita. Ya, ini kerana pihak pemerintah sendiri tidak mahu menerima Islam yang sebenar. Islam itu diturunkan untuk menyelamatkan golongan wanita yang tertindas di zaman jahiliyyah. Tetapi pemimpin Negara hari ini memilih jalan untuk mencipta neo-jahilyyah. Maka sudah tentu undang-undang yang dicipta oleh mereka juga tampak seperti menindas golongan wanita. Mereka ingin sekali masuk syurga, tetapi tidak mahu mengamalkan system Islam yang sebenar. Maka itu adalah jalan ke neraka!

Wajib Menjalankan Undang-undang Islam

Tidak ada yang perlu dipersoalkan lagi. Nampak seperti menggelabah. Apabila undang-undang bercorak keislaman hendak dijalankan, ia terpaksa ditangguh. Alasan yang diberikan, tidak ada orang yang professional untuk menjalankan hukuman yang dijatuhkan.

Perkara ini sudah menjadi Fardhu ‘Ain kepada kita semua terutama sekali pihak kerajaan untuk menyediakan orang yang dapat melaksanakan hukuman bercorak Islam. Kita tidak mahu ianya dijadikan sebagai satu alasan kenapa undang-undang Islam tidak dapat dijalankan. Kalaulah benar pihak yang memerintah mengamalkan dasar Islam yang betul maka sudah tentu perkara seperti ini tidak akan berlaku. Jelas, hanya omong-omongan kosong yang diungkapkan oleh mereka, sedangkan mereka sendiri yang menolak perlaksanaan Islam yang sebenar di dalam Negara ini.

Saya amat khuatir dengan situasi ini. Terlalu ramai pemimpin kita yang tidak faham Islam, mengaku faham tentang Islam lantas mengeluarkan ‘fatwa-fatwa’ yang boleh menyebabkan orang ramai terikut dengan mereka. Jika ini berlaku, mungkin inilah yang dimaksdukan Rasulullah di dalam hadith Baginda tentang golongan ruusan juhhalan (pemimpin yang jahil). Apabila mereka berfatwa orang mengikut mereka. Mereka sesat bahkan menyesatkan.

Tidak sewajarnya mereka mengeluarkan pandangan dalam isu seperti ini kerana mereka perlu tahu siapa mereka. Kalau ingin ke syurga, pilihlah jalan ke syurga (Islam keseluruhan), bukan memilih jalan ke neraka (Islam had-hari; pagi Islam petangnya kufur)!

Sekian

Ikhwan Hafiz
26 Ogos 2009
Selangor Darul Ehsan

P/s: pembaca boleh merujuk di laman Ustaz Yusaini, Ustaz Zaharuddin, Ustaz Hasrizal, Ustaz Wan Ji

0 comments:

Post a Comment

Our Blogger Templates Web Design

Kepada sesiapa yang ingin mengambil bahan dari blog ini, pihak kami mengalu-alukannya. Sebarkan bahan ini dengan sebaiknya untuk faedah dan kepentingan bersama. Syukran

NASYID FM

Sila download

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP