APABILA RAKYAT MEMBANTAH PPSMI…
>> Sunday, March 8, 2009
7 Mac 2009, Malaysia menyaksikan sejumlah rakyatnya yang berhimpun menyatakan bantahan terhadap Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Bantahan yang dianjurkan oleh GMP ini telah menghimpunkan seramai lebih kurang seratus ribu orang rakyat Malaysia. Perarakan membantah ini merupakan kemuncak kepada bantahan terhadap PPSMI yang diwujudkan Kementerian Pelajaran semenjak tahun 2002. Kemuncak kepada perarakan ini ialah dengan menyerahkan memorandum bantahan kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Perarakan ke Istana Negara ini dimulakan pada jam 2 petang, diketuai tokoh sastrewan Negara, Dato’ A.Samad Said. Perarakan ini turut disertai beberapa pemimpin PAS. Perarakan dimulakan dari tiga tempat, Masjid Negara, Pasar Seni dan Sogo. Sehari sebelum perhimpunan ini, polis telah memberikan permit kepada GMP untuk mengadakan perarakan menyerahkan memorandum kepada pihak Istana Negara. Namun, apa yang dikesali apabila pihak polis telah melepaskan gas pemedih mata kepada peserta perarakan ini. Yang menjadi persoalan ialah, sehari sebelumnya polis telah memberikan kebenaran tetapi pada hari kejadian polis telah menghalang pergerakan perarakan tersebut.
Lebih menyedihkan ialah manusia yang menjadikan masjid sebagai tempat perlindungan daripada serangan gas pemedih mata turut diserang beberapa minit selepas itu. Seorang sahabat menceritakan pengalamannya ‘merasa’ water cannon dan gas pemedih mata. “5 kali syeikh oi. Rasa macam nak syahid ja. Hehe…3 kali kena dekat masjid Negara. 2 kali jalan nak pi istana. Bukan takat perkarangan masjid. Naik sampai atas nu. Sampai pecah jam masjid kena kelongsong peluru”, ceritanya dalam dialek kedah.
Tindakan kerajaan mempertahankan PPSMI telah mendapat bantahan ramai pihak. Antaranya ialah sasterawan Negara sendiri yang turut menyertai perarakan tersebut. Beliau merupakan pejuang bahasa yang tidak pernah kenal erti penat dalam usahanya memartabatkan bahasa ibunda. Penulis agak hairan, apa relevannya PPSMI ini diteruskan? Penulis tidak membangkang seratus peratus PPSMI ini, tetapi jika dilihat dari pencapaian yang diperoleh para pelajar khususnya bangsa Melayu cukup untuk menjadi jawapan mengapa begitu ramai pihak yang membantah PPSMI ini diteruskan.
Secara praktikalnya, penulis melihat keberkesanan PPSMI ini tidak berada pada tahap yang memuaskan. Secara teorinya guru-guru dan para pelajar akan menjalankan proses P&P mereka di dalam Bahasa Inggeris, tetapi apabila dilakukan survey melalui rakan-rakan yang pernah berada dalam program PPSMI ini mendapati rata-rata menjalankan proses P&P menggunakan Bahasa Melayu. Faktor terbesar proses P&P tidak dapat dijalankan dalam Bahasa Inggeris seperti yang dirancang adalah disebabkan penguasaan bahasa yang terlalu lemah. Mungkin faktor ini tidak banyak di kalangan guru-guru yang mengajar subjek ini, tetapi tidak bagi anak didik mereka.
Jika kita melihat dari satu sudut, PPSMI ini mampu memberikan secebis kesan positif kepada masyarakat dan negara kerana masyarakat suadah mula menguasai bahasa antarabangsa ini. Tetapi bagaimana pula dengan kesan sampingan yang negative? Adakah kesan negatif ini peratusannya terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan kesan positifnya?
Di dalam Islam, kita diajar untuk melihat dua perkara asas dalam melakukan sesuatu keputusan iaitu melihat kepada kebaikan (maslahah) dan keburukan (mafsadah) yang mendatang. Di dalam isu ini, penulis melihat kebaikan yang mendatang peratusannya terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan keburukan selepas itu. Mungkin ada di kalangan rakyat Malaysia yang berjaya untuk menguasai Sains dan Matematik walaupun mereka diajar di dalam bahasa Inggeris. Dan peratusan ini sudah semestinya dikuasai oleh mereka yang menetap di Bandar-bandar besar disebabkan kemudahan yang mereka perolejh terlalu banyak. Bagi anak-anak kampung pula lain pula halnya. Sudahlah mereka ini lemah dalam penguasaan Bahasa Inggeris, ditambah pula dengan Sins dan Matematik yang diajar menggunakan Bahasa Inggeris, bertambah lagi kelemahan mereka. Secara psikologinya, hal ini secara tidak langsung telah mematikan semangat mereka untuk menimba ilmu pengetahuan.
Dalam satu majlis kenduri baru-baru ini, penulis sempat mendengar luahan seorang bapa terhadap isu PPSMI ini. “Kalau dulu saya boleh ajar anak saya Matematik, tapi sekarang saya boleh tengok ja la. Tak paham benda apa dia kata”, ujarnya. Nah! Kesannya buka hanya dirasai oleh para pelajar, malahan turut dirasai oleh ibu bapa. Jika kita melihat semula dari sudut Islam, menerima manfaat itu adalah baik. Tetapi menolak mafsadah yang besar itu lebih baik daripada menerima manfaat yang sedikit. Biarkan mudarat yang kecil berbanding mendapat mudarat yang besar. Ini terkandung dalam sumber untuk memutuskan sesuatu perkara yang dipanggil saddu az-zarai’. Misal yang lain, apabila seseorang ingin menjual sebuah kedai kepada seseorang dan duitnya itu mampu memberikan manfaat untuk dirinya dan keluarganya. Akan tetapi si pembeli itu dikenali sebagai seorang penjual arak ataupun seorang yang mempunyai premis perjudian dan jika kedai itu dijual besar kemungkinan akan dijadikan tempat maksiat, maka di sisi Islam haram bagi penjual untuk menjual kedainya itu kepada si pembeli.
Dalam isu PPSMI ini, bukan sahaja golongan sasterawan yang bersuara, bahkan pihak ulama’ juga turut membantah. Satu persidangan ulama’ di Pendang telah memutuskan beberapa resolusi, iaitu:
1. MENOLAK perlaksanaan PPSMI dalam sistem pendidikan negara,
2. MEMBANTAH penerusan perlaksanaan PPSMI kerana ia menjejaskan kedudukan bahasa Melayu yang sudah diangkat martabatnya sebagai bahasa ilmu dan sekaligus bahasa Islam,
3. MENEGASKAN bahawa dalil agama untuk mengembalikan pengajaran sains dan Matematik kepada bahasa Melayu sangat kuat kami sandarkan kepada nas-nas naqli berikut:
- Menggunakan bahasa yang dapat menerangkan dan memahamkan konsep dan falsafah kebenaran adalah matlamat utama kenapa Al-Quran menggunakan bahasa ibunda Arab sebagai penghantar untuk menjelaskan makna dan intisari ajaran Islam kepada bangsa Arab.
“Dan demikianlah Kami wahyukan Al-Quran kepadamu dalam bahasa Arab, agar engkau memberi peringatan kepada penduduk ibukota (Mekah) dan penduduk (negeri-negeri) di sekelilingnya serta memberi peringatan tentang Hari berkumpul (Qiamat) yang tidak diragukan adanya. Segolongan masuk syurga dan segolongan masuk neraka.” (Asy-Syura: 7)
- Bahawa bahasa yang tidak tercemar dengan makna dan faham yang terlepas dari konsep ketauhidan Allah dan membolehkan mesej asas Islam mengenai Ketuhanan disampaikan adalah punca kenapa Al Quran memilih bahasa Arab sebagai bahasa penghantar. Lantaran itu Bahasa Melayu yang telah sarat melalui proses Islamisasi adalah bahasa yang paling wajar dijadikan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara untuk menjayakan proses pembinaan tamadun Islam dalam masyarakat Malaysia.
“Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa Al-Quran berbahasa Arab, agar kamu mengerti.” (Yusuf: 2)
“Dan demikian Kami menurunkan Al Quran dalam bahasa Arab dan Kami telah menjelaskan berulang-ulang di dalamnya sebahagian dari ancaman agar mereka bertaqwa atau agar (Al-Quran) itu memberi pengajaran bagi mereka”(Toha: 113)
“Dan sungguh te;lah Kami buatkan dalam Al-Quran ini segala macam perumpamaan bagi manusia agar mereka dapat pengajaran, iaitu Al-Quran dalam bahasa Arab, tiada ada kebengkokan (di dalamnya) agar mereka bertaqwa” (Az-Zumar: 27- 28)
“(Al-Quran ini) diturunkan dari Tuhan Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Kitab yang ayat-ayatnya dijelaskan bacaan dalam bahasa Arab untuk kaum yang mengetahui.” (Fussilat: 2-3)
“Demi kitab (Al-quran) yang jelas. Kami jadikan Al-Quran dalam bahasa arab agar kamu mengerti.” (Al Zukhruf: 3)
Semua ayat-ayat ini menjelaskan betapa bahasa ada kaitan dengan mesej risalah Islam yang disampaikan kepada manusia.
Manakala bahasa Melayu yang sarat dengan konsep Islam dari Al-Quran diketepikan penggunaannya dalam pengembangan ilmu, maka kesan sekularisasi bahasa yang telah berlaku dalam sejarah pengembangan bahasa inggeris yang sangat dipengaruhi oleh sejarah sekularisasi agama Kristian akan mempunyai impak kepada masyarakat Melayu Islam di negara ini.
4. MENDESAK supaya perlaksanaan PPSMI hendaklah diberhentikan dan penggunaan bahasa Melayu kembali digunakan sebagai bahasa pengantar dalam semua matapelajaran kecuali dalam pengajaran bahasa yang lain, di seluruh institusi pendidikan di semua peringkat.
5. MENUNTUT agar kerajaan mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu untuk membentuk tamadun tinggi dalam masyarakat, sementara memberi ruang untuk pelajar mempelajari pelbagai bahasa lain untuk meningkatkan keupayaan menguasai pelbagai ilmu dari sumber bahasa yang lain,
6. MENDESAK agar tulisan jawi kembali diperkasakan dalam sistem pendidikan negara termasuk mengalakkan urusan rasmi menggunakan tulisan jawi sebagai identiti negara,
7. MENEGASKAN bahawa pengajaran bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan kaedah dan pendekatannya, namun bukan dengan cara mengetepikan bahasa Melayu sebagai penghantar mata pelajaran seperti yang dilaksanakan dalam PPSMI masakini,
8. MENGGESA supaya penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar hendaklah diperundangkan dan dikuatkuasakan dalam semua sektor Negara semada awam mahupun swasta,
9. MENEGASKAN bahawa pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran tidak boleh berdalih dengan alasan pencapaiaan UPSR, PMR mahupun SPM untuk menjadi asas untuk meneruskan atau memberhentikan perlaksanaan PPSMI,
10. MENDESAK supaya pihak kerajaan tidak menggunakan dalil mencapai kemajuan bertaraf dunia sebagai alasan untuk meneruskan PPSMI kerana hujah ini sudah muktamad ditolak oleh perbandingan dan bukti dengan pelbagai negara lain yang tidak mengutamakan bahasa Inggeris untuk mencapai kemajuan sesuata bangsa dan Negara,
11. MENGGESA agar seluruh warga pendidik dan waris pelajar-pelajar disemua institusi pendidikan negara agar bersama bersatu untuk membantah perlaksanaan PPSMI.
Seperti yang kita fahami, ulama’ ialah pewaris para Nabi. Justeru, apabila ulama’ juga turut membantah berdasarkan ijtihad mereka, apa lagi yang boleh kita katakan? Ingin membantah, setakat mana ilmu yang kita ada.
Konklusinya setelah kita melihat kesan baik dan buruk PPSMI, ternyata masyarakat yang membantah PPSMI ini bukan membantah secara membabi buta, tetapi bantahan mereka ini bantahan yang bersandarkan dengan bukti-bukti yang kuat serta berasaskan dalil-dalil yang kukuh. Justeru, amat wajar bagi Kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran mengambil perhatian dengan serius tentang isu ini, kerana bantahan ini bukan bermotifkan politik seperti yang dipertkatakan oleh Menteri Pelajaran tetapi ianya dilakukan demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.
0 comments:
Post a Comment