I made this widget at MyFlashFetish.com.

CERITA DISKUSI

>> Tuesday, October 20, 2009

Cerita 1:

Saya menghadiri satu usrah bersama sahabat-sahabat di kampus. Antara yang hadir ialah saudara MarBu. Usrah yang dimulakan dengan tazkirah daripada saudara Irfan, diteruskan dengan perkongsian pengalaman yang pernah saya alami baru-baru ini. Selesai berkongsi, saya melontarkan beberapa pandangan megenai persoalan yang sering menghantui ahli gerakan sehingga menyebabkan kelesuan dalam bergerak.

Saudara MarBu merancakkan lagi usrah pada hari tersebut dengan membuka satu slot mencabar persepsi. Antara yang dilontarkan dalam sesi tersebut ialah:

1) Hadis umat Islam kembali dagang
2) Hadis mencegah kemungkaran
3) Perihal ahli gerakan yang banyak melihat kepada tokoh-tokoh perjuangan masa kini tanpa mengambil kira peranan generasi terdahulu

Satu perkongsian yag menarik. Saya bersetuju dua daripadanya. Tetapi mengenai hadis umat Islam kembali dagang, saya mempunyai pandangan tersendiri.


Cerita 2:

Selesai sesi tasmi’, saya bergerak ke kafeteria. Di sana, saya sempat berkongsi buah fikiran bersama naqib saya sendiri, akh Syazrin. Apa yang dilontarkan itu bertepatan dengan apa yang saya fikirkan. Kami membincangkan tentang kelesuan yang terjadi di kalangan pemuda hari ini, khususnya mereka yang bergelar huffazul Quran.

Akh Syazrin memberi gambaran kepada saya dan beberapa orang sahabat yang turut bersama mendengar perbincangan kami tentang kepentingan menguasai ilmu dan membentuk semula tamadun.


Umat Islam Kembali Dagang

Saudara MarBu tidak bersetuju jika kita mengatakan bahawa umat Islam pada hari ini kembali dagang kerana mengambil kira faktor kebangkitan umat Islam pada hari ini. Beliau mengatakan bahawa zaman dagang yang dimaksudkan ialah zaman ketika pasca kebangkitan umat Islam yang pernah dipelopori oleh Jamaluddin al-Afghani.

Saya tetap mengatakan bahawa umat Islam pada hari ini merupakan generasi ghuraba’. Ittifaq ulama’ mengatakan zaman kedatangan Islam itu adalah zaman pencerahan aqidah dan tamadun daripada kegelapan jahiliyyah. Tetapi zaman tersebut menampakkan Islam dipandang asing oleh masyarakat yang hidup pada waktu itu sehinggalah tersebarnya Islam di serata dunia. Dan saya mengatakan bahawa umat Islam tetap akan kembali menguasai dunia seperti yang dijanjikan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Kalau dilihat pada situasi yang melanda umat Islam sekarang, sudah tentu kita akan mengatakan bahawa umat Islam mempunyai kekuatan yang cukup ramai. Namun apa yang terjadi pada hari ini, umat Islam kebanyakan lebih membawa haluan hidupnya sendiri tanpa memikirkan kerosakan yang menimpa. Jika dikira dari segi kuantiti, sememangnya kita umat Islam memiliki jumlah yang cukup ramai. Tapi proses islamisasi itu tidak berlaku di setiap tempat, bahkan kita juga perlu melihat ke arah diri sendiri apakah proses islamisasi itu telah berlaku di dalam diri kita?

Jamaluddin al-Afghani pernah berkata, “aku melihat islam di eropah tetapi aku tidak melihat ramainya umat islam di sini. Tetapi aku melihat ramainya umat islam di tanah arab tetapi aku tidak melihat islam di sini”. Lantaran itu, terbukti bahawasanya amat sedikit golongan yang benar-benar memperjuangkan Islam di atas dasar meninggikan syariat Islam itu sendiri.

Namun, awas bagi hati-hati yang merasakan bahawa mereka merupakan pendokong panji Islam. Syeikhuna Ustaz Fathi Yakan menyebut di dalam kitabnya yang diterjemahkan di dalam Bahasa Melayu, Apa Erti Aku Menganut Islam bahawa manusia ini mempunyai tiga golongan. Salah satu golongan yang disebutkan ialah golongan yang tertipu di dunia dan di akhirat, Na’uzubillah.


Pengaplikasian Gagasan Iqra’

Melihat fenomena yang melanda umat hari ini sudah tentu mendatangkan seribu satu persoalan. Kita telah dijanjikan jika berpegang dengan Al-Quran dan Sunnah maka seluruh kehidupan kita akan Berjaya, bahkan seisi dunia turut merasai tempiasnya. Bagaimana umat terdahulu telah membuktikan dengan kejayaan yang gemilang apabila Islam Berjaya membentuk tamadun yang cukup disegani sehingga masyarakat barat turut ‘mencedok’ mutiara yang ada pada Islam.

Lihat sahaja kegemilangan yang pernah dirasai oleh umat Islam ketika zaman pemerintahan Bani ‘Abbasiyyah. Penyebaran ilmu terus dilakukan secara meluas sehingga pada waktu itu tertubuhnya sebuah perpustakaan yang dipanggil Baitul Hikmah. Kegemilangan itu terhasil kerana gagasan Iqra’ yang pernah diwahyukan kepada Rasulullah difahami dan diaplikasikan secara meluas.

Dalam satu siri ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Zamri, beliau menerangkan maksud Iqra’ itu sendiri bukan hanya bertumpu pada “bacalah”. Bahkan iqra’ itu amat luas pengertiannya. Antaranya ialah penilitian, pengkajian, analisis dan segala yang berkaitan dengannya. Fenomena yang melanda ahli gerakan pada hari ini, mereka terlalu bersemangat untuk membentuk sebuah Negara yang adil berasaskan ciri-ciri Islam. Namun yang menjadi persoalannya kini, bagaimanakah dengan persediaan?

Akh Syazrin sempat melontarkan satu soalan, seandainya pada hari ini negara yang diimpikan selama ini berjaya didirikan, apakah kita mampu menghapuskan sistem barat yang amat jelas bertentangan dengan prinsip Islam? Apakah mampu kita menghapuskan sistem dualisme dalam pendidikan atau sekularisme dalam pemerintahan? Ini kerana kita terlalu ghairah untuk mengejar sesuatu tanpa memiliki persediaan yang cukup.

Saya tidak bermaksud kita tidak boleh ghairah dalam mengejar sesuatu yang kita inginkan, apatah lagi perkara yang kita impikan itu adalah perkara yang bertepatan dengan syara’. Tetapi perlu juga kita memiliki persediaan yang rapi kerana zaman ini adalah zaman perang saraf, bukan zaman mengangkat senjata!


Mentamadunkan Politik

Saya sekali-kali tidak menafikan, untuk mendapatkan kuasa pemerintahan perlulah melalui politik. Tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawasanya politik itu merupakan salah satu rukun yang perlu dipandang serius oleh setiap lapisan masyarakat.

Melihat keadaan politik negara-negara di dunia ini menampakkan satu bentuk politik yang tidak bertamadun. Keadaannya sama seperti keadaan jahiliyyah. Menurut Ustaz Ridhwan Mohd Noor jahiliyyah yang melanda umat hari ini adalah neo-jahiliyyah (jahiliyyah versi alaf 21). Adalah menjadi tanggungjawab ahli gerakan untuk memastikan politik hari ini ditamadunkan semula seperti yang pernah berlaku ketika era pemerintahan Islam.

Hanya tamadun yang berasaskan pengetahuan sahaja yang berupaya membentuk suasana politik yang kondusif. Jika kita tidak berusaha memahami tamadun neo-jahiliyyah ini, maka apabila kuasa pemerintahan itu berjaya dimiliki akan terciptalah sebuah jahiliyyah yang baru. Memahami Islam itu adalah wajib, dan memahami sepak terajang jahiliyyah itu juga wajib.

Ayuh, koreksi diri! Optimumkan usaha untuk mencapai sebuah tamadun yang gemilang. Dari situ akan lahirlah generasi yang terbilang, Insya-Allah.

0 comments:

Post a Comment

Our Blogger Templates Web Design

Kepada sesiapa yang ingin mengambil bahan dari blog ini, pihak kami mengalu-alukannya. Sebarkan bahan ini dengan sebaiknya untuk faedah dan kepentingan bersama. Syukran

NASYID FM

Sila download

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP