NEGARA ISLAM; MENJAWAB PERSOALAN YANG TIMBUL (SIRI 3)
>> Thursday, March 19, 2009
Takrif Negara Islam
Kebanyakan pengkaji yang menulis tentang topik sekitar negara Islam sama ada sedar atau tidak sedar, pengistilahan negara Islam sebenarnya tidak diberikan secara langsung oleh fuqaha’ terdahulu. Kebanyakan dari kalangan mereka hanya menyebut ciri-ciri yang wajar wujud untuk sesebuah negara untuk dikenali sebagai negara Islam sahaja. Bagaimanapun ciri-ciri yang dikemukakan itu mirip menyerupai takrif/definisi. Sehingga menyebabkan ciri-ciri yang disebutkan oleh fuqaha’ mazhab itu telah disalah anggap sebagai takrif/definisi oleh pengkaji terkemudian.
Sememangnya tidak dinafikan terdapat perselisihan di dalam perbahasan mengenai ciri-ciri negara Islam. Ada di kalangan fuqaha’ yang menyebut bahawa sesebuah negara dikenali sebagai negara Islam dengan menggunakan sandaran kepada kekuasaan, pendudukan umat Islam, perlaksanaan hukum, keamanan berpihak kepada muslimin dan sebagainya. Di dalam kesempatan yang ada ini kita dapat memetik beberapa pendapat fuqaha’ terdahulu mengenai negara Islam bagi menjelaskan terdapatnya khilaf yang dinyatakan.
Al-Imam Abu Yusuf berkata: “Negara yang dikira negara Islam dengan terlaksananya hukum Islam di dalamnya walaupun kebanyakkan penduduknya adalah di kalangan orang-orang Kafir. Dan dikira sesebuah Negara itu ‘kufr’ kerana berjalannya hukum kafir padanya walaupun kebanyakkan penduduknya adalah dikalangan orang-orang Islam.”
Al-Imam As-Zarkhasi; menyebut: “Negara Islam adalah apa yang dinamakan pada suatu kawasan yang dikuasai oleh umat Islam, dan umat Islam berada dalam keamanan.”
Berkata Al-Imam Ar-Rafi’e: “ Tidak disyaratkan sesebuah negara Islam itu padanya umat-umat Islam, berpada dengan penguasaan berpihak kepada kepimpinan yang Islam.”
Berkata Ibnu Muflih Al-Hambali, “Setiap negara yang dikuasai hukum Islam, maka negara tersebut adalah negara Islam, dan jikalau dikuasai hukum kafir, maka negara tersebut adalah negara ‘kufr’.”
Berkata Ibnu Hazm Az-Zahiri, “Sesuatu negara boleh dinisbahkan kepada pengaruh, penguasa dan orang yang merajai negara tersebut.”
Walau bagaimanapun Ibnu Qayyim Al-Jauziah menukilkan bahawa Jumhur Fuqaha’ sepakat berpendapat: negara Islam didefinasikan sebagai: “Sebuah kawasan (Negara) yang didiami dan dikuasai oleh umat Islam dan terlaksana padanya hukum-hukum Islam. Maka, negara yang tidak menjalankan hukum Islam tidak dinamakan negara Islam.”
Kesimpulan; Dapat difahami melalui takrif yang dikemukakan oleh Ibnu Qayyim Al-Jauziah bahawa sesebuah negara Islam dikenali kerana padanya terdapat dua asas utama yang disebut sebagai “tertegak pemerintahan umat Islam, dan terlaksana hukum-hukum Islam.” Oleh itu negara yang tidak didiami oleh umat Islam sekalipun sekiranya terlaksana hukum-hukum Islam dan dikuasai umat Islam juga boleh dinamakan negara Islam.
Perbahasan Ulamak Muasarah:
Antara Ulamak dan cendiakawan Muasarah yang terlibat mendefinisikan negara Islam adalah seperti Al-Mujaddid Al-Maududi, Syeikh Abu Zahrah, Al-Ustaz Sayid Qutub Syeikh Abdul Qadir Audah, Al-Marhum Sheikh Abdul Wahab Khalaf, Dr. Wahbah Az-Zukhaily, Dr. Muhammad Said Ramadhan Al-Buthi, Dr. Abdul Karim Zaidandan Dr. Muhammad Khair Haikal di dalam tesis PHDnya yang berjudul Al-Jihad Wal-Qital fi al-Siasah As-Syar’iyah
Kesimpulan;Takrif-takrif yang dikemukakan oleh para ulamak muasarah tidak jauh bezanya dengan ciri-ciri negara Islam yang disebut oleh para ulamak silam terdahulu. Ini kerana sebahagian mereka cenderung dengan apa yang dikemukakan oleh ulamak terdahulu sebagai ciri-ciri negara Islam untuk dijadikan takrif sesebuah negara Islam.
Melihat kepada beberapa takrif yang dikemukakan oleh ulamak muasarah tersebut bolehlah dibuat beberapa kesimpulan antaranya:
i. Negara Islam didefinisikan sebagai sebuah negara yang terlaksana padanya hukum-hukum Islam.
ii. Ditadbir oleh imam atau pemerintah Islam.
iii. Keselamatan dan keamanan berpihak kepada umat Islam.
Perkara (i) dan (ii) yang dinyatakan adalah titik pertemuan di antara pentakrifan yang dikemukakan ulamak muasarah dengan pencirian yang diberikan oleh ulamak terdahulu sedang perkara (iii) adalah titik perselisihan di mana sebahagian menyebut dan sebahagian yang lain tidak menyebut.
Asas Negara Islam
Bagi memastikan kebenaran disebalik pembuktian bahawa perlaksanaan undang-undang Islam merupakan syarat sesebuah Negara itu adalah Negara Islam atau tidak adalah seperti berikut ;
1. Surah AlHaj : 40-41
Maksudnya ;
“Sesungguhnya Allah pasti menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam),
Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; *. Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta menunaikan zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar, dan kepada Allahlah kembali segala urusan”
Dalam firman Allah ini, dijelaskan beberapa ciri-ciri Negara Islam, iaitu adalah seperti berikut;
a. mendirikan solat
b. menunaikan zakat
c. menyuruh melakukan me’ruf dan mencegah dari berlakunya mungkar
2. Surah AnNur : 55
Maksudnya :
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan-Ku dengan sesuatu pun. Dan barangsiapa yang (tetap ) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik”
Dalam ayat ini pula, Allah menyatakan ada 3 lagi sifat Negara Islam, iaitu seperti berikut;
a. orang-orang mukmin berkuasa di muka bumi
b. agama yang diredhai teguh dan dalam dilaksanakan
c. wujud keamanan untuk umat Islam
Kewajipan Membentuk Kerajaan Islam
Tanggungjawab setiap pimpinan (wakil rakyat) Islam adalah wajib membentuk Kerajaan Islam yang melaksanakan pemerintahan atas prinsip Islam dan amalan syariat Allah. Dengan itu umat Islam akan mampu melaksanakan semua amal ibadat, hukum dan syariat Allah serta amal Islami secara keseluruhan demi mencapai keredhaan Allah di Dunia dan di Akhirat.
Al Mawardi, Abu Yu’la, Ibnu Khaldun dan lain-lain menegaskan: “Muhammad sudah wafat, maka agama ini sudah pasti memerlukan orang yang mengurusnya”. Ibnu Hazam Al Andalusi menjelaskan para ulama’ bersatu pendapat dalam mengatakan bahawa menegakkan Kerajaan Islam itu adalah wajib, maka seluruh umat berkewajipan melakukan taat kepada Imam yang adil yang menegakkan ke atas mereka hukum hakam Allah, yang mentadbir dan memerintah mereka dengan syariat Allah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.
Ibnu Khaldun menegaskan bahawa:"Kekhalifahan (pimpinan umat) harus mampu menggerakkan umat untuk bertindak sesuai dengan ajaran Islam dan menyeimbangkan kewajiban di dunia dan akhirat. (Kewajiban di dunia) harus pilih pemimpin secara syarie dalam konteks demokrasi Malaysia seimbang (dengan kewajiban untuk akhirat), seperti yang diperintahkan oleh Nabi Muhammad, semua kepentingan dunia harus mempertimbangkan keuntungan untuk kepentingan akhirat. Kesimpulannya, (Kekhalifahan) pada kenyataannya menggantikan Nabi Muhammad, beserta sebahagian tugasnya, untuk melindungi agama dan menjalankan kekuasaan politik di dunia."
Imam Taqiyyuddin An Nabhani menyatakan bahawa kepemimpinan kaum muslimin adalah untuk menegakkan hukum-hukum Syariat Islam dan mengembang (dakwah) risalah Islam ke seluruh dunia.
Penutup
Setelah kita melihat serta meniliti hujah-hujah yang dikemukakan, dapat kita simpulkan bahawa sesebuah negara Islam itu bukan sahaja perlu diperintah oleh orang Islam tetapi ia juga perlu melaksanakan hukum dan syariat Islam. Agenda sekularisme merupakan satu agenda yang tersusun serta pantas mengelabui mata umat Islam. Mungkin sahaja mereka (penjajah dahulu) tidak membawa unsur-unsur sekularisme secara jelas (kononnya) tetapi dasar memisahkan agama dari pentadbiran sudah cukup untuk menjawab persoalan ini.
Kesimpulannya, terdapat perbezaan antara negara umat Islam dan negara Islam. Jika negara yang mempunyai penduduk Islam yang ramai, diperintah orang Islam, agama rasminya ialah Islam tetapi tidak melaksanakan hukum-hakam Islam, maka ianya belum layak untuk digelar negara Islam. Ini kerana perlaksanaan Islam itu mestilah bersifat syumul (menyeluruh).
Wallahu a’alam.
Rujukan:
[1] Kertas Kerja; Kedudukan Ahlul Zimmah Dalam Negara Islam
[2] Kertas Kerja; Gerakan Pemikiran Aliran Baru dan Cabarannya Terhadap Umat Islam
[3] Negara Islam Dan Ahlul Zimmah (sila klik)
2 comments:
salam..mengikut libertarian, 4 doktrin asas classical liberal adalah;
1)individu merdeka
2)kerajaan terhad
3)pasaran bebas
4)kedaulatan undang2
adakah asas tersebut kena dengan 'negara islam'?
Post a Comment