NEGARA ISLAM; MENJAWAB PERSOALAN YANG TIMBUL (SIRI 1)
>> Wednesday, March 18, 2009
Pada 7 Februari 2009, saya diberi kesempatan dan peluang untuk menghadiri satu seminar yang diadakan di Dewan Kuliah Utama, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Seminar tersebut diberi nama “Seminar Isu-Isu Tamadun Umat Di Malaysia”. Beberapa kertas kerja telah dibentangkan pada hari tersebut di hadapan sejumlah mahasiswa dan mahasiswi dari beberapa pusat pengajian tinggi, baik awam mahupun swasta. Saya anggarkan kehadiran pada hari tersebut berjumlah dua ratus orang.
Seminar dimulakan dengan pembentangan kertas kerja yang pertama yang bertajuk “Gerakan Pemikiran Aliran Baru dan Cabarannya Terhadap Umat Islam”. Mungkin saya tidak perlu sertakan nama pembentang atas maslahah tertentu. Namun bagi siapa yang menghadiri seminar tersebut sudah cukup untuk memberi gambaran awal terhadap pembentang tersebut yang disifatkan sebagai tokoh ilmuan di Malaysia. Pembentangan selama hampir dua jam itu berjaya menarik perhatian dan minat pendengar untuk mendengar kupasan pembentang tersebut.
Antara sub-topic yang terkandung di dalam kertas kerja tersebut ialah fahaman Islam Liberal, gerakan Syi’ah, gerakan Wahhabiah, Orientalisme dan pemikiran secara sekular. Saya tidak berhajat untuk mengulas dengan panjang lebar mengenai tajuk-tajuk yang terkandung di dalam kertas kerja tersebut. Untuk entri kali ini, saya lebih berminat untuk menyentuh kupasan pemikiran secara sekular yang disampaikan oleh pembentang pada hari tersebut. Mungkin juga minat saya untuk menulis tentang perkara ini kerana janji saya untuk membincangkan hal ini dari sudut ilmiah kepada sahabat-sahabat di kampus. Saya dahului segala kekhilafan dengan Wallahu a’alam.
Pemikiran Secara Sekular
Dalam bab yang dibincangkan pada hari seminar tersebut, semestinya telah mengundang perhatian para audiens untuk mendengar dengan lebih jelas tentang apa yang disampaikan. Pada awal perbincangan tajuk ini, pembentang terlebih dahulu menyatakan bahawa MALAYSIA merupakan sebuah NEGARA ISLAM. Saya mengira saya tidak salah mendengar memandangkan respon dari survey yang saya jalankan selepas itu memberi respon yang hampir sama kesemuanya. Tafsiran pemikiran secara sekular yang dinyatakan oleh pembentang ialah mereka yang terpengaruh dengan cara berfikir memisahkan agama daripada ruang awam (bukan hanya politik). Inilah alasan yang digunakan oleh pembentang untuk menyatakan pendiriannya bahawa Malaysia merupakan sebuah negara Islam.
Beliau juga menyatakan bahawa kerajaan sentiasa memberi ruang kepada umat Islam di negara ini untuk mengamalkan Islam itu sendiri. Kerajaan tidak pernah mengahalang mana-mana rakyat yang beragama Islam atau penganut agama lain untuk mengamalkan ajaran yang mereka anuti dan mengamalkan ajaran yang mereka anuti dalam kehidupan seharian. Selain itu kerajaan juga telah mewartakan bahawa Islam ialah agama rasmi di dalam pentadbiran kerajaan sekarang. Beliau menegaskan bahawa Malayasia tidak seperti Perancis atau negara-negara lain yang tidak memebri ruang kepada umat Islam untuk mengamalkan ajarannya, sehingga mereka ini dibuang kerja atau disingkirkan dari pusat pengajian hanya kerana mengamalkan syariat Islam.
Apa yang disampaikan oleh pembentang pada hari tersebut sememangnya mengundang reaksi kurang senang bagi mereka yang mempunyai sedikit kefahaman tentang negara Islam. Dalam sesi Q&A, seorang mahasiswa mempertikaikan apa yang dimaksudkan oleh pembentang tentang negara Islam dan pemikiran sekular. Mahasiswa tersebut menimbulkan persoalan apakah cukup untuk kita katakan Malysia sebuah negara Islam hanya kerana Malaysia memberi kebebasan kepada seluruh penduduk untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing, lebih-lebih lagi Islam. Dan apakah cukup untuk kita katakan bahawa Malaysia negara Islam hanya kerana agama rasmi negara ialah Islam. Bagi saya TIDAK! Persoalan ini cuba dijawab oleh pembentang kertas kerja ini tetapi saya dan beberapa mahasiswa yang lain berpendapat jawapannya itu bukan untuk menjawab tetapi sekadar melepaskan diri daripada bebanan yang bakal digalasnya kelak. Beliau menegaskan bahawa British datang ke Tanah Melayu membawa satu sistem pentadbiran yang baru, dengan mengkhususkan individu-individu tertentu untuk berada dalam bidang tertentu. Misalnya di dalam urusan pentadbiran diletakkan golongan-golongan korporat dan bukannya tugas ustaz-ustaz untuk mentadbir kerana mereka mempunyai jobscope mereka yang tersendiri. Beliau mengatakan Rasulullah juga pernah membahagikan tugas kepada individu tertentu dalam tugas tertentu.
Saya berpendapat, beliau cuba mengelirukan fakta. Survey yang saya lakukan sudah cukup memberikan jawapan. Rata-rata peserta yang hadir pada hari tersebut agak keliru dengan tafsiran negara Islam dan sekular. Persoalannya, apakah Rasulullah S.A.W terlalu naïf untuk mentadbir sehingga beliau berpandangan apa yang dilakukan Rasulullah S.A.W itu sama seperti apa yang dilakukan British yang membawa dasar ‘administrative arrangement’? Apakah beliau tidak menyedari bahawa Rasulullah S.A.W tidak memisahkan agama bukan sahaja dalam soal kehidupan harian, bahkan soal politik juga tidak sama sekali!
Bersambung...
0 comments:
Post a Comment