NEGARA ISLAM; MENJAWAB PERSOALAN YANG TIMBUL (SIRI 2)
>> Wednesday, March 18, 2009
Definisi Negara Islam Yang Disalah Ertikan
Ada sebilangan penulis-penulis agama yang berpendapat seperti pendapat pembentang kertas kerja di atas. Ianya merujuk kepada definisi negara Islam yang dikemukakan oleh Imam Abu Hanifah. Menurut mereka, Imam Abu Hanifah mendefinisikan negara Islam sebagai negara yang dikuasai oleh orang Islam. Tidak disyaratkan perlaksanaan undang-undang Islam untuk menentukan negara itu adalah negara Islam.
Penghujahan dari ulama’-ulama’ berkepentingan ini adalah dakwaan yang tidak disandarkan kepada kajian ilmiyyah yang betul. Ini adalah kerana, cara penghujahan mereka itu merupakan penghujahan yang bersifat “mengambil separuh”, tanpa merujuk kepada maksud sebenar yang dikehendaki oleh Imam Abu Hanifah dalam memberi sesuatu definisi berkenaan maksud negara Islam.
Dalam pengajian Mantiq, sesuatu definisi itu hendaklah dipastikan mempunyai unsur “jami’ dan mani’”, iaitu definisi itu merangkumi dan menyuluruh semua objek yang hendak didefinisikan, di samping membuangkan dan mengeluarkan segala objek yang tiada kaitan dan hubungan dengan definisi yang diberikan.
Kadangkala ulama’-ulama’ besar seperti Imam Abu Hanifah hanya mengeluarkan sesuatu definisi dengan bentuk yang tidak jami’, tetapi ianya disempurnakan dengan perbahasannya dalam tajuk yang lain. Faktor pendefinisian dilakukan sedemikian kerana melihat kepada suasana dan keadaan masyarakat di zaman tersebut yang sememangnya mereka sudah faham dengan maksud definisi yang diberikan tersebut.
Pun begitu, ekoran zaman sudah berubah, corak pemikiran masyarakat di zaman sekrang tidak sama dengan corak pemikiran masyarakta di zaman sebelum ini. Ini menyebabkan golongan sekarang melihat maksud definisi itu hanya pada pandangan zahir sahaja, tanpa merujuk kepada maksud sebenar di sebalik definisi yang telah diberikan oleh Imam Abu Hanifah.
Pendifinisian yang dimaksudkan oleh golongan yang mendakwa bahawa negara Islam tidak disyaratkan perlaksanaan undang-undang Islam adalah definisi Imam Abu Hanifah yang menyatakan:
“Maksud sandaran “Dar” kepada Islam atau kafir itu sendiri bukanlah berdasarkan kepada Islam dan kafir itu sendiri, sebaliknya berdasarkan kepada keamanan dan ketakutan”
Melihat kepada definisi ini, didapati kandungan maksud definisi ini masih lagi bersifat “tidak jami’”, yang memerlukan kepada penambahan agar ianya bersifat jami’.
Bagi memastikan definisi ini bersifat jami’ dan mani’ dari pihak Imam Abu Hanifah, maka hendaklah dirujuk segala kitab yang menyatakan tentang pandangan Imam Abu Hanifah tentang negara Islam ini. Apa yang pasti, dalam kitab “Badai As-Sanai:7/130” yang merupakan salah sebuah kitab dalam mazhab Hanafi, karangan Abu Bakar bin Mas’uud bin Ahmad al-Kasani Ala’uddin (wafat 587). Dalam kitab tersebut menyatakan (maksudnya):
“Berkata (Imam) Abu Hanifah, sesungguhnya (negara Islam) tidak boleh jadi negara al-kufr melainkan ada tiga syarat, tertegak undang-undang kafir, negara itu terpengaruh dengan negara al-kufr, orang Islam dan orang zimmi tidak mendapat keamanan”
Begitu juga dalam kitab yang sama menukilkan juga pandangan Imam Abu Yusuf dan Muhammad dengan kata mereka:
“(Negara Islam) boleh menjadi negara al-kufr dengan tertegaknya hokum-hukum al-kufr di dalamnya.”
Dari pemahaman inilah kita dapat fahami bahawa Imam Abu Hanifah berpendirian, kewujudan dan perlaksanaan undang-undang Islam merupakan antara ciri-ciri Negara Islam. Dengan ketiadaan undang-undang Islam yang terlaksana, maka negara itu telah mengamalkan undang-undang bukan Islam, maka penjenamaan sesebuah negara sebagai negara Islam ketika itu adalah terbatal.
Adakah Muslim dan Zimmi Aman Pada Hari Ini?
Setelah kita meneliti beberapa pandangan dan tafsiran negara Islam yang disalah ertikan oleh sesetengah pihak, dapat kita fahami bahawa negara Islam bukan sahaja diperintah oleh orang Islam, malah;
1) Melaksanakan hukum Islam
2) Orang Islam dan Ahlu az-Zimmah mendapat keamanan
Saban hari kita akan mendengar pelbagai berita mengenai jenayah yang berlaku. Rogol, rompak, samun, bunuh, penculikan dan banyka lagi jenayah yang selalu kita dengar. Jenayah-jenayah ini semakin menjadi-jadi belakangan ini sehingga menimbulkan ketakutan dalam diri setiap lapisan masyarakat, kaum dan agama.
Keamanan yang pernah kita kecapi dahulu semakin hilang dan keamanan ini telah ‘diragut’. Bagaimana kita dapat nyatakan kita mengamalkan Islam di dalam negara sekiranya ketakutan terus menyelubungi hati setiap penduduk? Saya teringat sebuah kisah di zaman empayar Bani Abbasiyyah. Seorang wanita yang cuba diragut kehormatannya oleh seorang lelaki, tetapi dengan pantas khalifah mengetahuinya dan menghantar bantuan (hakikatnya milik Allah) kepada wanita tersebut. Pada era khilafah Islamiyyah, seluruh penduduk di atas muka bumi ini berasa aman kerana mereka seperti dilindungi (hakikatnya memang dilindungi).
Kembali menyingkap sirah perjalanan hidup Rasulullah S.A.W. Baginda yang berperanan sebagai pemerintah Negara Islam Madinah al-Munawwarah ketika itu telah mewujudkan satu suasana kehidupan yang harmoni. Mereka yang melakukan kesalahan akan dihukum, mereka yang ditindas akan terbela. Bukan sahaja orang Islam yang berasa aman, bahkan orang kafir juga turut merasa aman dengan kewujudan sistem Negara Islam yang dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W.
Persoalannya, bagaimanakah keadaan masyarakat di dalam negara kita pada hari ini? Adakah aman atau sentiasa diselubungi ketakutan?
Bersambung...
0 comments:
Post a Comment