I made this widget at MyFlashFetish.com.

MU’MIN; PAKEJ 2 IN 1

>> Sunday, October 18, 2009

Belum sempat Ihtifal Ilmi melabuhkan tirainya, saya terus bergegas pulang ke Kedah. Pulang memenuhi jemputan sahabat-sahabat dari SMKAB untuk berprogram bersama adik-adik mereka. Turun atas stand Pengerusi Alumni Kepimpinan Pelajar Islam Kedah, ada misi yang perlu dilaksanakan. Memandangkan adik saya, Abu Qohafah tidak dapat turun ke program ini, maka saya ditugaskan untuk menggantikannya member pengisian kepada adik-adik SMKAB.

Perjalanan mengambil masa berjam-jam lamanya, beberapa pengalaman sempat ditimba. Pengalaman pertama dalam hidup saya apabila seorang Katolik mengajak bermunaqasyah mengenai agama. Berat hati pada mulanya, namun disebabkan persoalan terus diajukan saya cuba menjawab semampu yang mungkin.

Tiba di Alor Setar pada jam 8.00 pagi. Abdul Ghafur menjemput saya dari stesen menuju ke Darus Sofwah untuk khidmat diri. Selesai bersarapan, saya meneruskan perjalanan ke Baling bersama Asyraf dan Anas, penuntut jurusan Ilmu Wahyu di UIA Nilai. Mata terlalu berat untuk dibuka, lantaran degil untuk berjaga pada malamnya di atas tren.

Tiba di hadapan SMKAB pada jam 1.15 petang. Saya menunggu bersama dua orang sahabat di hadapan sekolah sebelum kami masuk bersama adik Abdul Muhaimin, bekas pelajar MMY. Sempat juga untuk berehat sebelum memulakan program bersama adik-adik SMKAB. Taklimat fasilitator yang sepatutnya dibuat pada tengah hari ditunda hingga ke malam, selepas Isya’.

Program berjalan lancar selama 3 hari 2 malam. Banyak yang diperolehi melalui program ini. Ditambah degan kehadiran ayahanda Cikgu Sukarno sebagai salah seorang tenaga yang memberi pengisian dirasakan amat berharga.

Koordinator dan Fasilitator

Dalam apa jua program, kedua-dua aktor tidak dapat dipisahkan. Koordinator program bertindak untuk menjadikan program sentiasa dalam keadaan yang terbaik dan berjalan lancar, tak kiralah apa jua posisi yang diletakkan.

Sementara itu, fasilitator akan berperanan sebagai pemudah cara untuk para peserta memahami objektif dan matlamat yang ingin disampaikan melalui program tersebut. Tidak kiralah apa pun caranya, yang pasti mereka ini akan berusaha sedaya yang termampu untuk memahamkan peserta tentang objektif yang ingin disampaikan. Ada fasilitator yang berperanan sabagai penceramah, ada juga sebagai kaunselor. Namun, perlu diingat. Fasilitator hanya sebagai penunjuk jalan, memberi joran kepada si pemancing, bukan sebagai tukang pancing dan member ikan kepada pemancing yang sebenar.

Apa pun yang diketengahkan, ianya mempunyai kaitan yang amat rapat dari sudut tarbiyyah. Sudah tentu kita masih ingat kisah Rasulullah S.A.W menyeru bapa saudaranya Abu Talib untuk memeluk Islam hingga di saat akhir hayat bapa saudara Baginda. Satu perkara yang wajib kita imani, bagaimanapun usaha kita untuk memprogramkan peserta program, hanya Allah jua yang memberi hidayah. Satu perkara yang kita sering terlepas pandang apabila peserta yang kita programkan itu tidak menunjukkan kesan daripada program yang dilaluinya.

Namun, bukan bermakna kita perlu tinggalkan usaha. Usaha itu perlu, tawakkal itu wajib. Kedua-dua elemen ini perlu seiring. Tidak boleh kita tinggalkan tawakkal dengan hanya menggunakan wasilah usaha, dan amat salah jika kita hanya bertawakkal tanpa adanya usaha.

Tarbiyyah dan Mentarbiyyah

Program yang dimaksudkan di sini ialah program pencerahan, program islah, program tarbiyyah dan sebagainya. Selalunya kita gemar sekali untuk mentarbiyyah, namun jarang sekali kita melihat orang yang suka untuk ditarbiyyah. Tanyalah kepada siapa pun, jika diprogramkan sudah tentu berat hati untuk melangkah pergi. Tapi jika memprogramkan, silap-silap kitalah orang yang pertama memberi nama untuk member khidmat tenaga.

Kenapa hal ini terjadi?

Saya mula aktif dalam program sejak berumur 13 tahun. Mungkin juga boleh dikatakan hobi untuk berprogram. Tapi seperti yang dinyatakan, terkadang berat juga hati untuk melangkah. Di situ memerlukan pencerahan niat supaya apa yang diniatkan selari dengan kehendak Allah. Melihat situasi setiap program yang pernah dilalui, saya mempunyai pandangan tersendiri.

Satu ketika, seorang sahabat saya pernah berdebat dengan koordinator program tentang soal taklifat. Ketika itu saya baru berusia 17 tahun. Antara taklif program yang diberikan kepada kami ialah zikir sebanyak 3000 kali sehari. Katanya, tidak perlu zikir sebanyak itu jika hati terpaksa. Coordinator program memberi jawapan balas, mana kita tahu kalau-kalau di dalam jumlah yang sebanyak itu da satu zikir yang dikira ikhlas di sisi Allah. Kami terdiam.

Apa yang ingin saya kongsikan, tarbiyyah itu bukan menurut kemahuan. Tarbiyyah ini bersifat keperluan. Sebagai manusia, tarbiyyah amat diperlukan bagi mengisi jiwa yang sering kekeringan lantaran dosa yang sering dilakukan. Namun, sebagai pentarbiyyah juga perlu kita sedar. Dalam kita mentarbiyyah, sudah tentu kita tidak mahu hasil yang sia-sia. Jadi, mulakan dengan sedikit. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, kata pepatah melayu.

Tidak jadi jika persoalan tarbiyyah hanya ditumpukan pada program-program yang khusus. Sedangkan pada hari-hari yang lain, kita membiarkan jiwa kita tanpa diisi. Kerana itu, Al-Quran telah menegaskan kepada kita untuk saling mengingatkan antara satu sama lain kerana ianya mendatangkan manfaat kepada mu’min.

Kalau di dalam sesebuah program kita meletakkan taklifat yang begitu tinggi terhadap peserta, maka sewajarnya sebagai coordinator program untuk merasai taklifat yang bersifat dua kali ganda daripada peserta. Kerana mustahil jiwa yang kotor mampu untuk membersihkan jiwa yang lain.

Ayuh,lakukan anjakan!

P/s: Perkongsian ini dicoret untuk tatapan semua. Tidak kira siapa pun kita, elemen muhasabah perlu diterapkan.

Saya menyedari hal ini, mungkin juga ada di kalangan kita juga menyadari hal ini. Sebagai pemuda, kita adalah agen perubah. Maka sewajarnya kita perlu mengubah pekara dasar di dalam diri kita seiring dengan tugas mengislah jiwa yang lain.

0 comments:

Post a Comment

Our Blogger Templates Web Design

Kepada sesiapa yang ingin mengambil bahan dari blog ini, pihak kami mengalu-alukannya. Sebarkan bahan ini dengan sebaiknya untuk faedah dan kepentingan bersama. Syukran

NASYID FM

Sila download

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP